Nostalgia Majlis Makan Malam Amal Sajoha 2010

Pada 28 Mei 2010, aku menghadiri Majlis makan Malam Amal Sajoha ( MMMA ) 2010 yang diadakan di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur. Majlis ini sebenarnya diadakan bagi mengutip dana bagi Tabung Pendidikan & Kerohanian khususnya menaik taraf bangunan surau SMS Johor ( SMSJ ), Kluang bagi membolehkan ianya selesa digunakan oleh kira-kira 650 pelajarnya secara serentak. SMSJ adalah sekolah menengahku dahulu. Aku belajar di sana dari tahun 1976 hinggalah mengambil SPM pada tahun 1980. Kiranya aku group SMSJ Alumni 1980 atau SAJOHA80.

Ya, kekira 30 tahun aku telah meninggalkan SMSJ. Itu yang buat aku terpanggil untuk menyertai majis tersebut. Melihatkan bekas-bekas guruku yang bakal hadir, aku hadir terharu dan keinginan kuat untuk menemui semula guru yang telah berjasa kepadaku dahulu. Namun tidak semuanya dapat hadir pada malam yang dijanjikan itu.

Majlis bermula agak lewat, lantaran tetamu terhormat YB Datuk Hj Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri lewat tiba. YB merupakan junior ku 3 tahun. Rasanya masa tu beliau memang agak low profile seperti aku juga. Tetapinya kemudiannya dikenali ramai sehingga berjaya membawa pasukan SMSJ buat pertama kalinya berjaya ke Final Bahas Piala Perdana yang disiarkan live di TV pada tahun 1983. Lawan SMSJ di final tersebut ialah Kolej Islam Kelang ( KIK ) yang diketuai oleh Ustaz Idris Ahmad, bekas Naib Ketua Pemuda dan AJK PAS Pusat sekarang. Tapi SMSJ kalah kepada KIK.

Sementara menunggu ketibaan YB yang baru pulang dari New Zealand, pengacara Zainal Alam Kadir ( junior ku 2 tahun ) berceloteh dan membawa kisah-kisah kenangan silam. Since jarak masa beliau bersama ku dikira tidak jauh beza, aku agak bernasib baik sebab celotehnya berkisar dengan zamanku juga dan faham apa yang dicelotehkannya. Ini membawaku kembali mengingati nostalgia lamaku di SMSJ.

Antara guru yang hadir pada malam tersebut ialah bekas Pengetua zaman ku Cikgu Hamzah Rashid serta isterinya. Memang nampak telah berusia, tetapi masih steady. Sebelum ini pernah juga terserempak beliau, semasa beliau di Kementerian serta dalam satu mesyuarat surau-surau di Selangor suatu ketika dulu.

Aku benar-benar tidak ingat sama ada aku termasuk dalam kumpulan pelajar yang dirotan oleh Cikgu Hamzah lantaran membotakkan daun pokok-pokok kelapa di tepi padang sekolah untuk belajar menyanyam ketupat. Peristiwa ini diulas semula oleh Zainal Alam dan menarik perhatian ramai. Tapi sehingga kini aku kira aku pandai menganyam kelongsong ketupat hasil sekolah di SMSJ.

Keduanya Cikgu Abdul Rahman Karim, Ketua warden yang dianggap paling garang pada zamanku. Beliau yang juga guru pasukan hokiku tidak dapat mengingatiku walaupun telah ku cuba beri hint kepadanya. Selepas sekolah pernahku lihat beliau menjadi jurulatih pasukan hoki remaja kebangsaan pada awal 1900an. Beliau juga kelihatan masih segak dan steady lagi. Agaknya berapa umur beliau ketika ini ? Aku meninggalkan SMSJ sudah 30 tahun. Jika ketika itu umur beliau 35 tahun, maka kini 65 tahun !!!

Begitu juga dengan Cikgu Abdul Jalil dan Ustaz Ismail. Tapi aku tidak berkesempatan bertemu dengan Ustazah Salmiah yang turun dari Kota Bharu. Lagipun mejanya jauh dari mejaku. Aku juga baru tahu, Dr Robiah Kulub Hamzah pakar motivasi tu rupanya bekas guru SMSJ tahun 70an. Patutlah nampak dari jauh pada malam tersebut macam kenal aje. Dia ketika itu dia Warden Asrama Puteri dan ajar KRT, tak mengajar aku kot !!!

Selain daripada jamuan makan serta ucapan perasmian, majlis diselangselikan dengan persembahan oleh Kumpulan Alam yang dipimpin oleh Zainal Alam sendiri, persembahan spontan bekas pelajar selain pelajar-pelajar dan cabutan bertuah. Doa makan dibacakan oleh YB Datuk Haji Ahmad Mazlan sendiri. Rupanya dulu dia sering ditugaskan membaca doa di dewan makan !!!

