Tegakkanlah Keluarga Muslim

Dipetik daripada Buku Jalan Dakwah Oleh Mustaffa Masyhur

Memperbaiki diri sendiri dan menyeru orang lain kepada Allah, merupakan dua kewajipan asasi di atas jalan dakwah wajib kepada setiap muslim lelaki dan wanita. Di samping dua kewajipan itu timbul lagi satu kewajipan yang tidak kurang pentingnya. Iaitu menegakkan rumahtangga muslim. Individu muslim itu adalah seorang lelaki aqidah yang wajib dipersiapkan untuk menjadi Muslim yang sejati yang menjadi contoh Islam yang sahih dan teladan yang patut di ikuti.

Kita sangat memerlukan rumahtangga muslim yang menjadi contoh sebagai tiang yang kuat di dalam pembangunan masyarakat Islam. Usrah muslim, keluarga muslim mempunyai peranan yang penting di dalam kekuatan dan kepaduan masyarakat ataupun perpecahan dan kemusnahannya. Rumahtangga itu adalah merupakan pangkuan atau sarang bagi tunas-tunas baharu yang dididik dan dibentuk di masa pembentukan dan persediaan. Rumahtangga lah yang bertanggungjawab mencetak dan membentuk keteguhan peribadi anak-anak yang akan mencorakkan hidup mereka, benarlah Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya-kejadian yang suci dan ibu bapanya lah yang menjadikan Yahudi atau menjadikannya Kristian ataupun menjadikannya Majusi¨

Hadis Rasulullah s.a.w. berkenaan dengan pembangunan rumahtangga, tidak dapat dibicarakan hanya dengan satu makalah atau dua makalah sahaja akan tetapi perlulah kita merujuk kepada kitab-kitab dan karangan-karangan yang telah mengupas perkara yang penting itu. Cukuplah di sini kita menerangkan sepintas lalu serba sedikit mengenainya supaya kita mendapat faedah daripadanya.

A: Pemilihan:

Saudara muslim dan saudari muslimah yang mahu memperbaiki diri dan menyeru orang lain kepada Allah, wajib lah ke atas keduanya, masing-masing memilih pasangannya. Putera Islam mencari puteri Islam untuk menjadi isterinya yang salihah. Puteri Islam mencari putera Islam untuk menjadikan suaminya yang salih, sebagai kongsi hidup suami isteri.

Dari awal-awal lagi hendaklah mereka ini membangunkan keluarga muslim yang diasaskan di atas dasar takwa. Saudara muslim yang sejati wajib mencari puteri Islam yang sejati dan memilih yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya di dalam hidup ini, menjadikan pasangan hidupnya sebaik-baik penolong di atas jalan dakwah, sentiasa mengingatkannya apabila dia lupa sentiasa memberi perangsang dan tidak menghalanginya, memelihara dirinya di waktu ghaibnya sekalipun bagaimana lamanya dan mendidik serta membentuk anak-anaknya menurut bentuk Islam yang sebenar-benarnya.

Demikian juga puteri Islam yang sejati, tidak wajar dan tidak patut menerima sebarang jejaka untuk menjadi pasangan hidupnya kecuali seorang muslim yang sejati yang menjadi pendukung dakwah Islam. Iaitu seorang penganut aqidah yang sahih yang bertakwa kepada Allah. Si isterinya pula dapat menolongnya untuk taat setia kepada Allah dan mencapai keredhaan Allah. Dengan cara yang demikian kita telah berjaya membangunkan sebuah keluarga Islam yang akan menjadi markas dakwah dan jihad Islam. Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan kita kepada yang demikian dengan sabda baginda:

"Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana tarafnya, keturunannya dan pangkatnya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengambil wanita yang beragama supaya kamu berbahagia".

Oleh kerana itu Rasulullah (s.a.w.), tidak mengakui hak wali yang menikahkan puterinya dengan seorang lelaki yang tidak di sukai oleh puterinya. Ini memberi peluang kepada puteri Islam untuk memilih suami yang salih. ( didalam keadaan yang menepati sayrat-syarat nya )

B: Beriltizam Dengan Batas-Batas Islam:

Kita mahukan supaya hukum-hukum Islam dan adab-adabnya mampu mengawal dan menguasai setiap tahap dan peringkat pembangunan rumahtangga muslim. Sama ada dari peringkat pinangan, akad nikah, mempersiapkan rumahtangga sepasang suami isteri, masa pengantin baharu atau berbulan madu mestilah jauh dari segala adat lapuk, pusaka usang jahiliah yang rosak.

Sama ada jahiliah lama atau baru, yang bertentangan dengan syariat Allah Taala atau pun yang menjadi rintangan di jalan perkahwinan yang kadang-kadang menghalang langsung untuk terlaksananya perkahwinan. Mengapakah tidak di laksanakan akad-nikah itu di Masjid? Di dalam udara yang bersih dan luas yang jauh dari segala sikap menunjuk-nunjuk dan adat-adat buruk? Berbelanja berlebih-lebihan dan boros yang bertentangan dengan syariat Islam? Cadangan itu adalah wajar.

Akad nikah di dalam Mesjid tidak di gemari oleh manusia sebagaimana dulu mereka tidak menggemari fesyen pakaian Islam. Tetapi kalau kita bersungguh-sungguh mendesak dan bertegas untuk melangsungkan juga akad nikah itu di dalam mesjid, lama kelamaan ia akan menjadi perkara yang di sukai oleh manusia dan akan menjadi perkara biasa. Sebagaimana fesyen pakaian Islam menjadi perkara lumrah dan di sukai oleh manusia. Sesungguhnya itu lah pertentangan di antara kemuliaan dan kehinaan.

Kalau kita berpegang teguh dengan kemuliaan dan adab-adab Islam, kita akan berjaya menegakkan dan menanamkan keperibadian Islam yang kita cita-citakan ke atas manusia.

C: Kebahagiaan Rumahtangga Yang Di Cita-Citakan:

Apabila telah selesai pemilihan yang berasaskan agama telah sempurnalah langkah-langkah yang menuju ke alam perkahwinan sesuai dengan ajaran Islam.

Mulalah kita membangunkan rumahtangga muslim di atas asas yang teguh yang akan merealisasikan kemantapan, ketenangan dan kebahagiaan yang sejati yang selama ini dicari-cari oleh beberapa banyak keluarga pada zaman ini. Kebahagiaan itu bukan dari luar diri, tidak pula dapat dicari dengan harta, tempat kediaman, pakaian dan dengan segala perhiasan rumahtangga.

Tetapi kebahagiaan itu diperolehi dari dalam diri sendiri, dari perasaan takwa kepada Allah, kerana Allah lah yang mengurniakan kebahagiaan, yang memberi mawaddah dan rahmah cinta dan kasih sayang di antara suami isteri. Benarlah Allah yang Maha Agung yang telah berfirman:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayangi¨ (Ar-Rum: 21)

Kita tidak memandang kebahagiaan itu di dalam harta yang banyak, akan tetapi orang yang bertakwa itulah orang yang berbahagia.

D: Perkahwinan Itu Ibadat:

Risalah dan tugas kita di dalam hidup ini ialah beribadat kepada Allah Taala. Jadi kita mestilah berusaha menjadikan segala urusan hidup kita sebagai ibadat kepada Allah Taala. Kita jadikan segenap kehidupan hidup sebagai alat untuk kita menghampirkan diri kepada Allah. Kita pergunakan hidup kita dengan segala kemudahan yang ada untuk menolong kita beribadat kepada Allah.

Amal dan nikah kahwin dan mendidik anak-anak dan lain-lain lagi yang merangkumi segala kegiatan hidup kita semuanya itu merupakan ibadat kepada Allah, untuk menghampirkan diri kepada Allah, selagi dibuat kerana mengharap keredhaan Allah dan menjauhi apa yang dimurkai Allah.

Oleh itu putera puteri Islam, mestilah memandang urusan perkahwinan mereka sebagai ibadah mereka kepada Allah apabila diurus menurut hukum Allah. Kedua-dua pihak mengharap keredhaan dan ganjaran Allah. Oleh kerana itu kedua belah pihak mestilah mengetahui
ajaran-ajaran dan adab-adab Islam, hak-hak dan kewajipan suami-isteri rumahtangga dan keluarga, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas masing-masing dan beriltizam dengan adab-adab itu. Tolong menolong ke arah kebaikan, menuju takwa dan ke arah taat kepada
Allah di dalam pergaulan mereka. Harga menghargai, hormat-menghormati dan kasih sayang di antara keduanya Semuanya itu mesti di atur menurut syariat Islam. Benarlah Rasulullah s.a.w tatkala bersabda yang bermaksud:

"Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air ke mukanya." (Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)

E: Perkahwinan Itu Saling Percaya Mempercayai:

Apabila telah wujud suasana saling percaya mempercayai, cinta mencintai, di antara suami isteri, lahirlah kebahagiaan dan kepuasan jiwa di dalam rumahtangga mereka. Rumahtangga mereka menjadi rumahtangga muslim yang bahagia dalam kebahagiaan yang sejati selagi ianya diatur menurut peraturan syariat Islam. Hapuslah segala prasangka hilanglah segala keraguan. Tidak ada lagi kata mengata, tuduh menuduh dan ke pura-puraan.

