Menyusuri Perkampungan Air Semporna

Kunjungan aku ke semporna sebelum ini lebih kepada eksplorasi ke resort peranginan di Pulau Mabul. Namun pada kesempatan kedua pada November 2013 kali ini, harapan untuk menerokai Pulau Kapalai terencat lantaran cuaca gelap, mendung dan hujan yang kemudiannya turun renyai-renyai. Dasar laut yang dikatakan cantik tidak dapat aku saksikan. Tak ada rezeki.

Apabila melihakan rumah-rumah atas air di persisiran laut Semporna, aku begitu teruja dan teringin sangat untuk mendekati, serta melihat suasana kehidupan mereka. Malangnya semasa aku berpeluang ke sana, hujan turun dan sesekali terasa lebat juga. Ini menghadkan penerokaan aku kepada kehidupan orang di perkampungan tersebut.

Ini mengingatkan aku kepada beberapa kejadian yang berupa ancaman keselamatan kepada penduduk di perkampungan air khusunya. Al-maklumlah laut terbentang luas di hadapan yang bersempadanan dengan perairan Indonesia dan Filipina. Yang terbesar kes pencerobohan oleh tentera Sulu yang mengorbankan banyak nyawa.

Bagaimana kerajaan hendak bertindak ? Perlukah memindahkan mereka ke tempat lain di darat. Kalau berpindah pun bagaimana dengan mata pencarian harian mereka ? Kalau sekarang untuk menjalankan aktiviti ekonomi atau mata pencarian mereka hanya dengan boat atau sampan.

Hasratku tercapai apabila singgah di suatu perkampungan yang dikatakan terkenal kerana ketam segarnya. Semua rumahnya diperbuat daripada kayu. Ada yang kelihatan terlalu rapat, ada yang terasing jauh sikit.

Nampak seperti tidak tersusun. Ada yang kelihatan kukuh dan ada yang seperti uzur. Mungkin bergantung kemampuan memasing. Tapi suasananya agak menarik. Kalau tidak kerana hujan, tentulah pemandangan sangat menarik.

Terdapat pelantar untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Risau juga kalau terjerlus atau tergelincir.

Aku berpeluang mendapatkan ketam bunga yang segar terus daripada penduduk semasa berkunjung ke sana. Harga giler .. RM8 sekilo. Daripada tidak teringin nak beli, beli juga 3kilo.

Selain rumah biasa, ada juga kedai yang menjual keperluan harian kepada penduduk sekitar. Aku tak pasti apa bahasa yang dipakai ? Apakah agama mereka ?

Bayangkan kalau mereka kalau berpindah, kena pulak ada moto kereta ? Nak kena ambik lesen pulak … banyak belanjanya dan tentunya sukar mereka hendak memulakan penghidupan baru.

Kalau hendak kekal di situ, bagaimana hendak pastikan keselamatan mereka. Bukan setakat isu keselamatan, apakah rumah di perkampungan tersebut kukuh binaannya, cukup infrastruktur air elektrik.

Bagaimana tandas dan sistem pembuangan sampah. Aku nampak macam main campak ke laut sahaja. Itu yang kelihatan sampah terapung di sana sini di perairan Semporna.

Mungkin pihak kerajaan perlu membina semua perkampungan mereka di tempat lain yang berdekatan, yang lebih kukuh, tersusun dan lengkap dengan keperluan infrastruktur asas. Takkan nak robohkan rumah semasa dan bina semula atasnya ?

Persoalannya juga, adakah mereka benar-benar rakyat tempatan atau warganegara Malaysia ? Kalau bukan, perlulah laksanakan Projek IC lagi … ha X 3. Itu projek menjelang PRU14 kot ?

