Ucapan Perbahasaan Bajet 2017 Oleh Ex-TPM

Agak panjang, tetapi banyak fakta dan kisah menarik. Entah betul entah tidak mungkin masa akan menentukannya. Sekurang-kurangnya suatu catatan yang elok juga disimpan yang mungkin suatu masa nanti begitu bermakna kepada kita semua. Siapa tahu ?

Tuan Yang di-Pertua,

1.​Saya mengucapkan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambi bahagian dalam perbahasan Bajet 2017. Saya mengambil peluang ini untuk menyentuh beberapa perkara asas berkaitan dengan bajet dan pengurusan ekonomi negara.

2.​Pertamanya ialah mengenai tadbirurus ekonomi (economic governance). Bercakap mengenai soal ini, saya tidak dapat lari daripada menyentuh satu isu yang amat menggelisahkan kita hari ini iaitu isu 1MDB.

3.​Dahulu saya duduk di sebelah sana dan hari ini saya berdiri di sebelah sini pun kerana saya bercakap mengenai isu 1MDB. Saya meragui kewajaran Perdana Menteri menubuhkan 1MDB dan menjadi Pengerusi Lembaga Penasihatnya. Saya mempersoalkan mengapa 1MDB yang bermodal hanya RM1 juta tetapi menanggung liabiliti sehingga RM42 bilion disebabkan kerugian dan kehilangan wang yang tidak diketahui sebabnya. Akhirnya 1MDB menghadapi masalah kecairan wang tunai yang teruk sehingga tidak dapat membayar hutang piutangnya. Saya juga bertanya ke mana wang 1MDB lesap dan bagaimana sejumlah RM2.6 billion dijumpai dalam akaun peribadi Malaysian Official One?

4.​Banyak perkara yang saya bangkitkan mengenai skandal 1MDB ketika saya masih di dalam kerajaan. Saya tidak bersetuju dengan Perdana Menteri hampir dalam semua perkara yang melibatkan 1MDB. Semasa di dalam kerajaan saya menolak pelan rasionalisasi 1MDB untuk menyelesaikan hutang-hutang yang bertimbun menerusi penjualan aset-asetnya yang diperolehi dengan harga yang murah daripada kerajaan kerana saya percaya ada elemen-elemen terselindung yang tidak dijelaskan dengan nyata. Pelan tersebut tidak dibuat oleh pihak pakar yang bebas, tetapi disediakan secara dalaman sahaja oleh Kementerian Kewangan. Seolahnya Malaysian Official One ingin menyembunyikan fakta-fakta penting mengenai penyelewengan 1MDB daripada diketahui oleh pihak lain.

5.​Malah, selepas mesyuarat kabinet saya menghubungi mantan Peguam Negara dan bertanyakan beliau adakah wajar kabinet memutuskan pelan penstrukturan semula 1MDB. Bukankah itu tanggungjawab Lembaga Pengarah 1MDB? Peguam Negara bersetuju dengan pandangan saya dan kemudiannya keputusan kabinet ditukar daripada meluluskan pelan rasionalisasi 1MDB kepada mengambil maklum sahaja tentang cadangan tersebut. Jelas terbukti sekarang bahawa teguran saya terhadap pelan rasionalisasi 1MDB yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Tambun sebagai Menteri Kewangan II pada ketika itu adalah berasas bilaman apa yang diluluskan oleh Jemaah Menteri tidak dilaksanakan malahan apa yang berlaku hari ini berlainan sekali dari apa yang sepatutnya dilaksanakan.

6.​Begitu juga apabila kabinet diminta meluluskan pembiayaan sebanyak RM3 bilion kepada 1MDB untuk membayar faedah pinjamannya. Saya berasa amat tidak selesa dengan keputusan itu. Bilamana syarikat 1MDB ditubuh, kabinet langsung tidak dirujuk. Kehilangan wang berbilion ringgit pun tidak tidak dilapor kepada kabinet. Tetapi apabila syarikat ini menghadapi masalah untuk membayar hutang, barulah Perdana Menteri merujuk kepada kabinet untuk meminta sejumlah wang yang besar daripada kerajaan. Ini suatu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan prinsip tadbirurus ekonomi yang baik. Tiada ketelusan dan akuntabiliti. Saya amat tidak bersetuju dengan tindakan itu. Akhirnya, keputusan untuk meluluskan pembiayaan sebanyak RM3 bilion kepada 1MDB ditukar kepada kredit tersedia sebanyak RM950 juta.

7.​Akhirnya, apabila masalah 1MDB menjadi semakin parah, kerajaan terpaksa menanggung semua hutang-piutang 1MDB yang asalnya berjumlah RM42 bilion dan sehingga tahun lalu meningkat kepada RM53 bilion. Jumlah ini akan meningkat dari masa ke semasa apabila ditambah faedah yang mesti dibayar. Ini adalah satu kerugian yang amat besar kepada rakyat kerana wang rakyat terpaksa digunakan untuk membayar hutang 1MDB. Adakah wajar rakyat menanggung beban hutang sedangkan wang 1MDB telah dicuri dan disalahgunakan sewenang-wenangnya oleh Malaysian Official One dan konco-konconya untuk berfoya-foya dan bermewah?

