Bandar Seri Begawan - Hari 2

Hotel penginapanku semasa di Brunei kita terletak dalam kawasan bandar juga, walaupun bukan di tengah-tengah bandar. Ambil bilik yang biasa, 85 Brunei Dollar semalam sekali dengan sarapan dan jemput serta hantar antara airport dan hotal. Kira Oklah juga. Sebenarnya ada tawaran termasuk pakej jalan-jalan untuk dua lokasi terpilih, namun nampaknya tidak sempat nak pergi. Terasa dapat meronda Kampung Ayer dan mengunjungi Masjid Sultan Omar, sudah cukup dan memadailah buatku.

Di bawah hotel terdapat kedai mini market. Mudah dan terdapat banyak keperluan di sini. Dapat aku lihat barangan yang dijual serta membandingkannya dengan rega di Malaysia. Sesetengah barang sama rega daripada segi angka dengan rega di Malaysia.

Umpamanya air tin kebanyakannya dijual dengan 1 ( Satu ) Brunei Dolla, sedang di Malaysia dijual RM 1. Tetapi ada juga yang lebih rendah nilai angkanya, seperti cecair pencuci dicetak pada label bekas dijual sebagai RM 10.90, tetapi di kedai ini dijual dengan rega 5.5 Brunei Dollar.

Di sebelah bangunan hotel terdapat surau yang mengadakan solat berjemaah 5 waktu seharian. Aku sempat mengunjunginya dan nampaknya dipenuhi dengan orang lelaki sahaja dan terdiri daripada jemaah tabligh. Yang menariknya masa ke sana, bacaan kitab ‘tazkirah’ lepas solat dilakukan oleh dua kanak-kanak dengan dua bahasa secara berganti, Inggeris dan Melayu.

Asal Bandar Seri Begawan
Bandar Seri Begawan sebelum ini dikenali dengan nama Bandar Brunei sehinggalah pada 3hb Oktober 1970. Ia merupakan bandar tertua di Brunei. Penukaran ini dilakukan oleh Sultan Brunei sekarang bersempena dengan sultan sebelumnya yang mendapat gelaran Seri Begawan. Terdapat sebuah tugu yang dibina atas pertistiharan ini.

Namun dikatakan pembangunan di bandar ini agak perlahan berbanding dengan bandar lain. Masih banyak terdapat bangunan yang lama, terbiar dan tempat membeli-belahnya agak kurang dikunjungi orang ramai. Antaranya disebabkan kurang tempat parking, seperti yang disebutkan sebelum ini.

Namun perbezaan yang ketara sekali apabila ada perayaan dan hari kebesaran saja, barulah Bandar Seri Begawan dikatakan meriah dan nampak kegemilangannya. Aku berpeluang menyaksikan perkara ini lantaran adanya sambutan hari keputeraan. Berpusu-pusu rakyat Brunei keluar berkumpul dengan pakaian seperti Hari Raya Aidil Fitri sahaja. Memang terasa kemeriahannya berbanding semasa jalan-jalan semalam.

Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan
Memang secara kebetulan, hari ini diadakan sambutan keputeraan Sultan Brunei yang ke-65 di sebuah padang di tengah-tengah bandar, berdekatan dengan hotel penginapan. Aku sebenarnya nak ke beberapa Muzium sekitar bandar ini. Tetapi dikatakan ditutup pada hari ini sempena dengan sambutan ini. Jadi aku pun turut sama meramai dan menyaksikan bagaimana sambutan ini diadakan.

Awal pagi lagi orang ramai khususnya para pelajar berbaris di tepi jalan bagi mengalu-alukan kedatangan Sultan. Sebaik tiba dan duduk di pentas bersama kaum kerabat yang juga barisan menterinya, diadakan bacaan ikrar. Tertanya-tanya juga, mengapa para wanita atau isteri sultan dan kerabatnya tidak ikut sama ?

