Sama ada masih ada berbaki Ramadhan atau telah pun berlalunya Ramadhan, elok kalau kita bermuhasabah diri, menyingkap kembali sejauh mana amalan sepanjang Ramadhan yang lalu memberikan kesan kepada diri. Bersama kita renungi, apakah itu bentuk puasa yang hendak dipersembahkan kepada Allah. Apakah telah cukup memanfaatkan setiap detik Ramadhan dengan amalan telah yang dijanjikan oleh Allah untuk dilipatgandakan pahalanya ? Berapa ramaikah daripada kita sedar bahawa dalam Bulan Rahmat inilah Allah s.w.t telah menurunkan Al-Quran, yang terkandung dalamnya panduan hidup yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w, bahawa tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya kita berpegang kepadanya ?
Sekadar pegang dengan tangan atau pegang yang macam mana ? Sekadar pegang dengan tangan atau pegang Al-Quran yang bagaimana ? Pegang untuk untuk ditadarruskan atau dikhatamkan dalam sebulan Ramadhan ? Sejauh mana kita menjadikan Al-Quran sebagai Imam dan panduan hidup ? Apakah cukup dengan mengikuti program tadarrus atau semak bacaan Al-Quran.
Selalu kita dengar ucapan Hari Raya Aidil Fitri seperti Selamat Hari Raya Minal ‘Aidin Wal Fa’izin. Apa maksudnya … Selamat hari raya Maaf Zahir Batin ? No … Kalimat minal `a’idin adalah kependekan dari do'a Allohumma 'ij`alna minal aidin waj`alna minal faizin, artinya, Ya Allah setelah berpuasa ini, jadikanlah kami termasuk orang yang kembali ( ke fitrah kami ) dan berjaya.
Apakah pula yang dimaksudkan dengan fitrah. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa setiap manusia lahir dalam keadaan fitrah, ibubapanya yang menjadikannya Yahudi atau Majusi. Maksudnya fitrah kita dilahirkan dimuka bumi ini adalah Islam, tunduk dan patuh kepada perintah Allah yang Maha Pencipta.
Fitrah adalah keadaan semula jadi atau potensi yang mendasari insaniah setiap diri kita. Pada dasarnya jiwa manusia itu sempurna, memiliki kemampuan membezakan yang buruk dari yang baik, memiliki kecenderungan kepada pencipta dan agama yang benar. Akan tetapi dalam perjalanan waktu sejak kelahiran, interaksi dengan persekitaran mulai membentuk diri sedangkan setiap insan punyai tanggungjawab selaras dengan tahap usia sama ada kepada diri keluarga dan masyarakat. Dari situ bermulalah penyimpangan sedikit demi sedikit.
Ibadah puasa dengan peraturan, amalan dan hikmahnya, secara perlahan mengembalikan kita dari penyimpangan itu dengan mendekat diri insan kembali kepada fitrahnya. Semasa berpuasa diajarkan untuk rendah hati kepada sesama, diajarkan untuk kembali tekun beribadah dengan ganjaran yang lumayan sebagai dorongan.
Digalakkan untuk banyak memberi kepada orang lain kerana Rasulullah s.a.w bersabda, Sedeqah yang utama adalah dalam bulan Ramadhan. Diajarkan untuk tidak berkata-kata kecuali yang benar, diajarkan untuk tidak melihat kecuali sesuatu yang halal, diajarkan untuk tidak mendengar kecuali sesuatu yang halal di dengar. Jika itu semua diamalkan dan diperhatikan, mampu memberikan perubahan kepada diri.
Namun benarkah perkara itu berlaku pada diri kita ? Sejauh mana kita menjaga puasa Ramadhan kita ? Sejauh mana kita mampu mengekang nafsu kita ? Sejauh mana kita merasai bibit-bibit kemanisan kembali kepada fitrah Allah ? Syawal adalah Hari Kemenangan buat manusia yang menahan dirinya dari godaan nafsu' yang mampu menjauhkan mereka dari sifat ftrahnya. Namun bagaimana pula dengan Syawal kita ?
Pada awal Ramadhan lagi kita sering disogokkan dengan betapa nikmatnya menyambut Syawal. Ini dapat di lihat dengan pelbagai promosi jualan barangan Aidil Fitri sejak awal Ramadhan lagi, malah ada yang sebelum tibanya Ramadhan lagi. Lagu atau iklan raya telah berkumandang dalam media masa atau pusat membeli belah sejak Ramadhan pertama lagi. Betapa nikmatnya Syawal nanti dengan baju baru, pakaian baru, hiasan baru dan pelbagai lagi yang serba baru.
Keseronokan ini begitu menarik minat dan akhirnya kita itu hilang arah dan hanya memikirkan keseronokan menyambut Ramadhan di dunia kerana ada Hari Raya Aidil Fitri, tetapi melupakan nilai Ramadhan kita di sisi Allah sebagai suatu bekalan yang perlu dibawa di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment