Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, isu mengenai larangan menyambut Hari Valentine bagi umat Islam banyak diperkatakan di media-massa. Fatwa larangan yang selama ini seolah-olah terpendam, diwar-warkan dalam media massa oleh JAKIM. JAKIM juga siap mengadakan Kempen Awasi Jerat Hari Valentine. Jabatan Agama Negeri pula mengeluarkan amaran untuk meluaskan operasi penguatkuasaan dan pencegahan maksiat.
Khutbah Jumaat juga menimbulkan isu larangan ini. Pemuda PAS dengan prinsip dakwahnya dituduh pula ingin mewujudkan pasukan pencegah maksiatnya sendiri atau ‘polis moral’. Manakala MCA cuba menimbulkan isu larangan sambutan Valentine Day sebagai bukti berlakunya perpecahan di kalangan parti dalam Pakatan Rakyat. Malah cuba digambarkan juga bahawa gesaan agar isu ini tidak diperbesar-besarkan kerana ditakuti akan menjejaskan industri pelancongan serta menggagalkan perkembangan ekonomi negara.
Sambutan Hari Valentine sering dikaitkan dengan kegiatan tidak bermoral, gaya hidup tidak sihat, pengisian program yang mengundang dosa dan maksiat, serta khalwat, perzinaan dan seks bebas di kalangan umat Islam. Sambutan dibuat di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat romantik, dengan pelbagai bentuk pesta berisi hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya. Hari itulah agaknya mereka menumpahkan kasih-sayang kepada pasangan boyfriend atau girlfriend mereka. Bukan setakat kasih-sayang, maruah, tubuh dan rasa malu juga melayang. Untuk non-Muslim, nak sambut pun sambutlah. Tetapi yang menghairankan, kenapa orang Islam pula berlebih-lebihan menyambutnya.
Buktinya disebalik semua ini, berita tangkapan demi tangkapan pasangan umat Islam terus tersiar dalam media massa selepas 14 Februari. Itu apa yang tersiar, entah berapa banyak yang ‘terselamat’ atau tidak dilaporkan. Mungkin perkara yang sama berlaku dikalangan non-Muslim, tetapi lantaran perbuatan tersebut bukan larangan bagi mereka dan tiadanya operasi pencegahan, maka tiadalah berita tangkapan mengenainya.
Fatwa Disanggah
Menurut JAKIM, amalan merayakan Hari Valentine yang tiba setiap 14 Feb tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Inilah kata putus Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-71, hampir enam tahun yang lalu berkaitan Valentine Day. Tetapi entah kenapa ( agaknya baru diwar-warkan fatwa tersebut ), pada tahun ini Majlis Gereja Malsyaia ( CCM )memohon agar fatwa tersebut ditarik balik.
Setiausaha Agung CCM Hermen Shastri berkata, majlis fatwa itu telah membuat kesimpulan yang salah dengan menyatakan Hari Valentine sebagai satu acara keagamaan Kristian. Ini telah ‘mengguris perasaan masyarakat Kristian’ di Malaysia. Katanya, Hari Valentine merupakan satu amalan sekular dan tidak disambut secara keagamaan di Malaysia atau mana-mana tempat di dunia.
Jelasnya lagi, walaupun perkataan Valentine itu membayangkan kaitan dengan seorang santo dalam ajaran Kristian, pihak berkuasa gereja Roman Katolik mahupun Protestan tidak menyokong kaitan tersebut. Oleh yang demikian, saranan bahawa Hari Valentine disambut oleh penganut Kristian dalam fatwa itu merupakan satu tindakan ‘tidak adil’ dan ‘mengelirukan’.
Kenyataan Ustazah Bahyah Juga Disanggah
Pemuda CCM pula menuntut Ustazah Siti Nor Bahyah meminta maaf atas dakwaan beliau dalam sebuah rancangan di TV tempatan yang mengaitkan penganut Kristian dengan amalan maksiat. Ustazah Bahyah didakwa telah berkata, maksiat, disko, 'couple-couple', bersunyi-sunyian, inilah tradisi bagi masyarakat yang beragama Kristian.
Pemuda CCM menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak bertanggungjawab, mengaibkan dan amat menyakitkan hati masyarakat Kristian melalui "serangan terbuka ke atas kepercayaan masyarakat lain tanpa fakta yang dikaji dengan teliti. Ustazah Bahyah juga dikatakan telah melandaskan hujahnya dalam rancangan itu, dengan legenda dan kisah dongeng yang tidak disokong fakta.
Kalau demikian, apakah Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa boleh dikaji semula. Kendatipun bukan dari ajaran Kristian atau disambut sebagai acara keagamaan, mengapa kita umat Islam yang terhegeh-hegeh terlebih-lebih menyambutnya.