Tapi persembahan pentas malam tersebut sedikit meragukan. Apakah sesuai dengan pengisian untuk mengisi dana surau khususnya penamapilan mereka yangmembuat persembahan ? Sejauh mana pula lagu-lagu bertemakan kerohanian dan universal yang disampaikan bersesuaian dengan tujuan majlis dan mood malam tersebut ? Mungkin para hadirin tidak kisah persembahan tersebut, sebaliknya sibuk berceloteh bertemu dengan rakan-rakan lama ...

Selain daripada itu, turut diadakan dua majlis pelancaran Koperasi SAJOHA yang baru diluluskan penubuhannya serta menandatangani Perjanjian Persefahaman Pengantarabangsaan SMSJ dengan Universiti Tun Hussain On Malaysia ( UTHM ). Dikatakan perjanjian persefahaman ini adalah sebagai satu hasrat dalam memenuhi impian pihak sekolah sebagai salah satu syarat untuk dijadikan sekolah kluster pada masa akan datang.

Pengerusi Projek MMMA, Pn Noryn kemudiannya mengumumkan jumlah kutipan berserta sumbangan daripada pihak kerajaan melalui YB Datuk Ahmad Maslan menerusi peruntukan ICU Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM 100K. Jumlah keseluruhan setelah ditolak kos penganjuran MMMA berjumlah sebanyak RM 328, 783 ( termasuk yang dijanjikan untuk diberikan sumbangan ). Ok jugak. Aku lantas teringatkan kalau nak buat untuk Dana KIDaS ( Pembinaan KAFA Darul Syahadah ) seperti mana yang pernah diimpikan dahulu ( katakan tiada yang RM100K daripada kerajaan ) boleh dapat ke ?


Melihat penganjuran ini, agaknya kalau dibuat dua tahun sekali pun OK. Disamping dapat jumpa kengkawan dapat juga cikgu-cikgu lama kita. Mungkin juga ada antara cikgu-cikgu pun hendak bertemu muka mana yang terpisah jauh. Kalau buat di KL, senang sikit sebab di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.

Tetapi kalangan SAJOHA80 ramai yang selalu berjumpa dan berhubungan menerusi eGroup dan Facebook, hanya beberapa sahaja pada malam tersebut. Ramai yang datang lelaki sahaja, maklumlah yang pompuan dah jadi isteri payah sikit nak keluar malam ini. Tetapi dapat jumpa beberapa senior dan junior yang masih dikenali, bertanya khabar dan kenangan best juga.

Junior setahunku yang ku kira rapat juga dahulu sebab sepatrol dalam Pengakap, Salehuddin Hassan rupanya kini jadi YDP Majlis Perbandaran Baru Pahat. Katanya teruk kerja, tension !!! Ada yang berkahwin dikalangan SAJOHA, malah anak pun sekarang belajar di SMSJ. Ada juga yang tiga beradik di SMSJ tetapi tidak pernah bersekali, maksudnya abang keluar adik masuk.

Kalangan sedara maraku juga ada yang masuk SMSJ, tapi tidak nampak malam tersebut. Atau aku yanga tak kenal mereka dan sebaliknya ... ha ! ha ! Jauh di Johor kot. Tetapi yang terharunya, apabila disebut beberapa kali nama arwah Cikgu Azman yang menjadi sedara rapat denganku lantaran berkahwin dengan mak sedaraku.

Mungkin kerana 3 orang daripada AJK Alumni SAJOHA kini sama batchku dan dua tiga orang lagi dekat-dekat dengan batchku, kebanyakkan gambar adalah yang dipaparkan dalam persembahan multimedia yang disediakan merupakan yang berkaitan dengan batchku. Apakah kerana ketika itu Kelab Fotografi begitu aktif ? Atau itulah masa memula gambar foto dijual kepada para pelajar sedangkan beberapa tahun kebelakangan ini memasing guna kamera digital, snap but simpan sendiri sahaja.

Berbanding dengan sekolah berasrama penoh cluster atau premier lain, mungkin SMSJ tidak sehebat mereka. Namun diperingkat kebangsaan, ku kira bekas pelajar SMSJ tidak kurang juga memberikan peranannya walaupun asalnya dari aliran sains. Mungkin ramai lagi dan perkara ini patut didokumentasikan oleh pihak SAJOHA.

Antaranya

a. Prof. Dr. Ghizan Saleh (UPM) yang baru menduduki Majlis Professor Negara sebagai Ketua Kluster Pertanian dan Keselamatan Makanan,

b. Prof Dr Musa Ahmad Timbalan Naib Canselor ( Akademik & Antarabangsa ) USIM.

c. Regunath Kasavan, Presiden Majlis Peguam Negara.

Apabila Judi Sukan Dihalalkan ...

