Menyelami Sedekad Tsunami @ Aceh : Day 2 - 26/12/2014

Aku bercita-cita nak solat suboh berjemaah di Masjid Baitur Rahman yang terletak kira-kira 10 minit berjalan kaki. Namun subuh itu hujan gerimis dan merencatkan hasratku. Kedengaran azan suboh dari pelbagai sudut, mungkin pelbagai masjid.

Sarapan pagi itu di sediakan oleh pihak hotel sebagaimana dalam pakej penginapan. Kelihatan ramai orang Malaysia yang turut menginap di hotel yang sama. Suara-suara perbualan orang Malaysia dan Kelantan kuat kedengaran. PPku kata memang hotel ini merupakan pilihan orang Malaysia. Hidangan juadah sarapan walaupun agak ringkas dan tidak banyak pilihan, tetapi sedap rasanya.

Majlis Memperingati 10 Tahun Tsunami
Kami cuba masuk ke Majlis Memperingati 10 TahunTsunami di Blang Padang. Nak masuk bukan main payah sebab banyak jalan di tutup, tetapi bila sampai rupanya untuk tetamu jemputan khas sahaja. PPku kata pada tahun lepas ianya terbuka umum, tetapi mungkin tahun ini spesial 10 tahun.

Banyak tempat menarik berupa tugu dan tanda peringatan di Blang Padang juga ditutup dan tidak dapat kami nak tengok dan ziarah masuk.

Kemudian kami menyusuri kawasan perkampungan lantas ke satu lagi tempat keajaiban akibat Tsunami iaitu kapal PLTD Apung hanyut jauh ke darat. Rupanya ditutup juga sebab sedang berlangsung Majlis Zikir Memperingati Tsunami di surau bersebelahan.

Tanah Perkuburan Masal Ulee-Lhee
Dalam perjalanan ke pantai Ulee-Lhee, kami ke Tanah Perkuburan Masal Ulee-Lhee. Ulee Lhee merupakan kawasan berdekatan pantai dan mempunyai pelabuhan sendiri.

Di sana juga sedang berlangsung majlis zikir memperingati tsunami. Kiranya majlis ini seperti majlis tahlil arwah dan tazkirah kepada kita yang masih hidup.

Tanah perkuburan ini menempatkan kira-kira 16ribu jenazah tsunami atau dipanggil juga sebagai Syuhada Tsunami.

Ia asalnya merupakan bangunan dan kawasan rumah sakit @ hospital kerajaan. Kesan bangunan masih wujud sehingga sekarang.

Mengikuti zikir dan tazkirah yang diberikan, menjadikan aku hiba dan sayu dibuatnya. Apatah lagi melihatkan pameran gambar-gambar kejadian dan mangsa tsunami di kawsan Ulee-Lhee. Tidak sedar air mataku mengalir.

Yang hadir pun bukannya semua tahu dan pasti bahawa keluarga atau sedara mara mereka dikebumikan di sini. Mungkin hanya berdasarkan lokasi rumah asal mereka.

Tiada batu nisan, hanya rumput menutupi permukaan tanah dengan batu sebagai penghias selain pengasingan kuburan dewasa dengan kanak-kanak.

PPku kata suatu ketika bilahan pintu yang tengah-tengah sering berpusing tanpa diketahui puncanya. Bagi mengelakkan rasa gerun penduduk, ianya kemudian dipasang selak penahan.

Di Perkuburan Ulee-Lhee ini aku diperkenalkan oleh PPku kepada Ustaz Mujibur, yang sering muncul dalam rancangan Dizkir Zikir terbitan TV Al-Hijrah. Aku kurang perasan walaupun sering menonton rancangan tersebut.

Beliau memang berasal dari Aceh dan terselamat dari bencana tsunami dengan berpaut dan menaikki kapal yang kini berada dia tas runtuhan rumah dan menjadi tarkan kesan tsunami. Esok kami ke sana. Beliau telah berkahwin dengan orang Malaysia dan kini mempunyai 2 orang anak.

