HKL112 : Apa Selepas ini ?

Perhimpunan yang menghimpunkan pulohan ribu orang ramai yang berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 Januari 2013 anjuran parti pembangkang telah mencatatkan satu sejarah tersendiri. Ia merupakan perhimpunan atau demontrasi pertama yang diadakan setelah akta yang berkaitan dengannya diluluskan parlimen. Target asalnya dikatakan untuk mengumpulkan seramai 1 juta orang sebagaimana tagline perhimpunan.

Media massa khususnya yang berbahasa Malaysia tidak banyak berikan liputan positif, selain mempersoalkan serta membesar-besarkan 3 syarat yang tidak dipenuhi oleh penganjur berbanding dengan 27 syarat lain seperti kehadiran kanak-kanak bawah 15 tahun, membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan serta peserta perhimpunan yang melebihi 30,000 orang.

Sebaliknya PM mendapat pujian kerana program transformasinya berjaya menjadikan demontrasi yang sebelum ini dikatakan ganas, boleh dilakukan secara aman di suatu kawasan terbuka. Melihat pulohan ribu orang yang membanjiri stadium tersebut, lalu tertanya-tanya aku, apakah selepas perhimpunan ini ? Selama mana PRU13 tidak diadakan, apakah ada perhimpunan seumpamanya lagi ?

Perhimpunan Aman
Tidak dapat dinafikan bahawa perhimpunan seramai itu telah berlangsung dengan aman. Mungkin sebab kali ini mendapat kerjasama pihak polis, berbanding dalam perhimpunan Bersih serta yang seumpamanya sebelum ini yang dikatakan penuh provokasi dan tindakan tegas pihak polis.

Walaupun kebenaran berhimpun ini mungkin dilihat sebagai satu strategi ‘testing power’ daripada pemerintah terhadap akta perhimpunan awam yang diluluskan di Parlimen tahun lepas, namun ia juga menunjukkan pembangkang pun sebenarnya menghormati undang-undang dan tidak bertindak ganas.

Lautan Peserta
Daripada segi logik, memang mustahil Stadium Merdeka boleh memuatkan 1 juta orang. Kapasiti tempat duduk sahaja sekitar 40 ribu, dicampur dengan yang memenuhi ruang padang, mungkin jumlahnya sekitar 70-80 ribu sahaja.

Melalui rakaman CCTV, pihak polis mendakwa penganjur melanggar salah satu syarat yang ditetapkan iaitu peserta perhimpunan tidak melebihi 30,000 orang. Penganjur pula mendakwa lebih 100,000.

Walau apapun anggaran bilangan peserta yang hendak disahkan, kehadiran peserta berdasarkan gambar-gambar sekitar perhimpunan, ianya memang suatu yang menakjubkan.

Agaknya macamana pihak polis nak mengemukakan bukti bahawa jumlah kehadiran melebihi 30,000 orang apabila hendak mengenakan denda kepada penganjur yang dikatakan melanggari syarat permit perhimpunan yang diberikan ?

Liputan Media
Malam selepas perhimpunan aku cuba tengok bagaimana liputan TV mengenai perhimpunan. Astro Awani berani memaparkan lautan manusia semasa perhimpunan. Yang dikira agak memalukan ialah apabila ada media pemerintah telah menamakan perhimpunan ini ‘Himpunan Shamsidar’. Orang buta pun nak tergelak !!!

Liputan media pemerintah dalam isu ini aku kira mencetuskan lagi rasa meluat di kalangan peserta dan pemerhati. Meluat apabila hanya dipaparkan isu dan sudut lain untuk memainkan kempen negatif terhadap perhimpunan ini.

Kesesakan jalan raya, peniaga tidak menerima pengunjung serta lambakan 6 tan sampah. Malah dipaparkan peserta dibayar untuk hadir. Apakah benar mereka dibayar sehingga RM150 seorang untuk hadir sebagaimana ada didakwa dalam media ? Mungkin benar daripada ramai-ramai peserta, ada yang begitu. Tetapi entah-entah ada yang dibayar RM150 untuk buat kenyataan yang dia dibayar untuk hadir.

Tujuan perhimpunan
Mungkin ada yang tertanya-tanya. Mengapa perhimpunan tersebut diadakan ? Pembangkang yang turut diserta oleh pelbagai kaum Melayu Cina India malah bumiputera Sabah Sarawak bersama pemimpin komponennya berkumpul hendak menunjukkan kekuatan serta pengaruhnya kepada parti pemerintah ?

Jelasnya perhimpunan ini adalah satu kempen anti BN dengan maksud menjatuhkan pemerintahan BN menerusi PRU. Selain peserta dihidangkan dengan ucapan yang berlegar sekitar kegagalan dan kelemahan pemimpin BN, deklarasi Deklarasi HKR telah diumumkan sebagaimana berikut :-

Bahawasanya, muafakat asas Kebangkitan Rakyat hari ini meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya. Himpunan Kebangkitan Rakyat beriltizam untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.