Ketika demam bola sepak Piala Dunia 2010 mula melanda, sedang pasukan Piala Thomas Malaysia bertarung dan berjuang berhempas pulas, kita dikejutkan dengan pengumuman satu lagi Judi Sukan dilulus dan di’halalkan’. Ini agak mendukacitakan dan aku kira mencemarkan imej Negara Islam Malaysiaku. Bantahan daripada rakyat mula disuarakan menerusi pelbagai saluran seperti demontrasi dan luahan di media massa, walaupun liputan dan masih dalam saluran terhad. Rakyat nampaknya tidak dapat menerima satu ‘produk halal’ yang bakal muncul bukan sahaja ‘memeriahkan’ lagi temasya sukan empat tahun sekali itu, tetapi akan berterusan untuk sukan-sukan lain selepas ini seperti EPL.

Apa yang menariknya dalam melihat bantahan tersebut ialah penglibatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Pusat , Dr Lee Boon Chye dan lain-lain pimpinan PKR yang bukan beragama Islam dalam melahirkan bantahan di perkarangan Masjid Negeri Ipoh Perak, Ipoh selepas solat Jumaat 21 Mei lalu. Media massa perdana tidak banyak sentuh tentang bantahan ini, sebalik mempersoalkan keikhlasan mereka kenapa tidak bantah judi serta premis sedia ada yang menjalankan kegiatan judi sekarang ?

Pada ketika ini, aku tertanya-tanya juga, di manakah orang yang pernah bangkit kononnya membela agama dan bangsa membantah penggunaan kalimah Allah olah akhbar The Herald dalam penerbitannya ? Ketika itu, bantahan ramai saban hari mendapat liputan media massa. Ke lain sangat isunya dan tidak berkaitan langsung ? Judi diharamkan dalam Islam dan yang suka berjudi kebanyakkannya orang Cina. Jadi tidak perlu risaukan sangat, biar orang Cina yang akan rosak moral dan menanggung akibat ketagihan judi ? Umat Islam Melayu tidak tergugat dengan lesen judi yang baru diluluskan ?

Pada 11 Mei lalu, Kementerian Kewangan secara rasminya meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 mulai Jun ini kepada Kumpulan Berjaya. Sehubungan itu, pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bola sepak Piala Dunia itu bermula nanti di lebih 2,000 premis judi sedia ada yang juga dimilikki oleh kumpulan syarikat itu.

Dikatakan sebenarnya tiada kelulusan lesen judi baru termasuk untuk pertaruhan kejohanan Bola Sepak Piala Dunia kali ini. Menurut sumber Kementerian Kewangan, lesen tersebut ialah lesen yang diluluskan sejak 1987 lagi kepada Ascot Sports Sdn Bhd ( ASCOT ). Lesen tersebut dikembalikan kepada kerajaan pada 1990 dan Ascort akan diberi hak menjadi syarikat pertama mendapatkannya semula jika perlu. Pada tahun 2003, ASCOT mendapat kembali lesennya tetapi tidak menggunakannya sehinggalah dikatakan akan beroperasi untuk kejohanan Piala Dunia akan datang.

ASCOT adalah milik korporat judi terkaya di Malaysia, Tan Sri Vincent Tan yang sekarang memiliki modal saham berbayar RM80 juta dengan nilai harga jualan RM9.37 sesaham. Berjaya Corp Bhd ( Berjaya ) telah mendapat lesen pertaruhan bagi kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010, dikatakan bakal memiliki syarikat pertaruhan sukan berlesen pertama di Malaysia apabila menguasai 70 peratus kepentingan dalam ASCOT dengan harga tunai RM525 juta.

Betting adalah Pertaruhan
Bagaimana agaknya judi pertaruhan ini dilakukan ? Betting bermaksud pertaruhan. Asas pertaruhan adalah wang yang dipertaruhkan untuk mendapat sejumlah wang sebagai untung. Keuntungan akan diraih apabila fakta pertaruhan itu berasaskan ramalan bersifat nasib bertukar menjadi realiti. Pihak yang kalah akan mendapat nilai pulangan kosong dan pihak yang menang pula akan mengaut sejumlah wang yang dipertaruhkan oleh pihak yang kalah. Ini yang biasa difahami. Tapi bertaruh dengan penganjur atau sesama orang lain ?

Menurut sumber CIMB Research (New Straits Times, 14 Mei 2010, hal. 13), bentuk betting boleh dilakukan dalam dua cara, iaitu melalui kaunter jualan atau secara telefon. Melalui kaunter boleh dibuat dengan bayaran minimum RM5 dan melalui telefon dengan bayaran minimum RM20.

Mengawal Untuk Membendung ?
Pemberian lesen judi ini dikatakan untuk mengawal dan memantau kegiatan ini, kerana kegiatan pasaran pertaruhan haram di Malaysia dikatakan mampu mencecah taruhan berpuloh billion setahun. Kawal dan pantau macamana ? Memang ‘lumayan’, tetapi sejauh mana cukai dapat dikutip oleh kerajaan daripada industri baru ini ?

Walau apapun alasan, satu judi baru mula beroperasi Jun 2010 ini. Judi tersebut dibenarkan bagi mengelakkan judi haram yang berleluasa. Jika atas alasan tersebut, apakah lepas ini kegiatan seperti pelacuran akan dihalal dan dilesenkan juga bagi mengawal kegiatan haram yang sedang berlaku ? Tetapi apakah pula jaminan setelah dilesenkan, apakah kegiatan sindiket perjudian tanpa lesen dapat dibendung dan tidak lagi diteruskan ?

