Perjalanan Haji - Suasana Al-Quran & Sumbangan Korperat

Hari 34 ( Isnin 23 Nov / 6 Zulhijjah )

Awal pagi seperti biasa ke MH berjalan kaki. Kelihatan ramai orang tidur di luar pagar hadapan MH. Aku tak pasti sama ada berehat selepas penat melaksanakan umrah, atau tidak balik ke rumah penginapan masing-masing atau memang tidak ada penginapan di mana-mana.


Awal pagi ini duduk sebelah dengan seorang pelajar Perubatan berusia 25 tahun yang kini berada dalam tahun akhir di salah sebuah universiti di Mesir. Terlupa pula nama universitinya, tetapi bukan Al-Azhar. Mereka mendapat cuti untuk melaksanakan haji. Bertuah sungguh, nampak rajin membaca al-Quran.

Sebelum masuk suboh, seorang wanita Indonesia yang berada dalam saf di belakangku diminta oleh Pegawai Masjid untuk beredar ke saf wanita dibelakang. Wanita tersebut nampak berdegil, lantas Pegawai Masjid bertindak menarik bagnya. Tetapi wanita itu masih berkeras sambil bertakbir ‘Allahu Akbar’ sambil memaut bagnya yang ditarik itu. Alahai, begitu sekali.

Masa Zuhor duduk sebelah jemaah KT77 yang baru seminggu sampai di Mekah. Katanya Pengarah JPJ Pahang tu ex-Boss dia. Manakala masa asar duduk sebelah seorang jemaah dari Patani. Beliau melahirkan kerisauannya mengenai jemaah wanita India yang sudahlah kaki tidak bersetokin, sering lalu lalang di hadapan jemaah lelaki. Mungkin maksudnya tidak selesa jika bersentuhan kulit atau kaki.

Suasana Al-Quran
Berbanding dengan Masjid Nabawi di Madinah, suasana di MH agak berlainan. Maksudnya tidak semeriah seperti di Masjid Nabawi orang membaca al-Quran. Mungkin kerana orang juga sibuk dengan umrah, tawaf sunat, menatap kaabah serta persekitaran di sini agak luas.

Tetapi aku dapat teruskan bacaan al-Quran seperti biasa. Sebelum Suboh, antara Asar dan Maghrib serta antara Maghrib dan Isyak adalah yang lazim aku peruntukkkan. Jika datang awal sebelum zuhor, sempat juga beberapa muka surat.


Khatam Kali Ke-4
Aku juga dapat mengekalkan kadar kelajuan bacaan al-Qur’anku. Selepas asar hari ini aku berjaya khatam untuk kali ke-4. Aku kira aku mampu khatamkan 30 juzuk dalam masa 8 atau 9 hari. Ada beberapa hari lagi sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Aku plan untuk habiskan bacaan sehingga khatam kali ke-5 sekembalinya dari MH nanti.

Namun ketika aku membaca Surau Al-Baqarah untuk kali ke-5 selepas Maghrib hari ini, tetiba orang sebelahku menegur akan bacaannku. Alamak, aku menghentikan bacaanku lantas mencari di mana kesilapan bacaanku. Lama juga baru jumpa dan akhirnya jumpa dan memang betul.

Selepas mengaji, ketika hampir masuk Isyak, aku berbual dengan orang yang menegurku tadi. Beliau seorang jurutera pertanian yang bertugas dengan kerajaan Sudan. Katanya beliau bukanlah hafidz 30 juzuk, hanya sebahagian tanpa maklumkan kepadaku berapa juzuk. Beliau katanya pernah ke Thailand dan Indonesia mengikuti kursus pertanian, tetapi belum pernah ke Malaysia. Kunjungan haji kali ini adalah kedua baginya. Kos mengerjakan haji dari sana adalah sekitar USD 2 – 3 K. Mahal juga kata hatiku sebab Sudan bukannya jauh sangat dari Arab Saudi.

Hari 35 ( Selasa 24 Nov / 7 Zulhijjah )

Aku merasa jemaah seperti berkurangan di MH. Jemaah Turki kurang kelihatan. Begitu juga dengan jemaah India dan Indon. Rupanya orang sebelahku yang berasal dari Perak menjelaskan bahawa jemaah Turki dan sebahagian India telah pergi ke Mina. Bagi mereka yang bermazhab hambali, berada di Mina sebelum wukuf adalah wajib, manakala bagi Imam Shafie sunat sahaja.

Namun disebabkan kesusahan yang bakal dialami, TH tidak laksanakan berada di Mina sebelum Wukuf di Arafah. Terasa tidak meriah pulak tiada jemaah Turki, sedangkan merekalah antara yang mencorakkan kemeriahan MH dengan pelbagai gelagatnya serta pakaian seragamnya.

