Perjalanan haji - Tiba Mekah & Kamera Dirampas

Hari 10 ( Jumaat 29 Okt / 11 Zulkaedah )

Setelah melalui sekurang-kurangnya 3 pemeriksaan atau check-point, akhirnya bas kami sampai di Hotel Janadriyah jam 2.30 pagi. Agak menyeksakan juga perjalanan ini. Basnya sempit, bag pun tak muat untuk letak atas tempat barang. Kekadang setiap pemeriksaan pun, kita dalam bas ini tertunggu-tunggu lama. Entah apa yang diperiksa pun tak nampak. Patutnya dipermudahkan la …

Setiba di hotel disambut dengan hidangan air serta kurma. Aku masuk bilik terus sambung tidur sebab barang katanya akan dihantar kebilik memasing, tak payah tunggu. Risau juga sebab masih berihram, ingatkan nak terus selesaikan umrah. Tapi kata TH, buat lepas suboh nanti.

Lepas solat suboh di ‘Surau Sementara’ di hotel, kami pergi sarapan dengan membawa pek makanan dihantar oleh TH ke bilik penginapan. Kami sarapan di kafetaria yang dioperate oleh Dsaji Felda. Pelbagai masakan melayu ada, tetapi sikit aje sebungkus sudah SR3.

Lepas sarapan, berkumpullah di lif tingkat 15 dimana bilik ku berada. Nampaknya semua jemaah KT03 ditempatkan di tingkat 15 iaitu yang tertinggi sekali. Haji yang kami lakukan ialah jenis Haji Tamattuk’, dimana kami perlu melaksanakan umrah dahulu sebelum mengerjakan haji yang sebenar. Kiranya umrah ini dianggap umrah wajib. Lepas taklimat, kami pun berlepas beramai-ramai turun menaikki lif dan secara kumpulan ke Masjidil Haram ( MH ) sambil bertalbiah. Tak sabar rasanya ketika ini.

Selangkah demi selangkah menuju MH, amat mendebarkan. Apabila sahaja kelihatan Kaabah aku jadi hiba dan terharu. Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Alhamdullillah, aku masih diberi peluang oleh Allah untuk menatap Kaabah. Jika sebelum ini menerusi gambar, internet serta video, tetapi memandangnya secara live ternyata berbeza, apatah lagi buat pertama kali.

Ketika itu kekira jam 7.00pagi, orang tidak berapa ramai. Kami pun melakukan solat sunat diikuti dengan tawaf mengelilingi kaabah dengan isteriku berada dikiriku. Langkahan kami agak laju, macam tak sabar nak selesaikan tawaf. Tetapi kami kena memastikan bahu kiri sentiasa ke kaabah, kerana itu syarat sahnya. Mudah sebab ada line saf di atas lantai. Ikut itu aje. Buku doa yang diberikan oleh TH aku gunakan semasa tawaf. Tetapi terasa ‘gagahnya’ Kaabah apabila berhampiran dengannya.

Dalam 20 minit selesai tawaf, kemudian solat sunat di belakang Maqam Ibrahim dan menuju ke tempat Saie. Aku cari cari mana kumpulan KT03 ku, sudah tidak kelihatan. Ah, kami bergerak sendirian ajelah menuju ke Bukit Safa untuk memulakan Saie. Kami agak-agak ikut tanda pintu yang disediakan, Alhamdulillah tidak ada masalah. Sesekali kami berhenti minum air zamzam yang disediakan dalam perjalanan antara Safa dan Marwah, sejuk dan menyegarkan. Perjalanan ulang alik 400m X 7 kali = 2.8 kilometer tu kami selesaikan dalam masa 45 minit sahaja.

Habis mengerjakan Saie, kami memotong beberapa helai rambut bagi bertahalull untuk melepaskan pantang larang ihram sambil berdoa. Ah, lega rasanya. Ramai yang ambil kesempatan membotakkan kepala, cuma SR 5 – SR10 sahaja. Ke luar dari Bukit Marwah baru nampak orang kumpulan KT03 berhimpun di bawah bendera Maktab 77, Turut ada yang pembawa kasut yang mengumpulkan kasuk orang KT03 sebelum masjuk MH tadi. Sekarang baru nampak muka, kat dalam tadi puah mencari !!! Lepas itu kami pulang ke hotel. Hari ini hari Jumaat, nak kena siap kembali ke MH untuk solat Jumaat pula.

Walaupun kat Malaysia, wanita jarang pergi solat Jumaat, tapi aku katakan kepada isteriku, hadir sajalah untuk ambik fadhilat solat di MH. Kami agak awal juga sampai di MH. Aku dapat duduk berhampiran Kaabah. Oh, teriknya panas matahari tengahari tu. Tetapi lantainya sejuk aje. Sejadah yang aku bawa kononnya sebagai alas panas lantai, ku simpan semula. Cuma berpeloh juga kepanasan hingga tak tertahan mataku untukku menatap al-Quran sambung mengaji.

Bersemangat Imam berkhutbah yang ku kira mengajak umat Islam bersatu padu serta mempertahankan Masjidil Aqsa sehingga teresak-esak menangis ketika doa dibacakan.

