Eksplorasi Tawau

Menakjubkan !!! Sedangkan pada mulanya aku tidak pernah mendengar namanya. Malah apabila gelintar menerusi internet untuk mendapatkan gambaran lanjut, yang timbul adalah rasa takut. Bagaimana kalau tsunami melanda ? Bagaimana kalau binaannya roboh ? Tetapi memang menakjubkan, Subhanallah.

Pada 28 Julai 2010 lalu aku berkesempatan ke Pulau Kapalai, salah sebuah destinasi pulau pelancongan yang menarik di Sabah. Ia terletak di Laut Sulawesi. Mungkin menarik bukan setakat ‘pulaunya’, tetapi juga keindahan khazanah dasar pantainya.

Namun Kapalai sebenarnya bukan pulau. Dikatakan 200 tahun lalu, ianya memang sebuah pulau. Akibat hakisan laut, akhirnya ia merupakan kawasan laut cetek di atas batu karang, yang kemudiannya didirikan resort di atasnya. Resort yang dibina berasaskan kayu ini dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, bilik penginapan, restoran, dewan dan kemudahan api air serta internet. Seluruh resort ini berada atas air.

Rombonganku bertolak dari jeti di Semporna dengan menaikki speed boat. Daripada jeti, kelihatan banyak rumah-rumah yang didirikan di atas air. Tersusun elok juga nampaknya. Bagaimana kehidupan mereka ? Air bersih, elektrik, siaran TV, sekolah dan pengangkutan. Apakah dikira miskin mereka ini.

Kekira 45 sampai sudah sampai ke Kapalai. Ternyata menarik binaan resort ini. Terpegun dan terfikir aku bagaimana agaknya masa pembinaan dijalankan. Agaknya masa air surut, mereka berhempas pulas menyediakannya binaan asas lepas tu bila air pasang, boleh sambung sebelah atas.

Dari atas resort ini, dapat dilihat dengan jelas menerusi airnya yang jernih dasar pantai serta kehidupannya. Gerombolan ikan serta tapak sulaiman kedapatan di sana-sini. Sedang suasana sekitar tidak nampak sebarang daratan, laut yang luas. Mungkin kerana takjub dengan suasana ini, hilang rasa takut yang melandaku sebelum ini.

Setelah berjalan meronda atas resort ini, tibalah masa bersiap untuk aktiviti snorkeling. Setelah tukar pakaian, kami di bawa ke suatu tempat dengan bot laju yang dinaiki tadi. Selain dibekalkan dengan peralatan snorkeling, diajar juga bagaimana menggunakannya. Life jacket kena dipakai juga walaupun nampak kurang semporna sebab banyak yang sudah rosak zip serta tali ikatannya.

Kami dihentikan di sautu tempat di mana disitu juga terletak beberapa anggota pasukan keselamatan membuat kawalan. Terjunlah aku di situ. Macam tak percaya timbul dikawasan seolah-olah lautan yang luas lantaran life jacket yang dipakai.

Lepas itu cubalah menyelam dengan alat snorkelling tu. Argh tidak menjadi, tak kena tekniknya. Asyik-asyik air masuk mulut dan mata. Terasa macam lemas bila air masuk mulut. Pedih juga dibuatnya sebab air masin masuk mata. Tengok orang lain, macam mudah aje.

Namun pelan-pelan apabila diajar olah pemandu bot laju tu, akhirnya ok. Baru nampak dengan tenang dan jelas, ketika menikmati pamandangan dasar laut yang cetek tu. Kelihatan pelbagai hidupan batu karang, tapak sulaiman serta ikan-ikan kecil yang cantik-cantik. Penyu pun ada !!!

Buat pertama kali dapat memegang tapak sulaiman yang hidup. Kenapa dinamakan tapak sulaiman ? Jenis yang dapat dipegang nie, yang keras dan seperti memegang kasut kulit saja rasaanya. Cantik juga bentuk dan corak kulitnya. Tapi lama kelamaan di letakkan di atas darat, seperti membengkok sikit bucunya.

Aku sebenarnya tidak berapa suka mandi air laut nie, masin serta memedihkan mata. Selalunya mandi laut nie berpanas berbanding jika mandi air terjun. Sudahlah sejuk airnya, redup pulak dengan pokok-pokok. Tapi di sini, nampaknya terasa sejuk dengan keindahan dasar laut walaupun panas terik ketika itu.

Pulau Mabul
Setelah penat dan tiba masanya bertolak pula ke Pulau Mabul yang terletak kekira 15 minit perjalanan. Pulau ini dikatakan salah satu lokasi fotografi-makro terhebat di dunia. Pulau ini yang terletak di perairan jernih serta di kelilingi terumbu karang yang melandai sedalam 2 hingga 40 meter. Pulau seluas 21 hektar ini menjadi tempat tinggal kaum Bajau Laut yang merupakan salah satu etnik pribumi Negeri Sabah. Terdapat sekolah di sini.

Kedatangan ke sana pada asalnya hendak menyabung aktiviti snorkeling dan tukar pakaian. Namun ada masalah komunikasi dengan kumpulan bot lain, cuma sempat singgah kejap sahaja.

Berdasarkan kejernihan air di sini rasanya lebih menarik berbanding dengan Kapalai. Hidupan laut seperti tapak sulaiman dan pelbagai ikan jelas kelihatan dari atas motorbot lagi.

Nampak lebih ramai tourist di sini. Barangkali lebih murah berbanding Kapalai. Mereka kelihatan bebas dengan pakaian mandian yang 'seksi habis' tu bagi pandangan kita.

Terdapat sebuah resort yang terletak di atas sebuah pelantar minyak yang telah diubahsuai kira-kira 500 meter dari pinggir pantai. Nampak menarik dan unik sekali resort tersebut.

Bandar Tawau
Tawau merupakan nama sebuah bahagian, daerah dan juga bandar di Sabah. Tawau kini merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan. Bandar ini dihubungkan dengan Kota Kinabalu melalui jalan raya sejauh 500 km, laluan udara melalui Lapangan Terbang Tawau dan laut melalui Pelabuhan Tawau.

Agak sesak juga bandar ini dengan kenderaan. Tetapi nampak saiz jalan rayanya macam tidak selebar seperti yang biasa kedapatan di Semenanjung Malaysia. Lantaran bersempadan dengan Kalimantan Indonesia, agajanya ramai orang Indon di sini.

Gerai Buah-Buahan
Seperti di Semenanjung, sekarang pun musim buahan termasuk durian dan rambuta tempatann. Nampaknya tak ada beza sangat daripada segi rupa dan rasanya. Mungkin lainlah kalau seperti yang pernah di dengar, Durian Merah atau Durian Kunyit. Macamana agaknya tu ...

Nama rambutannya agak lain sikit, seperti Rambutan Laici ( lembutr sikit ) dan Rambutan Kelapa ( agak keras isinya, seperti Rambutan Gula Batu ). Harga pun tak adelah mahal, biasa sahaja.

Masjid Al-Kauthar
Masjid Al-Kauthar atau Masjid Perbandaran Tawau bukan sahaja yang terbesar di Tawau, tetapi juga dikatakan merupakan masjid terbesar di Sabah. Didirikaan bersebelahan dengan laut, ia boleh menampung sehingga 17,000 jemaah. Pembinaan Masjid Al-Kauthar menelan belanja sebanyak RM 31.5 juta dan telah siap sepenuhnya pada Oktober 2002. Ia telah dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 13 Ogos 2004.

Masjid ini mempunyai dua tingkat kesemuanya. Tingkat pertama adalah tingkat untuk jemaah lelaki menunaikan solat, manakala tingkat kedua untuk jemaah wanita. Tingkat bawah pula adalah untuk menampung jemaah sekiranya tingkat satu dan dua telah penuh. Terdapat kawasan di tingkat bawah yang mempunyai dinding boleh alih digunakan untuk mengasingkan jemaah lelaki dan wanita.

Masjid ini dapat dilihat dengan jelas daripada Hotel Promnade, hotel penginapanku. Dengan warna masjid yang putih, tetapi berkubahkan hijau, nampak ianya berdiri anggun. Dikatakan pada tahun lepas, timbul kontroversi apabila dikatakan masjid ini mendapat bantahan pihak gereja berhubung dengan laungan azan ketika masuk waktu solat. Tak pasti sejauh mana hal ini.

Pasar Tanjung
Dikatakan pasar tertutup yang terbesar di Malaysia. Entahlah. Pembinaannya bermula pada tahun 1995 dengan kos sebanyak RM 17 juta dan siap sepenuhnya pada tahun 1999.

Pasar ini mempunyai 6,000 gerai di dalamnya. Ia merupakan sebuah projek pembinaan utama di Tawau ketika itu. Nama "Tanjung" diambil sempena kedudukan pasar ini yang terletak di kawasan Sri Tanjung di Tawau.

Di sini, pelbagai barangan kering ada dijual. Antaranya ikan kering, belacan, udang dan ikan bilis kering, ikan keropok ( kepingan yang sedap digoreng dan dimakan begitu sahaja ), keropok bebola pelbagai rasa seperti ikan, udang dan ketam.

Tapi tak nampak pulak julan ikan basah. Saayur-sayuran dan buah-buahan ada dijual. Selalunya kalau pasar tu ada jualan tangkapan ikan atau hasil laut serta daging. Sebaliknya ianya kelihatan dijual di bangunan yang berasingan di tepi pantai hadapan Pasar Tanjung ini.

Pasar Gantung
Dulunya dinamakan Central Market. Kini dinamakan Pasar Gantung sebab jualannya seperti kain baju dan kraftangan perhiasan hasil laut dijual secara bergantungan. Ah senangnya beri nama. Semua gerai lagu tu !!! Tak tahulah sama ada murah atau mahal, belilah beberapa barangan untuk kenang-kenangan, khususnya yang berasaskan mutiara. Entah mutiara betul atau palsu, gred rendah atau tinggi, tertipu atau tidak, tak tahulah. Nasib ajelah.

Di sini sebenarnya popular dengan barangan yang dibawa dari Indonesia dan Filipina. Maklumlah, dekat sahaja dan bersempadanaan dengan kedua-dua buah negara ini.



Klik di sini untuk lihat semua gambar

Persiapan Menghadapi Ramadhan

Ramadhan semakin hampir dan jika Allah panjangkan umur, kita akan menemuinya lagi. Insya’allah. Saban tahun Allah memberikan peluang kita menemui Ramadhan sebelum ini. Namun bagaimana sekiranya kita mengetahui bahawa Ramadhan kali ini adalah yang terakhir buat kita, sedangkan Rasulullah s.a.w pernah bersabda, berapa ramai antara kita yang berpuasa tetapi ia tidak memperoleh apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Oleh itu apa persediaan kita menjelang Ramadhan yang semakin hampir supaya amal ibadah serta puasa yang ditunaikan diterima Allah ? Apakah target Ramadhan kali ini ? Apakah strategi yang hendak dipersiapkan bagi memperolehi ganjaran berlipat ganda yang ditawarkan.

Amat malang jika kita tidak berhasrat merebut peluang untuk menambahkan ketakwaan sepanjang Ramadhan. Ini adalah kerana matlamat berpuasa adalah untuk menjadi golongan hamba yang bertakwa sebagaimana maksud ayat 183, Surah Al-Baqarah. Ringkasnya takwa itu ialah takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan al-Quran, reda dengan sedikit yang ada pada diri dan sentiasa bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah. Namun tanya diri sendiri, apakah nilai takwa bagi diri kita ? Jika tidak merasakan ianya begitu bernilai, maka tiada apalah sangat yang hendak dikejarkan sepanjang Ramadhan ini, selain juadah berbuka puasa dan morey yang menjadi keutamaan serta persiapan menyambut raya.

