Kenangan Di Medan Indonesia

Medan oh Medan. Baru Balik dari Medan Indonesia. Pada 2 Julai 2010, buat pertama kalinya berpeluang menjejak kaki ke Negara Indonesia. Dari LCCT hanya 55 minit untuk sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia Medan. Dekat aje. Tetapi kecik aje bangunan terminal lapangan terbangnya. Lapangan Terbang Senai pun jauh lebih besar.

Masuk bangunan terus ada pemeriksaan imigresen. Diambil gambar dan cap kelima-lima jari tangan kiri dan kanan lagi. Keadaan Lapangan Terbang Polonia nampak agak sibuk dengan orang ramai, tapi sibuk macam stesen bas lagaknya. Namun dikatakan oleh pemandu pelencong kami, sebuah lapangan terbang lain sedang dibina bagi menggantikan Lapangan Terbang Polonia disebabkan terlalu hampir dengan pusat bandar Medan.

Bandar Medan merupakan bandar ke tiga besar di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya dengan jumlah penduduknya seramai 2.5 juta orang. Medan dianggap pusat perdagangan bagi Sumatera Utara dan menjadi pintu masuk kepada bandar atau tempat menarik lain seperti Tasik Toba, Pulau Nias, Aceh, Bukit Tinggi dan Padang di utara Sumatera. Memang teruja pada asalnya sebab terdapat dalam jadual program semasa di Medan, ada lawatan ke Tasik Toba.

Melepasi Lapanganterbang, terus ketemu Stesen Petrol Petronas dan khabarnya ada 3 buah di seluruh Medan ketika ini. Ada dikatakan Medan berasal daripada perkataan Medinah, Kota Madinah Arab Saudi. Ada pula mengatakan dulunya menjadi ‘medan peperangan’ antara Raja Deli dan Sultan di Utara Sumatera ( Aceh ). Ada juga disebutkan berasal dari Kampung Medan Putri yang berkembang.

Namun ternyata agak sesak jalan-jalan meredah bandar Medan. Kami di bawa untuk makan tengahari di Restoran Simpang Tiga. Makan secara berhidang, entah apa jenis masakan, tetapi sedap dan kira sama dengan selera Malaysia. Agak besar sekitar restoran dan yang menariknya ada gambar berbingkai DSAI digantung di dinding seperti sedang makan di restoran ini. Kenapa agaknya, apa yang istimewanya ? Apa kaitannya dengan pemilik restoran ini ?

Lepas makan tengahari, kami terus ke Gudang Pakaian / Batik. Wah mulalah shopping dan memborong. Kekiranya rega memang murah apabila diambilkira dengan kadar wang RM.

Kadar pertukaran adalah kekira 3,000 Rupiah = 1 RM. Kiranya tukar RM 350 di Pengurup Wang, sudah menjadi jutawan rupiah !!!! Nak mudah, rega Rupiah di bahagi 3. Tapi yang menariknya di kedai borong Hajjah Mariani ini, kad kredit juga boleh digunakan tanpa sebarang extra Caj.

Lepas itu kami di bawa ke kedai menjual makanan berasaskan kacang tumbuk. Tidak semestinya kacang tumbuk, kerepek dan keropok juga ada di jual. Baru beberapa jam menjejak kaki di Medan, sudah banyak yang di beli.

Namun di luar kedai, penjual jalanan yang menawarkan barangan mereka semasa di Kedai Hajjah Mariani tadi, berada di sini. Mereka yang dipanggil ‘paparazi' ini mengekori bas kami agaknya. Salah seorang jurujual pernah kerja di Kluang Johor beberapa tahun lampau. Tapi ramai peserta rombongan yang takut tertipu agaknya, tidak melayani gelagat paparazi ini.

Lepas itu kami singgah di Masjid Raya Al-Mashun yang mula dibuka pada September 1909. Ianya dibangunkan dengan biaya Kesultanan Deli ketika itu. Kini dianggap sebagai salah satu landmark kota Medan dengan senibina yang agak unik dan menarik.

Di masjid ini, kami ambil kesempatan untuk solat jamak zuhor dan asar. Seterusnya kami dibawa kepada hotel penginapan kami iaitu Hotel Sochie Novotecl. Rasanya tidak jauh dari Masjid Raya, tetapi disebabkan penggunaan jalan sehala dan kesesakan, pusing-pusing terasa macam jauh sahaja. Dari tingkat di mana bilik penginapan, dapat di lihat kesesakan dan kepadatan bangunan di Kota Medan.