Bayangkan juga jika dengan alasan untuk mengawal setelah tidak berupaya membendungnya, lepas ini mencuri, merompak, merempit, buang bayi, membunuh, murtad dan sebagainya, semua ini boleh dibolehkan ? Harapnya alasan tidak masuk akal ini tidak benar-benar dijadikan alasan.

Kelulusan Premis Judi - Hak PBT
Memang benar, lesen judi dikeluarkan oleh peringkat pusat iaitu Kementerian Kewangan. Namun premis judi tertakluk kepada kelulusan yang dikeluarkan oleh peringkat negeri melalui Pihak Berkuasa tempatan ( PBT ) seperti Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah. Dalam hal ini aku tertarik dengan tindakan Negeri Kelantan dalam mengharamkan premis judi. Kini tiada premis judi di sana.

Aku rasa di Terengganu pun masih diharamkan ketika PAS memerintah kekira 10 tahun lalu. Pengharaman judi secara undang-undang hanya terlaksana apabila Terengganu diperintah PAS (1999-2004). Itu pun dengan serba kepayahan lantaran suatu tabiat yang telah bersarang dalam masyarakat sejak sekian lama. Menghapuskannya bukanlah tugas yang mudah, sedangkan itu di negeri majoritinya Melayu Islam.

Tuan Guru MB Besar Kelantan ketika ditanya akan kerugian atau kekurangan hasil daripada pungutan cukai akibat pengharaman premis judi di Kelantan, beliau menjawab tidak mengapa asalkan jumlah sedikit yang kerajaan negeri perolehi tu berkat.

Keadaan ini sepatunya dicontohi oleh negeri-negeri lain sekiranya turut membantah penghalalan judi sukan yang baru ini, khususnya PAS yang juga memerintah Kedah atau berkongsi memerintah negeri lain, bagi membuktikan keikhlasan dan kesungguhan dalam menentang judi serta kemungkaran lain. Tidak dapat memerintah dan melaksanakan Islam keseluruhannya serta melaksanakan pengharaman judi secara total, buatlah setakat mana kuasa yang ada.

Teruskan Mood Penentangan
Setakat kenakan larangan untuk umat Islam berjudi atau berada di premis perjudian mungkin belum cukup kuat lagi. Sebelum ini pernah dengar dalam media masa gesaan daripada Pemuda PAS Selangor, antaranya mengenai pengharaman premis judi. Namun apakah tidak dibincangkan dalam penyelarasan tindakan antara parti dalam PR sehingga memaksa gesaan datang daripada luar ? Mungkin tentangan daripada pimpinan DAP dan PKR yang non-Muslim sebelum ini ?

Namun kini dikatakan pemimpin bukan Islam daripada DAP dan PKR sendiri menyokong pengharaman judi sukan yang baru diluluskan. Penglibatan non-Muslim dari pimpinan PKR berdemontrasi menentang judi sukan ini seperti yang berlaku di Masjid Negeri Ipoh Perak patut diambil kesempatan bagi menunjukkan masalah judi bukan sekadar masalah hukum bagi orang Islam dan melayu, tetapi masalah atau memudaratkan masyarakat non-Muslim juga.

Mood penentangan bersama perlu diteruskan sehingga semua bangsa dan lapisan masyarakat akur secara paksa atau rela untuk bertindak, bagi membolehkan kerajaan negeri & PBT setidak-tidaknya menyediakan pelan atau langkah ke arah pengharaman premis judi daripada terus-terusan diberikan lesen untuk beroperasi. Perkara ini boleh juga dibawa ke Dewan Parlimen.

Easier said than done ?
Semasa awal pemerintahan kerajaan baru di Selangor dahulu, aku pernah bertanyakan kepada MP Kuala Selangor yang juga AJK PAS Pusat mengenai kedudukan Kilang Arak yang terseragam di Shah Alam serta pusat-pusat judi yang berselerak dalam negeri ini. Maaflah, aku tidak ingat jawapannnya. Namun mungkin kerana masih baru memegang tampuk pemerintahan, ada keutamaan lain yang perlu dilakukan dahulu agaknya. Namun dua tahun telah berlalu.

Mantan MB Selangor Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mendesak MB Selangor kini, Tan Sri Khalid Ibrahim agar menutup lebih 4500 tempat perjudian yang kini terdapat di Selangor. Banyak rupanya. Pada zaman siapa premis perjudian tersebut dibina dan diluluskan ? Sejauh mana ianya bertambah semasa kerajaan Selangor sekarang ? Bagaimana hendak membantah sangat kelulusan judi baru ini, sedangkan dalam masa yang sama premis untuk kegiatan judi terus diluluskan dan bertambah satu demi satu.