8.​Saya berdoa semoga Malaysian Official One diberikan hidayah oleh Allah s.w.t. untuk mengakui kesilapannya, memohon maaf dan bertaubat nasuha di atas segala kemungkaran yang dilakukan. Rakyat yang bermaruah pastinya tidak akan bertolak ansur dengan kemungkaran. Malah adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk melawan dan mengubah kemungkaran. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadith sahih:

Yang bermaksud:

Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya (yakni kuasa), jika tidak mampu maka (ubahlah) dengan lisannya, jika tidak mampu maka (ubahlah) dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.

9.​Keduanya ialah tentang institusi-institusi penting negara seperti Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia yang gagal berfungsi atau menjadi, dengan izin, dysfunctional. Institusi-institusi ini telah disalahgunakan oleh Malaysian Official One untuk melindungi kesalahan jenayah besar yang telah dilakukannya. Peguam Negara dipecat, pegawai-pegawai SPRM ditukar dan dibersarakan, Gabenor Bank Negara diugut dan Ketua Polis Negara telah gagal melaksanakan amanah.

10.​Integriti institusi-institusi ini semakin dipersoalkan. Ketika pihak berkuasa di luar negara mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram yang ada kaitan langsung dengan 1MDB, di Malaysia seolahnya tiada apa yang berlaku. Di Amerika Syarikat, Peguam Negara memfailkan saman ke atas individu-individu yang dikaitakan dengan 1MDB, termasuk anak tiri Najib Razak. Peguam Negara Amerika Syarikat menemui bukti-bukti kukuh mengenai perlakuan jenayah kleptokrasi yang terbesar dalam sejarah dunia yang melibatkan kehilangan wang berjumlah sekurang-kurangnya US$3.5 bilion atau RM28 bilion. Di Singapura, beberapa buah bank ditutup kerana terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram yang ada kaitan dengan 1MDB. Di Switzerland, pihak berkuasa kewangan negara itu mendapati beberapa buah bank melanggar undang-undang mengenai pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan transaksi 1MDB. Semuanya bertumpu kepada skandal 1MDB yang mana Pengerusi Lembaga Penasihatnya adalah Perdana Menteri.

11.​Tetapi di Malaysia tiada apa yang berlaku. Kenapa senyap sunyi? Seolah-olah siasatan terhadap salahlaku oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam skandal 1MDB tidak dikuatkuasakan! Siasatan terhadap bekas CEO Shahrul Halmi tidak diambil. Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah yang berhenti tidak disiasat dan dilepaskan begitu saja. Tiada seorang pun dipecat atau dihadapkan ke mahkamah atas salahlaku yang dibuat oleh mereka. Yang nyata seolah-olah segala yang berlaku ini disahkan oleh Perdana Menteri. Peguam Negara yang baharu pun tidak menemui sebarang bukti untuk mendakwa sesiapapun yang terlibat dalam skandal 1MDB. Walaupun ada bukti RM42 juta wang SRC International masuk ke dalam akaun Perdana Menteri, tetapi Peguam Negara mendapati Perdana Menteri tidak melakukan apa-apa perbuatan jenayah. Pelik dan ajaib! Kalau seringgit pun duit syarikat milik kerajaan masuk ke dalam akaun penjawat awam tanpa ada sebab munasabah merupakan satu perbuatan rasuah, inikan pula RM42 juta masuk ke dalam akaun Perdana Menteri. Bagaimana Peguam Negara boleh mengatakan ini bukan perbuatan rasuah? Betapa rosaknya institusi Peguam Negara di bawah telunjuk Malaysian Official One!

12.​Seingat saya janji kerajaan bahawa isu dan masalah 1MDB ini akan diselesaikan pada tahun 2016 sebagaimana yang dibuat dalam cadangan rasionalisasi 1MDB hanya merupakan khayalan yang tidak mampu dilaksanakan dengan berlalunya tahun 2016 tidak lama lagi. Benarlah sebagaimana yang disebutkan oleh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB bahawa tahap pematuhan (compliance) dengan tadbir urus korporatnya adalah di tahap paling lemah.

13.​Isu ketiga yang saya ingin bangkitkan di Dewan yang mulia ini ialah tentang kedudukan kewangan kerajaan yang semakin meruncing dan ketahanan ekonomi negara yang kian lemah.

