Bebaru ini aku berkesempatan ke Labuan dan selang 2 minggu, ke Langkawi pula. Berbanding ke Langkawi yang entah berapa kali, tapi ke Labuan itulah yang pertama kali. Akupun sebenarnya tidak sempat explore Labuan, hanya sempat jalan-jalan kejap di kedai berhampiran hotel penginapanku setelah selesai tugasan rasmiku. Apa istimewanya Labuan ? Apa keistimewaannya berbanding Langkawi ?
Pulau Langkawi dan Pulau Labuan adalah merupakan Pulau Bebas Cukai, sebagai satu usaha kerajaan untuk mengalakkan industri perdagangan dan pelancongan. Atau senang sikit, nak ‘majukan’ pulau berkenaan. Barangan bebas cukai ialah semua, kecuali petroleum serta barangan petroleum. Mungkin ada barangan lain tapi, itu tak pastilah. Bagi menikmati pengecualian cukai tersebut, pengunjung atau pelancong ke pulau-pulau tersebut perlu berada sekurang-kurangnya 24 jam di Labuan dan 48 jam di Langkawi.
Yang dibenarkan pun ada syarat had-had tertentu, umpamanya kain batik tidak melebih 3 helai setiap orang. Kalau beli kereta pula memang murah, tetapi nak bawak balik ke Semenanjung atau tanah besar, ada syarat-syaratnya. Tapi kalau melewati Pegawai Kastam kat airport atau jetty lalu di tanya "Banyak barang encik borong?". Jawab aje, ‘Semua guna sendiri, bukan nak jual, bagi adik beradik sedara mara serta jiran’. Rezeki baik selamat tanpa cukai. Kalau kena pun mintalah tawar reganya.
Pulau Labuan merupakan merupakan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan atau di sebut juga sebagai Wilayah Persekutuan Labuan. Ia merangkumi keseluruhan pulau yang mempunyai keluasan 98 km persegi sahaja berbanding Langkawi, 528km persegi.
Pulau Labuan juga mempunyai air yang jernih dan pantai berpasir sepanjang persisiran pantai, menjadikannya destinasi perlancongan yang baik. Pulau Labuan juga mempunyai perairan yang baik untuk aktiviti menyelam dan mempunyai empat destinasi penyelaman skuba terutamanya pulau yang berhampiran. Terdapat 5 pulau sekitar Labuan, berbanding Langkawi mempunyai 99 pulau ketika air pasang dan 109 ketika air surut.
Namun Labuan lebih ditonjolkan sebagai pusat kewangan luar pantai (offshore financial centre) sejak 1990 manakala Langkawi lebih kepada industri pelancongan dan ditambah dengan mitos serta lagenda Mahsuri. Labuan dikatakan mempunyai pelabuhan yang dalam dan besar, yang merupakan punca asal namanya pelabuhan atau "Labuhan".
Orang sini kata, kalau orang Semenanjung datang sini, yang selalu dibeli ialah cokelat, rokok dan kain-baju. Arak pun dan minyak wangi pun dikatakan murah, macam di Langkawi. Dalam aku jalan pusing-pusing memang ternampak banyak barangan tersebut di jual di kedai-kedai, kecuali kain yang tidak sempat ku jumpa.
Tetapi jika dibandingkan dengan Langkawi, harga di Labuan lebih mahal sekitar 20%. Barangan pinggan mangkuk kaca serbaguna tahan panas pun sekitar 10-15% lebih mahal. Tetapi kedai di sini sekitar 6 petang sudah banyak yang tutup dan jalan jadi agak lenggang. 6.30 petang sudah gelap dan masuk Maghrib, berbanding 4.55 pagi sudah masuk subuh dan 6.10 pagi sudah terbit matahari.
Aku rasa tidak terfikir untuk ke sini lagi, berbanding dengan sudah tentunya Langkawi !!!!