Betul-betul ramai ke yang terlibat dengan perjudian dan berjudi di Malaysia. Ramai sangat ke orang berjudi di Genting tu sehingga tersohor sebagai yang terbesar di Asia Tenggara sebelum ini ? Namun sejak Singapura mempunyai kasinonya sendiri yang serba canggih, aku rasa jumlah warga Singapura yang nak berjudi naik ke puncak Genting semakin berkurangan.

Apakah akhirnya isu ini ?
Bagi parti pemerintah serta pimpinanya pula seolah-olah mengambil peluang untuk bertindak mempertahankan keputusan kerajaan lantaran negeri yang dikuasai oleh pembangkang pun masih tidak mengharamkan premis judi daripada terus beroperasi. Mereka mendabik dada berhujah, kalau bantah judi sukan yang baru diluluskan, kenapa tak tutup premis judi sedia ada yang dibawah bidang kuasa mereka ? Ini menjadi alasan.

Mungkin masa yang panjang untuk menyelesaikan isu ini. TPM nampaknya memberikan respon baik untuk melihat isu ini. Katanya beliau belum mendapat makluman tentang penentangan rakyat. Pimpinan MCA turut menyuarakan bantahan dan kebimbangan, apatah lagi masalah Along masih menyelubungi masyarakat. Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (PAKKU) juga mendesak kerajaan membatalkan serta merta lesen perjudian bola ini.

Bersama kita berdoa yang terbaik dan sesuatu yang positif akan dilaksana.

Bayangkan Anda Didapati Bersalah Kerana Rasuah ?

Bayangkan anda didapati bersalah kerana jenayah Rasuah. Muka anda dipaparkan di media massa seperti surat khabar, TV dan internet. Bagaimana perasaan anda ? Mungkin anda sedikit selamat kerana terperingkok di penjara. Tetapi bagaimana keluarga anda. Bagaimana isteri anda hendak melangkah ke kedai walaupun hanya kerana hendak membeli sekilo gula pasir. Di mana isteri anda hendak sorokkan muka. Bagaimana perasaan anak anda yang sedang belajar di kolej, universiti atau di sekolah ? Bagaimana mereka dengan rakan-rakannya ?

Itulah antara yang menyentuh kalbu daripada ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya ( Operasi ) SPRM, Y Bhg. Datuk Haji Mohd Shukri Abdull ketika memberikan ucapan kepada kakitangan pejabatku sempena menandatangi Memorandum Persefahaman antara Jabatanku denagn SPRM. Ku kira bukan setakat kesalahan Rasuah, tetapi kesalahan apa sahaja yang boleh menjejaskan maruah dan imej diri serta keluarga. Kalau setakat kesalahan berkumpul berdemontrasi, tak bayar saman tu mungkinlah tidak sejauh itu kesannya.

Kira-kira 450 kakitangan Jabatanku mengikuti ceramah tersebut yang diadakan sebaik Majlis Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 Jabatanku yang diadakandi Malacca International Trade Centre ( MITC ) Ayer Keroh Melaka. Pertama kali aku ke MITC. Aku hadir sekadar memenuhi jemputan untuk memeriah, meraikan kakitangan di Bahagianku yang menerima anugerah dan meramaikan majlis. Tidak kurang juga hadir tolong menghabiskan jamuan yang disediakan ...

Sebenarnya akupun tidak tahu apa isi kandungan Memorandum Persefahaman yang ditandatangani bersama. Namun apa yang dilakukan ini adalah sebagai salah satu usaha Jabatanku untuk membenteras jenayah rasuah di kalangan kakitangan. Memang Jabatanku sering di kaitkan dengan amalan tersebut walaupun aku percaya, jumlah kesnya semakin menurun. Tetapi untuk mengikis prespsi masyarakat tu barangkali mengambil masa yang agak lama.

Dalam keadaan kes yang semakin kurang melibatkan kakitangan Jabatanku, satu dua kes baru yang timbul meranap semula persepsi masyarakat yang kelihatannya seperti sudah pulih. Malahan kes lama yang masih belum selesai dan mendapat liputan media juga memberikan impak negatif terhadap imej Jabatanku.

Memang berbahaya rasuah ni. Kejatuhan Melaka di tangan Portugis setelah serangan demi serangan dapat dipatahkan juga dikaitkan dengan amalan rasuah. Si Kitol di rasuah supaya dia memberikan maklumat kekuatan pertahanan Melaka. Rasuah boleh menjatuhkan negara. Rasuah boleh menyebabkan negara tergadai. Malah rasuah boleh mengancam keselamatan awam. Bayangkan kalau pesalah yang boleh mengancam nyawa dan mengugat keselamatan jalan raya terus-terusan dibiarkan atau dilepaskan daripada menerima hukuman hanya dengan rasuah ?