14.​Jelas, bajet untuk tahun hadapan dibentangkan dalam keadaan hasil kerajaan merosot hampir 10 peratus yang sebahagian besarnya disebabkan oleh kejatuhan harga minyak dunia. Purata harga minyak dunia telah jatuh daripada US$100 setong pada tahun 2014 kepada kira-kira US$52 pada tahun 2015, dan kini dengan purata kira-kira US$42. Akibat kemerosotan hasil kerajaan, defisit bajet negara kita telah meningkat kepada hampir 4 peratus pada bulan Ogos 2016. Begitu juga dengan hutang kerajaan yang semakin membebankan. Pada bulan Jun 2016, hutang kerajaan dilaporkan berjumlah RM655.7 bilion atau 53.2 peratus kepada KDNK. Jika diambil kira hutang 1MDB yang kini berjumlah lebih RM50 bilion, yang sebahagian besarnya dijamin oleh kerajaan, hutang kerajaan kepada KDNK adalah melebihi had 55 peratus yang ditetapkan.

15.​Ini menunjukkan bahawa kedudukan kewangan kerajaan amat meruncing. Dengan bayaran faedah bagi hutang kerajaan meningkat daripada RM20.3 bilion pada tahun 2013 kepada RM28.9 bilion pada tahun 2017, kutipan cukai GST sebanyak RM30 bilion nampaknya akan habis digunakan untuk menampung bayaran faedah sahaja.

16.​Malah, jika dilihat akan unjuran pendapatan tahun hadapan sekitar RM220 bilion, kerajaan mencadang akan membelanjakan sebanyak 97% daripada pendapatan negara untuk perbelanjaan mengurus. Ini amat merisaukan. Hanya lebih kurang RM5 billion sahaja yang ada untuk perbelanjaan pembangunan, maka dengan itu kerajaan terpaksa berhutang lagi sebanyak RM40 bilion untuk perbelanjaan pembangunan pada tahun hadapan.

17.​Lebih merisaukan kita ialah ketahanan ekonomi Malaysia yang semakin lemah. Hutang isirumah telah meningkat secara mendadak daripada RM90 bilion pada tahun 1997 kepada RM847 bilion pada tahun 2015, iaitu pertumbuhan hutang sebanyak 841 peratus. Hari ini, hutang isirumah Malaysia mencecah 89.9 peratus kepada KDNK, iaitu antara yang tertinggi di Asia.

18.​Saya bimbang dalam keadaan hutang kerajaan dan isirumah meningkat, rizab antarabangsa berkurangan, nilai ringgit jatuh, harga komoditi rendah dan kadar inflasi tinggi, negara kita tidak mampu bertahan jika berlaku serangan sepekulasi matawang, na’uzubillahi min zalik. Ketika ringgit kita diserang pada tahun 1997 sekurang-kurangnya rizab antarabangsa kita masih kukuh, harga komoditi masih tinggi dan kerajaan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan langkah-langkah rangsangan ekonomi dan mengeluarkan negara daripada krisis.

19.​Malangnya, bajet 2017 yang dibentangkan oleh Malaysian Official One langsung tidak menunjukkan bahawa kerajaan serius serta mempunyai pelan yang jelas untuk memulihkan ekonomi negara dan mempersiapkan Malaysia bagi menghadapi sebarang kemungkinan buruk yang akan berlaku akibat ketahanan ekonomi negara yang lemah.

Tuan Yang di-Pertua,

20.​Di awal ucapan saya tadi, saya menyebut tentang isu 1MDB. Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa saya membangkitkan isu ini. Apa kaitannya dengan bajet? Apa kaitannya dengan kepentingan rakyat?

21.​Kaitannya dengan bajet adalah jelas. RM53 bilion hutang 1MDB kini ditanggung oleh kerajaan. Tetapi malangnya, Malaysian Official One tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana hutang piutang ini hendak dibayar oleh kerajaan.

22.​Persoalannya, adakah kerajaan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melunaskan hutang piutang ini? Tentunya segala tanggungan ini perlu dilunaskan dengan menggunakan sumber dana kerajaan, iaitu sumber sama yang diagihkan kepada kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan dalam bajet yang dibentangkan. Apakah nantinya kementerian-kementerian akan menerima peruntukan yang lebih kecil berbanding apa yang dijanjikan di dalam bajet kerana kerajaan terpaksa menggunakan sumber yang sedia ada untuk membayar hutang piutang yang ditanggung akibat penyelewengan dan kepincangan dalam tadbir urus negara? Persoalan ini mesti dijelaskan oleh Malaysian Official One.

23.​Isu 1MDB juga mempunyai kaitan langsung dengan rakyat. Saya berjumpa dengan orang ramai dan bertanya kepada mereka 1MDB ini milik siapa? Mereka jawab milik Najib. Ada yang jawab milik Rosmah. Saya kata salah! 1MDB milik rakyat! Kemudian saya bertanya, siapa akan membayar hutang 1MDB? Mereka jawab rakyat akan bayar!

