Tasik Kenyir merupakan sebuah tasik buatan manusia yang terbina akibat takungan air dari Empangan Kenyir yang telah siap dibina pada tahun 1985. Kini ia menjadi satu destinasi pelancongan yang sangat berharga di Negeri Terengganu selain menjadi tapak Penjana Kuasa Hidro-Elektrik Sultan Mahmud. Dengan kawasan takungan air seluas 38,000 hektar, ia juga mengandungi 340 buah pulau jadian yang pada asalnya ialah kemuncak bukit yang tidak ditenggelami air. Malah keseluruhan kawasan ini lebih besar daripada Singapura dan dikatakan juga sebagai tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara. Tasik ini terletak kira-kira 55 kilometer daripada Kuala Terengganu.
Memang menjadi keinginanku sejak dulu-dulu ( entah bila ) untuk ke Tasik Kenyir. Sebelum ini juga sebenarnya aku pernah mengunjungi Stesen Janakuasa Hidro-Elektrik Hidro pada tahun 1988 serta berada atas Empangan Kenyir yang setinggi 150meter tu. Tapi pada 6 Ogos 2010 lalu, aku berpeluang untuk menerokai sebahagian Tasik Kenyir. Malah semasa di atas kepalterbang ketika terbang rendah menghampiri Kuala Terengganu, kawasan Tasik Kenyir yang luas itu jelas kelihatan.
Pintu masuk utama ke Tasik Kenyir ialah Pengkalan Gawi di mana penempahan bot pengangkutan dan penginapan dapat dilakukan dengan mudah. Selain penginapan di sekitar Pengkalan Gawi, terdapat juga resort di pulau-pulau di Tasik Kenyir.
Suatu ketika dahulu, berdasarkan kunjungan di atas empangan serta gambar yang pernah kulihat, kelihatan menyeramkan !!! Mungkin itulah juga yang terlintas di fikiran apabila menjejakkan kaki buat kali pertama di tasik ini. Air Tasik Kenyir yang tenang sehijau zamrud bagaikan cermin membalikkan pemandangan kaki langit di sekelilingnya.
Ketinggian pasar air dari aras laut adalah sekitar 120 – 145 meter. Masih kelihatan tunggul pokok-pokok mati di sana sini yang membuktikan bahawa suatu ketika dahulu seluruh kawasan ini merupakan hutan tebal sebelum ditenggelami air. Terasa diri ini kerdil di tengah-tengah tasik yang luas ini dan merasa seram apabila membayangkan pelbagai misteri yang mungkin tersimpan di dasar tasik ini. Tempohari ada cerita tentang ikan arapaima gergasi.
Tetapi kemudiannya terasa keindahan Tasik Kenyir ini – tumbuhan subur menghijau melitupi pulau-pulau kecil, setiap satunya kelihatan cantik dan tenang, sungai dan air terjun yang jernih sesekali kelihatan.
Mungkin di sinilah tempat yang sesuai untuk anda melarikan diri dari segalanya sehingga handphone pun tiada service.
Taman Herba
Perjalanan dengan bot yang memuatkan 8 orang adalah ke suatu resort penginapan. Namun kami singgah di Pulau Sah Kecil. Di pulau yang terletak kira-kira 8km dari Pengkalan Gawi ini terdapat satu tarikan istimewa untuk dikunjungi iaitu Taman Herba.
Lebih dari 200 spesis tumbuhan dan herba sedang diusahakan di sini termasuk herba Tongkat Ali yang popular yang dipercayai berupaya meningkatkan kecergasan dan tenaga batin, khususnya kaum Adam.
Di sini minuman serta ubat-ubatan herba yang baru dimasak oleh penyelidik atau ‘tukang ubat’ iaitu tongkat Ali dan Kacip Fatimah ditawarkan kepada pelawat yang ingin mencubanya. Pahit-pahit pun, tiga cawan kecil aku teguk.