Kebahagiaan yang sedemikian rupa tidak akan wujud kecuali di bawah naungan takwa kepada Allah dan mencintai Allah di waktu terang-terangan dan rahsia di waktu ghaib dan waktu syahadah. Lantaran itu tenteramlah jiwa suami dan ia berpuas hati kepada isterinya dan yakinlah ia bahawa isterinya hanyalah untuk dirinya sendiri sahaja, yang memelihara diri walaupun beberapa lamanya ia terpisah dari isterinya. Demikian juga sikap isterinya terhadap suaminya dibaluti dengan sepenuh kepercayaan itu. Di dalam suasana bahagia yang demikian, syaitan dari bangsa jin dan manusia tidak mempunyai jalan untuk mengganggu dan menggoda keduanya.

F: Perkahwinan Sebagai Syarikat Yang Dipimpin Oleh Suami:

Apabila kehidupan rumahtangga suami isteri dibangunkan di atas dasar kerjasama, di atas syura', tolong menolong, cinta mencintai, di bawah pimpinan suami sebagai pihak yang bertanggungjawab, yang mempunyai kata dan kuasa pemutus. Inilah yang mendorong dan menolong melahirkan kemantapan, keteguhan, kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga dan keluarga yang selama ini diimpikan dan diidamkan oleh manusia di seluruh dunia. jika masih terdapat kepincangan di dalam pertimbangan ini, maka tidak akan wujud satu kemantapan dan kebahagiaan. Benarlah Allah Taala di dalam firmanNya:

"Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang maaruf akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya". (Al-Baqarah : 228)

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka". (An-Nissa': 34)

Lantaran itu sempurnalah pentadbiran urusan rumahtangga dan pertimbangannya di dalam suasana penuh kerjasama, tanggungjawab dan syura di dalam batas-batas ajaran Islam.

Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya himgga ke hari ini.

G: Perkahwinan Adalah Tanggungjawab Dan Amanah:

Suami isteri mestilah menyedari dan merasai bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab. Tiap-tiap orang dari kamu adalah pemimpin, dan tiap-tiap pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Maka hendaklah kamu bertakwa kepada Allah di dalam perkara yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada kamu. Benarlah Allah yang berfirman:

'Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu" (At Tahrim : 6)

Rasulullah s.a.w bersabda: ”Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya".

Kita sentiasa memerlukan pertimbangan yang waras demi pemeliharaan itu, sebagai contoh, kita biasa memberi perhatian yang berlebihan apabila salah seorang dari anggota keluarga kita jatuh sakit. Tetapi perhatian yang sewajarnya tidak diberikan terhadap salah seorang anggota keluarga yang mencuaikan hak Allah ataupun menyalahi ajaran Islam padahal itulah yang paling utama diperhatikan dan diubati.

H: Rumahtangga Muslim Merupakan Risalah:

Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan hidup bagi Islam dari seorang muslim yang benar aqidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki rumahtangga muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera dan teliti.

Kita ingin melihat suami muslim yang memikul tanggungjawabnya terhadap rumahtangganya menurut ketentuan Islam. Kita mahu melihat bapa muslim yang memelihara anak-anaknya dengan adab-adab Islam, memberi kefahaman Islam yang sejati kepada mereka dan
mengawasi mereka di segala peringkat hidup mereka. Kita hendak melihat isteri yang muslimah yang menjadikan rumahtangga sebagai taman sari yang memuaskan dan menggembirakan suaminya.,

Di dalamnya terdapat hiburan dan keberkatan jauh dari kepayahan dan penat lelah perjuangan dan menolong suaminya mentaati Allah Ta'aala. Alangkah indah dan hebatnya kata-kata yang diucapkan oleh seorang isteri kepada suaminya tatkala dia keluar dari rumahnya waktu pagi:

"Bertaqwalah kepada Allah di dalam urusan kami dan janganlah kekanda memberi kami makanan kecuali yang halal dan baik-baik sahaja".

Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim ini, ibu muslim yang memelihara anak-anaknya dan membentuk mereka menurut bentuk Islam kerana dialah yang sentiasa berdamping dengan mereka. Inilah risalah, amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling penting yang selama ini cuba dihapuskan oleh musuh-musuh kemanusiaan. Mereka cuba menyelewengkan fakta-fakta ini dari para isteri dengan berbagai-bagai pembohongan dan penipuan dengan tujuan untuk merobohkan bangunan masyarakat.

Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim itu, putera puteri Islam yang sejati yang memperhambakan diri mereka kepada. Tuhan. Mereka taat setia kepada Allah, berbuat baik dan berjasa kepada ibu bapa. Mereka bergaul dengan sahabat-sahabat mereka menurut adab-adab Islam dan tidak lahir dari mulut mereka sepatah perkataan dan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan Islam.

Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita hendak melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat kukuh di dalam diri mereka. Mereka bergaul baik dengan khadam mereka, di mana khadam mereka makan apa yang mereka makan dan berpakaian seperti apa yang mereka pakai dan tidak membebankan sesuatu bebanan di luar kemampuannya. Apabila mereka membebankan sesuatu di luar kemampuannya, mereka menolongnya.

Kita ingin melihat dari rumahtangga muslim itu satu bentuk yang unik sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam tentang berbuat baik di dalam bermuamalah dengan jiran. Mereka menyempurnakan hak jiran sebagaimana peranan Rasulullah s.a.w.

Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik di segala jurusan hidupnya. Dengan fesyen pakaiannya yang Islami, makanan yang halal, minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikapnya yang Islami, gaya yang Islami di segala adat dan tradisi di waktu suka dan duka Mereka menjauhi segala unsur-unsur jahiliah, adat-adat dan tradisi jahiliah yang di import dari luar.

Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib-ad-dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan di atas jalan dakwah melakukan sebarang kecuaian atau kelalaian di dalam melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di dalam sebarang jurusan hidup keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin rumahtangganya, tidak akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga orang lain.

I: Rumahtangga Muslim Sebagai Markas Memancarnya Cahaya:

Rumahtangga muslim yang sejati menurut tabiat dan lojiknya mesti menjadi markas dakwah Islam. Setiap anggota keluarga yang aqil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendukung dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga di sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik.

Isteri yang salihah berkemampuan menarik hati jiran-jiran dengan dakwah kepada Allah. Kehadiran mereka merubah majlis-majlis yang dikuasai oleh umpat mengumpat dan sia-sia menjadi majlis-majlis ilmu dan pelajaran dan ke arah memahami urusan agama.

Bidang dakwah Islamiah sangat memerlukan saudari muslimat yang menyeru manusia kepada Allah, supaya memainkan peranannya di kalangan puteri bangsanya. Sesungguhnya wanita hari ini, kecuali yang telah mendapat taufik Allah, telah dijadikan boneka oleh musuh-musuh Islam untuk meruntuhkan dirinya dan memusnahkan manusia. Tetapi kita hendaklah menjadikannya sebagai wanita yang salihah yang turut bersama kita untuk memperbaiki yang rosak dan membangunkan yang maaruf dan merobohkan yang mungkar dan menghapuskan yang batil menyokong kemuliaan dan memerangi kehinaan.

Kita menghendaki rumahtangga muslim itu sebagai rumah cahaya yang memberi hidayah dan petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. La menghapuskan, memusnahkan segala kegelapan di sekelilingnya dan menyinari jalannya untuk di lalui oleh mereka. Maka dengan bertambahnya rumah-rumah muslim seperti ini akan sambung menyambunglah daerah-daerah dan bercahaya dan bercantum di antara satu sama lain sehingga mampu menyinari masyarakat.

Maka dengan demikian keperibadian Islam berkemampuan menyinari masyarakat dan memimpin nya di bawah naungan Islam. Lantaran itu kemuliaan mudah dikembang-biakkan dan kejahatan mudah dihapuskan. Baharulah mudah dibentuk dasar dan asas keimanan, yang bersih yang mantap sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan Islam dan seterusnya al-khilafah-al- Islamiah alamiah.

Untuk itu, saudara saudari putera puteri Islam harus dan patut bersungguh-sungguh dan bersegera membangunkan rumahtangga muslim yang misali yang menjadi model Islam yang sejati untuk menjadi contoh teladan kepada generasi baharu. Ini adalah satu langkah yang penting dan asasi di jalan dakwah Islam. Mohonlah pertolongan dari Allah supaya Allah mudahkan dan jangan menyusahkan.

sumber: http://raudhah.com/

Lagi-lagi PS vs PK

Petang tu PS meninjau-ninjau kawasan sekitar surau seorang diri. Melihatkan PS keseorang, lalu singgah PK yang kebetulan melintasi surau dalam perjalanan pulang dari ofisnya. Hari itu PK balik awal sebab ada meeting kat Putrajaya yang kebetulan habis awal dan terus bergegas pulang. Sejak akhir-akhir nie, PK selalu pulang lewat kerana tugas-tugas ofis yang banyak. Padahal keja gomen aje !!.

