Maaflah sebab kali ini cilok hidup-hidup daripada e-mail yang aku terima. Jengok kat harakahdaily, dapat yang penohnya dalam dua siri. Anyway, isinya agak menarik untuk dishare bersama sebab bahasanya mudah difahami, berbanding kalau didengari sendiri dari pengamal undang-undang.
Harakahdaily | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Fri | Feb 20, 09 | 12:14:06 am MYT
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Hrkh) - "...ada pemimpin yang terajang pintu istana kerana tidak puas hati dengan baginda. Bukankah itu satu tindakan yang jauh lebih menderhaka lagi."
Beliau adalah antara ulama terkemuka yang masih berhubung rapat dengan Istana dan Raja-Raja Melayu, tetapi tetap dekat di hati rakyat. Justeru, Dato' Dr Haron Din dirasakan tokoh paling sesuai yang boleh mengupas situasi gawat di Perak terutama berkaitan hal yang digembar-gemburkan media, iaitu isu taat setia kepada kepimpinan dan masalah derhaka kepada Raja-Raja Melayu, dari perspektif agama. Ketua Pengarang Kumpulan Harakah AHMAD LUTFI OTHMAN dan Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN beserta jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH sempat mewawancara Timbalan Mursyidul Am PAS itu, di kediamannya di Bandar Baru Bangi, pagi 16 Februari lalu.
Istilah 'sembah derhaka' yang dilafazkan Dato' Ser Nizar ketika menghadap Sultan telah menimbulkan tanggapan negatif, terutama oleh pihak media, walaupun sudah dijelaskan oleh pakar perundangan juga pakar bahasa. Malah Dato' sendiri turut mengulasnya, tetapi Menteri Besar Perak itu tetap dilabel penderhaka hanya kerana istilah istana itu. Mohon Dato' jelaskan lebih lanjut maksud sebenar istilah 'sembah derhaka' itu.
Istilah 'sembah derhaka' bukan bermaksud perbuatan menderhaka tetapi sengaja pihak-pihak tertentu dan media arus perdana 'menangguk di air yang keruh'. Mereka telah mengungkit dan membesar-besarkan bahawa apabila Nizar 'sembah derhaka', seolah-olah ianya 'confrim' derhaka kepada raja.
'Sembah derhaka' bermaksud apa yang diminta oleh seorang Raja atau Sultan tidak dapat dipenuhi atau ditunaikan oleh seorang hamba rakyat, sama ada kecil atau yang besar. Justeru, seseorang rakyat akan menuturkan bahawa 'patik sembah derhaka'. Ia bukan bermaksud perbuatan menderhaka, melawan atau menyakiti raja.
Contoh terdekat, minggu lepas saya dititah untuk mengadap seorang Raja di Kuala Lumpur. Tetapi saya tidak dapat hadir kerana ada urusan lain, lalu saya terpaksa memaklumkan bahawasaya terpaksa 'sembah derhaka' dan meminta tarikh lain untuk bertemu.Maknanya, kehendak raja saya tidak boleh tunai. Adakah itu maksudnya saya derhaka?
Begitu juga apabila saya mahu dilantik untuk menjadi Mufti di sebuah negeri, dan waktu saya nak menolak saya sebut 'patik terpaksa sembah derhaka'. Dan bukan sekali saya, dalam konteks berurusan dengan Tuanku Raja-Rama Melayu, yang mana saya terpaksa 'sembah derhaka'. Ia suatu istilah bahasa istana.Dan tidak timbul soal kemurkaan raja kerana itu istilah yang lazim diguna pakai.
Tidak sepatutnya pihak-pihak tertentu memperalatkan istilah yang dipakai Nizar, 'sembah derhaka' sebagai perbuatan derhaka yang sebenarnya. Dari sudut bahasa, ia dilafazkan apabila apa yang diminta raja itu tidak boleh ditunaikan. Apabila diberikan sebab-sebab yang munasabah kepada raja maka ia bukanlah derhaka.Kalau itu dianggap derhaka, sebenarnya banyaklah perbuatan derhaka kepada raja, tetapi ia tidak pernah ditonjolkan.
Saya tidak mahu sebut kronologi yang jelas tentang perbuatan menderhaka dan menyakiti raja ini kerana tidak mahu terdedah kepada umum wujudnya pihak-pihak tertentu yang memang benarderhaka kepada raja sehingga menggambarkan wujud masalah antara istana dan pihak-pihak tertentu itu.