Di pintu bilahan gerbang kuburan ini terdapat tulisan yang diambil dari Al-Quran Surah Al-Anbiya ayat ke-35, “Tiap yang berjiwa pasti akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan. Dan hanya kepada Kami-lah kamu dikembalikan”.

Zero Point Tsunami ?
Aku sebenarnya tak berapa faham. Kawasan perkampungan Uhle-Lhee dianggap zero-point tsunami lantaran ia tempat mula Aceh dilanda tsunami, iaitu jam 7.50pagi 26 Disember 2004. Bukankah zero point tu macam punca asal, iaitu di lautan.

Namun kawasan Ulee Lhee yang berada betul-betul di tepi laut menjadi salah satu kawasan yang paling teruk terkena tsunami. Hampir semua bangunan di kawasan ini rata dengan tanah atau hanyut terhempas gelombang ke arah Banda Aceh, berserta ribuan jiwa yang menjadi korban.

Keajaiban Masjid Baitur Rahim
Kawasan yang betul-betul dikatakan Zero Point Tsunami adalah di hadapan sedikit Masjid Baitur Rahim.

Masjid ini pula terletak kekira 100 meter dari pantai. Ketibaan kami disambut oleh tok siak yang bertindak sebagai juru penerang.

Ketika kejadian tsunami, beliau belum menjadi tok siak. Namun ketika itu beliau ada urusan dan berada di luar kawasan. Beliau kehilangan ramai kaum keluarganya yang tinggal berdekatan masjid disebabkan tsunami. Ketika itu, kubah masjid hampir tenggelam namun tidak rosak secara total dihempas tsunami.

Di suatu sudut, dipaparkan beberapa gambar kenangan tsunami, kerosakan yang dialami serta fasa pembangunan semula Masjid Baitur Rahim.

Menyingkap daripada segi sejarah, ianya agak panjang bermula sejak abad 17 lagi. Binaan kayu, dibakar penjajah Belanda, rosak oleh gempa bumi, pembinan semula dan pelbagai fasa sehinggalah gah berdiri dua tahun sebelum tsunami melanda.

Tanya Tok Siak, bagaimana struktur masjid boleh berdiri kukuh di saat bangunan lain ranap dan musnah sama sekali. Tentunya itu tanda kebesaran Allah. Bandingkan sahaja bangunan yang masih terdapat di Tanah Perkuburan Ulee-Lhee tadi sebagai bukti.

Pantai Ulee-Lhee
Setelah tsunami, beberapa kawasan darat yang dulunya dipenuhi dengan bangunan dan perumahan telah hilang disapu tsunami dan kini dipenuhi air atau merupakan sebahagian daripda laut.

Kami kemudian singgah di Pantai Ule-Lhee yang dulunya merupakan kawasan perumahan dan dipenuhi dengan pelbagai infrastruktur, kini menjadi sebahagian daripada Lautan Hindi.

Bermakna saiz permukaan daratan Aceh telah berkurangan. Dalam gambar di atas, sebelah kiri adalah pandangan sebelum tsunami dan di kanan adalah selepas tsunami.

Kawasan ini cuba dimajukan sebagai kawasan rekreasi kepada orang ramai dengan disediakan bot-bot rekreasi di samping mengekalkan beberapa kesan tsunami sebagai tarikan.

Kawasan jeti untuk ke Pulau Sabang, salah satu pulau destinasi pelancongan yang menarik dengan aktiviti snorkeling, terputus dengan tanah besar. Lalu di sambung semula dengan jalan yang dibina dengan penambakan tanah. Jalan masuk ke Pantai Ulee-Lhee juga ada ditutup menjelang maghrib bagi mengelakkan aktiviti tidak sihat dipantai pada waktu malam. Emm ...