24.​Rakyat sebenarnya cerdik. Mereka tahu skandal 1MDB membawa padah secara langsung ke atas nasib mereka. Yang cuba menafikan hakikat ini hanyalah Menteri-Menteri, pegawai-pegawai JASA dan cybertroopers UMNO yang sememangnya diupah untuk berbohong dan menegakkan benang yang basah!

25.​Selain itu, skandal 1MDB mempunyai kesan negatif ke atas nilai ringgit yang menjunam. Ya, banyak faktor yang mempengaruhi kenaikan atau kejatuhan nilai matawang, tetapi skandal 1MDB adalah salah satu fakor utama yang mempengaruhi sentimen pasaran terhadap ringgit. Walaupun dikatakan asas ekonomi kita kukuh, tetapi kehilangan keyakinan terhadap Malaysia akibat skandal 1MDB menyebabkan nilai ringgit jatuh ke paras yang lebih rendah. Pakar-pakar ekonomi mengatakan berdasarkan perkiraan asas ekonomi, nilai ringgit kita tidak sepatutnya melebihi RM3.50 berbanding US$1.00. Yang lebih daripada itu adalah sentimen.

26.​Sebab itu rakyat merungut mengenai kenaikan harga barang. Saya pergi ke pasar bertanya seorang makcik apa yang beliau beli? Katanya tak banyak tapi harganya lebih mahal daripada dahulu. Kalau dahulu dengan wang RM50.00 sudah boleh membeli barang satu bakul, sekarang dengan nilai yang sama hanya separuh bakul sahaja yang mampu dibeli.

27.​Ini sebenarnya adalah kesan daripada kejatuhan nilai ringgit. Banyak barang makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, beras, daging, kelapa dan lain-lain yang diimport. Apabila nilai ringgit jatuh, maka harga barang-barang ini akan menjadi lebih mahal. Jadi mana boleh dikatakan masalah 1MDB tiada kesan kepada rakyat. Kerana sentimen pasaran yang negatif terhadap negara kitalah, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh skandal 1MDB, nilai ringgit kita jatuh, harga barangan yang diimport menjadi lebih mahal dan rakyat menanggung beban kos sara hidup yang tinggi.

Tuan Yang di-Pertua,

28.​Saya ingin mengucapkan tahniah juga kepada Perdana Menteri. Beliau pandai menggunakan sumber yang ada untuk membina persepsi bahawa semuanya berada dalam keadaan yang baik. Dengan izin, everything is okay! Cash is King! Banyak gula-gula diberikan kepada rakyat dalam Bajet 2017. Tetapi gula-gula ini manisnya hanya sementara. Ia umpama candu ekonomi untuk membuatkan orang khayal sebentar dibuai mimpi yang indah-indah. Sedangkan penyakit sebenar ekonomi negara kita tidak dirawat. Ubat yang pahit tidak diberikan untuk memulihkan ekonomi negara yang sedang tenat.

29.​Pembentangan bajet pada tahun ini pun agak berlainan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Ada grandstanding. Ada props. Biasanya grandstanding dan props digunakan untuk mencantikkan sesuatu yang sebenarnya tidak cantik. Ia sekadar suatu silap mata untuk menutup kelemahan dalam pengurusan ekonomi negara. Kos sara hidup meningkat, hutang negara bertimbun, perniagaan perlahan, syarikat membuang pekerja, pengangguran meningkat, perbelanjaan pengguna menurun, hasil kerajaan merosot, peruntukan untuk kementerian-kementerian dipotong, wang dalam khazanah negara lesap dan sumber kerajaan digunakan untuk membayar hutang.

30.​Namum, dalam keadaan yang meruncing sebegini pun, kita berasa amat kesal kerana kerajaan masih mengambil sikap, dengan izin, “business as usual”. Perbelanjaan untuk kebajikan rakyat seperti biasiswa, perkhidmatan kesihatan dan subsidi barangan asas telah dipotong, namun gaji dan elaun Menteri kekal seperti biasa. Malah projek-projek mega yang hanya menguntungkan beberapa kerat kroni diteruskan tanpa diusik sedikit pun. Tiada pun disebut dengan jelas bagaimana kerajaan bercadang menjana peluang pekerjaaan untuk mengatasi masalah kadar pengangguran semakin meningkat.

31.​Baru-baru ini ketika para mahasiswa kita yang berada di dalam mahupun di luar negara keluh kesah kerana tidak menerima biasiswa seperti yang dijanjikan dan para pesakit terpaksa membayar sendiri kos perubatan di hospital-hospital kerajaan, Perdana Menteri dengan bangganya merasmikan projek pengindahan Taman Tugu Negara yang menelan belanja sebanyak RM650 juta. Nampaknya, kerajaan pimpinan Malaysian Official One ini lebih mementingkan pengindahan taman yang pastinya menguntungkan segelintir pihak daripada nasib para pelajar dan pesakit di negara kita yang amat memerlukan bantuan kerajaan.

