Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur edisi yang ke-33 ( KLIBF 2014 ) berlangsung 24 April hingga 4 Mei 2014 di PWTC. Dikatakan ini adalah pesta buku yang terunggul di Malaysia. Mungkin kerana usia, dari dulunya hanya dinamakan Pesta Buku Kuala Lumpur. Masih teringat juga masa di universiti dulu pernah juga hadir. Hanya sejak 10 tahun lalu ianya menjadi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Dari setahun ke setahun, ia menjadi semakin popular dan berjaya menarik penyertaan syarikat berkaitan buku dari pulohan kepada ratusan serta berjaya menarik pengunjung daripada jumlah puluhan ribu kepada ratusan ribu. Mungkin kini jutaan pengunjung datang ke pesta buku ini. Apa tidaknya, pada hari ketiga sahaja, dikatakan sudah menerima lebih daripada 300,000 pengunjung. Mungkin selaras dengan pertambahan penduduk Malaysia juga.
Aku yang hadir pada hari ke-3 sejak ianya dibuka, terasa akan kesibukan dan kesesakan di mana-mana bilik, ruang legar dan dewan pameran.
Apakah fenomena ini Ini menjawab persoalan atau kebimbangan cendikiawan pencinta buku terhadap resolusi satu kajian dahulu bahawa minat membaca buku di Malaysia sangat rendah. Kita hanya membaca 2 mukasurat setahun.
Memang penemuan itu telah mencetuskan pelbagai polemik. Tidak kisahlah bagaimana kajian dilakukan, tetapi bagaimana sebuah negara sedang membangun membangun dengan Wawasan 2020nya mempunyai rakyat yang dikira malas membaca ? Ini belum lagi soal apa yang dibaca.
Aku, malah mungkin ramai rakyat Malaysia lain pun dulunya banyak membaca untuk lulus periksa dan untuk pekerjaan. Dari sekolah rendah sehinggalah ke universiti. Kita belajar macam bukan untuk menambah ilmu, tapi untuk lulus periksa, demi mengenggam sijil dan ijazah bagi melayakkan kita memperolehi kerja.
Mungkin lantaran itulah gerakkan mengalakkan membaca dipromosikan dengan berleluasa oleh pihak kerajaan khususnya menerusi Perpustakaan Negara dan Kementerian Pendidikan.
Dasar Galakan Membaca telah dibuat bagi melaksanaan fungsi Perpustakaan Negara Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perpustakaan Negara (Pindaan) 1987 (Akta A667) Bahagian II Seksyen 4(2) iaitu : “menggalakkan dan memudahkan penanaman sifat gemar membaca”.
Dasar ini pula menyokong matlamat Dasar Buku Negara yang diluluskan oleh kabinet pada tahun 1988, iaitu berobjektif memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti. Ia menjadi pemangkin kepada pelbagai penganjuran pelbagai program dan aktiviti kesedaran, memupuk minat dan pengalakkan membaca termasuk Pesta Buku Kuala Lumpur.
Selepas beberapa tahun gerakan dijalankan, kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia kemudiannya mendapati setiap orang secara purata membaca dua buku setahun.
Buku Dan Budaya Membaca
Ada peningkatan. Bagaimana pula sekarang ? Sejauh mana aktiviti membaca telah menjadi pilihan ketika berehat dan meluangkan masa untuk diri sendiri.
Sejauh mana rakyat Malaysia membaca dan mendapatkan buku untuk menambah pengetahuan, memperkembangkan hobi dan bakat, mencari penyelesaian atau membuat sesuatu persediaan ?
Aku kira walaupun pelbagai angka kajian dikeluarkan, namun orang Malaysia pada pandanganku masih tidak mempunyai budaya membaca yang baik. Masih jarang kita melihat orang membaca ketika menunggu atau setelah berada di dalam bas, keretapi atau kapalterbang. Baca facebook aje ?
Mungkin memang ada banyak pembaca, membaca akhbar, blog online dan majalah, tetapi mungkin tidak banyak orang membeli buku. Harapkan yang free sahaja.
Benarkah faktor harga juga menyebabkan kita kekadang masih berkira-kira untuk membelanjakan RM50 bagi membeli buku yang bagus berbanding membeli DVD cetak rompak atau rokok. Bagiku sebenarnya kita masih kurang dalam hal menghargai hasil orang lain, atau kita sendiri tidak dapat menilai sama ada sesuatu karya atau buku tersebut bagus dan bermutu. Jika tidak, masakan CD audio, VCD movie dan DVD software cetak rompak masih berleluasa.
Tidak tahulah sama ada kajian empirical hubungkait antara minat membaca dengan membeli buku untuk dibaca. Namun umumnya lebih ramai orang minat membaca, maka lebih banyak buku dikeluarkan di negara kita lantaran ada pembelinya. Kalau tidak tentu banyak syarikat penerbit gulung tikar.
Aku dan Penulisanku
Bagiku keterlibatan aku dalam menjadi editor kepada beberapa penerbitan majalah bulanan atau bulletin kelab di ofis dulu-dulu menyebabkan aku perlukan lebih membaca.
Ini ditambah keinginan memupuk minta membaca yang sama kepada anak-anak lantaran aku percaya ibubapa yang membaca akan mempengaruhi anak-anak untuk membaca.
Malahan pelbagai aktiviti membaca yang diterap kepada pelajar sekolah menerusi program NILAM ( Nadi Ilmu Amalan Membaca ) juga telah mempengaruhi ibubapa mereka juga untuk kembali kepada buku.
Facebook Membunuh Blogspot
Kiranya kemuculan awal blogspot menyemarakkan budaya membaca. Untuk menulis sesuatu, kita perlukan membaca beberapa penulisan dan pemikiran orang lain daripada makallah dan buku selain kini google di internet sahaja. Begitulah yang berlaku kepada ku, kekadang perlu mebaca untuk mencipta entry memenuhi blog.
Namun blogspot atau yang seumpamanya dengannya seperti wordpress, makin kurang popular apabila munculnya Facebook. Bagiku facebook membunuh orang ramai berkarya dan menulis menerusi blogspot dan wordpress. mana ade orang tulis panjang-panjang dalam facebook.
Hari Raya Buat Pecinta Buku
Walau apapun bagi pencinta buku, mungkin menerusi pesta buku seumpama KLIBF ini menjadi peluang bagi mereka untuk mendapatkan buku-buku yang sukar dicari dengan harga yang kira murah kalau pun tidak harga yang berpatutan.
Kiranya Pesta Buku Kuala Lumpur adalah hari raya untuk semua yang cintakan buku dan suka membaca. Kehadiran rombongan bas sekolah dari pelbagai negeri membuktikan betapa KLIBF memang sesuatu yang istimewa dan di tunggu-tunggu ramai. Baguslah begitu.