'Sombongnya dia, mentang-mentang naik keta besaq', bisik hati PS melihatkan PK yang sedang memarking keretanya.

'Lama tak nampak', tegur PS.

'Apa ... ingat lama tak nampak kat surau, lemah iman ke ?', balas PK.

'Aiii, kesitu pulaknya. Yg ke surau tak semestinya iman kuat lemah. Tapi kalau takde iman, ke surau pun tak teringin !', PS membalas kembali.

'So apa cerita sekarang ?', PK mula mengubah topik.

'Tuh, bebudak KIDaS yang dalam surau bila nak pindah ?', jawab PS.

'Sabo-lah, baru aje kita levelkan tanah yg depan surau tuh, next week sampailah kontena tuh', jelas PK.

'Kenapa kat situ, kenapa tak tanah tadika sebelah tuh', tanya PS lagi.

'Memula memang nak buat kat tanah sebelah, tapi nak lebih selamat bebudak, selamat dari ganguan MDKS, baik kita buat kat depan surau tu', jawab PK.

'Tapi muat ke ? Takut sangat kau dengan MDKS', perli PS. 'Cuba buat macam orang india, memula buat kecil-kecilan bawah pokok, lepas tu membesar kuilnya hingga tak berani kerajaan nak halau'.

'Yealah walaupun kita negara islam, tapi bab-bab penguatkuasa roboh surau ke masjid ke atau sekolah agama kira perkara mudah, tetapi roboh kuil yang secotet, tak berani mereka', macam nak berpolitik pulak si PK.

'Tapi insya'allah muat dan dah ukur pun. Kita akan pasang kabin 10' x 40' sebanyak 5 bijik bagi mendapatkan 10 kelas. Susunan kontena macam huruf L', sambung PK berlagak macam Projek Manager pulak.

'Siang buat kelas KIDaS dan malam boleh sewa kat sesapa nak buat kelas tuisyen ke ... ada airkon lagi !!', cadang PK sedang PS masih terangguk-angguk macam setuju aje lagaknya.

'Banyaklah duit KIDaS lepas ini ...', PS cuba mengagak.

'Kita dah kira, rasanya dengan yuran bulan RM30, 80% bayar on-time, cukup-cukup lepas duit operasi aje', jelas PK.

'Mungkin kah yuran akan naik ?', tanya PS.

'Nak kena pelangkong ? RM 30 nie pun dah banyak kami terima permohonan rasmi dan tak rasmi untuk mempertimbangkan pengurangan', jawab PK sambil tersengih-sengih.

'Nanti semua orang ingat AJK KIDaS nak pakai kereta besar macam pengerusinya kot ?'. Tambah PK lagi sambil menjeling kot-kot ade malaun cuba menghampiri keretanya. Bimbang calar barangkali.

'Mungkin elok kita tubuhkan Tabung Pendidikan Anak-anak Saujana ?', cadang PS.

'Setuju .. setuju ... setuju ... buat .... buat .... buat ... ', balas PK senada sorang ahli kariah bernama Mamat tuh.

'Sebabnya ada juga yang menghulurkan bantuan untuk menaja anak-anak orang lain', tambah PK.

'Oi ! ada juga ya ? Kalau gitu nanti cadang kat meeting AJK Surau', balas PS sedikit kehairanan.

Suasana jadi sepi seketika, malaikat mana lalu entah agaknya.

'Yang tumpang di SMK Saujana Utama tu apa ceritanya ?', PS mengubah topik perbincangan.

'Oh tu beres ... Jemaat 14hb nie kita tandatangan MOU dengan pihak mereka dan disaksikan oleh PPD Kuala Selangor', balas PK dengan yakin sekali. 'Pengetua nak cepat-cepat sign sebab PPD sekarang akan digantikan dengan yang baru yang khabaranya kuat UMNO giler'.

'Apa kena mengena dengan UMNO pulak ? Ingat UMNO tak nak Islam ke, tak suka sekolah agama ke ?', tanya PS.

'Entah .. itu cerita Pengetua'. Jawab PK pendek.

'Berapa jumlah budak KIDaS sekarang', tanya PS.

'Kita ada lebih kurang 650 orang dalam 24 kelas. Lepas siap kabin nie rasanya bertambah. Pertambahan masih diterima kecuali darjah 4,5 dan 6'. Jelas PK. 'Sekarang kita dah sewa pejabat tetap di no 24 Cemara 8 dan ada kerani dari pagi sampai petang. Lepas ini kita pasang tipon dan mesin fax’.

'Kalau sekarang 24 kelas, maknanya tahun depan kena tambah kelas kabin ?', PS cuba mencongak.

'Gitulah nampaknya, tapi space masih ada', PK cuba meyakinkan PK.

'2006 .. 2007 ... 2008 ... oi ! takkan nak terus belajaq dalam kabin ?', tanya PS.

'Ya tak ya juga ya !', balas PK sambil mengaru-garukan kepalanya.

'Ah! itu biarlah PK lain pulak fikir, takkan selamanya PK yang sama aje. Tambahan masa tu saya dah takde anak yang belajaq kat KIDaS'. Tambah PK lagi.

'Oh ! lagu tu kau punya fikiran', jawab PS sambil mengerak-gerakkan jarinya menuding kepada PK macam memberi tanda amaran.

'Oklah balik dulu, penat nie. Tambahan hari nie hari rabu', PK memohon berundur diri.

'Ada apa ? Pasar malam ?', tanya PS.

'Hari Rabu Malam Jemaat ....'. PK terus berlalu dengan raut muka, entah muka sombong atau muka keletihan. Tuhan saja yang tahu.

Nota : Kisah ini dicoretkan pada 9 Januari 2005
PS = Pengerusi Surau Al-Hidayah
PK = Pengerusi AJK Pengurus KIDaS

PS vs PK Lagi

Maka pulanglah PK kerumah dengan langkah longlainya. Sambil berehat di sofa sementara menantikan kedengaran Azan Maghrib, PK memikirkan tragedi siang tadi.

'Oiii, ingat makwe lama ke ?', tegur isteri PK.

Tanpa memberikan sebarang jawapan, dicapainya SE P800nya, lalu diantor SMS kepada S/U Kidas. 'URGENT, MEETING AJK LEPAS ISYAK'.

Maka selepas solat isyak, berkumpullah semua AJK KIDaS di bangsal surau. Naib PK Mat Yani, S/U Zuraimi, Bendahari Azmi, Izmin, Ir TNB Rosdi dan Jamil hadir sorang sorang dengan langkah kepenatan. Turut hadir ialah Si Afandi Charge sambil membawa beberapa botol air minuman Charge untuk mengecas semula semangat AJK KIDaS yang kelihatan kelesuan. Imam Rosli kata nak hadir, tapi tak muncul tiba.

'Nampaknya tempias tsunami kena juga ke kita ..', PK memulakan bicara.

'Menurut Che Din Pakar, 20 kontena yang hendak dilihat keadaanya telah dibawa utara untuk penempatan mangsa tsunami. So, kita kena mencari alternatif lain dengan segera'. AJK KIDaS berpandangan satu sama lain.

'Bagaimanapun berdasarkan sebut harga yang diterima, ini agak munasabah dan mohon persetujuan', tambah PK sambil mengedarkan salinan sebutharga berkenaan.

'OK, saya akan cuba runding dapatkan harga yang rendah lagi, kontena 10' X 20', dua pintu, dalam dinding plywood, lengkap fitting api serta lobang air-cond', balas Si Afandi.

'Kalau 30 orang budak satu kontena, kita perlukan 10 unit', Naib PK mencelah.

'Guru rasanya takde masalah, sebab ada pagi dan petang mungkin orang yang sama', tambah Izmin.

'Saya dah kontek MDKS, dia orang kata buat surat permohonan kalau nak letak di tanah sebelah surau tu ..', jelas S/U KIDaS. 'Kita belasah aje, lulus atau tak', tambahnya lagi dengan penoh semangat.

'Bagaimana dengan air-cond ? Nak sewa atau beli ?', tanya PK.

'Saya akan check dengan kewangan, mungkin sewa separuh, beli separuh', kata Bendahari.

'Nak guna aircond 2.5hp ke ? Kuat api tu .. ini kena seperate meter dengan surau', tanya PK lagi.

Lantas Afandi Charge menelefon kawannya bertanyakan kadar sewaan air-cond.'RM 100 sebulan setiap satu, 2.0 or 2.5hp termasuk maintenance', kata si Afandi.

'Kena guna 2.5hp. Kalau 1.5 tak cukup. Pakai meter surau aje, kita bayar semua bil api dan airlah senang', kata Ir TNB Rosdi.

'Goooollllllllllll', jeritan penyokong Indon di rumah kongsi sana. Ahli mesyuarat agak risau. Barangkali pasukan bola Malaysia sedang ketinggalan dengan Indonesia.

'Wokey kalau gitu what's next', PK kelihatan seperti pulih tenaga melihatkan ahli mesyuarat bangsal tampak bersemangat.

'Memula kena level tanah then letak crusher run', kata S/U yang juga bertugas di Kelab Golf. 'Dengan keluasan yang ada, saya kira 30 lori diperlukan', tambah beliau.