Ada menteri besar yang sepatutnya tiap minggu pada hari tertentu menghadap raja untuk memberi taklimat tentang perkembangan negeri, langsung tak datang. Ada yang raja yang minta wang rakyat digunakan untuk projek demi kepentingan rakyat, tetapi menteri besar membazir untuk projek mega yang memperkayakan kroni.
Ada raja yang suruh menteri besar hentikan projek tertentu kerana membazir, tetapi tidak diendahkan. Ada raja suruh bantu ekonomi orang Melayu, dengan menyalurkannya melalui projek tertentu, tetapi tetap diagihkan kepada kroni mereka.
Malah ada seorang raja yang memberitahu saya, ada pemimpin di negerinya yang terajang pintu istana kerana tidak puas hati dengan baginda. Bukankah itu satu tindakan yang jauh lebih menderhaka lagi.
HARAKAH: Insiden di Perak, terutama berkaitan kegagalan Menteri Besar, Dato' Seri Mohamamd Nizar Jamaluddin untuk mematuhi titah Sultan agar meletakkan jawatan disorot dari pelbagai sudut. Ada pihak merujuk kepada maksud surah an-Nisa ayat 59 yang bermaksud, "Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin di kalangan kamu," bagi menempelak tindakan Nizar yang dianggap melanggar tuntutan al-Quran itu. Minta Dato' jelaskan.
DR HARON DIN: Telah berlaku beberapa kali dalam peristiwa di Malaysia, PAS menggunakan ayat-ayat al-Quran itu sebagai suatu hujah untuk mengajak manusia mengikut perintah Allah sesuai dengan dasar PAS sendiri untuk merealisasikan hukum Allah SWT. Adapun Umno-BN menggunakan ayat ini dan ayat al-Quran yang lain hanya untuk kepentingan dan memberi keuntungan kepada mereka semata-mata.
Ayat al-Quran sememangnya boleh dijadikan sandaran hujah dan ianya ayat 'muhkam.' Namun kita nampak sangat bahawa mereka hanya guna yang di hujungnya sahaja iaitu 'pemimpin di kalangan kamu' tetapi tidak memberi perhatian kepada pangkal ayat iaitu 'Taatilah Allah dan taatilah Rasul", seolah-olah menggambarkan bahawa perintah Allah dan Rasul boleh dilanggar namun, jangan langgar arahan pemerintah.
Mereka sengaja tidak mahu melihat, istilah yang Allah guna, pertamanya kalimah 'taat' hanya kepada Allah. Kali kedua disebut 'taat' hanya pada Rasul dan kali yang ketiga tiada perkataan 'taat' kepada pemimpin. Diulang dua kali perkataan 'taat'. Kali ketiga bila menyebut perkataan pemimpin, tiada perkataan 'taat'.
Ahli-ahli tafsir menafsirkan ayat ini bahawa perintah Allah dan Rasul wajib ditaati secara mutlak, adapun taat kepada pemerintah adalah tidak secara mutlak. Maknanya, taat kepada pemimpin selama mana ia tidak bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul.
Untuk mentaati perintah Ulil Amri ataupun pemerintah, ada kaedahnya iaitu yang Nabi sebut,taatlah kepada pemerintah selagi ia tidak menderhaka kepada Allah SWT. Kalau ada derhaka kepada Allah maka perintah taat tadi gugur. Ada hadis bermaksud, tidak boleh taat pada mana-mana makhluk dalam melaksanakan kemaksiatan kepada Allah.
Dalam Islam, tiada orang yang maksum selain daripada Rasullulah. Pemerintah Islam iaitu Ulil Amri ataupun khalifah-khalifah, tidak maksum. Contohnya, Umar al-Khatab pernah dibawa ke mahkamah dalam beberapa kes. Hatta Saidina Ali Abi Talib pun pernah dibawa ke mahkamah semasa jadi khalifah. Mereka boleh terima keadaan begitu dengan berlapang dada tanpa timbulisu atau masalah derhaka kepada pemerintah atau khalifah.
Dalam satu kes, Ali pernah mendakwa baju besinya dicuri oleh seorang Yahudi. Dan Yahudi itumembawanya ke mahkamah untuk dibicarakan. Hakim bertanya Ali tentang bukti Yahudi itu mencuri, namun Ali gagal membawa bukti yang cukup dan mahkamah memutuskan bahawa baju besi itu kepunyaan Yahudi.
