Hari 8 ( Rabu 24 Okt / 9 Zulkaedah )
Kiranya menjadi rutin harianku, 2.30 pagi sudah bangkit ke Masjid Nabawi. Qiamullail dengan solat-solat sunat seperti Tahiyatul Masjid, Tahajjud, Taubat, Hajat dan sesekali Tasbih. Lepas itu mengaji al-Qur-an sehinggalah hampir waktu suboh. Solat sunat dan lepas solat suboh baca Mathurat, intai peluang masuk Rawdah dan ziarah maqam Rasulullah s.a.w. Dalam perjalanan balik hotel, cari sarapan dan kekadang singgah ke kedai-kedai yang telah awal dibuka atau pasar jualan terbuka.
Solat sunat mengiringi solat fardhu menjadi seperti wajib bagi diriku, selain solat Duha. Ke masjid kiranya 3 kali sehari. Sebelum suboh, sebelum Zuhor balik lepas asar dan pergi sebelum maghrib balik selepas isyak.
Shopping ! Shopping ! Shopping !
Jualan pasar terbuka walaupun tidak sah daripada segi peraturan pihak berkuasa tempatan, tetapi sering menjadi pilihan bagi jemaah Malaysia yang kebetulan diadakan dalam perjalanan jemaah pulang ke hotel. Biasanya bermula setiap kali habis solat di Masjid Nabawi.
Kena berawas, sebab memang murah tetapi kualitinya kekadang jauh berbeza dengan yang di kedai-kedai tetap. Kalau jalan pulang ke hotel lenggang aje, maksudnya adalah pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas menghalang aktiviti jualan tersebut.
Sebenarnya di bawah hotel penginapan sekitar Masjid Nabawi, turut menempatkan kedai-kedai tetap. Menariknya disini ialah banyak pilihan berbanding di pasar terbuka. Malahan ada supermarket, tetapi rega di supermarket ni nampak macam mahal sedikit berbanding kedai runcit biasa.
Tetapi kalau beli banyak, selalunya boleh dapat kurang reganya jika di kedai tetap. Namun tawar harga mesti dilakukan. Kalau tidak kurang juga, buat-buat nak beredar. Tentu akan muncul tawaran menarik daripada pekedai, sama ada berikan harga tawaran baru atau setuju dengan harga yang kita minta. 'Halal!', katanya. Ah ! Itu standard jika beli-belah di Malaysia pun.
Perkataan seperti 'Murah ! Murah !', 'Jalan-Jalan Cari Makan', 'Malaysia Bagus' sering kedengaran dalam menarik pelanggan. Agaknya perkataan itu sahaja yang mereka tahu. Ada juga yang menyebut 'Tun Mahathir' dan 'Bro Anwar'.
Merebut Peluang
Orang semakin ramai. Bagi jemaah wanita, disebabkan ruang solat yang agah terhad, mereka kena datang awal jika hendak dapatkan saf di dalam bangunan masjid. Bagi lelaki tiada masalah sangat, kecuali yang memang hendak duduk luar.
Patutnya pihak masjid, adjustkan panel pemisah tu sebab ruang solat lelaki jauh lebih luas berbanding dengan bilangan jemaah wanita yang semakin ramai. Jika duduk luar bangunan, adakah di kira solat dalam masjid dan layak dianugerahkan ganjaran 1,000 kali pahala ?
Pada awal datang dahulu, mula azan kedengaran masih sempat nak bergegas dari hotel ke masjid untuk solat sunat dan takbiratul ihram bersama imam. Tapi kini dengan berebut lif hotel lagi, kiranya sejam sebelum masuk waktu sudah kena beransur-ansur bertolak ke masjid.
Dapat aku perhatikan bahawa manusia seolah-olah berlumba-lumba mencari peluang beribadat kepada Allah dan mencari kedudukan yang strategik. Dalam pada itu, mereka seolah-olah tidak memikirkan orang lain, asalkan matlamat masing-masing tercapai. Ini dapat dilihat ketika memasing mencuba memasukki Rawdah. Padat dan berebut-rebut. Ini sering menguggat ketenangan kendatipun kita telah mempunyai ruang dalam Rawdah.
Tetapi dalam pada itu, ada yang sekadar cepat hadir untuk cari tempat selesa dan tidak memanfaatkan ruang dan masa yang diperolehi. Sekadar duduk memandang keadaan sekeliling hingga tertidur tidak buat apa-apa. Merugikan aje !!!
Datang beribu-ribu batu, beribu-ribu RM dibelanja, tetapi tidak dapat memanfaatkan peluang yang ada. Itu yang aku rasa kita juga perlu mempunyai ilmu bagaimana hendak mengisi masa ketika beriktikaf dalam masjid, apatah lagi dalam Masjid Nabawi. Berebut mendapatkan peluang beribadah memang digalakkan, tetapi jangan sampai ada yang teraniaya, terguris dan terseksa.
Pos Barang
Sebelum zuhor, aku pack barang-barang untuk di poskan ke Malaysia. Tak sangka, himpun punya himpun, hampir 20kilogram. Yang beratnya ialah kekacang dan kurma di samping kain baju dan cenderahati lain. Ramai yang mengambil peluang poskan barangan yang di beli di Madinah, supaya tidak payah nak diusung ke sana sini ke Mekah nanti. Ramainya orang Malaysia berbelanja … makmur bumi Madinah.
Caj pengeposan ialah SR15 sekilo. Nampaknya banyak boleh buat duit syarikat penghantaran ini. Aku tambah lagi dengan air zam-zam sebanyak 10 liter dengan kos SR120, sebab dengar kata pihak TH tidak membenarkan kita bawa air zam-zam pulang ke Malaysia nanti, walaupun masuk dalam bagasi. Pernah dijual di pasaraya Mydin di Malaysia, 10 liter kekira RM90 lebih sahaja. Tapi masalah di Mydin jualannya bermusim, bukan selalu ada. Kalau tidak beli kat Mydin aje. Sama aje kan ? Air zamzam juga ! Tetapi pihak katanya TH akan berikan setiap orang 5 liter sesampai di airport Malaysia nanti.
Cyber Café
Petang antara zuhor dan asar, setelah puas bertanya akhirnya aku jumpa juga Cyber Café. Dekat aje dengan hotelku rupanya. Walaupun kosnya sejam SR10, tapi terpaksa sebab aku nak salin gambar-gambar yang aku ambik kepada thumb drive yang aku bawa.
Tetapi sistem komputernya slow, nak salin saja lebih daripada 30 minit. Tak sempat nak update sangat blogku serta update di egroup yang aku subscribe.
No comments:
Post a Comment