32.​Kerajaan juga nampaknya langsung tidak prihatin dengan masalah kos sara hidup rakyat. Ketika rakyat mengharapkan bantuan kerajaan untuk meringankan beban yang ditanggung, kerajaan sebaliknya menghapuskan subsidi minyak masak yang pastinya akan menyebabkan harga makanan meningkat dan menambah beban kos sara hidup rakyat. Sedangkan isu sebenar iaitu masalah ketirisan dalam pengagihan subsidi kerajaan tidak diatasi dengan baik. Misalnya, kerajaan menanggung kerugian sebanyak RM540 juta setahun akibat kegiatan penyeludupan minyak masak yang gagal dibendung oleh pihak berkuasa.

33.​Ini tidak termasuk ketirisan-ketirisan lain. Berdasarkan kajian yang dibuat ke atas Laporan Tahunan Ketua Audit Negara, kerajaan mengalami kerugian antara RM23 bilion hingga RM40 billion setahun disebabkan kelemahan dalam penguatkuasaan dan gejala rasuah dan penyelewengan yang berleluasa.

34.​Kita juga sedang berhadapan dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan yang sebahagian besarnya disebabkan oleh persekitaran luaran yang lemah dan keyakinan terhadap ekonomi domestik yang merosot teruk. Dalam keadaan ini, fokus seharusnya diberikan kepada usaha untuk merangsang permintaan domestik. Ini bermakna, peruntukan perlu diberikan kepada sektor-sektor yang mewujudkan peluang pekerjaan, dan pada masa yang sama menghasilkan aliran masuk pertukaran asing. Elaun pelaburan semula bagi sektor-sektor ini perlu diperkenalkan dan projek-projek yang mempunyai kandungan import yang tinggi boleh ditangguhkan.

35.​Nasib pekerja boleh dilindungi dengan memperkenalkan skim insurans pengangguran. Laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan hanya 1 daripada 10 rakyat Malaysia boleh menyara hidup lebih daripada 6 bulan jika mereka kehilangan pendapatan utama. Kos sara hidup juga boleh dikurangkan dengan mengurangkan kos barangan makanan. Antara langkah sementara yang boleh diambil ialah menghapuskan GST untuk barangan runcit tertentu seperti susu tepung, kicap, sos cili dan barangan asas yang lain. Untuk mengurangkan beban kos perubatan, terutamanya bagi penyakit kritikal, kerajaan boleh mempertimbangkan pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli insuran perubatan.

36.​Inilah antara langkah-langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan, bukannya menyuruh graduan yang telah melabur puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan segulung ijazah menjual nasik lemak, ataupun rakyat berkerja siang dan malam sebagai pemandu Uber. Ini bukanlah penyelesaian yang rakyat harapkan daripada kerajaan. Tanpa disuruh oleh kerajaan pun mereka mungkin akan melakukan kedua-dua perkara ini untuk memperolehi rezeki yang halal dan menyara kehidupan.

Tuan Yang di-Pertua,

37.​Bajet yang dibentangkan oleh kerajaan bukanlah satu bajet yang realistik. Ia langsung tidak memenuhi kehendak rakyat dari segi keperluan menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Ia juga tidak mengandungi satu perancangan yang jelas untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dan menambahkan pendapatan rakyat. Peruntukan kepada kementerian-kementerian yang bertanggungjawab menyampaikan perkhidmatan-perkhidmatan utama kepada rakyat seperti pendidikan dan kesihatan dipotong. Isu tadbirurus ekonomi (economic governance) tidak ditangani dengan baik sehingga menjejaskan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap ekonomi negara.

38.​Sebaliknya, pada pandangan saya, bajet 2017 hanya sarat dengan gula-gula politik sekadar untuk menutup segala kelemahan dan kepincangan Malaysian Official One yang telah mencuri dan merompak khazanah negara.

Terima kasih.


YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
AHLI PARLIMEN PAGOH

Iblis Pernah Ingin Bertaubat ?

Rupanya Iblis @ Syaitan pernah hendak bertaubat. Hal ini terdapat dalam kisah Iblis berjumpa Nabi Musa sebagaimana dikisahkan oleh Ustaz Mohd Radhi Abdul Ghani TV9 dalam Kuliah Maghribnya 20hb Oktober lalu di Surau AlSyakirin SMk P14(1) yang juga dipetik daripada buku Permata Buat Orang Beriman muka surat 69 mengenai Jangan Bersifat Bengis.

Iblis datang kepada Nabi Musa a.s dan berkata: “Engkaulah yang dipilih Allah rasul-Nya dan Kalimullah, sedangkan aku seorang makhluk biasa, yang ingin bertaubat kepada Tuhan. Maka tolonglah aku, semoga taubatku diterima.

