Pendedahan bekas wartawan kanan Utusan Malaysia ( Utusan ), Sdra Hata Wahari bahawa agenda Utusan ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin Presidennya, yang juga PM agak mengejutkanku. Aku juga pasti ia juga mengejutkan pelbagai pihak. Maknanya agenda Utusan juga agenda Umno dan apakah juga bermakna Utusan sebagai lidah rasmi Umno ? Ini tentunya akan menjadi punca ramai yang mula tawar hati dengan Utusan, yang mengakibatkan kurangnya pembaca dan seterusnya jualan akhbar Utusan akan semakin jatuh.
Ini berbeza dengan Harakah, Suara Keadilan dan terbitan parti pembangkang lain yang memang terang-terang ‘Untuk Ahli-Ahli Sahaja’ ( walaupun dijual secara terbuka ) dan diketahui umum sebagai lidah rasmi parti politik berkenaan. Usah marah dengan mereka dan dijadikan alasan untuk Utusan menghalalkan tindakan mereka.
Rasanya macam tidak ada penafian daripada Utusan, sebaliknya Pemuda Umno dan Perkasa mengemukakan memorandum dalam mempertahankan Utusan. Entah apa yang dipertahankan, aku sendiri pun kurang jelas. Sama ada mempertahankan segala tindakan Utusan, mempertahankan Utusan daripada bungkus tutup kilang atau mempertahankan daripada sesiapa yang hendak menggugat Utusan.
Memang tidak dapat dinafikan, media arus perdana di Malaysia selama ini umumnya tidak banyak memberikan ruang positif kepada parti pembangkang. Sebaliknya berita yang memberikan imej buruk dan negatif sahaja. Pada 1 Mac 2011, Ketua Pengarang Utusan, Datuk Aziz Ishak sendiri telah mengakui bahawa peranan Utusan adalah untuk menyokong Umno dan BN.
Persoalannya kini, sejauh mana penetapan agenda Utusan ditentukan oleh Biro Politik Umno pimpinan PM ? Apakah secara langsung atau tidak langsung ? Sejauhmana sokongan terhadap Umno dan BN ? Ini kerana sejak akhir ini terdapat pelbagai pandangan dan perspektif daripada Utusan yang agak mengelirukan. Apakah itu juga pandangan Umno ? Bagaimana pula dengan isu-isu politik lain yang begitu digarap dalam akhbar Utusan.
Mengapa Hatta Dipecat ?
Rupanya kisah ini dah lama. Hata yang juga Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan ( NUJ ), merupakan telah Wartawan Kanan Utusan yang telah digantung kerja sejak Januari 2011. Beliau sering mengutarakan pandangan yang lantang berhubung isu pemilikan akhbar Utusan, kejatuhan edaran akhbar dan ‘kelemahan’ dalam kepengarangan akhbar berkenaan.
Pada 14 April lalu, panel siasatan dalaman Kumpulan Utusan mendapati Hata bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan nama syarikat melalui laporan yang disiarkan beberapa media tempatan. Belia juga dikatakan secara berani mengkritik tindakan Utusan sendiri yang sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman melalui penerbitannya dan mengambil pendirian yang berat sebelah terhadap Umno di dalam laporan politiknya.
Gagasan 1Malaysia Vs 1Bumi, 1Melayu
Antaranya slogan 1Bumi 1Melayu. Apakah maksudnya kini ? Tidakkah ianya bertentangan dengan keazaman yang diutarakan oleh PM dalam memperkenalkan 1Malaysia. Malah dalam Forum Kempimpinan Asean bebaru ini, PM mengutarakan idea 1Asean pula.
Ini benar-benar mengelirukan rakyat ? Atau aku sahaja yang terkeliru, orang lain semua ok ? Apakah 1Bumi, 1Melayu serta 1Malaysia sekadar slogan retorik untuk kepentingan dalam menarik semula sokongan orang ramai terhadap Umno dan BN, khususnya setelah melihat rentetan kemenangan BN dalam beberapa Pilihanraya Kecil lalu ? Apa yang dibimbangi, ini meningkatkan tanggapan orang ramai betapa PM bersikap bermuka-muka dan ini boleh menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap beliau dan terhadap tindakan kerajaan pimpinannya.
