Lombong Sungai Lembing dahulu pernah dikenali sebagai sebuah tempat pengeluaran bijih timah yang utama di negeri Pahang Darul Makmur. Malah ia pernah menjadi tempat perlombongan bijih timah yang kedua terbesar didunia selepas Bolivia. Ini menjadikan Sungai Lembing sebagai sebuah bandar yang kaya dengan pengeluaran bijih timah, sehinggalah aktiviti perlombongan dihenti dan lombong ditutup pada tahun 1986.
Kini bandar Sungai Lembing kelihatan ‘uzur’ dan sekadar menjadi tarikan pelancong untuk melihat bagaimana aktiviti perlombongan pernah dilakukan di Sungai Lembing di Muzium Sungai Lembing. Tarikan terbaru ialah masuk terowong dan merasai sendiri bagaimana perlombongan bawah tanah pernah dilakukan di sana.
Aku berkesempatan ke sana pada 7 Julai 2013 setelah sekian lama berharap untuk sampai ke sana. Bandar Sg Lembing terletak kira-kira 40km dari bandar Kuantan. Kalau keluar daripada Plaza Tol LPT Kuantan, belok kanan dipersimpangan selepas bayar tol dan terus sahaja. Sekali lalu memasuki bandar ini macam bandar koboi saja. Kelihatan banyak bangunannya lama dan kelihatan uzur. Malah kelihatan banyak rumah yang kosong macam telah ditinggalkan penghuninya.
Muzium Sg Lembing
Muzium ini mula dibuka pada tahun 2003. Bangunan yang digunakan untuk dijadikan muzium tersebut merupakan rumah pengurus syarikat perlombongan di sana.
Ia terletak di atas bukit dan untuk ke sana, kenalah parking kererta di bawah dan mendaki untuk sampai ke bangunan Muzium Sg Lembing. Tiada bayaran masuk dikenakan.
Agak menarik susunan dan aturan bahan pameran walaupun agak banyak bahan yang hendak di pamerkan. Bersih dan sangat berinformasi.
Selain daripada penceritaan sejarah pembukaan aktiviti perlombongan bijih timah di Sg Lembing turut dipaparkan bagaimana aktiviti perlombongan dilakukan, kehidupan pelombong, hasil bijih yang dilombong serta kegunaan bijih timah.
Memang agak menakjubkan dan begitu mengujakan. Sg Lembing suatu ketika dahulu memberikan sumbangan yang besar terhadap ekonomi dan industri timah dunia. Bilangan pengunjung pun boleh tahan, tidak putus-putus menerima kunjungan, termasuk dari luar negara.
Aku kira kira-kira satu jam aku menghabiskan masa dalam bangunan muzium, diikuti dengan beberapa bahan di luar bangunan seperti kenderaan dan peralatan perlombongan.
Terowong Sg Lembing
Kemudian kami menyurusi turun untuk beredar pula ke pintu masuk terowong dalam tanah yang terletak kira-kira 1 km daripada pintu masuk muzium. Jalan kaki tidak sampai, tambahan kena menaikki bukit.
Apa yang mengujakan untuk di lawati, torowong di sini dikatakan terowong untuk lombong timah yang terbesar, terpanjang dan terdalam di dunia. Mungkin masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mengetahuinya, termasuklah aku sebelum ini. Atau rekod ini tidak begitu penting berbanding rekod-rekod lain seperti manusia terkaya, ratu cantik atau pemain bolasepak termahal ?
Nak masuk kena beli tiket. Ketika aku kesana, harga promosi diskaun 50%. Kalau biasa RM30 untuk dewasa, jadi aku bayar RM15 sahaja. Terasa mahal juga. Untuk warga emas, 60 tahun ke atas, ada diskaun lagi. Jadi cuma RM 7.50 sahaja.
Perjalanan bermula dengan menaikki gerabak keretapi kecil, siap dengan railnya sekali. Ingatkan jauh perjalanan, rupanya hanya memasuki terowong kira-kira 80meter panjangnya, kemudianya kami dikehendaki turun berjalan.
Tetapi suasana dalam terowong agak sejuk dan basah. Keadaan basah disebabkan air bukit yang sentiasa mengalir keluar.
Kehadiran lampu-lampu menerangi keadaan terowong yang tentunya gelap tanpanya. Sesekali terddapat patung-patung pelombong dan signboard penerangan. Nampak di beberapa kawasan, lubang terowong diperkuatkan dengan binaan konkrit, mungmin mengelakkan keruntuhan.
Namun terdapat juga keadaan dinding terowong yang asli dipaparkan. Terbayang aku bagaimanakah manusia dahulu mengorek lubang hingga menjadi terowong bagi mendapatkan bijih timah ?
Lubang Sejuta Ringgit
Jalan punya jalan tiba di suatu kawasan yang dipanggil Lubang Sejuta Ringgit. Kenapa dipanggil demikian ? Terdapat video yang menceritakan mengapa. Ia berkait rapat dengan saat-saat kemerosotan perlombongan bijih timah. Dimana akibat pengeluaran yang merosot dan tidak ekonomik untuk diusahakan, ramai pekerja mulai hilang sumber pencarian kerana syarikat perlombongan tidak membayar gaji pekerjanya.
Namun sekumpulan pekerja secara rahsia telah secara nekad menyeludup masuk dan melakukan aktiviti perlombongan untuk beberapa bulan. Hasil yang berjaya dikeluarkan dikatakan berjumlah kira-kira Sejuta Ringgit. Sehingga sekarang, mereka yang terlibat dengan aktiviti ini masih belum diketahui.
Simulasi Lif
Lif ini cuba mengambarkan bagaimana ianya digunakan masa dahulu. Mungkin tidaklah macam kebanyakan lif bangunan zaman moden sekarang ini. Bersesak kira-kira 10 orang masuk dalam sesuatu masa selama kira-kira 10 minit.
Namun tiadalah yang menarik sangat. Tak begitu terasa seolah-olah lif bergerak, walaupun cuba digambarkan menerusi skrin TV yang terdapat di dinding lif berkenaan.
Naik dan turun ke simulasi lif memerlukan kita naik ddan turun tangga. Namun disediakan juga pengangkutan yang ala-ala digunakan oleh pelombong ketika dahulu.
Kepenatan
Menyusuri laluan terowong walaupun sejuk, tetapi memenatkan. Mungkin dalam terowong ini tidak sesuai untuk OKU, orang tua atau yang menghadapi masalah berjala jauh termasuk naik turun bukit.
Terdapat sign board yang melarang mereka yang menghidap asma untuk masuk. Mungkin sebab kurang oksigen di dalam terowong. Keluar daripada kawasan terowong, terdapat beberapa kedai menjual pelbagai cenderahati serta makanan ringan.
Aku terus ke kenderaanku untuk pulang. Penat tetapi puas hati. Tapi kalau rega tiket tadi RM30 ?