Pidato Pemimpin : Yb Nik Nazmi Nik Ahmad

Pada 9 Mei 2010 yang lalu, aku berkesempatan mengikuti pgrogram Pidato Pemimpin yang diadakan di Rumah Kelab Saujana Utama. Pemimpin yang dimaksudkan memberikan pidatonya ialah YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor. Aku sebelum ini kurang mengenali beliau, menerusi biografi, agak menarik personaliti YB ini. Pada usia kini 28 tahun, beliau merupakan ADUN termuda bukan sahaja di Selangor, tetapi di negara kita.

Sebenarnya beliau diminta memperkatakan tentang buku beliau bertajuk Mendepani Zaman : Melayu Untuk Abad Ke-21. Sebagai orang muda, beliau menyentuh tentang tentang peranan orang muda dalam melibatkan diri dalam menentukan corak dan halatuju negara, khususnya berdasarkan keputusan Pilhanraya Umum Ke-12 ( PRU12 ). Buku tersebut merupakan hasil renungan intelektual dan penglibatan praktikal beliau dalam politik. Aku begitu tertarik dengan kupasan serta gaya pidato yang kemas dan bernas.

Bagi beliau, keputusan PRU12 membuktikan orang Melayu mulai dapat menerima pendekatan yang menggantikan sistem berasaskan kaum jika disampaikan secara betul dan sejujurnya. Ini adalah kerana, sebelum ini ( malah sekarang pun masih ada ) dalam suatu masa kita bercakap tentang kemajuan bangsa Malaysia, tetapi dalam satu masa lain kita bercakap tentang bangsa kita sendiri sehingga seolah—olah peluang bangsa lain perlu dinafikan.

Berdasarkan pengalaman beliau termasuk semasa belajar di London dahulu, tenaga atau orang muda sekarang banyak diberikan peluang dalam memainkan peranan mereka dalam sesuatu gerak kerja dakwah dan kemasyarakatan. Mereka bukan sekadar diberi peluang pelaksana, tetapi turut terlibat dalam merancang dan memberikan pendapat berkaitan sesuatu polisi dan pelaksanaannya. Maksudnya diberikan peranan penting, bukan sekadar pengedar phamplet dan tukang tampal poster sahaja.

Namun beliau mengakui masih ramai pemuda yang tenggelam dalam duninya sendiri. Menjadi cabaran semua bagaimana hendak libatkan mereka dan membetulkan keadaan. Jangan hanya menyalahkan mereka dan seolah-olah merekalah peruntuh akhlak serta punca dan terlibat dalam gejala sosial ketika ini.

Kira-kira 200 orang telah mengikuti pidato yang turut memberikan peluang kepada hadirin mengemukakan pelbagai persoalan. Peluang ini telah diambil oleh hadirin dalam mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan program, polisi, perancangan serta isu semasa berkaitan dengan pemerintahan kerajaan Selangor sekarang. Berdasarkan jawapan-jawapanyang diberikan, menunjukkan kemampuan beliau walaupun pada usia yang dikira masih muda. Tidak hairanlah beliau diberikan tanggungjawab oleh MB Selangor sebagai Setiausaha Politiknya.

Menyentuh tentang kekalahan Dato Zaid Ibrahim di Hulu Selangor, bagi beliau PR memang masih banyak kelemahan lantaran dikira masih baru. Di sebalik kemenangan demi kemenangan yang dicapai dalam PRK sebelum ini, kekalahan di Hulu Selangor menyedarkan semua tentang kelemahan tersebut, tanpa menyebut apakah kelemahan tersebut.


Biodata Yb Nik Nazmi Nik Ahmad

Nik Nazmi Nik Ahmad, 26, telah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Selangor pada 8 Mac 2008. Beliau merupakan calon termuda yang terpilih dalam Pilihan Raya Umum ke-12. Sejurus selepas itu beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim.

Nik Nazmi merupakan Setiausaha Sulit kepada Ketua Umum Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim antara 2006 sehinggalah pilihan raya umum baru-baru ini. Beliau kini memegang jawatan Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Bahagian Kelana Jaya. Beliau turut mengetuai Biro Kajian dan Penerbitan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat antara 2006-2009. Nik Nazmi telah membantu Keadilan sejak berusia 19 tahun dan menjadi ahli secara rasmi pada tahun 2005.

Nik Nazmi lahir di Kuala Lumpur kepada sepasang kakitangan kerajaan dan suri rumah yang berasal daripada Kelantan. Beliau membesar di Petaling Jaya, Selangor, dan menuntut di SRK La Salle Petaling Jaya sebelum terpilih ke Kolej Melayu Kuala Kangsar antara 1995 hingga 1999. Kemudian beliau mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM. Selepas itu, Nik Nazmi mempelajari undang-undang dan memperoleh ijazah sarjana muda kepujian daripada King’s College, University of London. Hampir setahun selepas tamat pengajian beliau berkhidmat sebagai seorang eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sewaktu di MCKK, Nik Nazmi mewakili Kolej di dalam Perbahasan Bahasa Melayu dan pada 1999 merupakan salah seorang daripada anggota pasukan yang memenangi Piala Dato’ Shukor Abdullah dan Piala Perdana Menteri.