Nabi Musa merasa gembira lalu berwuduk dan solat kemudian baginda berdoa: “Ya Tuhan, iblis adalah makhluk-Mu dan dia ingin bertaubat, maka terimalah taubatnya. Maka diturunkan wahyu kepada Musa: “Ya Musa, dia tidak akan bertaubat.:

Jawab Musa: “Ya Tuhan, dia mahu bertaubat.” Maka turun wahyu kepada Musa: “Aku telah menerima permintaanmu Musa, maka suruhlah ia bersujud kepada kubur Adam, maka Aku akan menerima taubatnya.”

Nabi Musa sangat gembira dan menyampaikan suara wahyu itu kepada iblis, tiba-tiba iblis marah dan sombong serta berkata: “Aku tidak akan sujud kepadanya pada masa hidupnya, bagaimana akan sujud sesudah matinya?”

Lalu iblis berkata: “Hai Musa, kerana engkau telah menolongku, maka kini engkau berhak menerima hadiah daripadaku, maka aku berpesan kepadamu tiga perkara:

(1) Ingatlah kepadaku ketika marah, sebab aku ada di dalam tubuhmu mengikut saluran darah.

(2) Ingatlah kepadaku ketika menghadapi musuh ketika perang, sebab aku datang kepada anak Adam mengingatkan kepadanya keadaan isteri, anak, hartanya sehingga dia lari ke belakang.

(3) Awaslah, jangan duduk sendirian dengan wanita yang bukan mahram, sebab aku sebagai utusannya kepadamu dan utusanmu kepadanya.

Forum Hijrah dan Asyura

Ustaz Sabran Jamil dalam memulakan bicaranya menjelaskan peristiwa bahawa hijrah bukan dilaksanakan bersama kegembiraan dan keseronokana. Ia berlaku setelah pelbagai tekanan ke atas Rasulullah s.a.w dan umat Islam Mekah ketika itu. Ini termasuklah tekanan mental menerusi pelbagai gelaran tidak senonoh, seperti orang gila, ahli sihir dan pendusta.

Rasulullah s.a.w juga ditawarkan harta sekiranya sanggup tinggalkan usaha menyeru Islam serta tawaran giliran beribadah secara Islam dan secara nenek moyang orang Arab ketika itu. Juga tekanan fizikal seperti penyiksaan ke atas Bilal bin Rabah serta ancaman dibunuh ke atas Rasulullah s.a.w.


Menurut Ustaz Raihan Abdul Aziz pula, disunatkan puasa pada Hari Asyura serta pada 9hb Muharram sebagai tanda Islam menggalakkan berpuasa dalam merayakan dan memperingati sesuatu peristiwa besar dalam Islam. Malah sebelum kewajiban Puasa Ramadan, puasa hari Asyura adalah wajib.

Antara peristiwa besar berkenaan ialah Nabi Musa diselamatkan dari Firaun dengan terbelahnya laut, Nabi Yunus dikeluarkan dari ikan paus Nun. Ini berbeza dengan Syiah yang menyambut hari Asyura dengan pelbagai acara yang melampau, meluka dan mencederakan anggota badan dalam mengingati hari kematian Saidina Hussain, cucu Rasulullah s.a.w yang juga berlaku pada 10 Muharram.

Menurut Ustaz Sabran lagi, peristiwa hijrah menunjukkan tentang beberapa perkara berikut :-

Pertama : Kecintaan para Sahabat kepada Rasulullah yang tidak berbelah bagi, melebihi diri, keluarga dan harta. Ali ganti tempat tidur, Abu Bakar temani Rasulullah serta Asma anaknya mengorbankan diri membantu menghantarkan makana.

Kedua : Peristiwa Hijrah juga menunjukkan bagaimana Rasaulullah s.a.w merupakan seorang pemimpin yang terbaik.

Ketiga : Hijrah bukan berlaku secara tergopoh gapah, bukan juga,secara kebetuan tanpa sebarang perancangan. Perlu ada perancangan untuk mencapai kemenangan Islam dengan meletakkan objektif yang jelas. Malangnya kita hanya meletakkan objektif bagi tugas-tugas kita di pejabat. Beliau menyarankan agar kita ada objektif untuk meningkatkan penghafalan surah-surah dalam Al-Quran, jangan setakat beberapa ayat lazim juzu Amma.

Keempat : Bersedia untuk berkorban dan cintai Rasulullah s.a.w lebih daripada orang lain lantaran dialah yang akan memberikan syafaat di padang mahsyar nanti.

Dalam penutupnya Ustaz Raihan menyeru agar sentiasa berusaha dan berdoa bagi mendapatkan rahmat Allah s.w.t. Ini adalah kerana menerusi rahmat Allah s.w.t itulah membolehkan kita dapat masuk syurga nanti, bukan setakat dengan amalan kita yang tidak seberapa.

