Hari 21 ( Selasa 10 Nov / 22 Zulkaedah )
Bangkit 12.30 malam untuk menyambung lagi siri umrahku. Kali ini untuk kali ke-9 dan aku niatkan untuk ibuku. Alhamdulillah, walaupun orang ramai, tetapi OK. 3.40 pagi siap. My wife kata cepat sangat masa tawaf. Tetapi bagiku tawaflah yang agak mencabar dan perlu berhati-hati terutamanya dalam memastikan bahu kiri ke Kaabah.
Kalau diambilkira perlanggaran dan tersentuh kulit antara lelaki dan wanita menyebabkan terbatalnya wuduk, lagi teruk dibuatnya. Jangan kisah orang lain yang nampak pelbagai dan tidak mengikut sebagaimana buku atau kursus yang aku ikuti. Bila saie barulah boleh berlenggang kangkung sikit.
Selepas Asar sehingga isyak, aku naik ke bumbung bersama isteriku. Banyak pintu telah dibuka dan wanita pun semakin ramai. Masalah biasa mulai timbul iaitu percampuran jemaah. Argh ! di mana-mana, pening kepalaku.
Menurut hadis, haji yang sempurna, haji yang mabrur seumpama berjihad. Terasa memang sukar hendak diperolehi. Mungkin usaha bersungguh-sungguh melawan atau mengelakkan percampuran ini boleh menjadi sebahagian daripada jihad.
Mungkin sebab manusia terlampau ramai, masih kedapatan segelintir barangkali yang aku lihat tidak memanfaatkan masa berada di MH. Tidur, berbual dan berkhayal memerhati kaabah serta gelagat yang bertawaf.
Cumanya bersangka baik sahajalah, mungkin terlalu mengantuk, sekadar nak berehat sekejap dan mereka telahpun niat iktikaf dalam MH.
Tentang bilik & Roomateku
Sebagaimana pernah aku sebutkan, aku sebilik berempat. Dilengkapi dengan 4 katil single, bertilam cadar, bantal dan selimut. Dilengkapi dengan alat hawa dingin, kipas serta peti sejuk. Bilik air share dengan orang dari bilik lain, terletak di luar bilik tidur. Macam asrama, tapi OK bagiku. Ada juga bilik yang dilengkapi dengan bilik air sekali.
Dua daripada roomate ku orang bisness menetap di Shah Alam, yang ku panggil Che Mat serta Che Jamal yang kekadang kami panggil Ustaz. Bukan ustaz lulusan agama, tetapi banyak terlibat dalam dengan aktiviti keagamaan surau di tempatnya selain Pengerusi Pembinaan Surau. Seorang lagi roomateku ialah adik iparku sendiri, Zailan yang ku panggil saja Jai.
Kiranya dengan roomate takde masalah sangat, baik-baik belaka. Che Mat dan Ustaz nie nampaknya shopping sakan. Maklumlah orang berwang dan bisnesman kontraktor berbanding aku. Selalu cerita tentang peluang niaga berdasarkan tawaf kedai yang dilakukan dan selalu beli macam-macam makanan untuk dikongsi bersama dalam bilik. Yang lucunya ada suatu hari tu mereka beli kepala paip shower, SR5 sahaja !!! Macamlah tak ada di Malaysia ...
Hari 22 ( Rabu 11 Nov / 23 Zulkaedah )
Hari ini tidak buat umrah, rehat. Pagi ini aku dan isteriku sarapan roti canai dengan kuah kari ayam yang di beli dengan harga SR10. Kiranya mahal kos sarapan di sini. Menjadi kelaziman, kami sarapan di koridor atau laluan antara bilik. Maklumlah kami suami isteri tidak tinggal sebilik sepanjang di Mekah. Ini pemandangan biasa.
