Tribut Buat Sang Pencerah

Pemergiannya betul-betul menyentak hatiku yang sedang sibuk dengan urusan duniaku. Terasa ingin terbang atau drive ke Kota Bharu memberikan penghormatan terakhir buat seorang yang aku kira Lagenda Negara, dikagumi ramai dan mempunyai aura tersendiri. Rasanya first time dapat lihat beliau secara live ialah dalam satu ceramah di Masjid UKM, kekira tahun 1983. Manakala kali terakhir ialah ketika mengikut kuliah pagi beliau Dataran Ilmu Kots Bharu, 11 Sept 2014.

Terasa sebak melihatkan gambar-gambar beliau ketika hidup, juga suasana penkebumian beliau. Namun aku rasa tidak layak nak mengkisahkan tentang diri arwah Tok Guru, cukuplah dari apa yang sempat ku kutip dari beberapa yang lebig dekatt dengan beliau dan aku selang-selikan foto-foto arwah yang terdapat dalam koleksi lensaku. Ya Allah, terimalah beliau kembali kepada Mu dan berilah syurga buatnya.

Tribut Buat Sang Pencerah
Oleh:Dr Riduan Mohamad Nor

Seakan petir menyambar relung hati apabila mesej kepulangan abadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat aku terima saat sedang berforum memperingati as syahid Hasan al Banna di masjid al Azim Pandan Indah. 12 Februari 1949, umat Islam kehilangan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin dan 12 Februari 2015, dunia Islam kehilangan pula Mursyidul Am Pas. Airmata mula bergenang dan aku menamatkan forum malam itu tanpa ada sesi soaljawab, terasa jasad longlai dan kehilangan patah-patah kata. Terpanar!.

Aku mula merasakan kehadiran Ayah Ziz dalam hidupku pada tahun 1986, apabila Ketua Dewan Ulama Pas Pusat itu memberikan kuliah subuh di Masjid Rusila sempena Muktamar Pas Pusat. Sejujurnya aku tertidur culas semasa kuliah subuh berlangsung, suara perlahan yang penuh mutiara ilmu itu tak mampu dicicip oleh aku dan teman-teman remaja berseluar jeans lusuh dan berbaju T. Kami mengambil Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun tersebut. Pada malam itu hujan turun ketika kami melabuhkan badan di perkarangan Masjid Rusila, kami berlari masuk menyambung dekuran dalam masjid dan menyambung tidur lagi semasa kuliah subuh berlangsung. Aku merenung kembali nostalgia ini dengan dada sebak dan air jernih mengalir dipelupuk mata, merasa beruntung kerana jamaah ini dipandu oleh ulama dan tidak meminggirkan kami anak-anak remaja yang jahil.

Pada tahun 1990 pula bersama teman-teman yang mengambil peperiksaan STPM, kami bertakbir kegembiraan di perkarangan Pejabat Daerah Marang, bukan sahaja meraikan kemenangan Tuan Guru Haji Hadi Awang di Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang, juga kerana keberhasilan PAS menawan kembali Kelantan melalui pemuafakatn politik APU.


Nama Tuan Guru Nik Aziz mulai diratib oleh rakyat negara ini apabila menjadi Menteri Besar Kelantan, dengan penampilan sederhana alumni Deoband dan al Azhar ini mula mendapat sorotan lensa dan menjadi tajuk utama berita. Sosok ini menjadi fenomena politik dan dakwah tanahair, ribuan manusia menghadiri kuliah dan ceramahnya dimana sahaja beliau hadir. Paling menarik, kejayaan almarhum melintasi garisan politik kepartian, sosok dan aura sebagai negarawan mengiringi pelbagai ilmu yang beliau miliki.