'Berapa selori ?', tanpa PK.

'Adalah RM300', kata Bendahari.

'What ? RM 300 x 30 = RM 9,000 .... mana nak carik ?', PK mengeluh sambil menggarukan kepala.

'Kita cuba minta Glomac', cadang Jamil. Naib PK tersenyum sinis.

'Kita letak sikit dulu lah, yang dekat-dekat kontena', tambah Ir TNB.

'OK saya akan carikan backhoe untuk buat level Jemaat ini', cadang Izmin.

'Saya akan hubungi pembekal crusher run untuk 3 lori dulu ke', kata S/U.

'Berdasarkan sebutharga kontena, mereka boleh supply dalam seminggu', PK mengingatkan semua ahli.

'Ini bermakna jika minggu ini siap level, order kontena, minggu depan dah boleh letak atas tanah tu', cadang Naib PK.

'Wiring sapa nak buat ?', tanya Jamil sambil melihat Ir TNB tensengeh keletihan.

'Rasanya kita akan habis dalam RM40K - RM45K, then maintenan bulanan. Mampukah kita ?', tanya PK.

'Insya'allah boleh', Bendahari penoh yakin.

'Susunan kontena camana ? Kita perlu lihat mungkin berlaku pertambahan masa depan', tanya PK.

Mesyuarat setuju bentuk L dan mohon Ir TNB draw susunan dengan lebih elok lagi dengan bantuan Che Din Pakar.

'Nak ada pagar ke ?', tanya Ir TNB.

'Rasanya takyah dulu, bebudak masuk ikut pintu surau dan letak basikal sana. Pintu akan dikunci', cadang PK.

'Gooollllllllllllllll'. Kedengaran lagi tempikan penyokong Indonesia cuba mengganggu kelancaran mesyuarat.

'Saya sedang derafkan surat nak minta bantuan daripada mereka yang berkenaan, mohon PK semak nanti', mohon Izmin.

'Ok that's Good. Nampaknya sebelum raya haji siaplah projek kita', kata PK sambil mendepakan tangannya tanda puas.

'Insya'allah ....', balas ahli serentak. Oi hebat tu, boleh serentak.

'Saya harap begitu, sebab kat kedai kopi tadi macam-macam hal orang cakap tak puas hati tentang KIDaS. Ini belum masuk soal kualiti pengajaran', kata Afandi.

'Ah, itu perkara biasa. Memula dulu pun bebudak nulis atas lantai', ujar Bendahari.

'Satu risiko kita sekarang cuma kalau MDKS kacau', PK mengingatkan kembali.

'Tn PK, kita kena lantik tukang cuci bagi memelihara kawasan kita. Nanti PS komplen', cadang S/U.

'Masa kerja 10.30pagi - 1.00th dan 5.30ptg - 7.00 mlm', cadang S/U lagi. 'Kalau pompuan kena yang dah monopaus, sebab nak masuk bersihkan karpet surau', disambut dengan ketawa ahli mesyuarat.

'OK, saya akan buat iklannya', kata Jamil.

Meeting pun berakhir jam 11.00 mlm. PK menerima SMS, 'Malaysia Kalah 4-1'. Ahli mesyuarat macam tak caya. Sekumpulan tenaga penting Al-HidayahBB pun tiba mengambil tempat. Meeting tergempar nak mencari ahli yang masih belum cukup 30. Ahli mesyuarat KIDaS beredar. Tentunya si PK boleh tidur selena-lenanya malam itu tanpa menghiraukan bed-matenya dan lebih penting tanpa takut lagi bertemu dengan PS.

Nota : Kisah ini dicoretkan pada 5 Januari 2005
PS = Pengerusi Surau Al-Hidayah
PK = Pengerusi AJK Pengurus KIDaS

PS vs PK

Jam tangan menunjukkan pukol 4.00 petang. Para ibubapa sekumpul di sana sekumpul di sini sedang asyik bertukar-tukar pandangan sambil anak-anak masing-masing mengikuti sesi persekolahan KIDaS di kawasan Surau Al-Hidayah. Sedang Sang Pengerusi Surau (PS) duduk berehat di bangsal Surau Al-Hidayah, sambil mengurut-urut janggutnya yang keperang-perangan, lalu datang Pengerusi KIDaS (PK) menghampirinya terhegeh-hegeh.

'Sedih aku melihat keadaan surau petang ini', keluh si PK.

'Apasal pulak ?', jawab si PS selamba.

'Kau tak nampak apa yang berlaku kat Surau sekarang ?', rasa naik marah si PK.

'Ya lah, anak-anak tengah semangat nak gi belajo di sekolah, tapi rupanya bukan sekolah, tapi surau. Menulis sambil duduk, terbongkok-bongkok. Nasib baik cukup kipas”

Relaks lah brader ...' ,jawab si PS selamba.

'Relaks kau kata, tak simpati ke ? ', terasa ringan tangan pulak si PK tapi dalam hati tertanya, bagaimana agaknya perasaan ibubapa mereka ?

'Patutnya kau dah anticipate benda ini akan berlaku dan cepat bertindak mencari jalan mengatasinya, sekarang dah terlambat beb. Kau punya AJK nie lembab sangat !!!', si PS mengeluarkan pendapatnya.

'Sekarang tengoklah apa yang sedang berlaku. Bayar ratusan yuran, ini ke hasilnya? Ini bukan tahun 1965 brader, ini tahun 2005 dan Ogos ini diistiharkan Selangor Negeri Maju'. Tambah si PS lagi.

Si PK tunduk sejenak, sambil mengangkatkan mukanya memandang ke arah surau. Seorang murid sedang berjalan menuju tandas untuk kencing barangkali. 'Ini tak boleh jadi ...', bentak di PK dalam hati.

'Lepas ini surau tentunya kotor, tandas pun sama. Sampah takyah cerita. Sesilap dinding surau penoh contengan. Masa kelas bebudak main kejar-kejar, guling-guling atas karpet...', ujar si PS lagi.

'Pening-pening ... habis tu nak buat lagu mana', si PK mulai resah.

'Kau bincanglah dengan kau punya AJK dan untuk sementara waktu ini kita buat MOU antara Pengerusi Surau dengan Pengerusi KIDaS', si PS mengemukakan cadangannya.

'MOU ? ...', si PK kehairanan.

'Apalak mangkuk sangat kau nie, biasalah ... Macamanalah kau boleh jadi Pengerusi KIDaS, baik aku yang ganti ajelah ...'. Kata PS.

'Ok .. OK ... apa isinya MOU tuh ?', tanya PK seperti takut kehilangan jawatan sebagai Pengerui KIDaS.

'Mulai Januari 2005, KIDaS kena bayar bil api dan air Surau Al-Hidayah', PS memulakan bicaranya.

'OK, selain tuh ... ?', si PK seperti menyetujuinya.

'Lagi, KIDaS kena sediakan atau upah tukang bersih karpet, kutip sampah sekitar, cuci tandas serta potong lalang surau ... Boleh ?', tambah si PS.

'Oiii mana nak cari orang cam ini ....', rungut si PK keresahan.

'Itu aku tak tahu, kalau tak nak, jangan guna suraulah'. ugut si PS.

'Timbang rasalah sikit', rayu si PK.

'Buat mari penimbang untuk aku timbang kau punya rasa tuh !!!', lawak si PS tapi serius.

'Ini aku nak kena bincang dengan AJK aku ni ....', keluh si PK sambit mengaru-garu kepalanya.

"Kau bincang juga, takkan selamanya nak terus tumpang di surau. Dahlah tumpang di SK kemudian di SM. Dasar penumpang tak tahu malu betollah kau ini', kata si PS.

Hati si PK mulai panas, jiwanya mulai nak memberontak dengan tempelaan si PS. Namun geloranya tidak setanding ombak tsunami yang baru melanda.

'Tu sebelah surau tu tanah lapang, kan boleh buat kelas. Daripada jadi tempat pembiakan ular ...', cadang si PS sambil menunjukkan tangan kepada tanah yang dikatakan direzabkan untuk Tadika Kemas.

'Kau mintalah tanah tuh ...'. tambah si PK.

'Tapi ... tapi .... ', PS kelihatan konpius.

'Tapi apa lagi, lembab betollah kau nie !! Harap aje setiap AJK KIDaS dapat sepasang baju kebangsaan free !!', bentak PS semakin berani.

'Tuan Pengerusi, tolong ... ada budak jatuh daripada wakaf ....', kedengaran jeritan daripada Yusri Putrajaya.

Orang ramai berlari mendapatkan budak berkenaan. Lututnya berdarah. Zul Perhebat berlari ke rumah mencari kotak 'First Aid Kit'. Suasana kecoh kejap. Alhamdulillah, berkat pengalaman 'Dr' Zul Perhebat, luka berkenaan dibalut elok.

'Kau tengok tu, patutnya KIDaS kena sediakan First Aid Kit tau !!', PK menganguk-anggukkan kepala mendengar kata-kata PS tu.

Kelihatan beberapa orang datang untuk solat 'asar. Melihat suasana dalam surau, mereka lantas keluar semula dan mungkin ke Surau An-Nur atau pulang ke rumah.

