Menasyidkan Semula Nasyid ?

Malam 2 Ogos 2008, aku berkesempatan untuk menyaksikan sendiri Konsert Akademi Nasyid di Sri Pentas, Plaza Alam Sentral, Shah Alam secara 'live'. Bukan nak pergi sangat, tetapi anak-anak aku yang mengajaknya. Kebetulan yang di DQ dan UTP pun balik sama. Rupanya Konsert Akademi Nasyid ini telah masuk siri ke-7 yang disirakan di TV9 pada setiap hari Sabtu, jam 8.30 malam hingga 10.00 malam bermula 21 Jun 2008 lagi. Di rumah pun sebenarnya aku jarang menonton sebab bagiku, selain daripada pelbagai definasi, bagiku ”lagu nasyid mesti berkumpulan” dan kebanyakan peserta dalam Akademi Nasyid ini bertanding secara individu.



Apa yang dinamakan lagu or irama nasyid ? Menurut JAKIM, nasyid merupakan cabang seni yang bersendikan Islam, kerana ia mengandungi lirik yang merangkumi pesanan, ingatan, kisah para nabi, seruan dakwah Islamiah dan meniupkan semangat dalam proses pembangunan bangsa dan negara.

Maknanya selagi ada advice of ingatan atau mesej baik, dikira nasyid. Begitu ke ? Apa definisi nasyid bagi anda ? Kepada pakaian kah?? Berdasarkan kopiah ? Pada nama lagu atau kepada kandungannya ? Sekali aku tengok konsert Akademi Nasyid ni, aku rasa macam tak kena. Agaknya pesertanya jenis yang tidak berjaya nak masuk Akademik Fantasia, One In A Million atau Geng Starz, lantas memilih Akademik Nasyid bagi meneruskan ’cita-cita’ sebagai ’penyanyi’ dan nak jejaki cara Faisal ex-Miwarna untuk ’popular’.

Mungkin aku masih terbawa-bawa kepada irama nasyid convensional, yang dulu-dulu sebelum kehadiran Raihan. Lagu-lagu ’moden’ Rabbani dengan sentuhan KRU mencetuskan ’Nasyid Kontemporari’ sehingga ada lagu yang ’bukan nasyid’ yang dinyanyikan oleh "kumpulan nasyid" lalu jadi nampak macam nasyid. Umpamanya, kalau Kumpulan Nasyid menyanyikan lagu 'Air Pasang Dalam' dan 'Lompat Si Katak Lompat' di dalam albumnya sekali pun, mungkin si peminat ini akan akui itu juga lagu nasyid. Ustaz Asri Robbani yang kebetulan jadi ’Pengetua’ Akademi Nasyid musim pertama ini, perlu bertindak sesuatu.

Apakah benar, nasyid semakin hilang arah ? Lagu Kumpulan Nasyid yang popular sekarang kebanyakannya jenis jiwang-jiwang, mendayu-dayu dan seolah-olah hanya mengislamkan lagu-lagu cinta aje untu dinaikkan taraf sebagai lagu nasyid !! Malahan terdapat banyak lagu ’biasa’ yang lebih nasyid dari nasyid-nasyid kontemporari yang berlambak-lambak di pasaran pada hari ini. Mungkin rentak dan bunyinya tidaklah Islamik, tetapi liriknya adalah sangat baik dan mempunyai banyak nasihat dan tidak dikatakan lagu nasyid.

Ini baru kisah 'lagunya', belum ambik kira tentang penyanyi nasyid itu sendiri, sejauh mana mengamalkan apa yang dilaungkan serta lirik yang diucapkan. Ini sebenarnya satu lagi perkara penting bagi irama nasyid, iaitu imej ’islamik’ yang ditunjukkan. Apa perasaan anda sekiranya penyanyi Dayang Nurfaizah nyanyikan lagu 'Selimut Puteh', sedangkan Kumpulan Koptrasa yang banyak nyanyi lagu puisi serta ketuhanan, tidak pulak digelar kumpulan atau nyanyi lagu nasyid.

Yang penting sekarang ialah 'Menasyidkan Semula Nasyid' ... bagaimana ya ?