Malam, program bermula dengan ucapan alu-aluan, jamuan dan cabutan bertuah. Dalam masa yang sama, kumpulan entah apa, membuat persembahan dengan lagu-lagu evergreen pelbagai bahasa seperti Sepanyol, Filipino, Inggersi dan Melayu. Nampak tak ada rezeki, nombor cabutan tidak naik. Balik bilik tengok bola FIFA 2010, Belanda mengalahkan Brazil 2-1, suatu perlawanan yang sengit dan mendebarkan tetapi menarik.

Hari Kedua : 3 Julai 2010
Selepas sarapan, terus dengan program sesi Technology Update : Cloud Computing. Argh !! Agak sarat dengan perkara teknikal, dari jam 9.00 pagi sampai 4.00 petang, sampai terlintuk-lintuk. Memula tu OK jugak. Analogi penggunaan elektrik digunakan dimana kita hanya sediakan infra yang patut dan terpulang kepada TNB sediakan bekalan elektrik yang mencukupi mengikut keperluan kita. So begitu juga sistem komputer, pengendali Cloud Computing sedaikan semua, kita cuma just a PC atau notebook. Tak payah fikir tentang maintenan dan lesen penggunaan. Nanti cerita detail lah ...

Masa tengahari rehat, sempat meround sekitar hotel sambil nak cari ATM. Melihatkan keadaan jalan dan kaki lima, macam tidak terurus dengan baik dan kemas. Kotor pulak tu ...

Namun satu ciri unik pengangkutan di sini ialah penggunaan pelbagai jenis beca bermotor, bukan pakai kayuh. Nampaknya ianya digunakan dengan meluas. Pemandunya pakai topi keledar, tetapi penumpangnya tidak.

Satu lagi bentuk pengangkutan ialah macam taxivan atau minibus, dipanggil sudako. Ianya macam minivan atau lori kecil yang diubahsuai tempat duduknya. Bas biasa dipanggil 'bus' ( bunyi ejaan melayu ) di sini. Selain itu, ada jalan keretapi merentasi Kota Medan. Tetapi dilihat, kenderaan seperti Inova yang dipanggil Kijang di sini, serta Avanza begitu dominan di sini.

Selepas habis sesi petang, rehat sahaja dibilik sehingga turun ke lobi untuk dinner di luar iaitu Restoran Garuda. Letih juga dibuatnya seharian dalam bilik seminar.

Tanpa disangka-sangka dapat menang cabutan bertuah dengan hadiah berupa Netbook Prolink Model Geetha 009. Memang ada luck malam tersebut kerana banyak nombor sebelum itu apabila dicabut, empunya nombor berkenaan tidak hadir dan hadiah kira burn atau dipaskan kepada cabutan nombor berikutnya. Hadiah Utama ialah iPad.

Sebelum balik, layan juga jualan paparazi yang mengekori bas kami. Belilah beberapa untuk dibawa balik. Murah mahal tu tak pasti, tetapi kalau dibahagi dengan 3, kira terasa masih murah dan berbaloi juga membelinya. Kualiti balik Malaysia baru tahu kot ?

Sampai bilik, buka TV siaran langsung FIFA2010, Jerman sedang mendahului Argentina. Akhirnya Jerman menang perlawanan tersebut, sungguh tak sangka dengan jaringan 4-0. Fuyoo ..

Hari Ketiga : 4 Julai 2010
Awal pagi, jalan round-round sekitar Hotel sambil menikmati suasana dan kehidupan awal pagi Kota Medan. Kotanya yang mungkin disebabkan telah lama, banyak bangunan yang telah usang dan tidak dimaintain dengan baik.

Diperhatikan juga betapa sukarnya penduduk mencari rezeki dengan pelbagai usaha sejak awal pagi. Tapi ada juga orang-orang kaya rasanya dengan rumah-rumah yang besar dan luas tanahnya di tengah-tengah kota. Ternyata jurang antara yang kaya dan yang miskin teramat jauh.

Agak jauh juga berjalan, hingga sampai Masjid Raya dan Istana Maimun. Rupanya Istana Maimon menjadi juga sebagai salah satu landmark Kota Medan. Memang agak menarik bangunan ini dengan keindahan senibinanya, walaupun kelihatanagak lama. Istana ini diduduki oleh Kesultanan Deli dan terletak kira-kira 200m dengan Masjid Raya.

Dikatakan senibina bangunan merupakan perpaduan antara ciri Moghul, Timur Tengah, Spanyol, India, Belanda dan Melayu. Pengaruh tampak pada bentuk pintu dan jendela yang lebar dan tinggi. Tapi, terdapat beberapa pintu yang menunjukkan pengaruh Sepanyol. Pengaruh Islam tampak pada keberadaaan lengkungan pada atap. Bentuk lengkungan ini dikatakan amat popular di kawasan Timur Tengah, India dan Turki.