'Ini lagi satu masalah, camana orang nak solat Asar ?', bisik PS kepada PK.

Beberapa minit kemudian, ibubapa semakin ramai datang ke perkarangan serta di luar pagar surau untuk mengambil anak-anak pulang. Waktu menghampiri 5.30 petang dan kelihatan anak-anak mulai keluar daripada surau. PS dan PK memerhati suasana berkenaan daripada jauh. Suasana yang entah bila akan berakhir ....

Nota : Kisah ini dicoretkan pada 4 Januari 2005
PS = Pengerusi Surau Al-Hidayah
PK = Pengerusi AJK Pengurus KIDaS

50 Langkah Suami Mithali

Oleh Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari?

6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.

12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan Penampilan diri sendiri. Mana adil?

14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan perigatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.

16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera.

17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana ?

20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.

27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.

29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

31. Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.

32. Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.

33. Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.

34. Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?

35. Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.

36. Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.

37. Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.

38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.

39. Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.

40. Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

41. Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel untuk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.

42. Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.

43. Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.

44. Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.

45. Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, Pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.

46. Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.

47. Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

48. Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.

49. Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, Rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.

50. Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas, lakukan riadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.

Wallahu a’lam

Anak Cemerlang

Sebenarnya tiada suatu pun formula yang ideal dalam usaha membentuk anak-anak untuk menjadi orang yang cemerlang kerana setiap anak itu memiliki keistimewaannya yg tersendiri yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t.

Ada 4 tahap dalam mendidik anak-anak iaitu :

Dari bayi hingga ke usianya 7 tahun
Pada masa ini, anak hendaklah disayangi dengan sepenuh hati oleh ibubapa. dibelai dengan penuh kasih sayang, diajak bermain, bergurau dan seumpamanya dijaga seperti menatang minyak yang penuh. Natijahnya agar anak sentiasa sedar dan fikir bahawa ibu bapa adalah rujukan terbaik bagi mereka dalam semua hal yang mereka hadapi.

Dari usia 8 hingga 14 tahun
Dalam pada anak diasuh dengan penuh kasih sayang, anak mesti dididik dengan penuh disiplin dan diajarkan tentang pengagihan tanggungjawab tak kira di rumah atau pun di sekolah.

Dari usia 15 hingga 21 tahun
Ketika ini anak hendaklah didekati secara berkawan. Ibu bapa tidak lagi boleh marah-marah yang melampau pada anak kerana jiwa remaja mereka akan memberontak. Jangan sesekali mengherdik apalagi memukul anak-anak tersebut.

Dari usia 21 ke atas
Berikan kebebasan kepada anak dalam membuat keputusan sendiri atas apa yang ingin mereka kerjakan. Dalam pada itu, ibu bapa mesti sentiasa pantau, pesan, doa dan nasihat anak tersebut semoga hala tuju mereka betul.

Hasil dari rujukan kepada Al-Quran, As-Sunnah dan kajian-kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar dalam bidang ini, di bawah disenaraikan 21 kaedah terbaik dalam membentuk anak-anak kita menjadi orang yang cemerlang.

1. Mendidik anak dengan pesanan dan arahan setiap hari bersesuaian dengan tindak tanduk dan amalan yang ibu bapa inginkan. Jangan sesekali bosan dalam memberi pesanan kepada anak-anak. Menurut satu kajian, standard memberi pesanan dan arahan pada anak-anak pada setiap hari adalah sebanyak 200 kali. Barulah anak tersebut akan dapat dibentuk rutin kehidupannya mengikut apa yang ibu bapa mahu.

2. Banyakkan bercerita dengan anak-anak atas apa jua perkara yang baik-baik. Boleh mengambil iktibar dari Quran, kisah para rasul dan para sahabat. Malah ibu bapa pun boleh mereka cerita mereka sendiri. Yang pentingnya, ianya mestilah punya natijah yang boleh diteladani dan jangan sesekali bercerita tentang hal yang melalaikan.

3. Selalu bersoal jawab dengan anak-anak secara istiqamah (berterusan). Bertanya kepada anak tentang hal yang telah dilaluinya sepanjang hari dan apa pula yang telah dilakukannya. Dan bila anak bertanya pula, ambil kira setiap soalan yang diajukan dan sentiasa berusaha menjawab semua soalan tersebut secara hikmah.

4. Mendidik anak dengan merujuk kepada pengalaman yang telah lalu yang pernah dirasai oleh ibu bapa. Juga boleh mengambil iktibar dari pengalaman orang lain baik yang negatif mahupun positif. Ini akan lebih mudah menjelaskan mesej yang hendak disampaikan kepada anak-anak.

5. Mengasuh anak-anak melalui nasihat dan teguran . Nasihat dan teguran berlainan sedikit dengan pesanan dan arahan yang perlu dilakukan setiap hari. Nasihat dan teguran dibuat sesekali sahaja supaya anak tidak cepat bosan. Mungkin dalam seminggu sekali atau dua kali sahaja. Nasihat dan teguran adalah lebih menjurus kepada pembentukan:
• Aqidah anak-anak tersebut
• Ibadah dan amalan hariannya
• Akhlaknya
• Kerjasama di dalam dan di luar rumah
• Tanggungjawab yang perlu ada dalam dirinya
• Kesihatannya
• Sangka baik dalam diri
• Suci hatinya pada Maha Pencipta dan makhluk disekelilingnya

6. Banyakkan bermain dan bergurau dengan anak-anak dan sentiasa selitkan unsur-unsur nasihat yg bermanfaat di dalamnya.

7. Banyakkan memberikan latihan dan tugasan kepada anak-anak termasuklah dalam kerja-kerja di rumah. Tugasan diberikan mengikut usia, tahap kemampuannya dan bersesuaian dengan jantina anak itu. Kerja tersebut juga hendaklah diberikan mengikut waktu yang sesuai dan kena pada tempatnya. Sentiasa pantau kerja yang dilakukannya dan segera perbetulkan mana-mana kesalahan atau tabiat yang tak elok. Jangan kutuk anak kalau mereka buat salah dalam tugasannya dan jika memuji anak biar berpada-pada.

8. Amalan dan tindak tanduk ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anak.
• Ibu pada yang sederhana memberitahu anak-anak apa yang mereka perlu lakukan.
• Ibu bapa yang baik memberikan penjelasan tentang apa yang dia minta anak dia buat.
• Ibu bapa yang cemerlang memberikan contoh tentang sesuatu perkara yang diberitahu dan dijelaskan kepada anaknya.
• Manakala ibu bapa yang mithali, sentiasa menggerakkan anak-anaknya untuk menjadi manusia cemerlang.

9. Sentiasa memberikan galakan dan amaran pada anak-anak iaitu dorongan ke arah yang positif dan berikan hukuman bila anak buat kesalahan dengan hikmah. Menurut kajian pakar-pakar psikologi, galakan diberikan 80% dan 20% lagi untuk amaran. Galakan yang banyak akan jadikan anak-anak lebih ceria dan anak-anak yang ceria lebih menjurus ke arah individu yang cemerlang.

10. Lakukan suruhan dan gesaan pada anak-anak dengan tidak perlu berulang-ulang kali memberikan peringatan. Gesaan dilakukan pada anak dengan sekali arahan sahaja. Ibu bapa perlu ada tindak susul pada anak atas apa yang diminta lakukan. Jika ibu bapa perlu beritahu anak banyak kali dalam sesuatu hal pada sesuatu masa, ia ditakuti akan boleh menjadikan anak seorang yang degil

11. Ambil berat kebajikan anak-anak. Ibu bapa perlu tunaikan hak-hak anak yang sewajarnya. Ibu bapa mesti menyediakan keperluan yang munasabah untuk anak-anak yang mana anak tersebut layak terima dan sesuai dengan kemampuan ibu bapa tersebut.

12. Ibu bapa gunakan firasat dan gelombang minda dalam mendekati anak-anak. Tak perlu tunggu anak menceritakannya pada ibu bapa bila berdepan dengan sesuatu masalah. Praktikalnya amat penting terutama bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sensitif yang mudah tersentuh hatinya. Allah berikan kehebatan ini pada ibu terutamanya dalam menyelami hati budi seseorang anak. Gunakan juga kaedah ini untuk menasihati anak-anak pada sepanjang masa.

13. Menjana keyakinan dan kekentalan diri anak. Ulama dan ahli psikologi menyarankan bahawa antara perkara yang boleh dilakukan dan dilatih pada anak-anak termasuklah :
• ajar anak-anak menyimpan rahsia
• latih anak-anak berpuasa
• bentuk kemahiran sosial anak, contohnya dalam cara berkawan yang betul
• luaskan ruang lingkup pembacaannya supaya pengetahuan amnya hebat dengar pendapat anak
• ajarkan anak cara membuat keputusan yang baik dalam sesuatu hal memberikan pujian pada anak-anak berpada-pada
• ajar mereka cara berniaga

14. Kenalpasti kecenderungan dan minat anak-anak. Selain dari memerhatikan sendiri anak- anak tersebut, boleh juga bertanya kepada guru atau rakan tentang hobi anak-anak, mungkin ada yang ibu bapa terlepas pandang. Pupuk minat mereka supaya mereka selalu gembira kerana anak yang ceria mudah jadi orang yang cemerlang.