Rumah Bantuan Tsunami
Selepas mayat dan serpihan kemusnahan dibersihkan, mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal terpaksa berteduh di pusat-pusat perlindungan sementara. Dianggarkan lebih 500,000 keluarga hilang tempat tinggal disebabkan tsunami. Untuk beberapa tahun mereka terpaksa bersabar untuk mendapat rumah baharu.

Untuk itu, pelbagai rumah bantuan didirikan di atas tapak keruntuhan rumah asal. Bentuk dan saiz rumah walaupun tidak banyak bezanya, bergantung kepada sumber atau negara penderma. Selalunya sekitar 36meter persegi, atau 20kaki x 20 kaki ?

Nampak ada yang sudah berubah daripada bentuk asal. Untuk ubahsuai kemudian adalah atas kemampuan masing-masing. Tidak kurang juga yang kosong tiada penghuni.

Dalam perjalanan antara tempat kunjungan dapat dilihat bentuk yang pelbagai rumah bantuan ini. Sesetengahnya mempunyai identity atau bendera negara penyumbang.

Kubah Tsunami
Menyusuri perkampungan dan sawah padi, akhirnya sampai kepada apa yang dipanggil sebagai Kubah Tsunami. Ia telah dihanyutkan oleh tsunami dari Masjid Desa Lam Teugoh yang terletak 2.5km serta mengalami kerosakan teruk akibat dihempas tsunami. Kubah ini menjadi saksi betapa dahsyatnya penangan tsunami sehingga terdampar di tengah-tengah sawah di kaki Gunung Gurah dari masjid asalnya.

Solid batu konkrit dan tentunya berat giler kubah tersebut. Dikatakan seramai 7 orang terselamat di atas ubah tersebut, termasuk naskah al-quran yang kini disimpan untuk pameran di bangsal pameran. Ketika tsunami, sampah dan mayat bergelimpangan sekitar sawah sehingga ke kaki bukit atau gunung.

Pernah suatu hari dikatakan seorang yang penuh mistri datang dan merenung dengan lamanya kubah tersebut. Bila ditanya, dikatakan bahawa ada 3 orang berpakaian serba putih yang membawa kubah tersebut ke sini.

Apabila disemak, 3 orang tersebut dikatakan merujuk kepada perkuburan di masjid tempat asal dimana seorang ulama besar iaitu Tengku Hamzah Fansuri bersama dua anak muridnya dikebumikan.

Pada awalnya ramai yang mencadangkan agar dimusnahkan sahaja kubah tersebut dan dijual besi untuk dijadikan duit. Namun seorang penduduk yang terselamat, Darmawan berusaha untuk membersihkan dan mengekalkannya. Darmawan ketika tsunami 'bersembunyi' di luar kawasan lantaran dikehendaki kerana penglibatan dalam Gagasan Aceh Merdeka.

Tindakan Darmawan yang pada mulanya ditertawakan ramai, akhirnya mendapat sokongan ramai setelah pemilik tanah di mana kubah tersebut berada bersetuju untuk mewakafkannya atas dasar syukur kerana terselamat dari tsunami dengan berlindung di sebuah masjid lain.

Lantas dibina laluan di tengah-tengah sawah bagi membolehkan orang ramai dapat datang dan menyaksikan sendiri. Seterusnya bantuan kerajaan diperoleh bagi memperelokkan laluan masuk sebagaimana sekarang. Namun jalannya masih sempit. Bagaimana kalau bas pelancung yang datang ke sini ?

Selain dari pagar sekeliling kawasan kubah, terdapat juga beberapa gerai jualan makanan dan souvenir berhampiran. Juru penerang turut memperkenalkan kami dengan Zaharah yang menjadi yatim kerana kematian ayahnya disebabkan kanser.

Dimaklumkan juga bahawa tahun 2014, baru sawah padi mereka disekitar kawasan kubah menjadi dan dijangka dapat dituai Februari 2015 nanti. Bayangkan betapa susahnya mereka hendak survive !!!