Salman al-Farisi pernah berkata, bahawa Rasulullah s.a.w ketika berkhutbah pada akhir bulan Syaaban dengan sabdanya, "Wahai manusia! Sesungguhnya kamu dibayangi dengan satu bulan yang agung lagi diberkati, iaitu bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan, bulan yang diwajibkan Allah puasa fardu pada siang hari, amalan sunnat pada malam-malamnya. Sesiapa yang melakukan sesuatu kebaikan daripada amal-amal kebajikan dan kebaikan, seolah-olah dia telah melakukan satu perkara fardu, sementara yang melakukan satu perkara fardu (pada bulan Ramadan), seolah-olah dia telah melakukan 70 perkara fardu."

Pernyataan seumpama ini sebenarnya sudah cukup memberikan satu motivasi awal untuk kita sekurang-kurangnya berazam dan bertekad untuk melipatgandakan amalan sepanjang Ramadhan nanti. Malah banyak lagi tawaran ganjaran pahala lain yang Allah sediakan sepanjang Ramadhan ini.

Bagaimana sekiranya diketahu bahawa inilah Ramadhan terakhir, tentu tidak akan disia-siakan walau sesaat yang berlalu. Ambil cuti tanpa gaji,sebulan Ramadhan bermunajat di Masjidil Haram ? Setiap masa tak akan dibiarkan begitu, masa yang terluang dipenuhi dengan amal ibadah, membaca Al-Quran dan berzikir. Manakala malamnya bersolat terawikh, qiamullail dan tahajjud. Namun apakah itu semuanya hanya jika kita mengetahui bahawa Ramadhan ini yang terakhir buat kita. Itupun jika kita yakin tentang nilai taqwa dan yakin tentang pembalasan hari akhirat. Itulah hikmah mengapa Allah berahsia dengan tarikh akhir usia kita yang sebenarnya.

Membetulkan Keimanan & Ikhlaskan Diri
Persiapan pertama ialah memperbetulkan aqidah dan keimanan kepada Allah swt menurut panduan yang sahih dengan memastikan kefahaman aqidah, konsep keimanan berada di landasan yang benar. Tidak diterima dan tidak bernilai ibadah yang dilakukan tanpa memiliki aqidah yang sahih.

Ini diikuti dengan memastikan keimanan dan kelurusan hati serta keikhlasan melakukan ibadah hanya kerana Allah swt. Sesungguhnya tidaklah diterima amalan jika tidak dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah swt, “Dan tidaklah kamu diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas kepada-Nya melalui deen yang lurus”( Al-Baiyinah : 3).

Semak Semula Ilmu & Panduan Ibadah
Ramadhan setahun sekali. Persiapkan diri dengan ilmu dan panduan ibadah serta puasa yang sahih dan kaedah menjalankan ibadah secara sahih. Semak menerusi buku, hadiri majlis ilmu atau menyoal para ustaz atau yang alim akan kaedah puasa dan menjalankan ibadah yang sahih. Asasnya semak semula hukum-hakam yang berkaitan dengan pengertian puasa, hikmah, rukun dan perkara-perkara yang membatalkan puasa agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia.

Di samping itu, ketahui juga amal soleh dan amalan sunat yang sangat digalakkan ketika berpuasa seperti membaca al-quran, bersedekah dan membantu golongan yang susah. Perlu juga diketahui fatwa berkaitan dengan permasalahan semasa yang berkaitan dengan puasa.

Persiapan Fizikal
Penting juga persiapkan dirin supaya kemampuan fizikal dan kekuatan jasadiyah serta juga material moga dapat menjalani ibadah dengan sempurna dan selesa. Jaga kesihatan dan jaga badan supaya dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna merupakan satu kewajipan supaya dapat menunaikan hak kepada Allah swt dalam ibadah dengan sempurna dan selesa. Ini termasuklah seperti mengambil vitamin, melakukan senaman dan mempersediakan menghadapi Ramadhan dengan menjalani terapi kesihatan sebagai usaha ibadah dan berpahala

Penting untuk menjaga makan dan minum serta mengurus tidur dan rehat secukupnya supaya tidak nantinya mengakibatkan kerosakan badan dan melemahkan diri untuk menjalani ibadah puasa dan ibadah Ramadhan dengan selesa. Bahkan boleh terganggu waktu ibadah kerana kelemahan dan keletihan badan serta tugasan harian dalam mencari rezeki.