15. Pilih waktu yang sesuai dalam menasihati anak-anak . Waktunya termasuklah ketika :
• masa rehat dan bersantai dengan anak-anak
• beriadah atau berikreasi dengan anak-anak
• di dalam perjalanan
• anak hendak tidur, sedang tidur atau ketika baru bangun dari tidur
• selepas waktu mandi
• selepas solat bersama anak-anak
• selepas anak-anak membaca Al-Quran
• ibu bapa membaca Al-Quran, ditiupkan pada kepala anak dan dinasihatkannya

16. Ibu bapa hendaklah bertahap-tahap dalam mendidik anak-anak mengikut tahap intelektual dan usia anak-anak berkenaan. Didikan pada anak juga hendaklah singkat, padat, bermanfaat dan tidak membosankan.

17. Pastikan anak-anak mematuhi perintah Allah dan meneladani sunnah yang dibawa dan diajarkan oleh junjungan besar Rasulullah s.a.w. Ibu bapa sentiasa memperbaiki amal ibadah dalam keluarga selaras dengan tuntutan agama.

18. Isi waktu lapang anak-anak dengan perkara-perkara dan kegiatan-kegiatan yang berfaedah . Jauhkan sama sekali dari melakukan hal-hal yang melalaikan.

19. Beri ruang kepada anak-anak untuk berdialog dengan ibu bapa secara terbuka tetapi dalam keadaan dan situasi yang penuh hikmah.

20. Rangsang kecerdasan minda anak-anak dengan pemakanan yang seimbang. Pastikan :
• adanya diet yang betul dan vitamin tambahan yang bersesuaian.
• makanan adalah halal , bersih dan tiada unsur-unsur subahat.
• banyak beriadah/bersenam untuk menjaga tahap kecergasan badan
• ajar teknik belajar dan berfikir yang betul

21. Doakan mereka berterusan secara positif sampai bila-bila dari mereka kecil hingga ke akhir hayatnya. Ibu bapa perlu sentiasa ingat bahawa apa yang ibu bapa fikirkan dan cakapkan pada anak-anak adalah doa yang sangat mustajab

SOURCE : Haji Dato Dr. Mohd Fadzilah Kamsah

Langkah Bestari Suami Mithali

Oleh Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari ?

6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.

12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan, mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil ?

14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakkan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumahtangga terancam.

16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera

17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana ?

20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumahtangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumahtangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakkan kesilapan ini.

25. Suruh isteri mendirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sengsara serta berteraskan iman dan takwa.

27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka. Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.

29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

31. Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.

32. Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.

33. Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar, memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.

34. Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?

35. Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.

36. Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlah ilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.

37. Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.

38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.

39. Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.

40. Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

41. Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel unutk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.

42. Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melaui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.

43. Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.

44. Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.

45. Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.

46. Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah, suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.

47. Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

48. Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.

49. Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.

50. Urus stres dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas. Lakukan riadah, berdiet, hentikan merokok, bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.

21 Pedoman Buat Isteri

Artikel ini aku diterima menerusi sebaran e-mail. Semoga ada kebaikan daripadanya.

1. Terima Lelaki agar Dia Menerima Anda
Mungkin tiada perkataan yang lebih sesuai untuk menyatakan ini selain dari 'Terimalah lelaki sebagai sediakala". Terima dia sebagai lelaki. Yang penting untuk anda mengetahui ialah mengenai lelaki, bukan mengubah lelaki. Jika anda mahu mengubah personaliti lelaki yang menjadi kekasih anda atau suami anda, dia mungkin akan menjadi insan yang lain, yang mungkin tidak anda sukai, dan tidak menyukai anda.

2.Fahamilah Lelaki Agar Dia Memahami Anda
Cuba memahami perangai sedia ada pada seorang lelaki dan menyesuaikan perangai itu dengan diri anda, adalah lebih baik dari cuba mengubahnya dan beranggapan bahawa ianya tidak sesuai dengan anda. Asalkan perangai itu tidak bertentangan dengan kehendak agama dan kesopanan budaya. Dengan cara itu lelaki akan cuba memahami anda dan menyesuaikan dirinya dengan diri anda.

3.Berubah Untuk Menikmati Perubahan
Sekiranya anda mahu mengubah perangai lelaki, malah perangai sesiapa pun, anda tidak akan mampu berbuat demikian. Kerana insan itu sendirilah yang akan mengubah perangainya jika dia mahu. Anda cuma boleh memujuk dan mempengaruhinya agar berpihak kepada anda. Anda sendiri perlulah sanggup berubah kepada perangai yang lebih baik untuk membolehkan seseorang lelaki berubah memperbaiki dirinya.

4.Sanggup Memberi Untuk Menerima
Di atas segala-galanya, apa yang penting untuk anda lakukan ialah sanggup memberi lebih banyak dari yang anda sanggup terima dari seorang lelaki. Dengan itu, anda mungkin akan menerima lebih banyak dari yang sanggup anda beri.

5.Percaya Untuk Dipercayai
Sekiranya anda tidak mempercayai lelaki, janganlah anda harapkan lelaki itu percaya kepada anda. Hidup ini meminta pada yang ada, merajuk pada yang sayang. Untuk membuat orang lain percaya kepada anda bukanlah perkara mudah, bagi menyebabkan orang lain tidak percaya pada anda bukanlah payah. Apabila dia sudah tidak percayakan anda, amat sukar pula untuk dia mengubah pendiriannya.

6.Menangkan Lelaki Untuk Menang
Mengenal lelaki bukanlah untuk mengalahkan lelaki., kerana dalam kehidupan suami isteri, sepatutnya sama-sama menang dalam semua aspek kehidupan. Dalam satu perkahwinan ada dua kuasa, pertama kuasa suami, kedua kuasa isteri. Kuasa suami adalah memulakan dan meyuarakan. Kuasa isteri adalah sama ada bersetuju atau tidak. Sekiranya kedua-duanya menyalahgunakan kuasa, maka rumahtangga akan menjadi porak-peranda. dari itu rujuklah kepada agama untuk menghalusi apakah yang boleh dilakukan dan apakah yang dilarang.

7.Sifat Negatif Membuahkan Kesan Negatif
Ramai wanita yang mencabar dan celupar terhadap suaminya. Ramai juga yang bersifat pendesak, terlalu banyak meminta, merendah-rendahkan suaminya, membandingkan suaminya dengan lelaki lain, dan memaki hamun suaminya. Sekiranya anda bersifat sedemikian, walau bagaimana kenalpun anda kepada suami anda, anda bukanlah seorang wanita yang bijak. Andalah yang mungkin menjadi sebab mengapa suami anda merasa tertekan, tidak selesa, banyak berdiam diri, selalu masam muka dan sebagainya lagi yang tidak menyenangkan diri anda. Andalah yang patut berubah.

8.Bertanggungjawab Akan Menikmati Kesan Tanggungjawab
Sebenarnya tanggungjawab wanita terhadap suaminya tidak akan berubah walaupun dunia ini menjadi semakin maju. Begitulah juga tanggungjawab suami kepada isterinya. Selagi anda menjalankan tanggungjawab anda dengan sempurna sebagaimana yang digariskan olah agama, anda tidak perlu risau apa pun. Allah akan menempatkan anda dipihak yang benar, dan anda tidak akan rugi apa-apa.

9.Kritikan Akan Membuahkan Kritikan
Kritikan merbahaya kerana ia menjadikan lelaki itu defensif dan sedaya upaya ingin
mempertahankan dirinya. Ia bahaya kerana melukakan nilai diri lelaki., menjejaskan rasa kepentingan dirinya, dan menyebabkan dia rasa kecewa kepada anda dan mungkin akan mengkritik anda pula.

10.Beri Lelaki Apa Yang Dia Mahu
Dia akan melakukan apa sahaja untuk anda dan memberi apa yang anda mahu. Ada dua perkara besar yang dimahukan oelh manusia iaitu (1) Kehendak Seks dan (2) Kehendak untuk menjadi penting. Setiap orang dewasa mahukan kesihatan, makan, tidur, wang, kepuasan seks, anak-anak yang terjaga, rasa dipentingkan dan hidup yang bahagia dunia akhirat. Berilah lelaki apa yang dia mahu dan apa yang boleh anda berikan.

11.Tunjukkan Minat Tulen Terhadap Lelaki
Dia akan menunjukkan minat terhadap anda. Dengar apa yang ingin dikatakannya, walaupun ianya tentang dirinya sendiri atau mengenai kerjanya, ataupun kesukaannya. Lebih berminat anda padanya, maka lebih berminatlah dia kepada anda.

12. Senyuman Itu Tanda Kasih Yang Tidak Perlu Dibayar
Anda tidak perlu membayar apa-apa utnuk senyum pada lelaki yang anda kasihi. Dia akan senyum kembali pada anda. Betapa nikmatnya senyuman yang dilemparkan kepada anda itu, begitu jugalah nikmat yang dirasanya apabila anda senyum padanya. Senyuman menyebabkan lelaki suka pada anda.