Mengikuti Ceramah Zakir Naik Di MTMZA

Lama dah dengar nama Dr Zakir Abdul Karem bin Naik atau Dr Zakir Naik. Beliau pernah beberapa kali datang ke Malaysia sebelum ini. Di kaca TV pun ada beberapa kali disiarkan rakaman ceramah beliau. Kat youtube memang melambak. Malahan ada kisah sehingga orang boleh masuk Islam ketika mendengar ceramahnya secara live. Namun Zakir Naik, seorang pendakwah warga India itu yang dikenali sebagai tokoh dalam perbandingan agama, pernah menerima kecaman daripada penganut Hindu di Malaysia kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina agama Hindu dan mengesa agar beliau untuk tidak datang ke Malaysia.

Namun sebaliknya beliau menerima pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia, sehingga dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1345Hijrah. Kesempatan beliau datang untuk menerima anugerah tersebut daripada Yang Dipertuan Agong semasa sambutan Maal Hijrah peringat kebangsaan, membolehkan aku mengikuti ceramah beliau di Masjid Besi Putrajaya pada 5 November lalu. Apakah anugerah ini menghiris perasaan segelintir ( barangkali ) penganut Hindu yang menentang kehadiran beliau ke Malaysia.

Malam itu orang begitu ramai memenuhi ruang solat utama Masjid Besi untuk mengikuti ceramah Dr Zakir dengan kupasan bertajuk Islam: Ancaman dan Cabaran selepas solat maghrib. Aku dapat tahu pun menerusi internet, mungkin yang lain pun begitu juga. Khabarnya short notice juga. Paper Utusan Melayu menganggarkan kehadiran kekira 3,000 orang. Entahlah …

Dalam ceramahnya yang disampaikan dalam bahasa Inggeris tanpa terjemahan kepada bahasa melayu itu, dapat aku fahami tentang beberapa perkara yang disampaikan oleh Dr Zakir. Ceramah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu penyampaian ceramah dan disusuli dengan soal jawab.

Dalam ceramah itu, beliau memberi penekanan kepada kelebihan Islam berbanding agama lain di dunia walaupun aspek ketuhanan dan kepercayaan kepada Allah yang bersifat universal bagi semua anutan di dunia.

Dalam menjawab pertanyaan tentang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain termasuk Bible terjemahan bahasa Melayu oleh Kristian, Dr Zakir boleh jika benar-benar merujuk kepada ‘Allah’. Namun katanya lagi, jika penganut Kristian ingin menggunakan kalimah Allah untuk menggambarkan Allah sebagai Jesus (Nabi Isa) untuk menyebarkan Kristian kepada umat Islam, ia salah di sisi Islam. Tambah beliau, Allah ialah nama khas merujuk kepada Allah s.w.t yang satu dan tidak boleh diterjemahkan sebagai unsur lain.

Lagi pesanan beliau yang penting untuk dikongsi bersama ialah agar kita sentiasa menjadikan Islam sebagai suatu cara hidup. Yang membezakan agama Islam dengan agama lain ialah Islam memberi penyelesaian kepada permasalahan masyarakat sejagat.

Menjawab satu pertanyaan bolehkah syariat Islam dilaksanakan dalam negara yang berbilang bangsa dan agama ? Why not, jawapan sepontan beliau. Negara Islam ialah negara yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah dan kiranya beliau menyokong pelaksanaan hudud. Penjelasan beliau disambut dengan laungan takbir oleh hadirin.

Namun bagi beliau, antara masalah umat Islam hari ini ialah mereka mempunyai kesukaran untuk mencerminkan akidah sebenar kepada orang bukan Islam. Ini berlaku antara lain disebabkan umat Islam sendiri tidak memahami Islam atau perspektif sebenar Islam sehingga sukar untuk menzahirkan aqidah orang Islam.

Kemampuan beliau berceramah dengan ingatan yang luar biasa tanpa merujuk kepada sebarang teks amat dikagumi, sedangkan beliau adalah doktor perubatan kelulusan kelulusan University of Mumbai. Malahan beliau mampu menyebutkan beberapa ayat-ayat daripada Bible satu demi satu dengan lancar. Al-Maklumlah, nak berbahas mengenai perbandingan agama.

