Sukarnya Solat Jemaah Di RnR

Umum kita mengetahui hikmah dan fadhilat solat berjemaah. Melaksanakan solat berjemaah pada awal waktu di surau dan masjid tidak menjadi masalah kepada para jemaah yang hadir. Kalau masalah pun sekiranya Pak Imam atau Bilal bertugas tidak hadir. Mula saling bertolakan enggan jadi Imam atau mengumandangkan azan. Kata suara tak sedaplah, batuk-batuk, tak sedap perutlah atau sakit mulut. Jadi sakit betul nanti baru tahu.

Tetapi melaksanakan solat berjemaah sama ada di masjid atau surau selain awal waktu mungkin menjadi masalah besar. Apatah lagi kalau di surau-surau awam yang disediakan sama ada di stesen bas, kompleks membeli belah, pusat perhentian bas serta kawasan Rehat dan Rawat ( RnR ) lebuhraya. Sering kita lihat di tempat-tempat tersebut, orangnya ramai tetapi solatnya sendiri-sendiri. Satu sana, satu sini. Apakah kita sudah lupa atau tidak kisah akan kelebihan solat secara berjemaah. Apa masalahnya ? Kalau kata nak cepat, lepas solat tu sempat pulak lagi merokok atau mengeteh ?

Ini suatu yang kelihatan agal janggal dan tidak berapa sihat. Seolah-olah umat Islam payah hendak bersatu. Apakah hendak tunggu saling kenal mengenali sedangkan sesama Islam bukankah bersaudara ? Tidak nampak ada kekuatan syaf yang utuh, ukhwah dan bersatu padu mengikut imam atau ketua. Memasing dengan hal sendiri-sendiri, mementingkan diri sendiri dengan gaya hidup memasing walaupun menghadap Allah yang satu. Ada pulak yang solat di lokasi yang strategik, betul-betul depan tiang atau di belakang berdekatan dinding, untuk elakkan ada orang yang mengikutinya jadi makmum.

Pendorong
Masalahnya ialah bagaimana hendak mendapatkan jemaah untuk turut serta lantaran kita tidak kenal satu sama lain. Perlu ada seseorang yang mendorong yang lain. Mungkin ada yang ingin mendorong, tapi takut pulak nanti diminta jadi Imam, apatah lagi bagi waktu maghrib, Isyak dan Suboh yang kena kuat bacaan Al-fatihah serta surahnya. Tapi kalau dah sorang sana sorang sini solat, nak kena pilih pulak mana yang sesuai dijadikan imam untuk diikuti bagi berjemaah ?

Malah pernah aku lihat seorang motivator islamik pun solat sendirian di RnR ketika ramai yang lain turut solat sendirian. Tak boleh ke dia motivate atau jadi pengerakkan untuk solat berjemaah. Atau keadaan sudah di luar kawalan ?

Ilmu Solat Berjemaah
Tidak dapat tidak, hendak solat berjemaah kena tahu syarat-syaratnya selain rukun dan syarat sah solat fardhu. Kedudukan syaf , keadaan muafik dan masbuk. Antara solat jamak pula, jamak takhir atau jamah taqdim. Antara qasar dan solat tamam. Jamak berimamkan orang yang solat tamam. Solat jamak dan qasar sekali ?


Pendek kata, ada banyak. Tetapi tidaklah terlalu banyak kalau kita mengaji. Daripada was-was, itu yang memasing solat sendiri sahaja. Sampai bila hendak terusan begini ? Sekarang apa susah, gelintar sahaja di internet daripada tengok yang mengarut dan tidak mengembangkan minda !!!

Bimbang Bacaan Tidak Betul
Itu belum lagi diambil kira kebolehan membaca Al-fatihah, Surah-surah serta ayat-ayat yang menjadi rukun solat dibaca dengan betul. Bukan perlukan suara yang sedap, tapi sekurang-kurangnya dibaca dengan betul menurut tajwid. Habis tu kalau terasa bacaan tidak betul khususnya fatihah, solat sorang-sorang pun sama jugak.

Mungkin ada yang jika solat serang diri, betul bacaannaya. Tapi jika jadi pak Imam, jadi kelam-kabut bacaannya. Barangkali ini perlukan latihan. Jadilah Imam bersama anak isteri atau kengkawan. Baca aje surah yang pendek-pendek, lagi pun semua yang lain hendak cepat jugak.

Jadi Bagaimana ?
Sekiranya kita seorang yang mementingkan berjemaah serta ingin meraih fadhilat solat berjemaah walaupun di mana, kita kena juga bersedia menjadi sebahagian penyumbang kearah tertegaknya solat tersebut walau di mana. Sama ada sebagai tukang azan, mengajak yang lain membina syaf serta bersedia juga menjadi Imam. Kalau nampak yang agak sesuai dijadikan imam, jemput dengan dengan hulurkan tangan untuk ke depan jadi imam. Contohnya yang berkopiah atau berjubah serban.

Tidak perlu harap orang lain, kena kita sendiri yang mengusahakannya. Usah malu sebab orang lain pun bukan mengenali kita juga. Percayalah apabila kita memulakannya, insya’allah akan ada pengikutnya nanti. Dapat seorang dua jemaah pun jadilah, asal jadi solat berjemaah. Malah fadhilatnya bagai kita akan lebih daripada 27 darjat.