Maka kami, yang berhimpun di sini, mewakili anak semua kaum pada petang ini, dengan penuh iltizam, dan berteraskan falsafah bahawa tidak ada warga dari mana-mana bangsa, agama, jantina mahupun fahaman politik akan disisih atau diabaikan dari sudut sosial dan ekonomi, mengajukan tuntutan-tuntutan berikut:

Pertama : Kami menuntut pilihanraya yang bersih, adil dan telus yang merangkumi media yang bebas;

Kedua : Kami menuntut prestasi, wibawa dan reputasi FELDA diselamatkan demi menjaminkan kedudukan ekonomi dan pemilikan tanah warga peneroka;

Ketiga : Kami menuntut Sabah dan Sarawak diiktiraf adil-setara dengan Semenanjung Malaysia;

Keempat : Kami menuntut 20% daripada hasil royalti minyak dikembalikan kepada negeri yang menjadi pengeluar petroleum;

Kelima : Kami menuntut kerajaan mengiktiraf dan meningkatkan profesionalisme, menjamin kebajikan dan melindungi masa depan kakitangan awam termasuk guru-guru dan anggota keselamatan;

Keenam : Kami menuntut kehidupan dengan persekitaran alam yang bersih dan menyihatkan;

Ketujuh : Kami menuntut agar bahasa kebangsaan dimartabatkan dan bahasa ibunda kembali dijulang dan bahasa Inggeris dipertingkatkan di dalam sistem pendidikan Negara serta pendidikan percuma untuk semua anak Malaysia;

Kelapan : Kami menuntut pembebasan semua tahanan politik yang ditahan tanpa keadilan;

Kesembilan : Kami menuntut agar kampung-kampung tradisi dan tempat-tempat warisan dipelihara, dilindungi dan dipertahankan; dan

Kesepuluh : Kami menuntut kehidupan yang lebih baik untuk wanita sebagaimana termaktub di dalam Agenda Wanita Malaysia

Dengan ini, kami yang berhimpun disini, pada petang ini, sesungguhnya berikrar dan bersetia untuk meneruskan perjuangan sehingga kesemua tuntutan-tuntutan kami didengar dan dipenuhi.


Masih relevankah tuntutan tersebut. Kelihatan tiada yang istimewa, sekadar ulangan tuntutan sebelum ini. Media massa pemerintah cuba mengekploitasi keadaan ini dengan kononnya ramai peserta khususnya ahli PAS ( macamana mereka tahu itu ahli PAS ? ) keluar stadium ketika pemimpin DAP bersemangat memberikan ucapan.

Mengapa Stadium Merdeka ?
Di Stadium Merdeka laungan keramat ‘merdeka’ pernah dilaungkan oleh Perdana Menteri Pertama. Merdeka daripada penjajahan British.

Stadium Merdeka dijadikan simbol usaha ‘memerdekakan’ semula rakyat, merdeka daripada pemerintahan BN yang disifatkan sebagai menindas.

Ini dapat dilihat daripada deklarasi serta adanya poster kempen menyelamatkan Felda, isu Lynas serta tuntutan royalti petroleum daripada negeri Kelantan dan Terengganu.

Apa selepas ini ?
Pembangkang telah berkali-kali membuktikan sokongan besar yang mereka perolehi, selepas beberapa perhimpunan dan protes diadakan sejak penghujung 2007, meliputi isu pilihan raya bersih dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA.

Bagaimana ‘perasaan’ parti kerajaan ? Tidakkah angka kehadiran menjadi tanda atau mesej betapa parti pembangkang sekarang memang mendapat sokongan besar ? Apakah keramaian tersebut masih belum mampu mengugat kedudukan BN dalam PRU akan datang ? Atau sekurang-kurangnya parti pemerintah terpaksa menukar strategi ?


Agenda protes yang diperlihatkan mungkin sedikit sebanyak menarik ‘simpati’ atau sokongan daripada orang ramai untuk bersama pembangkang. Namun seharusnya isu-isu yang melibatkan tadbir urus kerajaan yang lebih baik, meningkatkan taraf hidup rakyat tetapi dalam masa yang sama mengurangkan kos sara hidup rakyat perlu diberikan tumpuan.

Ini kerana Pakatan rakyat bukan sebenarnya parti pembangkang, sebaliknya mereka juga adalah parti yang memerintah di Penang, Selangor, Kedah dan Kelantan. Sejauh mana deklarasi tersebut diaplikasikan dalam negeri berkenaan, atau masih hendak menunggu dapat pegang tampuk pemerintahan Malaysia baru boleh dilaksanakan semuanya ?