Ali kalah dalam perbicaraan tetapi tidak timbul masalah dengan seperti yang dibebankan hari ini. Oleh itu pengunaan ayat itu sepatutnya difahami secara menyeluruh. Bahawa yang tidak boleh dipersoalkan ialah ketaatan pada Allah dan Rasul. Adapun kepada mana-mana makhluk ianya tidak mutlak. Ada ketikanya boleh dan ada masanya tidak boleh. Bergantung kepada keadaan dan suasana ketika itu. Elok sangat jangan disalah-tafsirkan ayat itu sehingga memaknakan ia seolah-olah perintah yang dikeluarkan pemerintah selama-lamanya tidak boleh disanggah. Itu kefahaman yang silap.
Ia perlu diperbetulkan.Lagi satu, maksud "pemimpin di kalangan kamu". Perkataan "di kalangan kamu" membawa maksud "di kalangan orang-orang yang beriman yang taat pada Allah dan taat Rasul". Bukan setakat itu, dalam konteks di Perak ini, Nizar merujuk tindakannya adalah mengikut kehendak Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, iaitu Sultan tidak mempunyai kuasa memerintahkan ia meletakkan jawatan. Sultan hanya ada kuasa membenarkan permohonannya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri ataupun tidak.
Maknanya, selain tafsiran ayat Quran di atas, Nizar mempunyai hujah kukuh dari segi undang-undang yang berjalan hari ini?
Saya sendiri melihat senario politik Perak itu berbalik kepada kefahaman terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri. Kefahaman dan tafsiran yang berbeza boleh berlaku. Oleh yangdemikian kelainan tafsiran sepatutnya tidaklah sampai mengatakan ianya satu penderhakaan.
Tafsiran yang ada pada orang awam mungkin lain kepada tafsiran yang dibuat oleh pakar undang-undang. Tafsiran pengamal undang-undang juga mungkin lain seperti yang ditafsirkan oleh hakim-hakim di mahkamah. Semua ini kena ambil kira.
Kes Perak, saya sendiri faham bahawa seorang menteri besar yang dilantik secara sah mengikut amalan negeri, akan gugur jawatannya hanya melalui tiga sebab sahaja.Yang pertama, jika dia letak jawatan, kedua kalau Dun dibubarkan dan ketiga jika ada undi tidak percaya yang dikemukakan dalam sidang Dun. Itu saja tiga cara untuk memberhentikan seorang menteri besar. Jadi, tidak berlaku satu pun daripada tiga itu.
Dengan sendirinya, beliau masih lagi Menteri Besar yang sah.Tiba-tiba ada lantikan menteri besar yang kedua. Maka timbul persoalan, sahkah yang kedua itu, dalam keadaan Nizar masih lagi memegang jawatan? Ini memerlukan kepada keputusan yang perlu dibuat oleh pengamal undang-undang rasmi ataupun perintah mahkamah.
Ada kes seumpamanya iaitu kes 1966, membabitkan Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan, yang menyebabkan krisis tafsiran perlembangaan di negeri Sarawak. Undang-undang Tubuh Sarawak tidak jauh bezanya macam di Semenanjung seperti di Perak. Akhirnya kes itu sampai di Mahkamah Tinggi Borneo yang memutuskan perlembagaan negeri menyebut bahawa kehilangan kepercayaan seorang Ketua Menteri hanya boleh ditunjukkan melalui undang-undang, iaitu undi tidak percaya dalam dewan.
Oleh kerana ini tidak berlaku dalam Dun Sarawak, maka Kalong Ningkan terus menjadi Ketua Menteri. Tidak berlaku pula kata beliau melawan atau melanggar undang-undang.
Hal sama berlaku di Perak, jika mahu memberhentikan seorang menteri besar, sepatutnya undang-undang tubuh itu jadi penentu. Jika nak digugurkan, gugurkanlah dengan tiga cara itu tadi. Bagi saya, kenapa perlu Nizar letak jawatan sedangkan ketika itu masih ada 28 kerusi Pakatan, juga 28 kerusi BN dan tiga kerusi bebas. Mengapa dia mesti letak jawatan?
Adapun tiga Adun yang bebas itu, selama-lamanya bebas. Mereka boleh undi kekalkan atau singkirkan menteri besar. Yang penting, semua mesti dilakukan dengan undi tidak percaya. Kalau di luar dewan mengaku nak sokong BN, adakah pengakuan luar dewan dikira ada kesan undang-undang atau boleh diguna dari sudut undang-undang tubuh negeri?