Nik Nazmi dipilih pelajar menjadi Presiden Majlis Pelajar di KYUEM pada 2001. Kemudian beliau dipilih sebagai Presiden Alumni KYUEM antara 2003 hingga 2005. Beliau juga menganggotai Unit Pendidikan Politik, Institut Kajian Dasar.

Sewaktu di London, Nik Nazmi aktif di dalam pertubuhan-pertubuhan pelajar Malaysia dan juga di universiti. Beliau merupakan Setiausaha Agung Kesatuan Penuntut Undang-Undang Malaysia (KPUM) antara 2002-2003, Naib Pengerusi Informasi Majlis Tertinggi Pelajar-Pelajar Malaysia United Kingdom (UKEC) antara 2003-2004 dan Bendahari Labour Students King’s College antara 2003-2004. Pada tahun 2004, beliau bersama sekumpulan pelajar-pelajar Malaysia menjadi fasilitator Projek Kalsom, sebuah program motivasi untuk pelajar-pelajar tingkatan 4 yang kurang bernasib baik di Besut, Terengganu.

Nik Nazmi turut dipilih mahasiswa menjadi salah seorang perwakilan mereka ke National Union of Students pada 2004, di mana beliau turut serta pelajar-pelajar Muslim lain menerusi Federation of Students Islamic Societies untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestin, membantah perang di Iraq, mendapatkan kemudahan lebih baik untuk pelajar-pelajar Muslim di kampus serta pendidikan percuma untuk semua. Beliau turut menjadi Pengarah Eksekutif Open Dialogue Center antara 2007-2008 dan menganjurkan beberapa wacana ekonomi di beberapa institusi pengajian tinggi.

Nik Nazmi kini mempunyai kolum di the Malaysian Insider dan the Edge. Esei-eseinya pernah diterbitkan oleh Malaysiakini, Sinar Harian, the Sun, Tamadun, The Star, Opinion Asia, Suara Keadilan dan Harakah. Nik Nazmi juga pernah muncul di BBC World Service, Channel News Asia, Bernama TV, Radio 24, TV Selangor, Astro Awani dan TV9 untuk memberi pandangan tentang isu-isu semasa. Pada tahun 2001 beliau mengasaskan SuaraAnum.com, sebuah majalah web untuk anak muda.

Buku beliau, Mendepani Zaman: Melayu untuk Abad ke-21 telah diterbitkan Marshall Cavendish Editions pada tahun 2009. Buku tersebut turut diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris sebagai Moving Forward: Malays for the 21st Century.

Beliau pernah bercakap di pelbagai acara seluruh negara. Di samping itu beliau turut pernah berucap dalam program anjuran KRA di Singapura, British Council dan School of Oriental and African Studies di Britain serta MISG USA, University California Berkeley dan Stamford University di Amerika Syarikat.

Beliau turut mengasaskan Pusat Tuisyen Sukarelawan Desa Mentari pada 2007 dengan seorang bekas pendidik dan sekumpulan profesional muda bagi membimbing pelajar-pelajar sekolah rendah dari flat kos rendah.

Nik Nazmi turut menganggotai Jawatankuasa Pengurus Majlis Sukan Negeri Selangor 2009-2010 yang bertanggungjawab menguruskan perkembangan sukan dan belia di negeri Selangor. Pada waktu terluang Nik Nazmi gemar membaca buku berkaitan agama, sejarah, politik dan ekonomi serta mendengar lagu pop dan rock khususnya lagu M. Nasir, Hujan dan Damien Rice. Seorang penyokong kuat Liverpool, beliau bertuah berpeluang bekerja di Chelsea FC ketika di London. Beliau mempunyai laman web sejak 1997 dan mula memulakan blognya pada 2001. Nik Nazmi sudahpun berkahwin dan tinggal bersama keluarganya di Petaling Jaya, Selangor.

Dipetik dari http://www.niknazmi.com/wordpress/?page_id=673

Ke Pameran Keranda : Tradisi & Misteri

Pada 24 April 2010 yang lalu, aku berkunjung ke Pameran Keranda, Tradisi & Misteri yang diadakan di Muzium Negara. Sebenarnya pemaran berlangsung mulai 1 April sehingga 20 Jun 2010. Semasa aku berkunjung ke sana, tidak berapa ramai orang dalam dewan pameran tersebut. Apakah kerana orang ramai takut hendak mengunjunginya ? Takut terasa ajal semakin hampir?.

Manusia yang paling bijak atau cerdik di dunia ini adalah mereka yang sering mengingati mati, demikianlah pesanan Rasulullah s.a.w dengan maksud yang sangat mendalam. Lantaran itu digalakkan menghantar jenazah atau menziarahi tanah perkuburan itu sendiri. Perasaan yang sama boleh dirasai dengan mengunjungi pameran ini.

Teringat beberapa tahun sebelum ini, Muzium Negara pernah menganjurkan pameran Hantu. Ketika itu di Muzium Negara menjadi begitu popular dan diserbu dengan orang ramai untuk mengunjungi pameran tersebut. Namun apa istimewanya pameran keranda tersebut ?