Isu ‘Kristian Agama Rasmi’
Kegelisahan rakyat timbul lagi apabila isu Kristian Agam Rasmi cuba dicetuskan dan digarap dengan meluas oleh Utusan yang mungkin mempunyai agenda bagi menimbulkan kebencian ramai terhadap Pakatan Rakyat, khusunya DAP.
Isu ini mungkin agak sensitif sehingga Pengerusi Perkasa hendak melancarkan Jihad menentang gerakan untuk menjadikan Keristian sebagai Agama Rasmi Persekutuan. Penafian daripada parti yang dituduh menjadi dalang tidak mendapat tempat, sebaliknya terus diutarakan penemuan-penemuan apa yang dikatakan sebagai bukti oleh pihak Polis untuk melakukan siasatan.
PM akhirnya muncul sebagai hero apabila mengadakan perbincangan dengan majlis tertinggi Gereja Keristian peringkat nasional yang sekaligus dikatakan meredakan suasana yang timbul atau segaja ditumbulkan.
Utusan Menjadi Kebal
Walaupun apapun isu, sentimen, berita dan pelbagai rencana dibangkitkan dalam Utusan, pastinya tidak akan ada tindakan daripada Kementerian Dalam Negeri ( KDN ) yang mengeluarkan permit penerbitannya. Utusan akan menjadi kebal. Utusan boleh kata apa sahaja dan Biro Politik Umno yang kebetulan dianggotai beberapa menteri kabinet, pasti akan mempertahankan tindakan Utusan.
Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dilaporkan telah dipanggil dan diberikan surat teguran oleh KDN berikutan penyiaran berita bertajuk “Kristian Agama Rasmi?” pada 7 Mei lalu. Tindakan itu dikatakan dibuat selepas mendapati penyiaran berita itu menggemparkan fikiran orang ramai. Bagaimana hasil pertemuan tersebut ?
Utusan Porno ?
Berita dan liputan perbicaraan Ketua Pembangkang mendapat liputan yang begitu meluas tanpa selindung, siap dengan gambarnya seklai. Mungkin nak menjelaskan dengan sejelas-sejelasnya supaya orang ramai menjadi jelas. Akibatnya pembaca yang terdiri daripada pelbagai golongan dan lapisan umur yang pada mulanya atas dorongan ingin mengetahui, menjadi muak dan geli gelemang nak membacanya.
Ini ditambah dengan kisah video porno yang juga kononnya dikaitkan dengan hubungan seks Ketua Pembangkang dengan seorang pelacur warga Cina. Saban hari dipaparkan, khususnya menjelang pilihanraya DUN Sarawak. Memang kebenarannya hanya Allah dan mereka yang terlibat dalam video tersebut saja yang tahu. Kalau satu ketika dahulu hal ini dikira tersangat janggal dengan budaya kita, nampaknya Utusan menjadi pelopor mempopularkannya.
Pemangkin Fikiran Rakyat ?
Utusan mungkin boleh dianggap tidak lagi melambangkan pemikiran dan kemahuan masyarakat Malaysia. Tagline Pemangkin Fikiran Rakyat seperti sudah tidak boleh digunapakai lagi. Utusan seperti hanya melambangkan mentaliti dan kemahuan pimpinan Umno yang sedang berkira-kira dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan datang.
Yang pastinya, pihak pembangkang dan para penyokongnya akan terus meningkatkan pemboikotan terhadap Utusan. Utusan bukan lagi akhbar media arus perdana, ia adalah tabloid lidah rasmi Umno. Kerajaan negeri Pulau Pinang umpamanya, telah melarang wartawan Utusan untuk masuk membuat liputan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
Apakah nasib Utusan selepas ini ?