30 Mei 2011 – Ziarah Sekitar Dan Dalam Masjid Nabawi
Bangun awal pagi, aku jadi binggung sebab terlupa nombor bilik anak-anakku untuk dikejutkan ke masjid. Lalu aku dan isteri tinggalkan saja mereka sebab suboh semakin hampir. Harap dapat jumpa mereka di sana. Yealah takut tak tahu jalan nak ke Masjid, walaupun kelihatan dekat sahaja.
Sampai di Masjid Nabawi, alhamdulillah. Aku diizinkan Allah datang lagi ke sini. Fadhilat solat di Masjid Nabawi ialah 1,000 kali ganda berbanding dengan solat di masjid biasa. Lalu aku masuk terus kedalam di sudut strategik yang pernah aku kunjungi dahulu iaitu tempat yang jelas tampak kubah hijau tanda makam Rasulullah s.a.w di bawahnya.
Setelah selesai beberapa solat sunat, aku pandang keliling suasana masjid. Nampaknya seperti dahulu juga. Permaidaninya, lampu hiasan, susunan al-quran, air zam-zam malah gelagat jemaahnya pun tak ubah seperti dahulu juga. Ada yang sibuk beribadat solat dan mengaji al-Quran, ada yang termenung dan tidak kurang juga yang terlena.
Jam 4.06 pagi telah masuk Suboh. Setelah selesai solat aku kembali ke tempat pertemuan yang dijanjikan dengan isteriku di luar Masjid. Kemudian kami kembali hotel untuk sarapan sebab pagi ini ada aktiviti Ziarah Dalam atau sekitar Maajid Nabawi. Jumpa anak-anakku bersama neneknya di sana. Alhamdulillah, mereka juga ke Masjid Nabawi pagi tadi. Mereka follow saja pergerakan orang ramai untuk ke Masjid.
Ziarah Dalam
Jam 6.30 kami diminta berkumpul di lobi hotel untuk aktiviti Ziarah Dalam atau tempat sekitar Masjid Nabawi. Kami dibahagan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan lelaki wan wanita. Bagi lelaki dikendalikan oleh Ustaz pelajar Universiti Madinah yang berasal dari Perak rasanya.
Yang Ustazah aku tidak pasti. Antara yang terkandung dalam aktiviti ini nanti ialah masuk ke kawasan Raudah, makam Rasulullah s.a.w serta perkuburan baqi serta serba sedikit tentang Masjid Nabawi. Masa pegi haji dulu pun aktiviti serupa ini dilakukan. Aku rasa ini program standard untuk jemaah haji atau umrah.
Saqifah Bani Sai’dah
Dalam perjalanan menuju kepada Masjid Nabawi, kami kumpulan lelaki singgah di suatu tempat yang dipanggil Saqifah Bani Sai’dah. Ia terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi. Tempat ini merupakan suatu tempat dimana pernah berlaku perdebatan atau musyawarah di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w apabila baginda wafat, untuk mencari siapa pengganti daripada segi kepimpinan.
Ini menunjukkan betapa pentingnya soal kepimpinan dalam Islam dan bagaimana kaedah musyawarah dilaksanakan. Walaupun perbicangan hangat telah diadakan, akhirnya Saidina Abu Bakar al-Sidik r.a terpilih dan seluruh hadirin mengangkat sumpah taat setia ( baiah ) kepada beliau.
Kawasan ini sekarang didirikan taman yang menghijau serta dilengkapi dengan kolam buatan, dijaga elok dengan pagar mengelilinginya.
Masjid Al-Ghamamah
Kemudian Al-Ustas membawa kami ke suatu sudut yang agak jauh di sebelah hadapan kanan Masjid Nabawi, iaitu Masjid Al-Ghamamah. Kepentingan masjid ini ialah ia dahulunya merupakan kawasan lapang yang menjadi temat solat hari raya.
Solat raya tidak dilakukan di masjid bagi membolehkan wanita yang dalam haid datang untuk mendengar khutbah raya Rasulullah s.a.w. Kerana itu, tempat ini juga dinamakan Masjid al-Musolla iaitu tempat solat.
Al-Ghamamah bermaksud awan, lantaran ketika solat raya diadakan, akan terdapat awan menaungi dan memberi teduh kepada jemaah dan orang ramai yang hadir daripada panas terik matahari. Rasulullah s.a.w juga kemudiannya menggunakan kawasan lapang di sini untuk solat minta hujan.