Taman Herba dengan keluasan 15.8 hektar yang mula dibangunkan sejak 1995 ini mempunyai tiga objektif utama berteraskan 3P iaitu pelancongan, pendidikan dan penyelidikan. Tak larat nak round semua kawasan.
Dua buah spa dikatakan akan dibangunkan tahun ini. Ini bukan sekadar menjadi tarikan terbaru untuk pengunjung merehatkan badan secara santai dengan pemandangan menarik menghadap tasik, malah menyediakan pelbagai rawatan istimewa berasaskan herba.
Dalam kesempatan ini, aku sempat menyaksikan ketua rombongan kami diberikan penghormatan untuk menanam pokok Tongkat Ali Hitam di kawasan yang telah disediakan sebagai kenangan. Rupanya banyak pecahan lain Tongkat Ali ni, seperti Tongkat Ali Haji Samat, Tongkat Ali Baginda dan Tongkat Ali biasa.
Petang Island Resort ( PIR )
PIR terletak 28 kilometer daripada Pengkalan Gawi. Agak jauh jugak nak sampai. Tetapi kesempatan ini digunakan memerhati pemandangan sekitar tasik yang luas.
Sesudah sampai dan menaikki tangga, rombonganku disambut dengan hidangan teh ais. Ingatkan tongkat ali lagi, tetapi terasa lega. Kemudian terus naik lagi sehinggalah berkumpul di Dewan makan. Di sana di jamu pula dengan buah-buah seperti rambutan, duku, manggis dan durian.
Kemudian kami diberikan taklimat tentang perancangan pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang kini menguruskan Tasik Kenyir sekarang untuk mengwujudkan dan memajukan industri Eco-Pelancongan.
Banyak pulau-pulau lain sedang dimajukan dengan tarikan tertentu selain resort dan taman herba, seperti elephant sanctuary, lubuk kelah, gua, taman orkid, taman tropika, taman rama-rama, taman burung dan perkelahan air terjun. Malah penemuan Gua Taat dan Gua Bewah yang tidak ditengelami air pula sangat menarik kerana terkandung kisah kehidupan manusia prasejarah.
Konsep PIR ini adalah seperti perkampungan dengan chalet atau resortnya dibuat daripada kayu sahaja, tetapi menarik dan punyai pelbagai kelengkapan seperti bilik mandi, kipas, alat hawa dingin dan dapor. Tapi TV dan peti ais takde.
Tetapi alamak, banyak nyamuk. Sebab sudah letih sangat, lepas makan malam terus tidur sahaja. Tak sedar nyamuk yang datang. Khabarnya disediakan ubat nyamuk, tapi entah mana. Nak tengok TV di dewan makan dengan serrvis ASTRO. Punca kuala elektrik adalah daripada enjin janakuasa persendirian.
Lubuk Kelah
Jam 6.45pagi lagi kami diminta bersedia di jeti untuk bertolak dengan menaikki bot. Kami dikehendaki pergi awal sebab akan berjalan kaki selama 2 jam pergi dan balik.
Di jeti, kami diberikan bekalan sedikit makanan berupa air mineral serta sandwich. Kabus pagi meliputi puncak-puncak bukit menjadikan pemandangan pagi tersebut menarik sekali.
Kemudian kami sampai di pusat penerangan penternakan ikan kelah. Banyak informasi disediakan selain kandang dalam air yang juga menempatkan pelbagai ikan-ikan lain. Nampak macam tidak dijaga dengan baik. Di sini merupakan hentian terakhir bagi perokok melunaskan habitnya.
Kami meneruskan perjalanan menyusuri kawasan yang agak sempit sedikit dan tiba di suatu pangkalan untuk kami semua turun.
Ketika ini air dikatakan surut dan sekiranya air pasang, bot boleh sampai lebih dekat dengan Lubuk Kelah dan perjalanan merentas hutan hanya akira-kira 30 minit sahaja.
