Kak Di Ke Darul Quran Kuala Kubu Bharu

Hari Sabtu 29 Disember 2007 yang lalu, aku ke Kuala Kubu Bharu untuk mendaftarkan anakku bagi memasuki Program Persijilan Darul Quran-UIA Tahfiz al-Quran Sesi 2007/2009. Anakku telah menghadiri temuduga memasuki program ini seminggu sebelum SPMnya bermula. Aku pun pada mulanya tidak tahu apa-apa berkaitan dengan temuduga tersebut, ’Abah, cikgu suroh pergi temuduga’. ’Oklah’, kataku. Cuba juga carik di laman web Darul Qur’an, tapi entah kenapa, tak ’jumpa’. Cuma pesanku jika penemuduga bertanya kenapa nak masuk program ini, jawablah ’kerana ibu saya sangat berharap agar seorang anaknya menjadi hafiz atau hafizah’. Rupanya betul ditanyakan soalan itu. Antara yang dilakukan semasa temuduga ialah menghafal satu muka ayat Al-Quran dalam masa sejam bagi menguji kemampuan menghafaz Al-Quran.





Semasa taklimat pendaftaran barulah diberitahu betapa specialnya program ini. Darul Quran JAKIM telah menerima 1,764 permohonan dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,122 calon dipanggil untuk menghadiri temuduga yang diadakan di seluruh negara. Kekira 200 orang telah terpilih yang terdiri daripada pelajar aliran sains serta berasaskan keputusan peperiksaan percubaan SPM selain penglibatan dalam ko-kurikulum. Tapi tak tahu berapa yang menerima tawaran pada hari tersebut. Daripada sekolah anakku, 10 orang dipanggil temuduga dan 6 orang berjaya dipilih, tetapi sekurang-kurangnya 2 orang menolak.

Semasa 18 bulan mengikuti program ini nanti, pelajar dikehendaki menghafal 30 juzuk al-qur’an. Aku terkejut ...mampukah anakku ? Terdapat 3 sesi dan setiap sesi perlu menghafal 10 juzuk. Sekiranya tidak lulus dalam setiap sesi, khususnya sesi ke-2, pelajar tidak dibenarkan meneruskan pengajian. Selain hafazan, ada beberapa subjek turut dipelajari dan ada ujiannya.

Sepanjang pengajian, pelajar akan diberikan makan, tempat tinggal dan wang saku RM 125 setiap bulan. Kira ada biasiswa sebab ada perjanjian perlu ditandatangan. Bayar masa daftar hanya RM 442 sahaja, termasuk untuk pakaian seragam. Tapi yang bestnya kalau tak ’mampu’ boleh keluar dengan just bagitahu, tiada denda. Datang bersambut janganlah hendak ’berhenti’senyap-senyap, begitulah diberitahu semasa taklimat. Kata ’penaklimat’ juga, selalunya kekira 75 hingga 80% berjaya menamatkan program. Yanglainnya ’cabut’ setelah result SPM keluar.

Setelah tamat di Darul Quran, yang berjaya boleh melangkah terus ke UIAM dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, farmasi, kejururawatan, ekonomi dan pergigian . Maknanya program ini ke arah melahirkan profesional yang hafiz. Doktor yang hafiz 30 juzuk, jurutera yang hafiz atau ahli ekonomi yang hafiz. Tapi anakku minat Law dan Syariah ? Jika ada reezeki, berkemungkinan juga ke luar negara. Argh ...jauhnya. Sudahlah abangnya sekarang di Kanada.

Majlis perasmian penerima pelajar baru dibuat di Dewan. Selain ucapan prasmian, diadakan upacara membaca ikrar serta penyerahan simbolik anak kepada Darul Quran. Selepas majlis, jamuan makan tengahari dan disusuli dengan pendaftaran asrama. Lepas solat zuhor, pulanglah kami. Nak kata sedih sedihlah juga walaupun memang dah biasa terpisah dengan anak yang belajar di SAM Bestari USJ sejak tingkatan Satu hingga Lima. Masuk Darul Qur’an sekurang-kurangnya boleh ngelak daripada menghadiri PLKN yang turut bermula hari ini. Suasana persekitaran darul Quran memang menyejukkan mata memandang dengan kehijauan gunung, tasik serta susunan banagunan yang tidak crowded. Semoga anak-ku berjaya mengharungi cabaran menghafal 30juzuk. Amin ...

Pada hari tersebut jumpa pulak beberapa kenalan yang menghantar anaknya juga. Mereka ialah Ustaz Zainuddin yang sering ceramah di Surau Al-Hidayah, ex-ofismate yang duduk di Merbau Sempak ( walaupun beli rumah di SU2 ), rakan ’seperjuangan’ masa di U dulu, Dr Izani ( dari Kelantan ) serta Rosdi ( jurutera Telekom, duduk di Kg Melayu Subang ) yang hantar anak sedara.