GST adalah singkatan bagi Goods & Service Tax atau dalam bahasa melayunya, Cukai Barangan & Perkhidmatan. GST sebenarnya telah dicadangkan untuk dilaksanakan di Malaysia sejak zaman Pak Lah. Perkara ini disebut oleh beliau semasa membentangkan budget 2008 di Parlimen pada tahun 2007. Akhir ini, GST sering dibincangkan di media massa sehingga entah kenapa akhirnya pihak kerajaan menangguhkan pelaksanaannya. Akta pelaksanaanya dikatakan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung sekarang bagi membolehkan ianya dilaksanakan pada akhir 2011.
GST telah dilaksanakan di lebih 150 negara dan di Asia Tenggara, hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar belum lagi melaksanakannya. Kalau sudah banyak negara melaksanakanknya mengapa pula susah bagi negara kita yang terkenal dengan ‘BolehLand’, belajar dan mengambil pengajaran untuk melaksanakannya ? Apakah bertentangan dengan semangat ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ ?
Menggantikan SST
GST diperkenalkan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan ( SST ) yang ketika ini dikenakan pada kadar 5% hingga 10% seperti di Restoran Makanan Segera dan perhotelan. SST yang dikenakan sebelum ini dikatakan mempunyai beberapa kelemahan tersendiri kepada ekonomi negara termasuk boleh disalah guna oleh sesetengah pihak.
Contohnya, pengusaha kedai makan mengenakan cukai jualan 5%, tetapi bayaran cukai itu masuk kocek mereka sendiri dan caj cukai yang sepatutnya diserahkan kepada kerajaan hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja. Maknanya ini mengurangkan hasil negara. Dengan pelaksanaan GST, sebaliknya kerajaan dikatakan boleh memperolehi pendapatan 1 billion setahun. Ini kelihatan baik untuk negara, tetapi bagaimana dengan rakyat ?
Krajaan pula mengatakan bahawa sesetengah barangan akan menjadi lebih murah khususnya barangan keperluan asas pengguna yang dikecualikan daripada GST seperti produk sayuran, beras, gula, garam, tepung dan minyak masak, daging serta perkhidmatan bagi elektrik dan air. Barangan lain macamana pulak ? Panjang mana senarainya, mana yang dikenakan GST dan mana yang dikecualikan.
Kenaikan Harga
Dikatakan kerajaan bercadang untuk mengenakan cukai GST bagi setiap barang dan perkhidmata pada kadar 4%. Kalau Kopi Ginseng Tongkat Ali kat Kedai Kopi Mamat sekarang segelas penoh RM 1.50, maknanya dengan tambahan 4%, segelas kopi selepas GST dilaksanakan nanti ialah RM 1.56. Tentunya si Mamat akan kenakan rega RM 1.60. Kalau gunting rambut sekarang RM10, maka dengan adanya GST, caj gunting rambut jadi RM 10.40.
Kerana itu GST dilihat akan menambahkan beban lagi kepada rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah yang sebelum ini tidak dikenakan cukai pendapatan. Yang membayar cukai pendapatan tentulah terasa berganda pulak dikenakan cukai. Maknanya setiap rakyat tanpa mengira pendapatan, kaya atau miskin, susah atau senang, perlu membayar GST apabila sahaja membeli atau mendapatkan perkhidmatan.
Patutpun ada yang mengatakan GST = Golongan Susah Tertindas. Mungkin juga harga barang itu akan tetap kekal, tetapi mungkin juga kuantitinya akan dikurangkan bagi menampung kos membayar GST. Segelas Kopi Ginseng Tongkat Ali kat Kedai Kopi Mamat sekarang tak penoh lagi jika hendak dikekalkan RM 1.50. Gunting rambut nak kira camana pulak ?
Pendapatan Negara
Itu kita cerita bagi pengguna akhir sahaja. GST dikatakan adalah sistem percukaian yang lebih cekap kerana dikutip pada setiap peringkat. Ini bermakna, cukai tidak dikenakan kepada pengguna sahaja sebaliknya turut dikenakan kepada pengilang, pemborong, dan juga peruncit yang tidak dikenakan dalam pelaksanaan SST sebelum ini. Ini boleh menyebabkan akhirnya harga barangan atau perkhidmatan tersebut lebih tinggi daripada sebelum GST dilaksanakan. Tetapi dari satu sudut, bagaimana mekanisma yang tepat bahawa pengilang, pemborong dan peruncit membayat GST yang dibayar oleh pengguna atau pembeli kepada Kerajaan ?
Patut pun GST dilihat memberikan pendapatan bagi negara tetapi bagaimana kesannya kepada rakyat sebagai pengguna atau pembeli ? Benarlah sebagaimana aku sebutkan tadi, mungkin juga harga barang itu akan tetap kekal, tetapi mungkin juga kuantitinya akan dikurangkan bagi menampung kos membayar GST.
PRU13
Lantaran itu mungkin timbulnya keresahan yang mengundang bantahan rakyat. Walaupun Akta ini mungkin menang jika dibentangkan di Parlimen, tetapi rakyat akan menghukumnya. Kerajaan akan menjadi tidak popular dan bakal dihukum dalam PRU13 nanti. GST dilihat sebagai satu instrument baru kerajaan mencari pendapatan. Kenapa baru sekarang hendak dilaksanakan ? Tetapi bagaimana GST dipraktikkan di negara-negara lain ? Apakah mereka tidak menghadapai masalah yang hampir sama dan bagaimana mereka mengatasinya ?
Penarikan balik cadangan untuk melaksanakan GST dilihat seolah-olah kerajaan tidak tegas dalam melaksanakan apa yang hendak dilaksanakan. Tak tahulah apa sebabnya, sehingga pihak kerajaan seakan-akan belum bersedia melaksanakannya. Mungkin kena tunggu apabila negara kita mencapai tahap negara maju tahun 2020 nanti ?