Persiapan material
Persiapan meterial bukannya persiapan untuk berbelanja di Bazar Ramadhan atau persiapan raya, tetapi mengambil kesempatan supaya dapat mengambil bahagian dalam usaha infaq dan sedekah serta menunaikan kewajipan zakat di bulan Ramadhan. Reserve budget untuk tujuan ini mengikut kemampuan.

Sesungguh golongan yang berkemampuan harta serta material mendapat kelebihan di sisi Allah swt apabila mereka mampu menunaikan ibadah zakat dan mampu pula mengeluarkan infaq sedekah yang mengakibatkan mereka beroleh kedudukan mulia di sisi Allah swt dan mendapat ganjaran pahala yang besar.

Daripada Muadz Ibn Jabal ra bahawa Rasulullah saw pernah bersabda, “Sedekah itu memadamkan dosa seperti air yang memadamkan api” ( H.R Tirmidzi, Nasaie danIbn Majah ). Yakinilah bahawa dengan berrsedekah itu tidak mengurangkan harta sebagaimana Rasulullah saw, “tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah” ( H.R Tirmidzi). Amalanbersedeqah juga menyucikan harta sebagaimana maksud Firman Allah, “Ambillah sedekah dari harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan harta mereka” ( At-Taubah : 103).

Persiapan Dalam Rumah
Walaupun aktiviti malam berterawih di masjid atau surau, namun bagaimana hendak mewujudkan suasana ‘iman’ di rumah. Antara persediaan yang boleh dilakukan ialah dengan menyediakan bilik atau sudut khusus di dalam rumah untuk beribadah.

Sediakan al-Quran secukupnya untuk ahli keluarga dan boleh tetapkan tetapkan waktu untuk solat bersama. Sediakan VCD kuliah agama dan dokumentari Islam untuk ditonton ketika waktu lapang. Pastikan ahli keluarga tidak menghabiskan masa di hadapan TV menonton rancangan atau filem yang tidak bermanfaat. Pastikan isteri dan anak-anak yang sudah dewasa benar-benar menutup aurat ketika keluar dari rumah.

Aturkan Jadual Waktu Harian
Dalam satu blog yang aku baca, ada cadangan agar buat perancangan denganmenyediakan jadual akitiviti kehidupan harian dengan supaya dapat menjalani ibadah puasa Ramadhan dan lain-lain ibadah dengan teratur dan selesa serta tanpa gangguan.

Ini penting agar waktu rehat, waktu bekerja, waktu beribadah khusus dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Jangan sampai ibadah Ramadhan yang dilakukan menjejaskan aktiviti harian di ofis atau mencari rezeki. Jangan dilihat Ramadhan ialah bulan umat Islam kurang produktif. Zaman nabi pun pernah berlaku peperangan dalam bulan Ramadhan. Antara cadangan jadual tersebut adalah sebagaimana berikut :-

Subuh :
• Bangun awal dan solat sunat dua rakaat (tahajjud).
• Bersahur sekurang-kurangnya seteguk air.
• Solat Subuh di masjid atau surau.
• Membaca al-Quran atau mendengar tazkirah subuh.

Pagi:
• Ke pejabat dengan menghayati bacaan al-Quran di dalam kenderaan.
• Solat Sunat Dhuha
• Bekerja seperti biasa.

Tengah hari:
• Solat Zohor berjamaah samada di masjid berdekatan atau di pejabat.
• Tadarus al-Quran bersama rakan-rakan di pejabat atau belajar membaca al-Quran.
• Rehat atau tidur lebih kurang sepuluh minit.
• Bekerja seperti biasa.