Berkampung Depan MH
Orang semakin ramai tidur di luar pagar MH. Bergelimpangan manusia. Kulihat bukan lelaki, malahan turut sama wanita dengan keluargaya. Ada juga anak-anak kecik dan remaja ikut sekali. Maksudnya sekeluarga dan tidak semestinya jenis yang merempat. Ramai yang sudah berpakaian ihram. Maksudnya mungkin mereka mengerjakan haji Qiran, iaitu umrah dan haji serentak ataupun haji Ifrad, buat haji dahulu kemudian umrah.

Wah menarik nie, berkelah dan beradu di hadapan MH. Kenapa pihak MH atau kerajaan membenarkan keadaan ini ? Mungin mereka tidak mahu menghalang sebab memasing dengan keupayaan masing-masing.

Bag-bag pun pakai sangkut sahaja di pagar MH. Tapi kalau berduit pun, hotel masa ini tentunya sudah penoh semuanya di tempah sejak awal-awal lagi.

Sumbangan Korperat
Ketika pulang ke hotel, aku lihat orang ramai berbaris panjang untuk mendapatkan sekotak makanan sumbangan sebuah syarikat postal di Saudi Arabia. Aku pun turut sama beratur, sekadar nak turut serta merasai pengalaman begini di negeri orang. Tapi bagus kelihatan semua beratur elok-elok, tak adalah berebut macam orang kelaparan.

Tapi yang tidak sedapnya, sampah kotak bersepah selepas itu. Alamak, buanglah dalam tong sampah. Sampai di hotel, buka untuk dibuat sarapan. Roti dan air sahaja. Tapi aku rasanya reganya sekitar SR 4 – SR5 juga sekotak.

Sumbangan seperti ini sebenarnya dikatakan biasa kelihatan terutama menjelang hari wukuf. Pelbagai syarikat tampil dengan kaedah masing-masing, menyumbang kepada jemaah haji.

Malah selepas isyak semalam juga aku dapat sumbangan air jus dalam botol kecil daripada sebuah lori yang parking di tepi jalan ketika aku dalam perjalanan pulang menuju hotel. Semoga rezeki mereka bertambah.

Solat Asar Di Hotel
Memang menjadi kebiasaan yang aku tidur lepas zuhor. Tapi hari ini aku terlajak dan sedar-sedar lima mint hendak masuk asar. Lantas aku solat saja di hotel. Perkarangan lif menjadi tempat jemaah tingkat 15 berkumpul untuk solat jemaah asar. Ramai juga rupanya yang turut serta.

Aku rasa ini kali kedua aku solat di hotel. Yang pertama masa memula sampai ke hotel ini dari Mekah dulu.

Kemudian aku bersiap ke MH untuk solat maghrib. Nampaknya jalan sudah sesak. Mungkin kerana beberapa jalan berhampiran MH ditutup untuk lalu lintas. Kelihatan sebuah van stesen TV sedang membuat liputan di sekitar MH. Orang ramai yang berhampiran van berkenaan melambai-lambaikan tangan ke kamera, mungkin supaya dirakamkam dan orang kampung nampak mereka di kaca TV kot !!

SMS daripada Azrul
Terima SMS daripada Azrul, alhamdulillah. Solat Jumaat dibenarkan diteruskan di Surau Al-Hidayah. Aku rasa ramai yang lega dengan perkembangan ini. Aku percaya kepada tindakan AJK Surau Al-Hidayah yang begitu komited dalam memperjuangkan hal ini, walaupun pada saat Pengerusi dan Naibnya tiada. Terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus memperjuangkannya. Namun perlu diperkemaskan organisasi pelaksanaannya. Harap Hj Umar sahaja adalah berbahaya dan tidak adil baginya pulak.

Oh Ramainya Manusia
Walaupun pada mula terasa kurang jemaah dalam MH, tetapi diluar MH lain pula keadaannya. Suasana lepas isyak menunjukkan orang masih ramai di MH. Aku tak tahu sama da jemaah sudah mencapai jutaan ramainya. Walaupun mungkin ada jemaah yang telah bertolak ke Mina, namun yang baru sampai lebih ramai menggantikan mereka. Suasana yang sedang aku lihat sunguh menarik. Segenap ruang MH dipenuhi dengan manusia, khususnya ketika waktu solat.

Betapakah ketika ini Allah s.w.t begitu sibuk melayani doa dan permintaan hambanya di RumahNya. Sedang Allah telah berjanji, 'berdoalah nescaya aku perkenankan'. Kini mereka datang setelah beriman kepadaMu ya Allah, berdoa memohon sesuatu, memohon diperkenankan sebagaimana janji Allah. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjinya. Bertambah lagi di tanah suci.