Ini diikuti dengan pertandingan akhir tarik lalat atau tarik tali antara Brunei melawan pasukan dari Sarawak. Sebagaimana diduga, pasukan Brunei menang dan menjadi juara dalam pertandingan yang melibatkan 6 pasukan. Tentunya sultan berdukacita kalau Brunei kalah, bagi peluang lah.

Kemudian diikuti dengan persembahan dari rakyat jelata berupa lagu-lagu patriotik, deklamasi puisi memuji baginda Sultan, nasyid dan pencak silat.

Hari semakin panas dan aku perlu balik semula ke Hotel untuk check-out sebelum jam 12.00. Ingat nak juga mendekati baginda sultan ketika baginda turun melawat gerai-gerai dari pelbagai agensi, kampung dan pertubuhan.

Melihatkan berita dalam TV, antara acara sambutan ialah Majlis Tahlil, Kesyukuran serta Khatam Al-Quran Beramai-ramai. Menarik juga jika dibandingkan dengan di negara kita.

Restoran Segera Ayamku
Terdapat juga pesaing kepada restoran makanan segera jenama antarabangsa seperti di Malaysia. Di sini ialah Restoran Ayamku. Sekadar nak merasa, singgah beli bungkus buat makan tengahari untuk makan di hotel.

Dalam restoran ramai juga pengunjungnya, khususnya setelah berlapar agaknya dengan sambutan di stadium yang bersebelahan. Lagipun hampir tengahari. Apakah tidak disedakan amakanan di stadium tadi ? Boleh tahan juga rasa Ayamku ini serta harga kira ok jika dalam RM ... ha ! ha !

Politik Pentadbiran Brunei Parlimen Brunei
Brunei merupakan sebuah negara yang menjalankan sisitem pemerintahan monarki mutlak. Sultan Hassanal Bolkiah yangmerupakan gelaran terhadap sultan sejak turun temurun ialah ketua kerajaan Brunei pada masa kini. Baginda dinasihati oleh beberapa majlis dan sebuah kabinet menteri, walaupun baginda secara berkesan merupakan pemerintah tertinggi.

Sistem politik di Brunei ditetapkan oleh perlembagaan dan berdasarkan konsep Melayu Islam Beraja (MIB). Dengan 3 komponen utama iaitu kebudayaan Melayu, agama Islam dan sistem politik di bawah pemerintahan beraja.

Baru sejak September 2004, Sultan Brunei mengadakan persidangan Parlimen di bangunan parlimen yang baru, yang tidak pernah bersidang sejak kemerdekaan pada tahun 1984. Parlimen ini tidak mempunyai kuasa selain daripada menasihati sultan disebabkan oleh pemerintahan mutlak oleh Sultan. Brunei. Namun Brunei dianggap salah satu daripada negara yang paling stabil dari segi politik di Asia.

Lapangan Terbang Brunei
Masuk dankeluar ke Brunei tentulah menerusi satu-satunya lapangan terbang yang terdapat di negara Brunei, iaitu LapanganTerbang Antarabangsa Brunei. Lapangan terbang ini terletak kira-kira atau 10 minit perjalanan ke Pusat bandar Seri Begawan.

Lapangan terbang ini mula dibuka pada tahun 1974 dan berdasarkan saiznya, tidaklah besar mana. Mungkin kira-kira saiz Lapangan Terbang Senai sahaja. Tetapi memandangkan ia lapangan terbang utama negara, berdasarkan papan info keluar masuk jauh-jauh juga perginya penerbangan Royal Brunei Airlines. Sampai Jeddah dan London.

Perjalanan antara LCCT ke Lapangan Terbang Antarag=bangsa Brunei memakan masa 2 jam 15 minit. Masa pergi dulu tidak sampai separuh penumpangnya. Tetapi balik kali ini, nampak hampir 75% seat ada penumpangnya.



Lagi Gambar Hari Ke-2