Petang:
• Solat Asar di masjid atau surau.
• Membaca al-Quran.
• Pulang ke rumah dengan menghayati bacaan al-Quran di dalam kenderaan.
• Menyediakan juadah berbuka/membantu isteri.
• Bertadarus al-Quran dengan keluarga.
• Berbuka puasa dengan tamar dan air kemudian solat maghrib berjamaah di masjid (bagi lelaki).
• Solat Maghrib Berjamaah di Masjid (Kaum lelaki).
• Pulang ke rumah untuk makan bersama keluarga.

Malam:
• Solat Sunat sebelum Isyak
• Solat Isyak.
• Solat Sunat selepas Isyak.
• Solat Sunat Tarawih.
• Bertadarus al-Quran di masjid atau surau.
• Tidur awal untuk bangun awal.

Ketika waktu cuti pula sebaiknya dipenuhi dengan amalan beriktikaf di masjid sama ada seorang diri atau membawa isteri dan anak-anak yang sudah dewasa. Sewajarnya bulan puasa ini dikurangkan aktiviti berjalan-jalan ke pusat membeli belah atau pusat pelancongan kerana biasanya akan terdedah kepada memandang kepada sesuatu yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Segala perancangan amalan di atas tidak boleh dilakukan secara mengejut atau tergesa-tergesa, oleh itu kesempatan di bulan Syaaban ini wajar digunakan bagi membiasakan diri dengan amalan-amalan tersebut.

Rancang Persiapan Raya Sebelum Ramadhan
Hal baju raya, nak fikir tema dan warna apa, tempahan kuih raya, langsir, karpet dan kusyen raya selesaikan sebelum Ramadhan. Lagipun Jualan Malaysia sedang bermula. Jauhi daripada bercampur gaul dan berasak-asak shopping pada saat akhir Ramadhan.

Selain boleh mengurangkan pahala puasa, kita akan lebih tenang dengan amalan Ramadhan. Sibukkan diri dengan amalan Ramadhan, bukan persiapan raya.

Persiapan Masjid & Surau
Masjid atau surau adalah tempat tumpuan sepanjang Ramadhan. Oleh itu AJKnya hendaklah membuat perancangan rapi bagi menyediakan tempat yang kondusif untuk beribadah sepanjang Ramadhan khususnya. Persediaan rapi ini juga wajar dibuat supaya ada ahli jamaah yang datang dapat terus istiqomah berjamaah di masjid walaupun selepas tamatnya Ramadhan.

Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan ialah menyediakan Imam yang baik bacaannya untuk mengetuai solat Tarawih kerana ia memainkan peranan penting membangkitkan keseronokan melakukan solat Tarawih. Imam ini juga hendaklah diberi taklimat terlebih dahulu agar membaca al-Quran tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek ketika solat Tarawih.

Amalan membaca sejuzuk al-Quran satu malam perlulah diukur dengan kesesuaian ahli jamaah. Kerana fenomena yang sering berlaku ialah tempoh yang panjang ketika solat Tarawih menyebabkan ramai makmun yang 'lari' meninggalkan jamaah. Begitu juga dengan jumlah rakaat solat Tarawih sama ada 8 atau 20 hendaklah dilihat dari sudut keberkesanan dan peluang menyampaikan untuk berdakwah.

Di samping itu satu ceramah atau kuliah khusus perlu diadakan sebelum Ramadhan bagi meningkatkan kefahaman tentang ibadah puasa. Manakala di sepanjang bulan Ramadhan hendaklah diatur aktiviti tazkirah 7 ke 10 minit setiap hari selepas 4 rakaat solat Tarawih. Tazkirah ini hendaklah menfokuskan kepada hikmah-hikmah berpuasa dan perkara-perkara yang berkaitan dengan keindahan Islam. Kebanjiran umat Islam di masjid ketika Ramadhan wajar dijadikan peluang menyampaikan mesej dakwah dan menanamkan kefahaman Islam kepada mereka.