Makan Tengahari di Rumah Makan Al-Hidayah
Kami singgah makan tengahari di sebuah restoren yang dinamakan Rumah Makan Al-Hidayah. Macam biasa, ala nasi padang dengan pelbagai lauk dalam pinggan-pinggan kecil.

Yang specialnya ialah masakan sup dagingnya. Mengikut PPku, jumlah harga hidangan untuk 5 orang tadi ialah Rps 260,000 @ RM 80 atau kira-kira 16 seorang. Mahal ke ?

Solat Jumaat Di Masjid Raya Baitur Rahman
Mengejutkan, sudahlah sesak nak sampai dan apabila sampai rupanya kena beratur menuju pintu masuk.

Pemeriksaan keselamatan dilakukan memandangkan ramai VVIP dan wakil negara luar termasuk Timbalan Presiden Indonesia, Jusuf Kala solat Jumaat di sini hari ini. Tetapi sedang aku beratur bersama PPku, aku dipanggil untuk terus masuk kedepan tanpa berbaris. Mungkin simpati kerana aku kelihatan dah tua ?

Semua jemaah kena melalui pintu pemeriksaan seperti di airport. Kot-kot ada senjata api. Bila pintu berbunyi, seroang anggota keselamaatn memeriksa badanku, katanya “demi keselamatan bersama”. Aku nampak yang banyak dirampas ialah jarum peniti, lighter dan benda tajam seperti pisau kecil.

Kemudian beratur pulak nak amik wuduk. Masjid penuh sesak dan aku kira tak muat jemaah di dalam ruang solat masjid.

Khutbah disampaikan oleh Syeikh Jabir Ali lagi. Selepas solat ada ucapan khas daripada Timbalan Presiden sempena 10 tahun tsunami yang disampaikan di atas mimbar.

Lepas solat aku ditegur oleh seorang jemaah yang katanya dia terselamat daripada tsunami kerana berada di Johor menguruskan abangnya yang ditahan di Penjara Kajang. Macamana dia tahu aku orang Johor, baru ku sedari yang aku memakai landyard JDT.

Singgah di kedai buku berhampiran masjid, tetapi tak ketemu buku atau kitab yang aku berkenan. Then balik semula ke hotel. Patutnya aku cari buku berkaitan tsunami, khususnya di Aceh.

Kapal PLTD Apung
Lepas rehat solat Jumaat kami sekali lagi ke tempat ini. Masuk percuma tetapi parking kena bayar dan digalakkan derma. Kutipan yang terkumpul dikatakan menjadi sumber bagi membiayai aktiviti dan pembangunan surau berdekatan.

PLTD bermaksud, Pemangkin Letrik Tenaga Diesel. Ia merupakan kapal bagi membekalkan elekrik kepada Banda Aceh. Semasa tsunami melanda, ia berada di tepi pantai Ulee-Lhee ( dekat Masjid Baitur Rahim tadi ) dan dihanyutkan kira-kira 3 kilometer ke tempat sekarang.

Saat sebelum tsunami berlaku 6 daripada 7 pekerja kapal tersebut turun memeriksa, kenapa kapal ini berkeadaan senget. Lantas terkorban dihempas ombak tsunami yang datang beberapa minit kemudiannya.

Bayangkan kapal besar yang seberat 2,500 tan boleh hanyut dibawa sejauh itu oleh ombak tsunami. Selaju dan sekuat mana hempasan ombak tsunami ? Di bawahnya pula dikatakan terdapat sekurang-kurangnya dua rumah dan ratusan syuhada tsunami. Masya'allah.

Kini ia menjadi daya tarikan utama kesan tsunami untuk tontonan dan peringatan kita yang masih hidup. Generator asal isi dalam kapal telah dibawa keluar dan pengubahsuaian sedang dilakukan untuk dijadikan galeri pameran. Kena datang lagi ni ...