Memang asalnya kawasan lapang. Masjid-masjid yang ada sekarang mula dibangunkan buat pertama kalinya oleh Khalifah Umar ibn Abdul Aziz seperti juga di tempat-tempat yang pernah digunakan oleh Nabi untuk solat. Seterusnya masjid-masjid tersebut mengalami beberapa pengubahsuaian dari semasa ke semasa sehingga sekarang.
Terdapat banyak masjid lain di sekitar Masjid Al-Ghamamah, seperti Masjid Bilal, Masjid Abu Bakar dan Masjid Ali. Tapi kata al-ustaz, mungkini kini tidak digunakan lagi supaya orang ramai terus ke Masjid Nabawi sahaja. Di hadapan Masjid Al-Ghamamah pun ramai orang berjual-beli, seperti di lorong-lorong lain yang menuju ke Masjid Nabawi.
Menurut Al-Ustaz, kadang-kadang terdapat jemaahdari Negara Iran yang suka solat di Masjid Ali lantaran enggan berimamkan orang Ahli Sunnah Wal Jamaah di Masjid Nabawi, waulahualam.
Perkuburan Al-Baqi’
Kemudian kami di bawa ke Perkuburan Baqi’ yang juga terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi. Inilah tanah perkuburan yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w akan mendapat syafaat daripada pada hari Akhirat nanti kepada mereka yang dikebumikan di sini. Rasulullah s.a.w diriwayatkan oleh Aisyah, seringkeluar malam untuk melawat perkuburan ini dan memohon keampunan serta kemaafan untuk mereka yang dikuburkan di sini.
Tanah perkuburan ini hanya dibuka lepas suboh dan lepas asar untuk lawatan awam, khusus untuk lelaki sahaja. Ia merupakan tanah perkuburan bagi penduduk Madinah dan sesiapa jemaah umrah dan haji yang meninggal dunia di sini.
Kini tanah perkuburan ini dipagari dengan tembok marmar setinggi 4 meter membentuk keluasan tanah 175,000 meter persegi. Luas sungguh dan masih banyak yang kosong belum digunakan. Menurut Al-Ustaz lagi, 2 rakyat Malaysia telah dikebumikan di sini termasuk pelajar yang mati lemas baru-baru ini. Bertuahnya mereka.
Kubur disini terutamanya yang lama tidak ditandakan siapa yang dikebumikan di dalamnya. Namun ramai puteri, isteri dan kaum keluarga Rasulullah s.a.w dikebumikan di sini, termasuklah Saidina Usman Affan r.a, Imam Malik dan Abdul Rahman bin Auf. Terdapat askar yang sentiasa mengawal keselamatan kawasan ini. Kata al-Ustaz bagi memastikan orang Syiah tidak membuat kacau.
Raudah
Al-Ustaz membawa kami kembali ke bahagian hadapan Masjid Nabawi. Di sini ustaz memberikan penerangan mengenai adab masuk masjid, kawasan Raudah, apa yang peru dilakukan di Raudah serta bagaimana menziarahi makam Rasulullah s.a.w. Aku amat tertarik dengan gaya penyampaian ustaz yang penuh informative.
Raudhah bermaksud taman. Raudhah merupakan satu tempat yang mulia, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, ‘Diantara rumahku dan mimbarku adalah satu taman ( Raudhah ) daripada taman-taman syurga dan mimbarku teretak di atas kolamku’ ( Sahih Bukhari ).
Raudhah dikatakan antara tempat yang mustajab berdoa kepada Allah s.a.w. Ia juga merupakan tempat di mana Rasulullah s.a.w dan para sahabat banyak beribadat dan tempat turunnya banyak wahyu. Sebagai tanda, ia dibezakan dengan kawasan lain dalam masjid Nabawi menerusi warna karpetnya yang berwarna hijau cerah keputihan.
Raudhah yang tidak berapa luas kawasannya menjadi tumpuan ramai untuik beribadat dan berdoa. Untuk memasukkinya memerlukan kesabaran dalam menunggu giliran apabila ada ruang kosong. Malah ada yang cuba berasak-asak dalam kesempitan orang lain untuk memasukkinya. Alhamdulillah, aku dapat masuk dalam keadaan yang tenang tanpa kesibukan orang keluar dan masuk.