Jadi wajar Dun dibubarkan dan kembali mandat pada rakyat. Rakyat yang pilih, biar rakyat yang menentukan semula. Nizar tidak meletakkan jawatan kerana dia memegang amanah rakyat,dia hendak kembalikan semula kepada rakyat. Itu tafsirannnya.Saya tidak nafikan Tuanku Sultan ada tafsirannya.
Jadi jika ada perselisihan tafsiran undang-undang, maka saya tidak fikir itu boleh dinamakan sebagai derhaka. Itu proses biasa dalam amalam demokrasi, telah berlaku di Malaysia dan mana-mana negara di dunia. Ini bukan kali pertama di Perak. Ini sepatutnya diselesaikan dengan cara paling baik iaitu, kembalikan kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan.
Atau kita berlapang dada dan bersabar sedikit, biar Mahkamah Tinggi memutuskan kesahihan perlantikan menteri besar kedua.
Dengan membawa isu ini ke mahkamah, sesetengah pihak melihat tindakan undang-undang itu boleh meletakkan kedudukan Raja-Raja Melayu terjejas dan menyebabkan institusi istana tercalar dari segi kemuliaan dan penghormatan rakyat. Apa pandangan Dato?
Dalam sejarah di Malaysia, sudah ada beberapa kes membabitkan raja yang dibawa ke mahkamah, maka ia bukan kali pertama berlaku. Ini pada saya tidak menjejaskan kemuliaan Raja-raja.Saya ingin menegaskan Raja-Raja Melayu perlu kekal pada takhta mereka. Rakyat perlu bersatu dan mengekalkan kedudukan mereka. Tetapi itu tidak bermakna secara mutlak ataupun dianggap peluang untuk melakukan apa saja oleh seorang raja.
Merujuk kes di Perak, tidak timbul terjejasnya institusi raja. Keputusan Sultan Perak dikira wajar bagi pihak sultan dan kewajaran Nizar juga ada dipihak rakyat. Kedua-duanya memikirkan kewajaran masing-masing. Ia proses biasa dalam sistem demokrasi berParlimen dan raja berperlembagaan.
Jika perlu, ia seharusnya diputuskan di mahkamah, tetapi pilihan lebih terbaik adalah bubarkan Dun, untuk diadakan pilihan raya seluruh negeri semula. Memang tidak terjejas institusi raja-raja kerana kita kembalikan hak kepada rakyat yang ikhlas mahu membuat pilihan pemimpin mereka sendiri. Kita perlu sangat menjaga raja-raja tetapi bukanlah sesuatu yang ganjil pada masa sama diadakan pilihan raya negeri.
Pada pendapat Dato', adakah Sultan Perak sendiri merasakan Nizar sudah menderhaka kepadanya?
Kebetulan ketika rancak isu yang dimainkan media kononnya Nizar derhaka kepada Sultan Perak, tiba-tiba saya terbaca dalam berita bahawa Nizar dijemput dan menghadiri Majlis Jubli Perak Sultan di istana. Kalau ini boleh difahami, maka jika benar Nizar derhaka pada Sultan, pada hemat saya sudah pastilah Sultan tidak akan jemput orang yang menderhaka kepada baginda.
Begitu juga Nizar, jika tiada jemputan pihak Sultan, tentu Nizar tidak akan pergi dan jika Nizar derhaka, sudah pasti dia tidak memenuhi jemputan itu atau tidak hadir di majlis Sultan.Amalan kita ialah kita tidak akan datang jika tidak dijemput dan dalam kes ini, jemputan mestilah atas perkenan Sultan. Kemudian Nizar datang dengan hati terbuka. Maka tidak benar sama sekali dakwaan Nizar derhaka kepada Tuanku.
Mufti Perak, Dato' Seri Harussani menyarankan agar taat kepada pemerintah dalam apa jua keadaan. Mungkin Dato' ada pandangan lain?
Saya mengikuti saranan beliau agar taat kepada pemerintah. Saya nak menyebut, saya amat menghormati dan menghargai seluruh mufti kerana mereka memegang amanah Allah SWT untuk mengajak manusia kepada yang benar, al-Haq. Sepanjang yang saya ikuti dalam konteks politik Malaysia, berlaku pertembungan antara parti-parti politik yang membabitkan banyak isu, misalnya krisis perlembagaan yang melibatkan Raja-Raja Melayu.