10 minit menjelang masuk asar, kawasan ini ditutup daripada kunjungan dan dibuka semula 20 minit kemudian. Ketika di sana, pengumuman dibuat supaya semuanya beredar keluar. So tak sempat nak menghayati betul-betul disebalik peristiwa kapal PLTD ini. Jam 12 hingga 2 petang juga ditutup.

Jurucakap yang mengiringi kami menyatakan dia terselamat daripada tsunami bersama ibunya yang Berjaya diselamatkannya. Walaupun berjanji untuk tidak kawin dan terusan menjaga ibunya, namun atas permintaan ibunya dia kawin juga demi warisan masa depan.

Namun anak dilahirkan isterinya dikatakan tidak sempurna tangannya. Menurut nasihat seorang doctor pakar dari Penang, ia mungkin kesan kandungan air tsunami yang melanda. Dikatakan air itu hitam mungkin mengandungi belerang serta bahan kimia.

Ketika aku keluar, azan asar sedang berkumandang dari surau berhampiran. Aku ditegur oleh PPku kerana menghulurkan sumbangan kepada jurucakap itu, sama ada diminta atau memang nak bagi.

Ini kerana pernah jadi isu dahulu, jurucakap merayu sumbangan daripada pelawat. Mereka telah dibayar gaji oleh pemerintah.

Perushaan Makanan Tempatan
Singgah sebentar di deretan gerai tepi jalan yang menjual pelbagai makanan tempatan. Pelbagai makanan seumpama di Malaysia terdapat juga di sini seperti kerepek.

Kami membeli beberapa sebagai ole-ole, mana yang tidak kedapatan di Malaysia. Sedap kuih Lontong Paris tu.

Mereka juga menyediakan sampel untuk dirasa. Aceh dikatakan mengeluarkan sendiri kopi, tapi tak tahu mana jenis kopi yang terbaik atau paling sedap.

Menyusuri Jalan Termahal
Kami kemudian menyusuri jalan sebelah pantai barat menuju perkampungan nelayan Lhok Seudu.

Menurut PPku, kami melalui sebahagian daripada jalan yang dibangunkan dengan sumbangan atau biaya pihak Amerika dengan kos sekitar USD 1juta bagi setiap 1 kilometer. Mahal giler. Mungkin logik memandangkan terpaksa menebuk bukit dan melalui tanah baru selain pembinaan jambatan dan membawa bahan binaan.

Kami juga melalui sebuah kilang simen syarikat La Farge yang dikatakan oleh PPku, terbesar di Asia Tenggara.

Gerai Ikan Kering Lhok Seudu
Akhirnya kamai singgah di deretan gerai tepi jalan Lhok Seudu yang menjual hasil laut kering seperti ikan bilis, ikan kering, udang kering dan sotong kering.

Yang menarik perhatianku ialah sotong kurita kering yang besar digantungan.

Di belakang deretan gerai merupakan dulunya perkampungan nelayan. Cantik pemandangannya. Namun kini ramai yang telah berpindah ke tanah tinggi setelah ranap dilanda tsunami.

Perkampungan Lampuuk
Kemudian kami berpatah balik menuju Banda Aceh, lalu singgah di perkampungan Lampuuk. Perkampungan ini merupakan antara kawasan yang musnah teruk dilanda tsunami, memandangkan ianya terletak di tepi pantai sebelah barat.

Pembangunan semula perkampungan ini banyak dibiayai oleh negara Turki, termasuklah infrastruktur kemudahan awam serta rumah bantuan.

Ini dapat dilihat menerusi pintu gerbang masuk serta lambang bulan bintang negara Turki di rumah-rumah bantuan yang dibiayainya.

Dalam perjalanan masuk kami dapat melihat Perkuburan Masal Lampuuk. Tak tahu berapa ramai syuhada tsunami dikebumikan di sini.