Dalam alasan yang dikemukakan bersama fatwa, Majlis Fatwa tersebut turut menyebut mengenai seorang santo berpengaruh bernama Velentino pada waktu pemerintahan Ratu Isabelle di Sepanyol dimana beliau merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu Ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui juga kekalahan orang Islam di Sepanyol.
Hari Valentine & Maulidur Rasul
Suatu yang menariknya pada tahun 2011 ini ialah, Hari Valentine diikuti dengan Hari Maulidur Rasul. Dua hari yang agak kontradik. Antara menyuburkan rasa cinta melalui Hari Valentine dengan menyuburkan rasa cinta kepada Rasulullah s.a.w yang lahir pada 12 Rabiul Awal.
Selain sambutan berupa ceramah, nasyid dan makan-makan, budaya berarak sempena sambutan Maulidur Rasul menjadi semakin lazim diadakan. Ketika itulah sama ada satu kampung, daerah atau negeri berkumpul berarak membawa sepanduk sambil berselawat memuji dan mengagungkan Rasulullah s.a.w. Apakah sekadar itu sambutannya.
Maulidur Rasul sepatutnya menjadi peluang bagi umat Islam meneliti diri sendiri kerana kelahiran Rasulullah s.a.w bukan sekadar kelahiran seorang manusia biasa. Setakat mana kita berikan masa, diri, harta mereka untuk Islam sebagaimana Rasulullah s.a.w telah berikan seluruh hidupnya untuk Islam. Syafaat bagindalah yang kita cari di Padang Mahsyar nanti.
Aku terbaca satu artikel yang ditulis oleh sorang kenalanku, bagaimana kita semestinya memulia dan meneladai Rasulullah s.a.w sebagai renungan sempena sambutan Maulidur Rasul seperti berikut :-
1. Tunjukkan rasa cinta yang melangit kita kepada Rasulullah s.a.w dengan membenci mereka yang menghina baginda serta hadis dan sunnahnya.
2. Meyakini bahawa menolak Rasulullah s.a.w sama dengan menolak Allah s.w.t.
3. Tidak mendahulukan suara kita lebih tinggi daripada suara baginda ( Maksud Ayat 1: Surah al-Hujurat), iaitu mengguna dan mengutamakan logik akal lebih daripada ajaran yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w.
4. Mempertahankan keperibadian Rasulullah s.a.w dari segenap tohmahan, celaan dan penghinaan yang datang daripada mereka yang anti-Nabi Muhammad seperti yang dilakukan oleh pihak Barat yang mempersenda Rasulullah s.a.w menerusi lakaran karikatur yang disiarkan dalam akhbar mereka, golongan nasionalis, kapitalis, sosialis, komunis yang tidak percaya sama sekali kepada baginda s.a.w.
5. Menjadikan hadis, sunnah Rasulullah s.a.w sebagai sumber rujukan utama tanpa sebarang keraguan.
6. Menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai Qudwah Hasanah atau contoh teladan dalam segenap aktiviti, tindakan dan cara hidup harian kita.
7. Berakhlak dengan akhlak yang pernah ditonjol dan diteladankan oleh baginda Rasulullah sekalipun terhadap binatang, tumbuhtumbuhan dan sebagainya.
8. Mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w di rumah seperti membantu isteri jika makanan masih belum tersedia, ia adalah antara amalan dan contoh positif yang ditunjukkan oleh baginda, menjahit baju yang koyak ketika isteri sibuk dengan tugasan sebagai seorang isteri dan ibu.
9. Menjadikan Sirah Rasulullah s.a.w sebagai bahan rujukan utama mengurus tadbir negara berdasarkan wawasan keadilan dan kebenaran, malah berazam untuk meningkat kefahaman mendalam tentang Sirahnya.
10. Menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh kepimpinan terbaik sebagai seorang ketua negara, ketua keluarga (ayah), suami yang ideal hingga pernah satu ketika baginda menjahit bajunya yang koyak tanpa menyuruh isterinya yang sedang sibuk. Rasulullah s.a.w juga jiran yang baik dan kawan yang baik terhadap sahabat-sahabatnya.
11. Mencontohi baginda yang akan bergegas ke masjid bila mendengar azan bagi melakukan solat fardu secara berjemaah.
12. Mencontohi kecintaan baginda yang tinggi terhadap Allah s.w.t dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri baginda hingga menolak sama sekali rasa ketuanan.
13. Tidak terlibat sama sekali dalam mencemuh, menghina atau merendah rendahkan kedudukan ulama, kerana ia sama juga menghina Rasulullah s.a.w, para ulama adalah pewaris Nabi