Rasulullah s.a.w sendiri menganjurkan kita untuk berdoa, sejak bangun pahi sampailah kembali tidur. Namun kita perlu sentiasa berwaspada lantaran kita akan sentiasa berhadapan dengan 4 jenis gangguan, khususnya gangguan syaitan, nafsu, kecintaan dunia dan manusia yang berada sekitar kita sendiri.

Forum diadakan di Surau Al-Manar Precint 14 Putrajaya pada 15 Oktober 2016, dipengerusikan oleh Datuk Dr Mohd Fadzil, TNC Hal Ehwsal pelajar, Universiti Pertahanan Malaysia

Bual Bicara Saudara Baru

Satu perkongsian pengalaman 'saudara baru' yang menarik dalam 'Majlis Penghayatan Maal Hijrah 1438H, Bual Bicara Bersama Saudara Baru' yang terdiri daripada Sdra Adam Corrie ( Artis, Pelakon ), Adam Mah ( Pengusaha Restoran Tony Roma’s ) , Adam Tyaga ( Juruteknik di Syarikat Maxis ) dan Mohd Sharin ( jurujual kenderaan ). Nak dikirakan bukanlah baru sangat mereka telah memeluk atau kembali kepada Islam.

Program yang telah diadakan pada 2 Oktober lalu adalah anjuran bersama Surau Jumaat As-Syakirin SMK Putrajaya P14(1) dan Pertubuhan Kembara Iman Malaysia yang dipengerusikan oleh Sdra Adam Corrie sendiri yang telah berjaya menghantar Adam Tyaga dan Mohd Sharin mengerjakan umrah tahun ini.

Kehidupan mereka yang berhijrah kembali kepada Fitrah @ Agama Islam, mungkin jauh lebih baik dan berbeza daripada segi usaha dan penghayatan terhadap Islam berbanding mereka atau kita yang 'dilahirkan dalam Islam', yang lebih kepada menurut aturan ayah ibu tanpa banyak usaha mencari ilmu serta mengajak orang lain kembali @ revert kepada Islam.

Tidak dinafikan saudara baru akan berhadapan pelbagai cabaran apabil kembali kepada islam. Itu mungkin sebahagian daripada ujian, khususnya dengan keluarga terutama yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi atau kewangan seperti perniagaan keluarga dan perkongsian perniagaan.

Masyarakat Islam termasuk institusi berkaitan pula seolah-olah tidak membantu memudahkan urusan mereka.

Namun mereka lebih berkemampuan membawa lebih ramai masuk Islam. Mungkin lantaran masih memiliki rakan-rakan sekelilingnya yang belom Islam, memudahkan usaha dakwah mereka.

Corrie sendiri telah berjaya membawa 17 orang kembali kepada Islam yang kebanyakannya bukan Malaysian termasuk menerusi artikel yang dipost dalam FB. Manakala Adam Mah pula bebaru ni membawa pengislaman 2 orang.

Kalau difikirkan semula, Sunnah Rasulullah s.a.w ialah dakwah menyeru yang belom Islam kembali kepada Islam, selain seruan pengislahan serta peringatan pemantapan iman dan amal Islam kepada yang telah memelok Islam. Sejauh mana sunnah ini mampu kita ikuti ?

Tentang Maal Hijrah 1438

Telah banyak disebutkan dan mungkin ramai sudah mulai menyedari. Bukan Muharram bukanlah bulan dimana Rasulullah pernah berhijrah dari Mekah ke Madinah 1438 tahun Hijrah yang lalu. Lantaran itu mengapa Muharram dipilih sebagai bulan prmulaan tahun Islam ?

Ustaz Dr Shauki Othman dalam Ceramah Khas Maal Hijrah ‘MH 1438 : Kearah Mana Tujuan’, selepas solat maghrib di Masjid Besi Putrajaya tadi menyebutkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w mula berhijrah dari Mekah pada bulan Safar dan sampai di Madinah pada bulan Rabiulawal.

Pengambilan Muharam sebagai bulan permulaan tahun Islam hanyalah setelah 7 tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, oleh Khalifah Umar. Oleh yang demikian, tiada ibadah khusus yang disarankan oleh Nabi Muhammad hendak dikaitkan dengan 1 Muharram. Jika ada ianya adalah palsu, seperti dikatakan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun adalah daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Namun tidak semestinya jika Nabi Muhammad s.a.w tidak membuatnya, bermakna haram bagi kita membuatnya. Ibadat khusus yang telah ditetapkan masa dan kaifiatnya, memang tidak boleh diubah atau ditokok tambah.

Namun bagi ibadah umum yang tidak ditetapkan dengana terperinci akan kaifiatnya seperti membaca al-quran, berzikir dan berdoa boleh dilakukan bila-bila masa. Ini termasuklah doa akhir dan awal tahun sebagi tanda pengabdian diri dan permohonan kebaikan daripada Allah s.w.t sebagaimana dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Beberapa Kematian Lalu Yang Membekasi

Dua tiga minggu lalu, banyak berlaku kematian yang menyentuh diriku. Mungkin kerana pernah bersamanya, berbual, bergambar dan berurusan dengannya. Terasa yang giliranku semakin hampir.