Pada Julai 2013, beliau telah dinamakan sebagai Islamic Personality of the Year yang diumumkan ketika Anugerah ke-17 Dubai International Holy Quran Award. Beliau juga adalah pengasas Yayasan Penyelidikan Islam yang turut memiliki sebuah stesen TV iaitu Peace TV, berpengkalan di Dubai, UAE.

Selamat Ulang Tahun Ke-3 TV-Alhijrah

Tiga tahun telah berlalu rupanya. Rasa macam sudah lama. Aku sempat menghadirkan diri ke sambutan ulangtahun ke-3 TV-Alhijrah di Dataran Putrajaya yang diadakan sempena Festival Kesenian dan Kebudayaan Antarabangsa Putrajaya 2013 (PIIACuF2013) 2013. Mungkin mudah nak ingat, 1 Muharram ialah ulang tahun kelahiran TV-Alhijrah, sebuah stesen TV yang berkonsepkan Islam.

Sejauh mana keislamannya, maksudnya sejauh mana konsep Islam berjaya ditonjol dan dikekalkan dalam memastikan siaran TV-Alhijrah terus relevan, dapat bertahan dan mendapat sambutan penonton. Maklumlah kos operasinya tentu tinggi dan sejauh mana kerajaan menerusi JAKIM terus-terusan menjadi penaja utamanya.

Bagiku yang pentingnya, cukuplah sekiranya TV-Alhijrah mampu membawa atau menyiarkan siaran seperti ceramah, kuliah, tazkirah dan forum perbincangan mengenai segala aspek dalam Islam ke dalam rumah menerusi kaca TV. Tidak kiralah sama ada yang diadakan dalam studio, masjid surau dan dewan-dewan kuliah.

Bukan maksudnya sudah tidak perlu lagi ke surau masjid untuk dengar kuliah atau tazkirah, tetapi ianya sebagai alternative. Malah mungkin boleh menarik minat orang ramai khususnya remaja untuk ke surau masjid bagi mengikuti rakaman-rakaman kuliah agama, kot-kot muka masuk TV. Ha.. ha ..

Cuma yang pentingnya, cara, gaya dan suasana persembahan perlulah mampu menarik. Camana agaknya ? Tidak disogokkan dengan perwatakan ustaz yang berterusan serius, sukar hendak senyum dan ceramah yang membosankan.

TV-Alhijrah sebenarnya bersaing dengan siaran TV lain yang sedikit sebanyak, cenderong kepada Islam seperti saluran 119 dan Astro Oasis ( 106 ) dalam menyampaikan mesej Islam. Malahan mungkin kedatangan TV-AlHijrah sebagai media arus perdana berteraskan Islam menjadi pemangkin saluran TV lain untuk sama-sama menerbitkan rancangan agama. Takpe, bersaing demi kebaikan ummah. Islam sebagai ad-din adalah luas, merangkumi segala urusan kehidupan manusia dan masyarakat.

Antara program yang dikatakan popular, 30 Minit Ustaz Don, Reflections, Chef Ammar, Assalamualaikum , Menu Alam, Cinta Ilmu dan Dikir Zikir. Yang juga penting syariah compliance peru diperkukuhkan dalam setiap siaran termasuklah filem dan dramanya. Camana agaknya ? Apakah perlu semua pelakon wanitanya bertudung dan lelakinya berjubah ketayap ? Pelakongnya berimejkan ustaz dan ustazah, berlatar belakangnya sekolah pondok, sekolah agama atau Universiti Islam ?

Penting juga personaliti dan pengacara berakhlak mulia, penampilan Islamik sesuai dengan konsep TV-Alhijrah. Macam Kumpulan nasyid. Hendak menyampaikan dakwah cara baru dan method baru, kena cakap serupa bikin juga.

Selain nasyid-nasyid, menerusi sambutan di Putrajaya itu, penonton berpeluang melihat secara live personaliti TV-Alhijrah serta Mawi dan Siti Norhaliza menyempaikan lagu ketuhanannya. Selamat Maju Jaya TV-Alhijrah dan Selamat Ulang Tahun Ke-3.

