Alhamdulillah, setelah sekian lama bertugas di jabatanku sekarang, akhirnya aku berkesempatan juga untuk mengikuti program jabatanku dengan rakyat. Dahulunya dianggil jabatanku bersama rakyat atau JBR, tetapi kini sudah ditukar kepada Satu Komuniti Satu Jabatanku atau SKSJ. Ini adalah program bagi jabatanku memberikan perkhidmatan terus kepada masyarakat tanpa memerlukan mereka ke pejabatku.
Tetapi yang lebih menariknya dalam program yang aku hadiri ini pada 8 hingga 10 Januari yang lalu di Dewan Orang Ramai Gelang Patah, Johor ialah kehadiran Tunku Mahkota Johor. Aku hanya sempat menghadiri perasmian penutup yang dilakukan oleh DYAM Tunku Ibrahim Ismail ibni Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor ( TMJ ) pada 10 Januari 2010. Khabarnya pertama kali dirasmikan oleh sultan atau kerabat diraja.
Memang tumpuan pada pagi tersebut ialah kehadiran TMJ. Kalau bersama Kembara Mahkota Johor ( KMJ ) tentunya baginda datang menaiki motosikal berkuasa besarnya. Tetapi kali ini datang seorang dengan kenderaan rasmi istana.
Mungkin bagi urusetia serta yang terlibat dalam majlis ini mengalami pengalaman menarik kerana menjayakan program bersama kerabat diraja yang selalunya kita agak sukar atau kekok dengan protokol raja atau sultan dalam sesuatu majlis rasmi.
Agak ramai juga orang yang hadir pada 10 Januari lalu. Pada hari tersebut seramai 610 warga emas serta orang asli telah menerima lesen P motorsikal, hasil ujian khas yang dilaksanakan. Untung mereka, tak perlu susah-payah ikuti sekolah memandu yang memakan masa dan wang ringgit. Hanya perlu hadir mengikuti ceramah Kurikulum Pendidikan Pemandu dan latihan di litar ujian yang dibuat khas oleh Jabatanku di kampung masing-masing sebelum ini. Penyerahan secara simbolik kepada wakil kalangan calon yang berjaya dilakukan sendiri oleh TMJ.
Sebagai tanda kenang-kenangan serta penghargaan kepada TMJ, jabatanku menghadiahkan sebuah motosikal lama dengan nombor plet pendaftaran J1001. Agak simbolik serta bermakna pemberian tersebut.
Selepas perasmian, TMJ serta para hadirin dipersembahkan dengan persembahan kumpulan pancaragam Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru yang diadakan di atas padang.
Dalam perjalanan keluar dari dewan ke padang, ramai yang ambil kesempatan bersalaman dengan TMJ. Tidak kira tua muda, lelaki pompuan, remaja dan kanak-kanak. Aku pun tumpang sekaki.
Turut diadakan ialah pembukaan gerai-gerai jualan selain kaunter perkhidmatan JPJ yang menawarkan transaksi atau urusniaga pendaftaran kenderaan, pembaharuan lesen memandu dan kereta serta pembayaran saman. Tetapi biasalah, tidak ramai orang yang mengambil kesempatan membuat transaksi ketika ini. Yang utama ialah promosi kepada rakyat. Suatu ketika dahulu aku difahamkan, program seumpamanya ini disertakan dengan tawaran diskaun sehingga 30% ke atas saman-saman yang dikeluarkan oleh jabatanku.
Difahamkan juga majlis ini mendapat liputan menerusi siaran langsung dalam salah sebuah stesen radio di selatan tanah air. Selain itu pelbagai acara diadakan sebelum ini seperti gotong royong, pelbagai pertandingan seperti mewarna, memasak, kuiz serta pertunjukan daripada Bomba Penyelamat dan Polis Johor.