13.Panggilah Lelaki Dengan Panggilan Manja
Sebagaimana anda mahukan lelaki memanggil anda dengan nama yang baik dan nada yang lembut, begitulah pula lelaki. Dia mahukan anda memanggilnya dengan lembut, merdu dan manja, sesuai dengan sifat anda sebagai wanita.

14.Hormati Dia Sebagai Lelaki
Dia akan menghormati anda sebagai wanita. Jika anda berusaha untuk memahami sikapnya dan bertolak-ansur dengannya, dia juga akan melakukan perkara yang sama terhadap anda. Wanita patut menghormati lelaki yang menjadi suaminya, dan memberi penghormatan tidak akan merendahkan kehormatan diri sendiri, malah menjadikan diri lebih terhormat.

15.Dengarlah Dengan Baik
Antara masalah besar dalam rumahtangga ialah apabila masing-masing suami isteri tidak mahu berbincang secara terbuka. Dengarlah dengan baik apa yang diperkatakan oleh lelaki, nescaya dia akan mendengar pula apa yang ingin anda katakan.

16.Bercakaplah Tentang Apa Yang Disukai Lelaki
Lelaki tidak suka mendengar celoteh wanita, mengenai hal-hal remeh-temeh yang biasanya diceritakan oleh wanita kepada wanita. Lebih baik bercakap perkara yang menjadikesukaannya dan berkaitan dengan minat anda untuk membantu kerjayanya atau membantu mempertingkatkan ekonomi rumahtangga.

17.Katakanlah Bahawa Dia Penting Dalam Hidup Anda
Dia akan menganggap anda penting dalam hidupnya. Antara kesilapan wanita ialah suka merendah-rendahkan suaminya, atau menganggap bahawa sekiranya perceraian berlaku, ramai lelaki yang lebih baik seikapnya dan sifatnya yang sanggup menjadi suami. Mungkin begitu jugalah suami anda berfikir mengenai anda.

18.Jangan Katakan Penyesalan Mengahwininya
Apabila anda menyatakan penyesalan mengahwini suami, suami anda akan menyesal mengahwini anda, walaupun dia tidak menyatakannya. Menyatakan penyesalan berkahwin menunjukkan pendeknya akal anda dan lemahnya anda dalam menghadapi dugaan hidup. Sepatutnya anda berusaha untuk merasa gembira mengahwini suami anda.

19. Elakkan Pergaduhan
Ada wanita yang menunggu-nunggu saat suaminya menegurnya atau menasihatkannya, kerana dia sudah sedia dengan peluru-peluru tohmah dan kejian serta airmatanya. Untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berkaitan rumahtangga, elakkan pergaduhan, dan janganlah anda pula yang memulakannya.

20.Jangan Menyalahkan, Minta Maaf Bila Bersalah
Sekiranya anda sukar meminta maaf atas kesalahan anda, dan sebaliknya amat suka mencari kesalahan lelaki, dia akan menganggap bahawa anda adalah seorang yang keras kepala dan keras hati, sukar dibentuk. Lebih buruk lagi dia mungkin merasa bahawa dia telah gagal membentuk diri anda sebagai isterinya, dan mungkin bersebab dari itu, dia cuba mencari jalan keluar.

21.Hidup Bukan Hanya Di Dunia
Banyak masalah timbul kerana manusia biasanya bertindak dengan akal yang sempit dan tindakannya berbentuk keduniaan. Kejayaan anda di akhirat adalah bergantung kepada betapa baiknya anda kepada suami anda dan betapa bereskah tanggungjawab anda terhadapnya.

Hargailah Isteri Anda ...

Mulianya seorang isteri disisi Allah ...
Dan betapa berharganya wanita yang bergelar isteri
ini pada keluarga, suami dan anak-anak
Rugi dan binasalah suami-suami yang tidak menghargai isteri
mereka kerana isteri inilah yang akan membantu mereka di akhirat kelak.
Biarlah buruk mana isteri anda, sayangilah mereka ...

Beruntungnya seorang wanita yang ada rahim ini ialah …
Dia bekerja dengan Tuhan... jadi 'kilang ' manusia.
Tiap-tiap bulan dia diberi cuti bergaji penuh...
7 sehingga 15 hari sebulan dia tak wajib sembahyang
tetapi Allah anggap diwaktu itu sembahyang terbaik darinya.
Cuti bersalin juga sehingga 60 hari …
Cuti ini bukan cuti suka hati …
Tapi cuti yang Allah beri sebab dia bekerja dengan Allah.
Orang lelaki tak ada cuti dari sembahyang …
sembahyang wajib baginya dari baligh sehingga habis nyawanya.

Satu lagi berita gembira untuk wanita,
Sepanjang dia mengandung,
Allah sentiasa mengampunkan dosanya,
Lahir saja bayi seluruh dosanya habis.
Inilah nikmat Tuhan beri kepada wanita,
jadi kenapa perlu takut nak beranak?

Marilah kita pegang kepada tali Allah.
Seandainya wanita itu mati sewaktu bersalin,
Itu dianggap mati syahid, Allah izinkan terus masuk Syurga.
Untuk orang kafir dia tak dapat masuk Syurga tapi
Allah beri kelonggaran siksa kubur.
Untuk peringatan semua wanita yang bersuami …
Seluruh kebaikan suaminya, semuanya isteri dapat pahala …
Tetapi dosa-dosa suami dia tak tanggung.

Diakhirat nanti seorang wanita solehah akan …
Terperanjat dengan pahala extra yang banyak dia terima
Diatas segala kebaikan suaminya yang tak disedari.
Contohnya bila dia redho suaminya pergi berjemaah di masjid
atau ke majlis ilmu, bersedekah ... ganjaran Allah keatasnya jua ...

Bila dia lihat suaminya tengah terhegeh-hegeh di titian Sirat
Dia tak nak masuk syurga tanpa suaminya,
Jadi dia pun memberi pahalanya kepada suami untuk lepas masuk syurga.
Di dunia lagi, kalau suami dalam kesusahan,
Isteri boleh bantu tambah lagi di akhirat.
Kalau seorang isteri asyik merungut,
Mulut selalu muncung terhadap suami,
Dia tak akan dapat pahala extra ini.

Manakala suami pula mempunyai tugas-tugas berat ...
Di dalam dan diluar rumah,
Segala dosa-dosa anak isteri yang tak dididik
Dia akan tanggung ditambah lagi dengan dosa-dosa yang lain ...
Dinasihatkan kepada semua wanita supaya faham akan syariat
Allah agar tidak derhaka denganNya.

Sesungguhnya wanita dijadikan daripada rusuk kiri lelaki.
Dia bukan dicipta dari kepala ke kaki,juga bukan dari tapak kaki.
Dia dicipta dari sebelah rusuk kiri lelaki
Supaya dia hampir kepada kamu ( lelaki),
lengan lelaki dicipta untuk mempertahankan wanita,
dekat dengan hati lelaki untuk disayangi.


Cilok dari : taman2syurga@yahoogroups.com

Kemesraan Rumahtangga Rasulullah s.a.w.

Ketika kita menempuh bahtera rumah tangga, ketika kita sedang menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya, kita dianjurkan untuk melihat kembali kecintaan kita kepada keluarga Nabi. Dalam memperkuat kecintaan kita kepada keluarga Nabi di dalam mengayuh bahtera keluarga, kita diwajibkan meneladani perilaku kehidupan keluarga Rasulullah, baik perilaku terhadap isteri mahupun anak.

Dalam menggauli dan memperlakukan isteri-isteri Baginda, Rasulullah s.a.w. senantiasa menghormati dan menjaga perasaan isteri-isterinya melebihi suami-suami yang lainnya. Satu saat ketika Rasulullah hendak melaksanakan solat malam, beliau dekati isterinya Aisyah sampai Aisyah berkata: Di tengah malam beliau mendekatiku dan ketika kulitnya bersentuhan dengan kulitku beliau berbisik, "Wahai Aisyah, izinkan aku untuk beribadah kepada Tuhanku."

Kita bayangkan betapa besar penghormatan Rasulullah kepada isterinya sampai ketika beliau hendak melakukan solat malam, beliau terlebih dahulu meminta izin kepada isterinya pada tengah malam, di saat isterinya memerlukannya. Pada izin Rasulullah itulah tergambar kecintaan dan penghormatan terhadap isterinya.

Nabi adalah sosok yang sangat sabar dalam memperlakukan isterinya. Hal ini terlihat ketika suatu hari ada salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirim kepada Rasulullah yang sedang tinggal di rumah Aisyah. Aisyah dengan sengaja menjatuhkan kiriman makanan itu hingga piringnya pecah dan makanannya jatuh berderai. Rasulullah hanya mengatakan, "Wahai Aisyah, kifaratnya adalah mengganti makanan itu dengan makanan yang sama."

Rasulullah mengecam suami-suami yang suka memukuli isteri-isterinya sampai Rasulullah berkata, "Aku hairan melihat suami-suami yang menyeksa isterinya padahal dia lebih patut disiksa oleh Allah SWT."