Makam Rasulullah
Rasulullah s.a.w telah dimakamkan dalam bilik di rumahnya, di tempat seperti sekarang. Makam ini sekarang di dindingi keseluruhannya bersama bersebelahan di dalamnya makam Saidina Abu Bakar r.a dan diikuti Saidina Umar r.a.
Yang digalakkan di sini berdiri dan memerhatikan dinding makam serta menghadirkan diri memuliakan Rasulullah s.a.w serta memberikan salam kepada Rasulullah s.a.w. Aku turut sempat menyampai salam pesanan daripada rakan-rakan.
Untuk berdoa, hadaplah ke kiblat, bukan ke makam tersebut. Kalau tidak pun, akan ditegur dengan askar atau pegawai masjid yang sentiasa berada di situ.
Aku ada bertanyakan al-Ustaz di luar tadi mengenai apa yang diceritakan sebagai mayat orang yang cuba menyelinap masuk ke makam Rasulullah s.a.w, tetapi mati di panah petir. Akibatnya mayat orang tersebut terletat di kubah hijau sebagaimana dalam gambar di atas. Al-Ustaz mengatakan kisah ini hanya diceritakan oleh seorang sahaja, sedang para ahli sejarahwan ramai dan tiada yang membenarkannya.
Kemudian akupun keluar daripada bangunan Masjid menerusi pintu yang berhampiran. Selepas aktiviti ziarah aku menunggu isteri dan anak-anakku di hadapan Perkuburan Baqi’ seperti yang dijanjikan. Tunggu punya tunggu tak muncul-muncul. Rupanya mereka telah lama menungguku sebelum ini dan telahpun pulang ke hotel.
Dalam perjalan pulang aku melihat beberapa wanita yang mengesat-ngesat pintu masjid, lantas meratapinya. Sejauh mana perbuatan ini dibenarkan dalam Islam ? Apa istiewanya pintu masjid tersebut ?
Payung sekitar Masjid Nabawi telah kembang semuanya bagi memberikan teduhan kepada para jemaah dan pengunjung Masjid Nabawi. Terdapat juga beberapa payong yang sedang di selenggara atau dibaikpulih.
Makan Tengahari
Selepas solat zuhor kami menikmati makan tengahari di dewan makan. Makanan yang disediakan aku kira bukanlah asli masakan Melayu, kira Indonesian gamaknya. Aku rasa penyediaan makanan di buat di tempat lain, kemudiannya di bawa untuk dihidangkan dalam hotel ini.
Tapi aku tidaklah begitu kisah, asalkan boleh masuk perut sudah kira oklah tu. Kalau tidak cukup, boleh menambah. Nampak banyak makanan yang disediakan.
Shopping
Sebaik makan tengahari, kami meronda di kedai-kedai yang terdapat di bawah hotel penginapan kami. Wah banyak juga kedai, banyak juga pilihan dan harganya pun kira ok juga. Rata-rata penjual boleh berbahasa melayu sekadar untuk urusan jual dan beli serta tawar menawar.
Barangan elektrik, handphone, jam tangan, jubah lelaki dan wanita, minyak wangi, tasbih dan pelbagiai cenderahati boleh didapati di sini. Tidak perlu nak gi jauh-jauh. Memula nak tengok-tengok aje dulu, tapi terbeli juga. Lagipun masa untuk membeli tidak banyak di Madinah. Esok lusa dah nak kena bertolak ke Makkah pulak.
Berbuka Puasa
Hari ini hari Isnin, menjelang maghrib nampaknya ramai yang sedang bersiap sedia dengan hidangan ringkas berbuka puasa bagi mereka yang berpuasa Hari Isnin.
Sebaik azan, mereka terus berbuka puasa dan terus dikemaskan sebelum solat maghrib bermula. Aku melihat banyak banyak kumpulan berbuka puasa pada masa itu.
Lepas solat Maghrib kami terus stay dalam Masjid Nabawi. Suasana Masjid agak nyaman dengan penghawa dinginnya. Ini menjadikan pengunjung agak selesa beribadat dan mengaji al-Quran. Nak lena pun selesa jugak. Lepas Isyak baru kami pulang ke hotel penginapan.
Lagi Gambar Untuk Hari Ke-3