Panas sungguh hari ini. Dalam perjalanan ke MH untuk solat zuhor, aku beli kain serban untuk menutup kepala dan muka. Terasa rimas pulak. Di MH aku duduk sebelah jemaah dari Jambi Indonesia. Katanya tidak tepat juga kalau nak dikatakan ramai jemaah muda-muda dari Indonesia. Katanya tahun ini adalah tahun terakhir yang berusia 65 tahun ke atas tidak dibenarkan menunaikan haji. Jadi sepatutnya ramai yang pergi tahun ini. Mulai tahun depan, hanya yang berusia di bawah 65 sahaja dibenarkan.
Ketuk Pintu Tandas
Lepas asar aku sakit perut nak membuang air besar. Aku tercari cari tandas yang terdekat, tanya pekerja masjid sorang demi sorang dan akhirnya ketemu. Argh ramai dan beratur pulak sedangkan terasa macam sudah tak tahan. Aku baca surah Tabbadyada sebagai penahan. Alhamdulillah, sempat. Akhirnya tiba giliranku masuk bilik tandas dan aku lepaskan sepuas-puasnya. Aku rasa macam cirit birit. Agaknya sebab makan kari ayam pagi tadi.
Sedang sedap melepas, tetiba pintu tandas diketuk dari luar beberapa kali. Kenapa ? Mungkin suruh cepat dan mereka terasa lama menunggu. Ah peduli apa, aku harus selesaikan hajatku dan bukannya segaja nak seronok-seronok dalam tandas. Rupanya memang lumrah begitu, tak boleh lama dalam tandas, akan adalah yang mengetuk pintu diluar supaya lekas-lekas selesaikan hajat.
Lepas maghrib aku bersebelahan dengan jemaah KT105 yang baru sampai. Penerbangan mereka terus masuk ke Jeddah sebelum ke Mekah. Maknanya mereka berihram dari Kelana Jaya lagi. Wah lama tu !! Lepas isyak pulak aku bersebelahan dengan jemaah KT19. Katanya penerbangan pulang dengan MAS, lewat 12 hari. Jika ada hal kerja dan urusan tertentu, tentunya bermasalah. Tetapi kalau dah tak ada apa-apa seperti orang pencen mungin seronok sebab peluang tambahan untuk beribadah di tanah suci, sama ada di MH atau Masjid Nabawi.
Iphone SR400 !!!
Hari ini roomateku beli Iphone Apple dengan harga SR400 dan N96 SR250!!! Aku terkejut, biar betul. Nampak memang macam ori. Tetapi tak dapat nak buktikan sepenuhnya fungsi sebagaimana yang original, seperti wi-fi. Rupanya ramai yang kata telefon di sini memang murah dan jenama yang popular ialah Nokia.
Namun aku berkeyakinan semua telefon ini bukan ori. Made in China. Takpe tak ori asalkan functionya ada dan sama dengan yang ori. Aku perasaan huruf O dalam Nokia tu tak bulat penuh.
Potong Rambut SR350 !!
Roomateku juga cerita yang memang sukar aku percaya. Katanya ada seorang hamba Allah selepas mengerjakan saie, membongkok seperti minta dipotong rambutnya. Lalu dipotong rambutnya oleh seorang yang memang mengambil upah potong rambut dengan guntingnya.
Potong rambut atau bercukur adalah kewajipan sebagai satu cara untuk melepaskan pantang larang ihram kerana umrah yang juga dipanggil tahallul. Potong tu sekurang-kurangnya 3 helai sahaja. Hamba Allah tersebut terkejut besar apabila pemotong rambut tu minta SR350 untuk kerja yang tidak seperti mana dan bukan diminta pun.
Lantas hamba Allah itu mengeluarkan gunting yang dibawanya sendiri sambil menghunuskan mata gunting yang tajam ke arah orang yang memotong rambutnya, dengan lagak seperti mahu menikam dan berkata, ‘ini kau 350 rial !’. Pemotong rambut tu kemudian beredar.
Memang tidak logik SR350. Botakkan kepala di kedai yang berderetan di hadapan MH pun SR 5 hingga SR10. Aku selalu bawa sendiri gunting ketika gi umrah, sekadar nak gunting beberapa helai rambut. Ramai juga yang bercukur membotakkan kepala yang dilakukan oleh rakan-rakan masing-masing.
No comments:
Post a Comment