Keranda merupakan tempat menyimpan mayat sebelum dikebumikan mengikut upacara dan amalan keagamaan sesuatu kaum. Oleh itu kita dapat melihat pelbagai pelbagai bentuk keranda sebagaimana yang dipamerkan. Ianya memberikan maksud tertentu mengikut kepercayaan dan adat resam. Malah aku sendiri pun rasanya tidak pernah atau tidak begitu perasan bagaimana keranda masyarakat atau kaum lain seperti Cina dan India di Malaysia.

Gambar di atas merupakan keranda buluh yang digunakan atau dijadikan tempat persemadian oleh masyarakat India. Betul ke lagu tu ? Namun berdasarkan apa yang dipamerkan, penggunaan keranda mempunyai kaitan dengan kepercayaan serta kefahaman terhadap kematian serta kehidupan setelah mati. Keranda dianggap medium terakhir dalam menuju dunia yang berkekalan.

Bayangkan mayat-mayat disimpan dalam tempayan. Diikat dan bengkokkan badangnya lalu di 'sumbat' kedalam tempat mengikut saiz. Ada antaranya dibiarkan di dalam hutan, gua atau celah pokok.Selain mempunyai bentuk unik, di badan tempayan dipaparkan ragam hias yang dapat menggambarkan suatu pengembaraan roh ke alam akhirat.

Kaedah pengebumian tempayan turut dikesan di kalangan masyarakat pribumi Filipina, dimana mayat diletakkan di pelantar berlapik tikar, dibiarkan sehingga daging terlerai dari tulang dan akhirnya tinggal rangka. Tulang-tulang berkenaan kemudiannya disemadikan dalam tempayan dan diberi tempat khas dalam rumah.

Manakala yang di atas pula mengambus mayat dengan menggunakan kepingan seperti tembikar atau meletakkan kepingan seperti pinggan sebagai tanda mayat ditanam di tempat tersebut.

Ada yang hanya meletakkan mayat di atas sebuah sampai dan dilepaskan hanyut di sungai sahaja. Setiap bahan pameran disertakan keterangan mengenainya bagi membantu pengunjung memahami bahan yang dipamerkan.

Bayangkan sekiranya terserempak mayat atas pokok seperti gambar di atas. Kaedah 'simpan' mayat ini pernah dilakukan suatu masa dahulu di tempat yang sunyi, terpencil dan sukar dikunjungi orang kemudiannya.

Sebelum penggunaan keranda papan, mayat suku kaum asli Senoi dahulu disemadikan dalam jalinan buluh dan rotan yang sekali pandang mirip bubu ikan. Sesudah dibalut dengan kulit kayu, si mati dimasukkan dalam jalinan buluh tadi lalu dikebumikan.

Gambar di atas merupakan keranda bersalut emas 16 karat yang dipinjamkan oleh sebuah syarikat yang menguruskan jenazah kaum Cina di negara kita. Khabarnya bernilai kekira RM 500,000 !! Fuh ... siap dengan sistem hawa dingin lagi. Keranda seumpamanya dikatakan dibuat untuk Maikel Jakson.

Gambar di atas pula merupakan antara pakaian yang dipakaikan kepada mayat orang tua bagi kaum Cina. Agak esklusif, cantik dan tentu reganya juga special.

Manakala bekas-bekas di atas pula merupakan tempat simpanan abu bagi mayat kaum Cina yang telah dibakar. Aku kira bentuknya berkait rapat dengan taraf hidup serta kekayaan yang dimiliki oleh si mati atau keluarganya. Atau ianya sebagai sumbangan akhir kepada si mati.

Keranda berbentuk kerbau di atas dipercayai berusia lebih 1,000 tahun yang digunakan di suatu masyarakat di Indonesia. Agak aneh. Tentunya berat mengusung jenazah yang dimasukkan di dalam 'perut' lembu itu.

Gambar kerusi di atas merupakan kerusi rotan yang didudukkan mayat di atasnya, khususnya dari golongan kaya atau bangsawan di Filipina suatu ketika dahulu. Mayat dipakaikan dengan pakaian cantik sebagai tanda penghormatan dan dibiarkan sehingga kerint, reput dan tinggal rangka. rangka tersebut kemudiannya disimpan dalam tempayan.

Keranda di atas dipanggil Keranda Kayu Kelabit Lungun yang digunakan oleh kaum kelabit untuk memberikan penghormatan kepada si mati sebelum pengebumian. Dianggap berbentuk seperti bayi dalam rahim bagi simbolik menunjukkan adanya kelahiran semula serta kehidupan selepas mati

Keranda di atas digunakan oleh orang Dayak yang menempatkan tulang mayat. Ianya dianggap sebagai pengebumian kedua. Berikut adalah beberapa gambar lain, tetapi aku tak dapat ingat akan kisah di sebaliknya. Kebanyakan keranda adalah hanya dari sekitar nusantara benua Asia Tenggara.