Dalam istana kayu ini, terdapat pelbagai barangan Kesultanan Deli dahulu yang dijadikan bahan pameran. Sebenarnya masuk free sahaja, namun sebarang sumbangan derma dialu-alukan.

Jam 11.15 kena check-out hotel. Agak sibuk dilobi sebab semua rombongan 4 buah bas kami checkout serentak. Sambil tunggu bas, ambik order kek lapis yang diorder serta urusan lain lagi.

Kemudian kami dibawa untuk makan tengahari buffet di Hotel lain. Tak pastilah kenapa dibuat begini, kenapa tidak lunch di Hotel Soechi sahaja? Argh … memang enak hidangannya. Asyik makan di hotel atau restoran besar, tidak tahu apa keadaan rupa makanan yang dijual di tepi-tepi jalan.

Lepas lunch kami di bawa ke Kedai / Kilang Kraftangan Mayang Sari. Tetapi rupanya rumah yang buat perushaan tersebut. Mungkin sebab curi Ahad hujung menggu, tiada yang bekerja di bahagian belakang kedai tersebut. Rasanya tidak ramai yang berminat, sebab reganya pun boleh tahan. Patut 45 minit punya visit, rasanya tidak sampai 15 bas dah berangkat pergi.

Kemudian kami ke kedai / gudang kain batik jubah dan telekong lagi. Nampak sesak kedai yang kecik aje, tetapi menerima kunjungan rombongan 2 bas dari kami. Mungkin sebab hari Ahad, tiada kedai-kedai lain di sebelah dan hadapan kedai. Entahlah ...

Last sekali kalau ikut program, ke Factory Outlet yang menjual pakaian modern. Pun tidak menarik sangat. Ada juga yang berkenan, tetapi saiznya pulak yang tak ada yang sesuai. Barulah teringat semula kepada si 'paparazi' tu ...

Kiranya membeli sesetengah souvenir dengan si paparazi masih berbaloi, jika dibandingkan di tempat-tempat yang dilawati. Cuma kaedahnya yang kita rasa kurang selesa, bimbang tertipu. Kalau memula kita berlagak jual mahal, makin lama penjual akan kurangkan harga sehingga tergerak hati kita untuk membelinya.

Disebabkan waktu masih awal, kami diletakkan di kompleks membeli belah Sun City yang menempatkan salah satu gedung perniagaan yang popular di Negara kita. Agak ramai juga orang dalam kompleks tersebut. Just round-round tak ada sangat tujuan nak membeli. Dah penat jalan, berhenti rehat. Nak makan di kedai-kedai yang ada tu bimbang tidak halal, sebab takde logo halal pun ?

Cuma beli kaset lagu Opick di kedai buku. Ternyata kaset & CD Indonesia amat murah. CD cuma RP 30,000 manakal kaset RP 10,000. Ada beberapa album lain ingin dibeli, tetapi tidak ketemuan. DVD & CD Pirate pun nampak banyak dijual dengan regak kekira RM3 sahaja !!! Semasa queue hendak membayar CD di kedai buku tu, ternampak iklan Upin & Ipin.

Kemudian kami dibawa untuk dinner di Restoran Padang dan kemudian terus ke lapangan terbang untuk check ini selewat-lewatnya jam 8.00 malam. Flight jam 10.05 malam dan dijangka tiba 1159 malam.

Tetapi semua urusan check-in agak lancar dilaksanakan oleh travel agent yang mengiringi rombongan kami. Memang senang agaknya berurusan dengan mereka, yealah mereka telah dibayar untuk service itu.

Kecewa juga sebab tak ada si paparazzi mengikut bas kami. Ingat nak beli beberapa cenderahati, tapi tak mengapalah. Baki Rupiah masih banyak. Akhirnya terpaksa habiskan sisa Rupiah di Lapangan Terbang. Ternyata harga jualan si paparazzi lebih murah berbanding dengan yang di airport.

Kalau nak dikirakan, tak adalah sangat pengalaman yang menarik sepanjang berada di Medan. Tak teringin nak datang semula. Terasa kecewa sebab tidak ke Lake Toba. Tetapi yang mustahaknya, pengetahuan tentang Cloud Computing, dapat melihat negara orang dan betapa bernasib baiknya menang cabutan bertuah sebuah Netbook.

Untuk lihat semua gambar, sila klik http://picasaweb.google.com/jhm1663/MedanIndon24July2010#