Prof Datuk Dr Haron bin Din ( 16 September 2016 )
Mula mengenalinya semasa belajar di UKM sekitar 1982-83. Ambil paper elektifnya sebab katanya senang nak score A. Then mula tertarik dengan gaya penyampaiannya dan sering mengikuti kuliah atau ceramah umumnya sekitar university yang sekaligus mendekatkan diri kepada Islam Is a Way Of Life.



Rasanya Pertubuhan Darussyifa yang terkenal dengan rawatan alternatif secara Islam merupakan legasi besarnya, sehingga mampu melahirkan ramai pengamal Perubatan Islam dan menjadi tanda-aras dalam Rawatan Alternatif Secara Islam di Malaysia. Mungkin kerana itulah, walaupun giat cergas dalam PAS, namun beliau dihormati kawan dan lawan. Kenyataan politiknya nya lebih bersifat kepentingan ummah.

Setelah beberapa kali menerima rawatan sakit jantungnya, akhirnya beliau pergi juga meninggalkan kita semua buat selama-lamanya, Jumaat 7.15mlm waktu San Francisco. Yang menambah kedukaan ramai, dikebumikan jauh di bumi USA sana, tak dapat nak berikan penghormatan terakhir buatnya. Ya Allah, kurniakanlah syurga buatnya.

Baru2 ini arwah dikurniakan Anugerah Khas Tokoh Maal Hijrah 1438H oleh kerajaan Malaysia sempena Sambutan Maal Hijrah Perigjat kebangsaan yang disambut di MAEPS Serdang. Bagiku, ia lambang bahawa beliau dihormati lawan dan kawan.

Datuk Hj Muhammad Rosli bin Razak ( 24 September 2015 )
Sebelum Masjid Cyberjaya dibuka, sering jumpa beliau dan bertanya khabar ketika solat Jumaat di Surau Jumaat Bomba Cyberjaya. Rupanya sudah setahun lebih beliau bersara dari MAMPU dan pagi tadi, mendapat tahu beliau telah meninggal dunia disebabkan pendarahan otak setelah beberapa hari dimasukkan wad HKL. Innalillahiwaina ilaihirojioun. Namun Alhamdulillah, berkesempatan memberikan penghormatan terakhir dan mengiringi perjalanan saat2 akhir beliau di atas muka bumi ini.

Mengenalinya semasa mula2 jadi penjawat Awam di Lembaga Peperiksaan Jalan Duta @ Bahagian Perkhidmatan Komputer, Kementerian Pendidikan Malaysia tahun 1989. Walaupun tidak direct di bawahnya, namun banyak dapat dipelajari daripadanya yang suka berkongsi ilmu, pendapat serta suka mencabar potensi diri untuk membuat yang lebih baik @ efisien.

Berehatlah Datuk Hj Muhammad Rosli Abd Razak, didoakan dalam peliharaan Allah. Semoga Allah menerima ibadah, amal baktimu dan ilmu yang dicurahkan sebagai amal jariah, diampuni segala dosa dan ditempatkan bersama para solihin.

Tn Hj Azhari Sairin ( 21 September 2016 )
Mengejutkan, pemergian nya ketika warga Kuala Selangor masih menagih khidmat baktinya. Terkilan juga lantaran lewat mendapat maklum sehingga tak dapat nak hadir memberikan penghormatan terakhir buat Tn Hj Azahari Sairin, Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor yang meninggal dunia kerana demam denggi tadi malam pada usia seawal 52 tahun.

Mengenalinya ketika mula menetap di Saujana Utama Sg Buloh sekitar 2002 merupakan seorang yang begitu komited dalam tugas dan sering turun padang dalam memberikan khidmat dan menyelesaikan masalah warga Kuala Selangor.

Semoga Allah mengampuni dosa2nya, menerima amal dan khidmat baktinya sebagai ibadah dan dikurniakan syurga sebagai balasan. Sesungguhnya mati itu pasti dan terasa giliran ku semakin hampir.

Ustaz Fadzli Yamani ( September 2016 )
Juga mengejutkan. Walaupun tidak mengikuti perkembangan beliau, namun sering mengikuti slot khasnya Tahsinun Ibadah yang disiarkan dalam radio IKIM. Beliau dikatakan diserang sakit jantung, tetiba rebah di Airpiot semasa menunggu kenderaan yang mengambilnya untuk dibawa ke hotel.

Walaupun kematiannya di bumi Ghanxau, Cina, namun disebabkan peraturan tempatan maka jenazah beliau terpaksa dibawa balik ke bumi Malaysia dan ditanam di tanah Perkuburan Riyadus Sakinah, Gombak. Kebetulahh ada sedikit masalah menyebabkan jenazah agak lewat kembali di Malaysia.