Maknanya, pertembungan Umno dengan seluruh Raja-Raja Melayu, termasuk krisis membuang imuniti dan kekebalan Raja-Raja. Ketika itu tidak pernah kita dengar ada sebarang komen daripada mana-mana mufti.
Seingat saya, mereka berpegang kepada neutraliti. Ini kerana Mufti kita ketahui selalu berpegang kepada prinsip 'non-partisan' dan tidak mahu terlibat dalam kancah politik. Bila berlaku krisis di Perak, Mufti membuat komentar yang baik namun orang ramai menafsirkan sebagai telah 'memihak' kepada Umno-BN.
Antara lain saranannya agar menyokong idea untuk tidak perlu bubar Dun dan akur sahaja dengan apa yang berlaku dan berserah kepada takdir, terimalah seadanya ...Komen seperti itu wajar disuarakan kerana itu pandangan peribadi bukan fatwa, tetapi apabila ia dilihat antara 'between the line', antara tersurat dan tersirat, ia amat jelas memihak dan menafikan hak satu pihak yang lain.
Dengan itu, ia mengundang tafsiran yang negatif terhadap mufti.
Ada pihak beranggapan tindakan Sultan Perak itu sebenarnya adalah untuk mengembalikan kuasa kepada orang Melayu di negeri berkenaan yang kononnya selama diperintah Pakatan Rakyat, Nizar hanya menjadi boneka kepada DAP. Jadi, menurut golongan ini, walaupun ada percanggahan dengan undang-undang tetapi Sultan lebih melihat kepentingan orang Melayu?
Keutamaan saya adalah jangan hanya kerana nak kembalikan kuasa Melayu, sampai kita boleh ditafsirkan sebagai 'perompak'. Jangan kita buat sesuatu yang tidak wajar. Ada cara yang betul. Ambillah kuasa itu balik dengn cara yang 'gentleman', dengan keputusan yang tidak boleh dipertikaikan. Yakni, kembalikan kepada rakyat dan masing-masing kempen semula untuk mempengaruhi rakyat.
Buka ruang untuk orang Melayu Perak kembalikan kuasa melalui proses pilihan raya. Itu yang sepatutnya. Tetapi, sekarang, selepas banyak hiruk-pikuk berlaku, barulah nak timbulkan bahawa keputusan istana nak kembalikan kuasa kepada orang Melayu. Itu berlaku ketika krisis, kenapa tidak timbulkan dari awal lagi. Dah huru hara, baru kata itu ini. Sebenarnya kuasa rakyatlah yang menentukan kuasa orang Melayu yang sebenarnya.
Bagaimana pula pandangan Dato' tentang tindakan lompat parti dan isu surat letak jawatan Adun yang dipertikai SPR sedangkan itu di bawah kuasa Speaker?
Dulu saya kata kenapa tidak saman SPR, sebab mereka yang menolak surat itu. Siapa yang berkuasa dalam sebuah negeri, SPR atau Speaker? SPR hanya mengendalikan pilihan raya selepas Speaker mengisytihar sesuatu kawasan itu kosong. Kalau silap keputusan orang akan saman Speaker dan bukan SPR?Tapi SPR menyalahi Sspeaker dan buat keputusan sebaliknya.
Sama juga dengan cek misalnya, tiada tulis tarikh tetapi sudah tulis jumlah RM1,000, dan diberi pada saya. Tiba-tiba dua tahun kemudian, saya teringat cek itu, saya terus tulis tarikh dan pergi bank. Dan semuanya nampak lengkap apabila ada tarikh, tanda tangan dan jumlah. Bank terus bagi duit. Ia tak pertikai dah. Ikut faktanya begitu.
Dalam Islam hendaklah seseorang itu mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui bersama selama ia tidak menghalalkan yang haram dan mengharamkan perkara yang halal oleh Allah SWT.
Masa letak calon, kemudian mereka menang, maka mereka bersetuju dengan menandatangani surat tanpa tarikh itu. Yakni jika belot dan atau berpaling tadah, pihak yang berkenaan berhak letak tarikh dan terus berhenti jadi wail rakyat. Itu dipersetujui bersama dan dalam Islam ia sah.
Kalau ia bertanding atas nama PAS, secara dasar ia tidak boleh lompat parti dan lari daripada perjuangan terutama kepada keadaan yang lebih buruk.