Tuan Guru Nik Aziz semenjak usia mudanya sehinggalah sebelum beliau dimasukkan ke wad ICU berhempas-pulas berjuang untuk mewajahkan islam yang sebenar kepada masyarakat negara ini yang telah jauh meninggalkan agama akibat penjajahan dan juga pengisian kemerdekaan oleh parti pemerintah yang tidak meletakkan islam sebagai agama sistem hidup. Tuan Guru seorang tokoh yang tidak berhenti untuk mendidik dan men'tarjih' masyarakat untuk menjadi subur jiwa dengan haruman ketaqwaan. Hujan, panas, kekangan masa serta kepenatan diri tidak menjadi alasan untuk beliau berhenti mengajar dan menyantuni segenap lapisan masyarakat.Beliau telah menjadi milik masyarakat dan negara bahkan menjadi simbol kepada rakyat tertindas di negara ini.

Semenjak dilantik sebagai MB beliau kekal mendiami rumah kampungnya yang serba sederhana yang dijirani dengan masjid dan Sekolah Agama Darul Anuar yang didirikan oleh Almarhum orang tuanya sendiri. Segak bergaya dengan lilitan serban, bersampin dan berbaju melayu dan beliau juga memulangkan elaun rumah sebanyak tiga ribu ringgit kepada perbendaharaan negeri. Tidak ada jurang diantara beliau dengan rakyat pelbagai peringkat, datanglah seusai subuh setiap hari Jumaat, Tuan Guru melayan tetamu yang datang dari seluruh negara. Rumah dan masjidnya menjadi produk pelancongan bagi negeri Kelantan. Kuliah Subuh pagi Jumaat mempunyai tarikan yang besar kepada anak-anak tempatan dan pelancong luar Kelantan. Hidupnya tidak dikelilingi oleh pengawal peribadi seperti pemimpin lain di Malaysia, tiada skuad motor atau 'out rider' mengiringi beliau ke hulu ke hilir.

Jika hari lebaran tiba, berkunjunglah ke Pulau Melaka dan santaplah apa yang ada sekadarnya.Tuan Guru tidak membazirkan duit rakyat untuk jamuan raya rumah MB, elaun keraian MB juga diserahkan kepada perbendaharaan negeri, bahkan gajinya dipotong sebanyak 45 peratus untuk rakyat dan parti yang didokongnya. Seperti kata seorang sahabat, bahawa sosok ini akan muncul sekali dalam seabad malah permata kepada PAS yang ingin menterjemahkan konsep 'good governance'. Bayangan Umar Abdul Aziz memerintah (99H~101H) kini dan telah muncul di Kelantan. Tuan Guru mengingatkan kita kepada akhirat dalam arus pemodenan yang sarat dengan perlumbaan untuk meraih kemewahan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah sosok yang wajar diteladani oleh pemimpin-pemimpin gerakan Islam di negara ini. Beliau berjaya menunjukkan kepada rakyat negara ini dan juga dunia bagaimana untuk mengaplikasi ilmu-ilmu Islam yang dipelajarinya. Keupayaan ini sangat terserlah sehingga banyak ditiru olek kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri BN yang lain. Beliau mempunyai kekuatan spiritual yang ampuh bagi menghadapi serangan liar musuh dengan tidak mengabaikan amalan-amalan sunat bagi melestarikan amalan fardhu, tutur patahnya di saat tenang mahupun saat cemas semuanya dikaitkan dengan nas yang kukuh. Figur ini sering pula menjadi bidikan media milik BN dengan memutar belit kenyataan supaya sosok mulia ini dilihat angkuh, bodoh dan menjadi liabiliti kepada PAS, namun semua serangan ini akan dan telah menjadi 'boomerang'yang membahang batang tengkuk diri mereka kembali.

Almarhum Tuan Guru yang telah menikmati saat-saat gemilang dalam kehidupan, beliau telah diangkat menjadi ikon kepada seluruh masyarakat. Beliau bukan sahaja milik kepada ahli-ahli PAS namun juga rakyat biasa yang tidak menyertai mana-mana parti politik juga sangat senang apabila berbicara tentang beliau. UMNO sendiri mengakui bahawa agak sukar untuk mereka merampas kembali Kelantan ketika Tuan Guru masih berkuasa, sebagai mana yang kita lihat dalam PRU12, kempen'pade doh 18 tahun'yang dilancarkan oleh pemuda UMNO Malaysia dilihat tidak berhemah sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Kelantan yang masih setia bersama Tuan Guru selepas 18 tahun memerintah Kelantan.