Lepas makan malam dio hotel, aku keluar kejap nak cari cari bateri kamera sebagai backup. Orang ramai masih shooping, meriah macamlah esok nak raya. Pekedai pula seperti memberikan harga yanag menarik sambil minta pelanggan doalah rezeki yang baik dan meluas semasa di Arafah nanti.

Perjalanan Haji - Hotel Janadriyah & Buku Umrah

Hari 32 ( Sabtu 21 Nov / 4 Zulhijjah )

Awal 2.30pagi ke MH. Nampak mudah juga dapat saf depan Kaabah. Dua ruang kosong sempit disebelahku menyebabkan aku terhimpit oleh dua jemaah yang datang kemudiannya. Seorang dapat ruang dan kemudian duduk sahaja.

Manakala seorang lagi bersyukur dengan ruang yang diberi dan memanfaatkannya dengan pelbagai solat, zikir dan mengaji al-Qur’an. Kalau aku tahu patutnya aku beri sahaja ruang kepada yang rajin memanfaatkan ruang dan masa tu. Gambar di atas hanya sekadar hiasan, tidak kena mengena dengan cerita tadi.

Hotel Janadriyah
Hotel Janadriyah dimana aku tinggal juga merupakan Ibu Pejabat Tabung Haji di Mekah. Katanya hotel ini telah digunakan secara sewa oleh TH dan satu bangunan lain sedang dibangunkan, berdekatan dengan MH. Hotel Janadriyah ini dikatakan mampu menempatkan sehingga 7,000 jemaah.

Di sini juga disediakan kaunter Farmasi, Pejabat Maktab, Pejabat Kakitangan TH, surau, tempat pengeluaran duit TH serta tempat parking.

Bukan betul-betul surau, tetapi surau sementara yang berada di tingkat P sebab tanpa dinding. Patutnya pihak TH sediakan yang lebih proper, dengan sistem PAnya sekali untuk kemudahan mereka yang tidak larat atau tidak sempat ke MH atau masjid-masjid lain yang bersekitaran.

Selain kafetaria, pelbagai kemudahan hotel disediakan. Kedai-kedai lain dibuka dan bertambah dari semasa ke semasa. Ini termasuklah penghantaran barang ke Malaysia, dobi, aksesori telefon, pusat menalipon, kedai karpet, kedai buku dan biskut cokelat.

Untuk sediakan ruang makan dalam kafetaria bagi 7,000 jemaah memang sukar. Ramai yang juga menggunakan kerusi menunggu Farmasi yang terletak bersebelahan untuk makan bersama pasangan atau keluarga.

Tingkat bawah juga menempatkan Kaunter Khidmat Pelanggan yang menerima sebarang masalah, aduan kerosakan mengenai kemudahan yang disediakan di hotel.

Di sini juga diletakkan Sudut Loss and Faun. Tak pastilah sejauh mana bermanfaat sudut tersebut sebab aku lihat semakin bertambah barangan dalam sudut berkenaan, bukannya berkurangan.

Dari semasa ke semasa ruang sudut info memaparkan makluman serta beberapa persoalan di sekitar ibadah haji untuk peringatan seula kepada jemaah. Bagi yang perasan dan boleh membaca, maka bacalah. Tapi kebanyakkannya macam dicungkil semula daripada buku-buku panduan haji yang diedarkan oleh pihak TH sebelum ini.

Aku membelek-belek semula buku-buku yang disediakan oleh TH sambil kekadang berbincang dengan roomate persoalan mengenai ibadah Haji yang semakin hampir. Mungkin ibadah seperti tawaf, saie, bercukur serta tahallul yang seriang dilakukan tu kita buat semakan dan ulangkaji, kot ada yang kurang sempurna.

Hampir maghrib aku dan isteri naik bumbung MH. Sebab isteriku nak jumpa Ustazah Kak Wan Noriah di bumbung atas. Orang bukan main ramai di atas bumbung.

Lepas isyak aku dan isteri tunggu di suatu tempat yang dijanjikan untuk jumpa Ustazah Kak Wan Noriah. Namun agaknya memasing payah nak describe atau nak faham kat mana memasing berada, akhirnya tidak ketemu juga.

Hari 33 ( Ahad 22 Nov / 5 Zulhijjah )

Berdasarkan suasana sekarang, nampaknya sudah sukar nak buat umrah. Van sudah kurang. Lagipun TH sudah nasihatkan berehat menjelang ibadah di Masyair. Memang aku berhasrat nak pergi lagi, tetapi terpaksa ku tutup buku umrahku. Jemaah dari hotelku pun seperti sudah kurang untuk ke MH, ramai yang solat di hotel atau masjid berdekatan saja.