Nabi pun mengecam suami-suami yang menghinakan isteri-isterinya, tidak menghargainya, tidak mengajaknya bicara, dan tidak mempertimbangkan isterinya dalam mengambil keputusan. Nabi bersabda, "Tidak akan pernah memuliakan isteri kecuali lelaki yang mulia dan tidak akan pernah menghinakan isteri kecuali lelaki yang hina." Kerana itu marilah kita berusaha menjadi suami yang mulia yang menempatkan isteri pada tempat yang mulia.

Kemesraan pasangan adalah penting untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga dan Rasulullah s.a.w. telah mencontohkan kemesraan tersebut dengan isteri-isteri baginda.

Tidur dalam satu selimut bersama isteri
Dari Atha' bin Yasar: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.a. biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, "Mengapa engkau bangkit?" Jawab Aisyah, "kerana saya haid, wahai Rasulullah." Sabda Rasulullah, "Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali padaku." Aku pun masuk, lalu berselimut bersama beliau." (Hadis Riwayat Sa'id bin Manshur)

Memberi wangi-wangian pada aurat
Aisyah berkata, "sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri baginda meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah s.a.w. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Meminta isteri meminyaki badan
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, "Saya meminyaki badan Rasulullah s.a.w. pada hari Raya 'Aidil Adha' setelah beliau melakukan jumrah aqabah." (Hadis Riwayat Ibnu 'Asakir)

Mandi bersama isteri
Dari Aisyah r.a. beliau berkata, "Aku biasa mandi bersama Nabi s.a.w. menggunakan satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana tersebut)." (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)

Disikatkan oleh isteri
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, "Saya biasa menyikat rambut Rasulullah s.a.w, ketika itu saya sedang haid." (Hadis Riwayat Ahmad)

Minum bergantian pada tempat yang sama
Daripada Aisyah r.a., dia berkata: "Saya biasa minum dari cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda minum, kemudian saya mengambil cawan tersebut dan lalu menghirup isinya, kemudian Baginda mengambilnya dari saya, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya. " (Hadis Riwayat Abdurrazaq dan Said bin Manshur)

Membelai isteri
"Adalah Rasulullah s.a.w. tidaklah setiap hari melainkan beliau mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda, lalu Baginda bermalam ditempatnya. " (Hadis Riwayat Ahmad)

Mencium isteri
Dari Aisyah r.a, "bahawa Rasulullah s.a.w. biasa mencium isterinya setelah mengambil wuduk, kemudian Baginda bersembahyang dan tidak mengulangi wuduknya." (Hadis Riwayat Abdurrazaq)

Dari Hafshah, puteri Umar r.a., "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. biasa mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa." (Hadis Riwayat Ahmad).

Berbaring di pangkuan isteri
Dari Aisyah r.a., "Nabi s.a.w. biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran." (Hadis Riwayat Abdurrazaq)

Memanggil dengan panggilan mesra
Rasulullah s.a.w. biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang di sukainya seperti Aisy dan Umairah (pipi merah delima).

Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra
Nabi s.a.w. biasa memicit hidung Aisyah jika dia marah dan Baginda berkata, "Wahai Uwaisy, bacalah doa: Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan. " (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)

Membersihkan titisan darah haid isteri
Dari Aisyah r.a., dia berkata, "Aku pernah tidur bersama Rasulullah s.a.w. di atas satu tikar ketika aku sedang haid. Apabila darahku menitis di atas tikar itu, Baginda mencucinya pada bahagian yang terkena titisan darah dan baginda tidak berpindah dari tempat itu, kemudian beliau sembahyang di tempat itu pula, lalu Baginda berbaring kembali di sisiku. Apabila darahku menitis lagi di atas tikar itu, Baginda mencuci pada bahagian yang terkena titisan darah itu saja dan tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda pun sembahyang di atas tikar itu." (Hadis Riwayat Nasai)

Memberikan hadiah
Dari Ummu Kaltsum binti Abu Salamsh, ia berkata, "Ketika Nabi s.a.w. menikah dengan Ummu Salamah, Baginda bersabda kepadanya, 'Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu." Dia (Ummu Kaltsum) berkata, "Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yg disabdakan Rasulullah s.a.w. dan hadiah tersebut dikembalikan kepada Baginda, lalu Baginda memberikannya kepada masing-masing isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian tersebut Baginda berikan kepada Ummu Salamah." (Hadis Riwayat Ahmad)

Segera menemui isteri apabila tergoda
Dari Jabir, sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah melihat wanita, lalu Baginda masuk ke tempat kediaman Zainab, untuk melepaskan keinginan Baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda, "Wanita kalau menghadap, ia menghadap dalam rupa syaitan. Apabila seseorang di antara kamu melihat wanita yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya kerana pada diri isterinya ada hal yg sama dengan yang ada pada wanita itu." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Begitu indahnya kemesraan Rasulullah s.a.w. kepada para isteri Baginda, memberikan gambaran betapa Islam sangat mementingkan sikap kerana sikap dan perbuatan baik cara yang paling efektif menyatakan rasa cinta, kasih dan sayang antara suami dan isteri. Inilah teladan yg perlu dicontohi.

Berkhidmat pada isteri
Salah satu ibadah yang paling besar di dalam Islam adalah berkhidmat kepada isteri. Rasulullah bersabda, "Duduknya seorang lelaki dengan isterinya kemudian membahagiakan isterinya, pahalanya sama dengan orang yang itikaf di masjidku."
Kita dapat saksikan para jemaah haji ketika tinggal selama seminggu di sana mereka berusaha melakukan itikaf dengan sebaik-baiknya di masjid Nabawi. Kita akan memperoleh pahala yang sama seperti itikafnya para jamaah haji kalau kita duduk bersama isteri dan berusaha membahagiakan, memberikan ketenteraman dan keselesaan kepadanya.

Begitu pula bagi para isteri. Mereka haruslah menjadi seorang isteri seperti Khadijah Al-Kubra. Khadijah adalah sosok isteri yang sangat dicintai oleh suaminya. Selama Rasulullah menikah dengannya, Rasulullah tidak pernah memikirkan the other women beside her, wanita lain di samping Khadijah. Rasulullah hidup dalam suasana yang penuh dengan kecintaan dan kasih sayang.

Cinta kasih Nabi terhadap Khadijah tergambar dalam riwayat berikut ini: Setelah Khadijah meninggal dunia, Rasulullah menikah dengan Aisyah. Suatu hari Rasulullah sedang berada di depan rumah. Tiba-tiba Rasulullah meninggalkan Aisyah menuju kepada seorang perempuan. Rasulullah memanggilnya dan menyuruh perempuan itu duduk di hadapan-nya kemudian mengajaknya berbicara.

Aisyah bertanya, "Siapakah perempuan tua ini?" Rasulullah menjawab, "Inilah sahabat Khadijah dulu." Lalu Aisyah berkata, "Engkau sebut-sebut juga Khadijah padahal Allah telah menggantikannya dengan isteri yang lebih baik."

Ketika itu marahlah Nabi sampai bergoncang rambut di atas kepalanya. Lalu beliau berkata, "Demi Allah, tidak ada yang dapat menggantikan Khadijah. Dialah yang memberikan kepadaku kebahagiaan ketika orang menghinaku. Dialah yang menghiburku dalam penderitaan ketika semua orang membenciku. Dialah yang memberikan seluruh hartanya kepadaku ketika semua orang menahan pemberiannya. Dan dialah yang menganugerahkan kepadaku anak ketika isteri-isteri yang lain tidak memberikannya. " Mendengar itu Aisyah tidak dapat memberikan jawaban. Hadis ini diriwayatkan dalam Shahih Bukhari dan Muslim.

Dalam ucapan Rasulullah itu, selain terkandung kecintaan Rasul terhadap Khadijah, juga terkandung kebaktian Khadijah terhadap suaminya. Khadijahlah yang menghibur suaminya ketika dalam perjuangan dilanda berbagai penderitaan. Khadijahlah yang mengorbankan seluruh hartanya ketika suaminya memerlukan. Khadijahlah yang mendampingi suaminya dalam suka dan duka. Sehingga Rasul berkata, "Tidak ada seorang pun yang dapat menggantikan Khadijah."

Kepada para isteri, jadilah seperti Khadijah yang setiap saat rela mengorbankan apa pun demi kebahagiaan suami. Yang di saat-saat suami ditimpa duka dan kesusahan siap berdiri di sampingnya, memberikan hiburan dan kebahagiaan kepadanya dengan seluruh jiwa dan raga.

Kebaktian kepada suami di dalam Islam dianggap ibadah yang utama. Sampai Rasulullah bersabda, "Kalau seorang perempuan memberikan setitis minum kepada suaminya atau memindahkan barang dari rumahnya ke tempat yang lain untuk membahagiakan suaminya, maka pahalanya sama dengan melakukan ibadah satu tahun."

Oleh sebab itu, hormatilah suami. Berikan kepadanya penghormatan yang sepenuhnya dan berikanlah kecintaan yang sepenuhnya. Insya Allah, Tuhan akan berkati keluarga yang seperti demikian.

Sumber: internet -- http://bawangorengnet.blogspot.com