Abad 20 telah menyaksikan ramai tokoh-tokoh Islam dengan kerencaman bakat dan kepakaran, Hassan al~Banna, Sayyid Qutb, Al~maududi, Dr M. Natsir, Yussuf Qaradhawi, Dr Mustapha as~sibaie, Abul Ali Hassan an~Nadwi, Ahmad Yassin, serta ribuan tokoh lain yang menulis sejarah dengan tinta emas.Namun,Tuan Guru bukan sekadar ideologue kepada gerakan islam malah pentadbir yang berkesan, satu ruang yang jarang dikecapi oleh tokoh-tokoh besar gerakan islam yang lain. Tidak kurang pula tokoh gerakan islam yang berada di singgahsana kekuasaan akhirnya terkumpul dengan imej kejabatan dan kebobrokan.

Almarhum Tuan Guru dalam tempoh lima penggal mentadbir Kelantan telah berinteraksi dengan khalayak yang pelbagai. Beliau tidak pernah berhenti untuk mendidik masyarakat Kelantan dan juga luar Kelantan. Pemikirannya sentiasa dikaji dan diperdebatkan. Tidak kurang pula kenyataannya dipolemikkan seperti isu 'tuhan samseng', 'bekerjasama dengan syaitan' dan pelbagai isu lain yang telah dipolitikkan dengan cara berlebihan oleh media. Tuan Guru dalam membuka ruang perdebatan telah memungkinkan rakyat dihidangkan dengan Islam yang sebenar, terlalu banyak isu yang berakhir dengan ramuan kesempurnaan disebelah Tuan Guru dan juga PAS serta negeri Kelantan.

PENUTUP
Tokoh murabbi ummah ini meninggalkan kita dengan seribu kebaktian dan menjadi cermin keteladanan di jalan dakwah, tarbiah dan siasah. Maestro dakwah ini menjadi arca yang memantulkan cahaya pembias sehingga mengharumkan gerakan Islam ini, pemergiannya ke negeri abadi untuk selamanya telah ditangisi jutaan manusia, melepasi sempadan geografi dan politik.

Ratusan ribu menyolatkan jenazah almarhum serta menyempurnakan pemakaman insan yang bukan hanya milik PAS tetapi ummah seluruhnya. Bersemadilah dengan penuh bahagia wahai sang murabbi dan kami akan terus menyambung perjuangan membentengi agama Allah ini sehingga Deenullah ini tegak di tanah leluhur ini.


(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lujnah Kebajikan Pusat)

Pesta Buku Selangor 2015

Pesta Buku Selangor 2015 telah berlangsung dari 29 Januari hingga 8 Februari 2015 di Pusat Konvensyen Shah Alam dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor menjadi penaja utamanya. Sebenarnya aku selalu termiss event ini, apakah sebab agak jauh tetapi kebetulan ada hal lain atau di luar kawasan. Kali ini aku singgah lantaran kebetulan ada jemputan kawin di bangunan berdekatan.

Namun mungkin buat pertama kalinya aku just jalan-jalan,, tengok-tengok tanpa membeli apa-apa lantaran tak terjumpa apa-apa judul buku yang aku berminat untuk memilikinya. Ha .. ha ...

Sekadar aku kongsikan beberapa gambar suasana pesta tersebut kerana aku tahu akan menyusul beberapa pesta buku di Putrajaya dalam bulan ini dan bulan depan.

Kanak-kanak menguji permaianan minda yang dipamerkan di salah sebuah booth pameran.

Agak menarik juga peribahasa di atas, walaupun agak kasar bunyinya. Membaca Jambatan Ilmu, Tidak Membaca Jambatan Bangang .... huh !

Kehadiran pengunjung ku kira boleh tahan juga, tetapi dewan pameran tidaklah begitu besar. Cuma satu kawasan sahaja. Tak tahylah kalau ada di kawasan atau tingkat lain.

Ini yang menarik minat ku walaupun apabila aku bandingkan dengan nasakah yang aku pernah beli di Bandung tahun lepas, ianya lebih mahal walaupun setelah 50% diskaun. Namun ianya ku kira pembelian yang berbaloi.