Kalimah Allah: Emosi Dan Realiti

KALIMAH ALLAH: EMOSI DAN REALITI
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ramai minta saya tulis artikel tentang isu nama Allah yang dipanaskan semula dan terus menjadi krisis antara sesetengah pihak muslim dengan sesetengah pihak Kristian. Saya sebenarnya telah coretkan hal ini pada tahun 2007 masa saya masih memegang jawatan Mufti Negeri Perlis. Di sini saya sentuh sekali lagi.

Hanya Di Sini
Isu kalimah Allah ini akan menjadi satu sejarah yang menarik dan tersendiri di Semenanjung Malaysia. Isu seperti ini tidak wujud di negara-negara Arab kerana Kristian Arab dan Bible dalam Bahasa Arab sejak sebelum dan selepas Nabi Muhammad s.a.w memang menggunakan perkataan Allah merujuk kepada Tuhan. Bahkan kaum Quraish sebelum kehadiran Nabi Muhammad s.a.w juga guna nama Allah.

Bapa Nabi Muhammad s.a.w bernama Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Padahal bapa Nabi Muhammad s.a.w tidak sempat pun bertemu dengan Nabi s.a.w sebagai RasululLah. Kristian Qibti (Coptic) di Mesir juga sejak sekian lama memanggil Tuhan ‘Allah’. Demikian Kristian Lebanon dan Jordan, gereja-gereja mereka berdoa dengan memanggil ‘Allah’ sejak zaman silam. Apa yang hendak dihairankan, asal-usul ajaran mereka dari ajaran Nabi Isa a.s. Justeru bukan sahaja perkataan Allah, banyak lagi perkataan yang membabitkan akidah yang sama antara Islam dan Kristian seperti nama para nabi; Ibrahim, Musa, Harun, Isa dan lain-lain.

Orang Islam seluruh dunia setiap hari melafazkan ayat dalam Surah al-Fatihah (maksudnya): ‘segala puji bagi Allah tuhan segala alam’. Tiada muslim pun yang menyebut ‘segala puji bagi Allah Tuhan kaum muslimin sahaja’. Ini kerana muslim mengakui Allah itu tuhan untuk semua, bukan tuhan untuk kaum dan pihak tertentu sahaja.

Maka isu kalimah Allah tidak pernah timbul di negara-negara Arab. Bahkan mereka mungkin sukar untuk faham dan hairan apabila kita memberitahu kita menghalang pihak Kristian memanggil Tuhan itu Allah. Di Sabah dan Sarawak juga sudah berpuluh tahun mereka menggunakannya.

Kristianisasi
Di Semenanjung Malaysia, dalam kitab agama Sikh, nama Allah disebut. Sementara orang cina yang bukan muslim di Kelantan terbiasa dengan kalimah ‘inshaa Allah’. Ada lagu negeri-negeri yang terdapat ‘kalimah Allah’ yang dinyanyikan oleh semua rakyat berbilang agama. Logo-logo Polis dan Tentera tertulis ‘Allah’ dan ‘Muhammad’. Logo-logo itu dipakai oleh anggota yang muslim dan non-muslim.

Namun apabila orang muslim di Malaysia digembar-gemburkan isu tentang Kristianisasi, maka keadaan resah mula timbul dalam kalangan umat Islam. Kristianisasi sesuatu yang benar-benar wujud. Orang muslim dalam negara ini bimbang. Maka, apabila timbul edaran pihak Kristian dalam bahasa Melayu yang menyebut Tuhan sebagai Allah yang selama ini dari segi kebiasaan orang Melayu Semenanjung hanya mereka sahaja memakai kalimat ini, maka emosi mereka mula bangkit. Apa tidaknya, mengapakah hanya versi melayu sahaja yang hendak digunakan ‘perkataan Allah’?! Mengapa tidak edaran gereja yang berbahasa Inggeris, Cina, Tamil dan lain-lain juga menggunakan Allah?