Sebelum memulakan perjalanan, kami diberikan taklimat oleh pemandu kami serta peringatan do and don’t. Perjalanan hutan kekira 1 jam merentasi pelbagai suasana seperti menaikki bukit, meniti titian, menyusuri sungai yang berbatu serta licin.
Agak mencabar juga, tetapi terasa ringan badan dengan peloh banyak yang mengalir keluar dari tubuh.
Akhirnya tiba di tempat yang dikatakan lubuk kelah. Waduh ... memang mengkagumkan. Beribu-ribu ikan kelah kelihatan di permukaan air sungai.
Aku pada mulanya sekadar menghulurkan kakiku di atas air dan terasa geli bergesel dan seperti digigit kakiku. Ikan kelah yang tiada gigi dan dikatakan pemalu tu kelihatan begitu jinak.
Aku kemudiannya masuk dalam air dan apabila dicampakkan makanan di sekitarku, ribuan ikan mengelilingiku. Sudah tak terasa geli. Dikatakan ikan ini boleh memberikan terapi tubuh. Tapi entahlah, tak terasa sangat. Atau kena buka baju !! Tetapi apabila aku mendepankan jari kedua tanganku, memang terasa ada yang ‘mengigit’ dan seperti cuba memasukkan jariku kedalam mulutnya. Takut juga walaupun ikan kelah ini tiada gigi.
Dengan memegang makanan di sebalah tangan kiri, aku dapat memegang seekor ikan kelah dengan tangan kanan sambit ianya makan makanan di tanganku. Nampak jinak sekali ikan ini. Pemandu kami tu kata, ikan kelah di lubuk ini adalah yang asal, maksudnya hidup secara natural. Entah sapa yang mula-mula jumpa. Kalau yang hidup untuk perhiasan harganya boleh mencecah Rm 800 seekor, tetapi setelah mati boleh di jual dengan harga RM80 sekilo.
Ikan Kelah ialah ikan yang digilai oleh pemancing, digilai oleh pemakan, digilai oleh penternak dan juga digilai oleh penghobi. Ikan kelah ialah Raja Ikan Sungai. Namun pengunjung tidak dibenarkan mengail dan membawa balik ikan ini. Hanya untuk dibelai sahaja, kata pemandu kami.
Di lubuk kelah ini, kami hanya diberi masa 30 minit sahaja. Tidak puas rasanya. Malah pemandu kami kata, hanya seratus orang sahaja dibenarkan mengunjungi lubuk ini sehari. Wau, sangat terhad, tentu kena tempah awal.
Kemudian kami pun pulang melalui jalan yang sama, sejam lagi perjalanan. Sampai di bot barulah terasa sakit kaki, terutamanya di lutut dan betis. Maklumlah, jarang-jarang excecise. Sampai semula di PIR terus makan tengahari dan bersiap untuk check-out dan kembali ke Pengkalan Gawi.
Jumpa Lagi
Sebelum balik sempat tinjau sekitaran PIR dan dapat dilihat keindahan sekitar pulau dan tasik. Kelihatan ada pengunjung lain selain daripada rombongan kami, termasuk dari luar negara.
Aku berazam akan kembali ke Tasik Tenyir ini suatu masa nanti bersama familiku. Harap-harap masa itu, tempat menarik yang sedang dibangunkan telah siap sedia menerima kunjungan. Tambahan di Pulau Sah Besar telah didirikan Rumah Peranginan Persekutuan untuk kakitangan kerajaan. Tapi kena book awallah.
Selalu balik kampung, tidak sempat malah macam tak terfikir nak singgah. Rupanya khazanah Tasik Kenyir wajar dikongsikan bersama, selain mengunjungi tempat tarikan lain yang telah dan sedang dibangunkan.
Banyak tempat menarik di Terengganu sebegini macam kurang dilawati. Apakah kerana kurang pendedahan atau kosnya untuk berkunjung yang agak tinggi sebagaimana untuk ke Pulau Perhentian, Kapas dan Redang di sekitar Terengganu.
Klik Untuk Lagi Gambar