Dalam kesempatan berada di Kota Kinabalu 17 - 21 Dismber 2011 baru baru ini, aku sempat singgah di suatu tempat yang agak menarik berhampiran hotel penginapanku. Pada waktu siang, tempat tersebut agak sibuk dan sesak dengan kenderaan parking dan lalu lalang. Tetapi malam hari, bertukar jadi pasar malam durian.
Aku pun mengambil peluang untuk turut merasakan suasana ini. Kebanyakkan durian adalah durian kampung sahaja yang di bawa dari Tuaran, kata penjual di situ. Ada yang dijual pakai longgok, biji, timbang kilo serta yang siap buka dalam bekas polistrin. Yang timbang sekitar RM3 - RM8 sekilogram.
Tetapi yang menarik bagi ku ialah selain ada yang beli dan bawa pulang, disediakan banyak kerusi meja untuk mereka yang mahu makan di situ. Pastinya orang seperti aku, memilih cara ini iaitu makan di situ juga. Nak bawa balik hotel penginapan tidak dibenarkan. Lagipun kalau makan di situ, sekiranya isinya tidak elok, mentah atau busuk, boleh tukar dengan yang baru.
Suasana begini rasa jarang tidak pernah aku lihat di Semenanjung. Mungkin ada tetapi tidaklah sebanyak itu kerusi meja yang disediakan untuk makan durian. Air mineral juga disediakan dengan RM1 sebotol 500ml.
Rasanya ? Ah selagi nama durian memang rasa durian lah !! Tidak ada perbezaan yang ketara jika hendak dibandingkan dengan rasa durian Semenanjung.