Lepas asar, aku lakukan tawaf sunat. Baru dapat ku lihat pelbagai gelagat orang melakukan tawaf. Pagi tadi aku agak tekun dengan apa yang dilakukan tanpa hirau orang lain. Maklumlah pertama kali. Aku cuba menghampiri kawasan hajarul aswad, namun terlalu padat dan berasak-berasak.Aku terlepas hanyut oleh orang ramai yang tidak dapat nak ku tahan. Lepas maghrib, barulah aku berjaya khatamkan bacaam al-Quranku untuk yang pertama kali. Alhamdulillah, depan Kaabah.

Hari 11 ( Sabtu 30 Okt / 12 Zulkaedah )
Bangkit awal dan jam 3.00 pagi bertolak ke Masjid Tanaim dengan ‘van sapu’ yang memang sentiasa menunggu mencari pelanggan di hadapan hotel. Masjid Tanaim merupakan tanah halal yang terdekat untuk penduduk Mekah atau yang telah memasukki Mekah, melaksanakan niat umrah di miqat. Ini pernah dilakukan oleh Saidatina Aisyah dan kerana itulah Masjid Tanaim juga dikenali sebagai Masjid Aisyah.

Tambang pergi ke Tanaim dan balik ke MH ialah SR10. Di Masjid Aisyah, solat sunat dan niat ihram. Sampai MH, aku qiamullail dahulu dan mengaji. Lepas solat suboh baru mulakan tawaf.

Nampaknya ramai sikit orang berbanding semalam, mungkin mereka tawaf sunat. Slow-slow, kami berjaya tawaf dalam 30 minit. Melihat gelagat orang tawaf, aku mula tertanya-tanya, apakah yang dimaksudkan bahu kiri sentiasa ke Kaabah sebagai syarat sah tawaf. Apakah asalkan Kaabah sebelah kiri dan tak mestinya tepat bahu ke arah pusat Kaabah ?

Buku panduan doa semasa tawaf dan Saie memang disediakan oleh TH, selain yang ku beli. Memang kalau hendak dihafal, sukar juga. Selalunya aku baca saja doa-doa tersebut, sama ada dalam bahasa arab atau melayunya. Seterusnya melaksanakan Saie dan agak lancar juga, selesai dalam masa 45 minit. Alhamdulillah, tetapi isteriku kata kami agak laju, macam tak sabar nak cepatkan habis.

Balik hotel terus singgah kafetaria untuk sarapan. Nasi lemak + teh O – SR 4. Then balik bilik berehat serta basuh baju. Basuh main ambik syarat, gonyoh-gonyoh dengan sabun serbuk aje.

Masa nak ke MH untuk solat asar, kami naik van sebab terasa penat berjalan. SR 1 sahaja. Kalau jalan kami kekira 800m atau 15-20 minit perjalanan.

Masuk MH terus ke tingkat 1, berhampiran pintu Fath. Kali ini nak cuba tempat baru, sebab dikatakan kawasan ini masih lapang dan ramai orang Malaysia

Kameraku Dirampas
Sedang aku cuba mengambil gambar Kaabah dan MH di bawah, tetiba kameraku dirampas oleh Pegawai Masjid.

Menyirap darahku. Alamak, macamana nie. Aku merayu-rayu dalam bahawa inggeris minta maaf dan jangan diambil kameraku. Pegawai masjid tu tidak mengindahkan aku dan cuba mengeluarkan kad memori kad dari kameraku. Entah faham ke tidak rayuanku. Tetiba kad memori tu jatuh dan aku mengambilnya. Sedang dia hendak beredar dengan membawa kamera ku, aku merayu lagi ‘please, please, give me chance’. Kemudiannya dia menyerahkan semula kamera itu. Argh … leganya, alhamdulillah.

Tak nampak pula sign board di larang mengambil gambar. Tetapi lepas peristiwa tu, aku jadi ketakutan dan serba salah. Berdosakah kiranya aku terus ambil gambar sekitar MH ? Sedang aku lihat ramai yang berposing-posing ambil gambar. Bukan rezeki aku agaknya. Jadi aku ambil gambar luar MH sajalah. Mungkin ini dugaan Allah. Hampir masuk waktu maghrib aku ke lantai Kaabah dan solat maghrib serta isyak di sana.

Taklimat & Ceramah Agama 1
Lepas solat isyak, ada taklimat Pengurusan Maktab 77 bagi jemaah KT03 di lobi lif hotel sahaja. Kami diberikan peta perjalanan hotel ke MH serta taklimat kesihatan, tazkirah dan perjalanan di Mekah.

Sepatutnya TH sediakan bilik besar atau auditorium untuk setiap program ceramah. Itu yang aku rasa TH buat ceramah ni macam sekadar buat syarat, lepas batuk di tangga. Kalau jemaah tidak datang, ditanya kenapa tak dengar taklimat or ceramah. Hotel Janadriyah sebenarnya menempatkan Ibu Pejabat TH di Mekah.

Semua terkejut apabila diberitahu air paip dalam bilik air tidak selamat untuk dimasak sebagai air minuman. Namun air bersih akan dibekalkan sehari dua lagi. Pangurus Maktab mengesa agar para jemaah dapat khatamkan Al-Qur'an sekurang-kurangnya sekali dalm tyempoh di MH. Ini mengambil fathilat kebaikan yang dilakukan di Tanah Haram, digandakan 1,000 kali.

1 comment:

  1. berlingomerah7:36 AM

    kalau kamera dan SD card tu dirampas....mesti sedih gak....ini kira photo-photo sejarah

    ReplyDelete