Bulan ini amat mencabar dalam menentukan halatuju KIDaS yang aku sendiri menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusnya. Tetapi alhamdulillah, berkat sokongan dan pandangan rakan-rakan AJK, rasanya keputusan secara kolektif dicapai. Atas semangat yang ditunjukkan oleh masyarakat semasa bersama melibatkan diri dalam pemindahan kontena KIDaS pada 20 dan 21hb Januari, jelas dan yakin bahawa perjuangan perlu diteruskan. Pemindahan ini merupakan satu lagi catatan sejarah KIDaS yang tersendiri.
KIDaS masih ada dan akan terus ada pelajarnya. Awal tahun pendaftaran murid KIDaS hampir mencapai 900 orang ( berbanding akhir tahun 2006 seramai 833 orang ) dan terpaksa tambah sewa kedai 1 lot untuk tampung tambahan murid dalam senarai menunggu dan yang belajar dalam surau. Usaha untuk mendapatkan tanah daripada MDKS di hadapan mihrab Surau Al-Hidayah tetap diteruskan. Permohonan semula kita telahpun diangkat oleh Jabatan Agama Kuala Selangor kepada YDP MDKS. Sekiranya gagal, terpaksa membina blok bangunan KIDaS di tempat lain di dalam kawasan surau yang difikirkan sesuai. Pihak MDKS ada membayangkan kepada tapak tadika yang juga bersebelahan Surau Al-Hidayah. Kami menyatakan tidak sesuai sebab boleh mengganggu penduduk berhampiran sama ada semasa pembinaan ataupun ketika persekolahan harian. Dengan jumlah pelajar yang ramai, Jalan Cemara 6 dan 9 akan menjadi sesak lantaran tiada tempat menunggu yang sesuai. Manakala perkara ini mungkin tidak berlaku jika di dirikan di atas tapak yang dipohon berdekatan dengan Persiaran Saujana 2 dan 3.
Fasa Pertama yang akan dimulakan dalam masa terdekat ialah bangunan setinggi 2 tingkat dengan kapasiti 10 bilik darjah, Pejabat dan Bilik Guru dan tandas. Usaha mendapatkan sumbang terus berjalan. Berdasarkan pengalaman pembinaan Surau Al-Hidayah, setelah bangunan mula naik pada dana baru sekitar RM 80K, sumbangan bertali arus diterima sehinggalah hampir RM 300K. TV3 dulu nak datang, tapi tak jadik sebab kamera habis diguna. Baru ni, TV9 pulak. Entah jadi entah tidak asyik tertangguh-tangguh. Semoga Allah memudahkan usaha kita bersama dalam membangunkan KIDaS, demi memberikan pendidikan asas al-qur’an dan fardu ain kepada anak-anak Islam dengan lebih selesa, generasi kini dan akan datang.
No comments:
Post a Comment