Provokatif
Kelihatan seolah macam ada ‘hidden agenda’ ataupun ‘mala fide’ di situ. Maka ramai yang membantah dan menganggap ada unsur provokasi agama di pihak Kristian, bukan kerana mereka memang ingin memanggil tuhan itu Allah, tetapi sekadar umpan yang hendak digunakan bagi memancing umat Islam yang terbiasa dengan kalimah itu. Maka kelihatan unsur provokatif di situ.

Maka, bantahan untuk orang bukan muslim menggunakan nama Allah dalam edaran bahasa melayu kelihatan macam mempunyai alasan di sudut keharmonian masyarakat berbilang agama dan ijtihad pentadbiran. Ia bukan berasaskan nas yang jelas melarang secara langsung hal itu, tetapi atas asas pemerintah bertindak demi kepentingan awam.

Jika sekadar itu, maka bolehlah terima pendapat yang melarang. Ia bukan larangan mutlak bahawa bukan-muslim sama sekali tidak boleh menyebut dan menggunakan nama Allah, tetapi menggunakan nama tersebut dalam bentuk provokasi agama dilarang.

Salah Faham
Malangnya ada muslim yang tidak jelas hal ini sehingga menyatakan bukan muslim sama sekali tidak boleh menggunakan nama Allah. Kononnya nama Allah eksklusif untuk muslim sahaja. Ada pula yang berfatwa ‘murtad sesiapa yang membenarkan‘. Pada hal nas asal, dalam al-Quran dan al-Sunnah membenarkan bahkan menggalakkan mereka menggunakannya selagi mana penggunaan itu merujuk kepada Tuhan Yang Sebenar ataupun ‘The Supreme Being’. Banyak ayat al-Quran yang menegaskan hal ini. Firman Allah:(maksudnya)

“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Bahkan Nabi s.a.w ketika mencabar orang-orang Kristian bermubahalah ataupun bersumpah laknat, mereka diminta bersumpah dengan nama Allah, bukan nama Jesus. Firman Allah: maksudnya)

“Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka jadilah ia. Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau dalam kalangan mereka yang ragu-ragu. Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”. (Surah Ali ‘Imran 59-61).

Jika Islam larang mereka secara mutlak menyebut Allah, bagaimana mungkin mereka disuruh bersumpah dengan nama Allah?!

Al-Imam Muslim dalam sahihnya pula meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w: barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.

Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ertinya, Nabi s.a.w membenarkan penggunaan nama Allah seperti yang pihak kafir Quraish minta. Jika itu dilarang, tentu cadangan mereka ditolak!.

Lojik

Kita bayangkan jika mereka langsung tidak boleh panggil Allah, bagaimana dengan Kristian Arab jika datang ke Malaysia? Apakah mereka terpaksa menahan diri dari menyebut masya Allah dengan diganti ‘masyaa God’.

Jika bukan muslim bertanya siapakah tuhan saya yang sebenar. Muslim hendaklah menjawab Allah. Dia tidak boleh berkata ‘tuhan awak lain dan tuhan saya lain. Awak tidak boleh menyebut nama tuhan saya’. Jika dia berkata demikian, maka dia syirik.

Maka, sepatutnya larangan itu hanya apabila ia dalam bentuk provokasi yang menimbul ketegangan masyarakat. Kenyataan yang menyatakan larangan itu mutlak adalah tidak berasaskan ajaran Islam. Apatah lagi kenyataan yang memurtad sesiapa yang mengizinkan seakan memurtadkan Nabi s.a.w, dan umat Islam di seluruh dunia.

Maka, kita muslim hendaklah mengendali isu dan mengetahui hubung kait sesuatu itu sebelum hendak dibangkit sentiment agama mengenainya. Jangan kita melebihi kadar yang sepatutnya, juga jangan kita lalai tentang keamanan dan keharmonian hidup dalam negara yang pelbagai agama. Dakwah Islamiah hendaklah ditingkatkan. Sebarkan Islam dan banyakkan dialog antara agama seperti yang Dr Zakir Naik lakukan. Kenapa kita sentiasa ketakutan ditewaskan sehingga begitu defensive?! Bawalah mesej Islam dengan penuh hujah dan hikmah.

Disiarkan pada Oct 17, 2013