Telah banyak disebutkan dan mungkin ramai sudah mulai menyedari. Bukan Muharram bukanlah bulan dimana Rasulullah pernah berhijrah dari Mekah ke Madinah 1438 tahun Hijrah yang lalu. Lantaran itu mengapa Muharram dipilih sebagai bulan prmulaan tahun Islam ?
Ustaz Dr Shauki Othman dalam Ceramah Khas Maal Hijrah ‘MH 1438 : Kearah Mana Tujuan’, selepas solat maghrib di Masjid Besi Putrajaya tadi menyebutkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w mula berhijrah dari Mekah pada bulan Safar dan sampai di Madinah pada bulan Rabiulawal.
Pengambilan Muharam sebagai bulan permulaan tahun Islam hanyalah setelah 7 tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, oleh Khalifah Umar. Oleh yang demikian, tiada ibadah khusus yang disarankan oleh Nabi Muhammad hendak dikaitkan dengan 1 Muharram. Jika ada ianya adalah palsu, seperti dikatakan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun adalah daripada Nabi Muhammad s.a.w.
Namun tidak semestinya jika Nabi Muhammad s.a.w tidak membuatnya, bermakna haram bagi kita membuatnya. Ibadat khusus yang telah ditetapkan masa dan kaifiatnya, memang tidak boleh diubah atau ditokok tambah.
Namun bagi ibadah umum yang tidak ditetapkan dengana terperinci akan kaifiatnya seperti membaca al-quran, berzikir dan berdoa boleh dilakukan bila-bila masa. Ini termasuklah doa akhir dan awal tahun sebagi tanda pengabdian diri dan permohonan kebaikan daripada Allah s.w.t sebagaimana dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.