Hukum & Fadhilat Umrah
Berdasarkan hukum, sering dikatakan umrah adalah sunat sahaja. Namun berdasarkan maksud ayat ke-196, Surah Al-Baqarah, 'Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah', umrah juga diwajibkan sekali seumur hidup apabila memenuhi syarat.

Mengapa aku perlu buat banyak kali umrah sedangkan Rasulullah s.a.w pernah bersabda, 'Diantara satu umrah kepada satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya dan tidak ada balasan bagi haji yang mabrur ( diterima ) melainkan syurga' ( H.R Bukhari & Muslim ) Jadi jika buat sekali masa sampai Mekah dan sekali lagi masa nak haji, kira terhapus dosa antaranya, seperti rugi kalau buat hari-hari, penatkan badan saja ?

Namun bagiku, peluang berada di Mekah bukanlah suatu yang aku anggap mudah. Jadi apa salahnya aku gunakan peluang dan masa yang ada untuk melaksanakan umrah ini. Takkan hari-hari nak buat tawaf kedai aje, bengkrap la .. Lagipun sabda Rasulullah s.a.w lagi, 'Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Agung kepada Allah. Sekiranya mereka memohon doa kepadaNya nescaya Allah perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunanNya, nescaya Allah ampunkan mereka' ( H.R Nasai & Ibnu Majah ). Mana tahu semasa aku mengerjakan umrah-umrah tu, doa-doaku dimakbulkan Allah, keampunan Allah yang memang di cari-cari.

Gandaan Pahala 100K di MH atau Tanah Haram ?
TH sebelum ini sudah keluarkan kenyataan seolah-olah solat di hotel pun dapat pahala gandaan 100,000 kali kerana terletak dalam Tanah Haram. Namun aku tetap dengan rutin harianku ke MH seperti biasa pada awal pagi kerana aku merasa aku masih berdaya melaksanakannya. Sekurang-kurangnya dapat juga pahala melangkah ke MH. satu kebajikan yang dilakukan di Tanah Haram, digandakan 1,000 kali. Kiranya satu langkah ke MH, fadilatnya umpama 1,000 langkah.

Seperti ada kesan kenyataan yang dikeluarkan oleh TH yang agak mengejutkan dan boleh mencetuskan kontravesi ini. Memang pun kemudiannya ada yang membantah dengan menulis perkataan ‘bidaah’ di atas kenyataan tersebut. Balik Malaysia nanti aku nak buat kajian lanjut. Kalau gitu solat sorang-sorang dalam hotel ajelah ...

Potong Rambut
Melihatkan ramai orang yang botak kepala atau berambut pendek no 1 or 2, aku terasa seolah-olah betapa sombongnya aku sehingga malu atau enggan membotak atau potong rambut pendek. Sebenarnya beberapa hari sebelum berangkat, aku sudah potong pendek di Putrajaya. Lagipun kalau aku botak sekarang, nanti balik ofis sudah menyalahi peraturan. Aku punyai sebab tertentu mengapa tidak botakkan kepala.

Akhirnya aku ambil keputusan potong pendek rambut selepas sarapan pagi. Malangnya penggunting rambut tu tidak faham bahasa melayu or english. Aku tak mahu potong pendek sanagat, tapi dibelasahnya pendek giler !!! Sekejap aje dalam 15 minit = SR 10.

Memory Full
Lepas asar, aku banyak menghabiskan masa di atas bumbung MH sambil berehat. Kamera ku sudah memaparkan memory full. Mulalah aku browse gambar-gambar yang pernah akau ambil dan buang mana yang patut dan yang blur. Masa di Madinah jumpa juga Cyber Café ( CC ) yang membolehkan aku copy gambar ke pendrive yang aku bawa. Tapi tak jumpa langsung CC di Mekah nie. Aku kira hampir 2,000 keping gambar telah ku save dalam dua keping kad memori 2 GB kameraku. Ini tidak termasuk yang telah didelete.

Walaupun di larang, penggunaan kamera agak meluas juga di MH, tetapi kamera compact. Tak nampak yang DSLR panjang-panjang tu. Kamera handpone memang melambak.

Sekembalinya ke hotel selepas solat zuhor, ramai yang tercegat di hadapan TV. Ada dua TV, dua-dua memaparkan siaran yang sama. Rupanya satu perlawanan akhir badminton live antara pasangan Malaysia dengan pasangan entah mana.

Sesekali bising juga kedengaran dengan sorakan gembira serta nada hampa. Sebenarnya memang takde masa nak tengok TV walaupun yang disiarkan ialah TV1 & TV2. Dari mana dapat siaran ? Katanya dari parabola.