Ada pihak berhujah bahawa lompat parti itu sah dari segi hak asasi manusia, yakni kita bebas memilih parti mana yang kita sertai sebab kita wakil rakyat, bukannya wakil parti.
Sama sahaja, hak asasi yang boleh dilaksanakan adalah yang tidak melanggar hukum Allah, jika berlawanan maka ianya bukan hak asasi. Seseorang itu memegang jawatan yang merupakan amanah parti dan orang ramai. Macam tiga orang ini, mereka melanggar janji dengan rakyat, dam ia menyebabkan heboh dan gawat seluruh negara sehingga kuasa yang sah ada pada pemerintah dapat diganggu-gugat.
Disebabkan tiga orang inilah, mereka lebih bahaya kerana telah mengheret pertelingkahan derhaka antara rakyat dengan raja, dan rakyat dengan rakyat, seterusnya menimbulkan krisis Perlembagaan. Dan tindakan mereka ini sebenarnya mempunyai amat besar kesan buruknya jika dibanding dengan orang yang ditahan ISA sedangkan mereka tidak pernah melakukan kesalahan jenayah.
Luahan hati rakyat melalui perhimpunan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar memang mengejutkan dan tidak disangka-sangka, sampai ada rakyat mempertaruhkan nyawa sanggup berbaring di tengah jalan menghalang kenderaan istana termasuk Raja Muda untuk hadir majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru. Malah ada rakyat yang menjerit minta Dun dibubarkan di depan kerabat diraja.
Apa yang kita saksikan dengan mata kepala seperti demonstrasi, tunjuk perasaan dan fenomena yang berlaku, yang belum pernah terjadi sebelum ini, iaitu orang ramai tanpa disuruh, telah bertindak sendiri-sendiri sehingga membahayakan diri di jalan raya. Maknanya mereka sanggup mengorbankan diri dan ada yang dikatakan melontar objek tertentu.
Ini berkembangan yang lebih serius yang memberi isyarat kepada semua pihak khasnya istana dan pemerintah Malaysia umumnya bahawa perkara ini perlu diambil perhatian dan perlu dibendung. Jika tidak, ia akan menjadi lebih teruk.
Ia memberi isyarat, jangan lagi buat keputusan yang separuh matang, yang boleh mengundang kemarahan sehingga mencetus insiden rakyat tidak sabar lagi. Ini mesej penyataan atas rasa tidak senang rakyat terhadap istana.
Rakyat melakukan perkara yang begitu menggerunkan, yang boleh membahayakan diri, bagi menyatakan hasrat secara terang-terang kepada pihak atasan supaya suara mereka didengar dan diambil perhatian yang serius.
Ada pihak yang menohmah dalam isu ini, bahawa PAS sekiranya memerintah akan menjadikan Malaysia sebuah negara republik tanpa raja, seperti republik Islam di Iran yang menghapuskan sistem beraja?
Tohmahan seolah-olah pihak Pakatan Rakyat akan menubuhkan kerajaaan berstatuskan republik, ini fitnah yang amat besar yang dilakukan oleh lawan politik untuk menakutkan rakyat, mencemuh dan mendatangkan kemarahan kepada pihak istana tanpa ada bukti-bukti yang PAS akan lakukan.
PAS sejak dahulu sentiasa mempertahankan kuasa raja-raja. PAS sepanjang sejarahnya sejak tahun 1951, sampai hari ini, umumnya tidak pernah ada perjuangan PAS yang ada titik hitam hubungan dengan istana atau raja-raja. Perkara di Perak ini sebenarnya pun bukan titik hitam, ia digembar-gemburkan media milik Umno dan BN.
Bagaimanapun, jika dirujuk sejarah, maka ternyata banyak sungguh pihak Umno-BN yang melakukan penderhakaan dan bercita-cita ke arah itu dengan bukti bahawasanya kekebalan Raja-Raja telah dihapuskan oleh Umno-BN. Itu berlaku dalam krisis Perlembagaan 1993. Kuasa Raja-Raja negeri-negeri telah dilucutkan. Itu adalah satu usaha untuk buang kuasa Raja-Raja. Ini sebenarnya banyak berlaku. Seolah-olah merekalah yang berusaha untuk menyingkirkan kuasa Raja-Raja atau menghapuskan terus Raja-Raja. Ini yang Umno-BN telah lakukan.