Keajaiban Masjid Rahmatullah Lampuuk
Menarik di sini ialah keajaiban Masjid Rahmatullah yang terselamat dari kemusnahan oleh hempasan bencana tsunami, tatakala binaan dan rumah sekitarnya musnah seperti padang jarak padang tekukur sedangkan jarak dengan pantai kekira 400 meter sahaja.

Air dikatakan mencecah paras bumbung. Dikatakan yang terselamat ialah mereka yang sempat lari ke bukit yang berdekatan.

Kini luaran dan dalaman masjid ini kelihatan cantik sekali.

Namun terdapat satu sudut kerosakan dalam masjid yang sengaja dibiarkan, barangkali untuk tatapan dan menginsafi kejadian tsunami yang pernah melanda.

Juga dipaparkan gambar-gambar lain keadaan sekitar masjid setelah tsunami. Aku agak tersentuh melihatkan gambar beberapa orang penduduk yang terselamat solat berjemaah di masjid ini dalam kegelapan maaghrib. Di mana yang lain ? itukah sahaja yang tinggal dan terselamat ?

Berdasarkan kesan tsunami yang ditinggalkan, aku kira ini destinasi wajib jika ke Aceh dan Pantai Lampuuk, sekiranya ingin menginsafi dan menghayati impak tsunami.

Pantai Lampuuk
Selain ke Masjid Rahmatullah, pelan asal kami ialah untuk melihat matahari tenggelam di Pantai Lampuuk. Tapi banyak jalan masuk ke pantai ditutup dan awanpun nampak agak tebal.

Lantas singgah di pantai lain yang bersebelahan. Pemandangannya agak cantik juga. Walaupun ombak agak kuat, ada yang bermandi manda serta melakukan aktiviti surfing.

Gerai-gerai tidak dibuka jualan, lantaran larangan berniaga pada hari Jumaat di kawasan ini.

Makan Malam Di Restoren Canai Mamak KL
Balik semula banda Aceh. Malam itu aku di bawa makan di Restoren Canai Mamak Kuala Lumpur.

Ia diusahakan oleh anak tempatan Aceh yang pernah bekerja membuat roti canai di Damansara Damai Petaling Jaya antara 2000 hingga 2005.

Selepas tsunami, pengusaha restoren ini kembali ke Aceh dengan membuka gerai tepi jalan menebar roti canai. Walaupun pada asalnya dianggap ganjil, namun sambutan ramai dari semasa ke semasa.

Bermula pada tahun 2005 dengan nama Canai Aceh, kemudian Canai Mamak dan akhirnya Canai Mamak Kuala Lumpur sehingga sekarang. Mungkin agaknya orang Aceh yang asalnya makan kerana perasaan ingin tahu roti canai Kuala Lumpur … haha.

Ketika kami di sana, ramai sekali pelanggannya. Difahamkan atas sambutan ramai, dah ada dua cawangan sekarang. Kedaipun bersih dan tersusun. Pekerjanya semua orang tempatan Aceh, hanya peralatan memasak dikatakan diimport dari Malaysia.

Aku mencuba Roti Canai Durian. Wau sungguh sedap. Kat KL ada ke ? Just nak rasa sebab kalau ikutkan kolesterol, dua kali ganda tu !!!

Tempahan dibuat dengan menanda pada senarai menu yang disediakan yang kemudiannya dikeyin ke dalam komputer touch skrin. Cetakan tempahan kemudian diedarkan kepada tukang masak. Canggih. Abang kepada PPku telah mengikat kontrak menyelenggara sistem perisian tersebut, yang diperolehi dari Jakarta.

Kepenatan
Penat tetapi puas hati. Memang hari ini berjalan jauh dan banyak tempat disinggahi. Sepanjang hari panas, kecuali ketika singgah makan malam di Restoren Canai Mamak KL. Berdasarkan berita dari Malaysia, nampaknya banjir di pantai timur semenanjung semakin buruk.

Namun sebelum tidur sempat singgah window shopping, plan apa nak beli sebagai kenang-kenangan esok hari.