Petunjuk Daripada Pilihanraya Kampus 2012

Berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini, nampaknya Pilihanraya Kampus mendapat liputan yang besar di media massa. Secara umumnya calon-calon kumpulan yang di gelar sebagai Pro-Aspirasi telah menang majoriti di kebanyakkan universiti dengan mengalahkan calon kumpulan Pro-Mahasiswa. Kumpulan Pro-Aspirasi dikatakan kumpulan yang sealiran atau menyokong parti pemerintah sekarang, manakala kumpulan Pro-Mahasiswa dikatakan condong kepada Pakatan Rakyat ( PR ).

Kemenangan kumpulan Pro-Aspirasi dikatakan sedikit sebanyak dibantu dengan keterlibatan serta kesungguhan pentadbiran Universiti yang bersikap memilih kasih kepada Pro-Aspirasi dengan menyediakan pelbagai karenah dan halangan yang sengaja diwujudkan. Malah dikatakan ada yang seolah-olah turut berkempen dengan memburuk-burukkan calon Pro-Mahasiswa. Agak mengejutkan juga sampai kedengaran berita serangan calon pada saat hari mengundi serta ugutan bunuh. Tentu hangat suasana kempen dalam universiti berkenaan.

Mengapa pilihanraya kampus kali ini menjadi begitu penting ? Aku difahamkan bahawa keputusan pilihanraya tersebut akan mengambarkan betapa sokongan rakyat terhadap parti pemerintah pimpinan PM sekarang. Benarkah begitu ? Keputusan pilihanraya dikatakan kampus menjadi pentunjuk sokongan orang muda dalam memastikan kemenangan parti pemerintah sekarang dalam PRU13 nanti.


Jika benar, patut pun pentadbir universiti cuba masuk campur, demi kemenangan Pro-Mahasiswa, demi memuaskan kehendak stake holder politik di atas sana, supaya mudah menerima sebarang kemudahan dan penyaluran peruntukan ? Barangkali begitulah. Barangkali ada KPI yang menjadi sasaran dan perlu dipenuhi.

Persoalannya juga, benarkan gelaran kumpulan-kumpulan sama ada Pro-Aspirasi atau Pro-Mahasiswa itu layak diberikan. Apakah memang terang-terangan mereka mewakili kumpulan tersebut ? Aku tidak tahulah setakat mana, tetapi bagiku sama ada menang atau kalah, aku rasa mereka telah melalui proses tertentu sehingga bakat kepimpinan terserlah lalu dipilih menjadi calon. Mereka sebenar mempunyai prinsip, aspirasi serta bakat kepimpinan dan wajar juga dilantik atau diberikan peranan dalam menentu corak suasana kemahasiswaan dan tradisi keilmuan universiti.

Corak Pengundi Melayu
Keputusan pilihanraya kampus juga dikatakan sebagai petunjuk bagaimana sokongan pengundi Melayu dalam PRU13 lantaran kampus IPTA kebanyakkan mahasiswanya adalah Melayu. Keputusan pilihanraya tersebut penting setelah anggota Pakatan Rakyat di asak dengan pelbagai isu untuk menunjukkan ketidak sefahaman di kalangan meraka seperti yang tersiar dalam media massa.

Sokongan pengundi Melayu dalam PRU13 kepada parti pemerintah dianggap penting setelah pengundi Cina dikatakan solid condong kepada PR. Tambahan pula dikatakan bilangan pengundi baru Melayu bertambah lebih ramai berbanding pengundi baru Cina dan India. Daripada 222 kawasan Parlimen, 45 kawasan merupakan kawasan majoriti Cina.

Entahlah, bagiku keputusan pilihan raya kampus tidak semestinya menggambarkan kecenderungan mengundi dalam PRU13 nanti. Aku teringat masa ngaji di universiti dulu, rata-rata kepimpinan kampus dikuasai oleh kumpulan pro-pembangkang. Ketika itu pentadbiran universiti rasanya tidaklah campur tangan sangat, walaupun ada yang merupakan orang kuat parti pemerintah sehingga ada yang letak jawatan untuk bertanding dalam PRU.

Tetapi apabila PRU diadakan, berapa kerat pembangkang menang bagi kerusi parlimen. PAS pun rasanya masa itu hanya diwakili oleh MP Pengkalan Cepa dan Lim Kit Siang dari DAP. Itu dulu. Dulu lain sekarang lain. Mungkin corak pemilihan Generasi X dan Y sekarang tidak seperti zaman aku dulu.

E-Voting
Satu aspek yang agak menarik, pengundian dilaksanakan secara elektronik menerusi e-Voting. Di UIA anehnya, jumlah undi didapati melebihi daripada bilangan yang layak mengundi. AKibatnya undi semula secara manual.

Menerusi e-voting timbul persoalan apakah undi itu rahsia ? Sejauh mana keselamatan data terhindar daripada sebarang manipulasi, dilihat telus adil dan dipercayai ? Bagaimana system e-Voting tersebut telah disahkan bebas daripada sebarang manipulasi ? Siapa pula yang mengesahkannya ? KPT, SIRIM ?