Pada bulan lepas, aku berkesempatan ke Alor Setar Kedah kerana menghadiri mesyuarat Jabatanku. Kompleks Pekan Rabu terletak tidak jauh daripada hotel penginapanku. Namun disebabkan jadual mesyuarat yang agak padat, aku tidak berkesempatan kesana, kecuali pada hari terakhir sambil menantikan flight kembali ke KLIA. Apa taknya, meeting habis lewat petang dan ketika itu Pekan Rabu telahpun tutup. Tapi sebenarnya aku pernah berkunjung ke sana sekitar tahun 2000, fuh .. 10 tahun lalu.
Dalam kunjunganku ketika hari hampir tengahari, aku dapat merasai betapa kurang meriahnya berbanding dengan kunjungan aku sebelum ini. Tidak ramai pengunjungnya, sedang aku sendiri pun tidak tahu apa yang hendak dibeli. Apa sudah jadi ? Apakah persaingan dengan kedai-kedai lain berhampiran atau ada faktor lain yang menyebabkan orang ramai kurang gemar ke sana ? Kurang parkir ? Harganya ? Entahlah ...Sedangkan suatu ketika dahulu bagi pelancong-pelancong, sekiranya ke Alor Setar, semacam tidak cukup syarat, jika tidak singgah atau membelah-belah di Kompleks Pekan Rabu.
Kompleks Pekan Rabu terletak di tengah-tengah bandar Alor Setar. Namanya memang tidak asing lagi di kalangan penduduk tempatan ataupun luar negeri Kedah. Kompleks perniagaan orang-orang Melayu yang tersergam indah itu dikatakan sebagai lambang kemegahan bukan sahaja kepada peniaga-peniaga bumiputera di Kedah, bahkan menjadi kebanggaan kepada seluruh masyarakat bumiputera di Kedah. Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir sendiri pernah berniaga di situ.
Kegiatan perniagaan Pekan Rabu bermula sejak selepas Perang Dunia Pertama atas inisiatif YTM Tunku Yaacob, seorang Putera Diraja Kedah, supaya orang-orang melayu dapat terus menjalankan perniagaan dalam bandar. Ianya bermula dari pasar minggu di Tanjong Chali, yang terletak dipersinggahan antara Jalan Pekan China dan Jalan Pengkalan Kapal di bandar Alor Setar.
Tanjong Chali merupakan sebuah tapak bagi melatih orang-orang Melayu di dalam perniagaan. YTM Tunku Yaakob telah mengasaskan kawasan perniagaan ini menjadi pasar minggu di situ pada setiap hari Rabu sahaja pada awal 1920 an. Perniagaan mingguan ini kemudiannya berkembang maju dan berlangsung pada setiap hari. Ini menyebabkan kerajaan negeri terpaksa memindahkan Pekan Rabu ini ketapak barunya yang ada sekarang pada tahun 1932 kerana kawasannya menjadi sempit akibat perkembangan perniagaan yang di jalankan.
Dengan bantuan pinjaman dari pihak MARA, sebuah kompleks yang berharga RM 3.2 juta telah dapat dibina pada tahun 1975 dan diubahsuai pada tahun 1995 dengan belanja RM 6.5 juta. Kompleks perniagaan yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim ini telah di rasmikan pembukaannya oleh YAB Datuk Seri Dr. Mahathir pada 25 Februari 1978, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Sebelum Kompleks Pekan Rabu ini wujud, peniaga-peniaga di situ hanya berlindung di sebuah bangunan yang terbuka, tanpa dinding dengan tempat berniaga yang agak berselerak dan tidak teratur. Kini Kompleks Pekan Rabu yang mengandungi 347 buah kedai yang menjalankan berbagai jenis perniagaan, menjadi sebahagian daripada mercu tanda bandar Alor Setar.