Ini tidak berlaku dalam PAS. Hanya kes Nizar dengan Sultan Perak yang bukannya sebagai penderhakaan cuba diterjemahkan sampai dikatakan hasrat PAS jadikan Malaysia republik.Saya menafikannya dan ini adalah suatu taktik jahat kotor nak melaga-lagakan PAS dengan istana dan Raja-Raja Melayu.Kita balik semula kepada asas perbincangan.
Dari segi tradisi pemerintahan dalam Islam, apakah amalan institusi raja sebenarnya tidak bercanggah dengan ajaran Islam?
Dalam pemerintahan Islam, ketua pemerintahan ada beberapa istilah, kalau zaman Nabi, ketua negara kita kita panggil Rasullullah, selepas wafat Nabi dipanggil khalifah, selepas naik Umar, dipanggil Amir Mukminin, selepas Uthman dan Ali dikenali balik sebagai khalifah. Selepas itu timbul pula pemerintahan beraja dipanggil al-Malik.Sebelum Nabi Muhammad, Nabi Sulaiman itu adalah Raja. Puteri Balqis, Raja negeri Saba' mengakui Sulaiman sebagai Raja.
Jadi itu tak jadi masalah, dalam Islam sama ada dia Khalifah, Amir, Malik atau apa sahaja. Semuanya tetap patuh kepada perintah Allah dan Rasul dan amat menghormati institusi ulama dalam serba keadaan. Kita ambil dari satu dekri ucapan Khalifah Abu Bakar, sebagai pemerintah Islam dalam ucapan sulungnya menjadi Khalifah pertama:
"Andanya kamu melihat saya memerintah dengan betul dan benar, wajib kamu membantu dan menyokong saya. Sekiranya saya menyeleweng dengan hukum Allah, maka gugurlah ketaatan kamu kepada saya, perbetulkanlah saya. tegurlah saya."
Naik Umar pula jadi pemerintah, ucapan sulungnya hampir menyamai Abu Bakar tetapi lebih keras lagi. Sebaik habis ucapan Umar, bangun seorang sahabat dengan menghunus pedangnya seraya berkata, "wahai Umar, jika kamu menyeleweng, kami perbetulkan kamu dengan pedang kami ini."Umar tidak murka.
Orang itu tidak dikatakan derhaka malah Umar menyebut, "Saya memuji Allah yang mengutuskan ada di kalangan rakyat Umar orang yang sanggup memperbetulkan Umar jika dia salah dengan pedangnya. Itulah karektor yang patut wujud pada seorang pemerintah, sama ada raja, sultan, perdana menteri dan ketua negara, yang semuanya tidak terlepas dari hukum Allah.
Harapan Dato; kepada situasi di Perak?
Saya melihat, ia menjadi seperti mana perkara kecil yang sengaja diperbesarkan. Media bertindak 'over-killing', melakukan tindakan yang melampau lebih daripada yang patut sehingga berlaku demonstrasi di luar Perak. Akhirnya jika berlaku yang tidak baik, yang ruginya adalah rakyat.
Nizar dihalau daripada pejabat dan dapat simpati ramai. Kasihan dia jadi target. Kenapa halau dia dan kenapa kata kita gila kuasa dan jawatan sedangkan kuasa dan jawatan sudah ada pada kita? Yang gila kuasa itu Umno-BN bukannya kita, tapi dia gunakan terbalik.
Harapan saya, perkara sebegini jika cepat diselesaikan maka redalah masalah dan selesailah krisis. Jika dibiarkan, sengaja dilambatkan atau ditambahkan, keadaan akan jadi lebih meruncing. Cara mempercepatkan cara penyelesaiannya, perlu ada keberanian daripada pihak yang berkenaan untuk membuat keputusan segera yang menguntungkan semua pihak, 'win-win situation.'
Atau meminta mahkamah buat ketetapan kes ini atau rundingan yang lebih berwibawa agar tidak mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.Yang penting, jangan biarkan lebih lama. Dalam politik kita pakai istilah, tiada kawan yang selama-lamanya kawan dan tiada musuh yang selama-lamanya musuh.
Musuh hari ini, mungkin jadi kawan atau kawan hari ini jadi musuh esok hari. Maka musuh yang hari ini kita berunding dengan cara baik, esok boleh jadi kawan. Jika ikhlas, bincang cara yang betul, akan dapat hasil terbaik.