Hari 14 ( Selasa 3 Nov / 15 Zulkaedah )
Hari ini tidak pergi umrah sebab ada aktiviti Ziarah. Namun seawal 2.30pagi ke MH. Memang suasana di MH tidak kira bila masanya, orang ramai dan semakin ramai. Cahaya lampu limpahnya nampak macam serupa aje sepanjang malam. Sejak awal pagi orang sudah berduyun-duyun ke MH.
Balik terus bersiap untuk naik bas yang dijadualkan bertolak 6.30 pagi. Tapi janji Melayu juga, 7.15 baru jalan, sebab ada yang tidak datang. Setiap peserta ziarah diberikan kotak sarapan, berupa air mineral, air kotak, buah, kek dan roti. Standard begitu !!!
Jabal Thur
Mula-mula singgah sini. Bukit ini terletak 4 km daripada MH. Di sinilah terletaknya Gua Thur yang menjadi tempat persembunyian Rasulullah s.a.w ketika hendak berhijrah ke Madinah atau Yatrib ketika itu. Untuk sampai ke gua, kita kena mendaki dan memakan masa 1 hingga 1 jam setengah.
Jadi tengok bukit tu dari bawah sahaja. Yang ada di bawah cuma unta hiasan untuk gambar kenang-kenangan. Ada perkhidmatan ambil gambar segera, di atas unta hiasannya, SR10 sahaja.
Bayangkan masa zaman Rasulullah s.a.w dahulu, camana agaknya mereka naik mendaki. Teringatkan juga kepada puteri Abu Bakar, Asma yang menghantar makanan saban hari untuk Rasulullah s.a.w serta ayahandanya semasa persembunyian tersebut. Camana mereka berkorban untuk Islam ketika itu, manjat tinggi-tinggi lagi.
Arafah
Kemudian kami di bawa melihat sekitar padang Arafah yang bakal kami kunjungi semasa wukuf 9 Zulhijjah nanti.
Masih banyak yang kosong, khemah-khemah belum dipasang lagi. Jarak Arafah dengan MH adalah kira-kira 22 km.
Nampak dalam perjalanan, tiang-tiang yang bakal dijadikan jalan bagi sistem pengangkutan seumpama monorail telah dan sedang dibina. Khabarnya syarikat MRCB Malaysia yang membinanya. Dengan sistem tersebut, mungkin perjalanan jemaah dari Mekah nak ke Arafah dan Mina akan menjadi cepat, tidak perlu melalui kesesakan jalan raya.
Jabal Rahmah
Kemudian kami di bawa ke Jabal Rahmah, tempat atau bukit di mana Nabi Adam bertemu semula dengan Hawa setelah diturunkan secara terpisah di muka bumi ini. Banyak sejarahnya tempat ini, seperti di sinilah turunnya ayat yang bermaksud, ‘Pada hari ini telah kusempurnakan untukkamu agamamu dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat Ku dan telah aku redha Islam menjadi agamamu’, ( Al-Maidah : 3 )
Sempat naik dan cuba nak sampai kepuncak, tapi terasa gayat. Rupanya ada jalan bertangga sebelah lain. Sebab diberi masa 20minit sahaja, tak dapat nak naik kemuncak melihat tiangnya dari dekat. Jabal Rahmah sebagai salah satu tempat mujarab doa. Seorang jemaah menanyakanku, nak doa apa di sini. Ah doa apa sahaja kataku, kata orang doa nak kawin dua pun di sinipun tempatnya ... ha ! ha !
Ditunjukkan juga Masjid Nameera yang boleh menempatkan 350 ribu jemaah, tetapi dibuka hanya setahun sekali, iaitu ketika jemaah wukuf di Arafah.
Apalah pakcik dan makcik nie, tunggu punya tunggu ahli rombongan lain, akhirnya sejam juga di Jabal Rahmah campur masa menunggu dalam bas. Katanya tersesat sebab tak kenal bas mana satu, semua nampak serupa. Memang serupa pakcik makcik oi ... kan ada nombolnya !!!.
Mina & Mudzalifah
Kemudian kami melalui sahaja Mudzalifah, tempat untk berhenti seketika pada malam 10 Zulhijjah sebelum ke Mina dari Arafah nanti. Takde apa-apa, hanya tanah lapang.
Seterusnya lalu di kawasan Mina. Nampaknya khemah-khemah telah tersedia di sana. Kompleks bertingkat tempat melontar hanya dapat lihat daripada jauh sahaja.
Eh! Dalam internet, bukan main cantek kompleks tu, tapi kenapa nampak macam itu sahaja masa melaluinya tadi ? Sabar, kata hatiku.
Masjid Ja'aranah
Di sini merupakan salah satu tempat yang dikatakan paling afdhal untuk melakukan miqat bagi mereka yang berada di dalam Makkah. Ia terletak kira-kira 16km daripada MH. Selepas peperangan Hunain pada 8 Hijrah, Rasulullah s.a.w telah secara senyap-senyap menunaikan umrah di MH pada malam hari daripada tempat ini. Kiranya miqat di sini.
Di bahagian belakang Masjid Ja'aranah ini terdapat satu telaga yang dipercayai boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk penyakit-penyakit misteri, dengan izin Allah. Rasulullah s.a.w pernah meludah ke dalam telaga tersebut untuk menjadi penawar setelah kaum Kafir Quraisy menaburkan racun ke dalam telaga tersebut.
Namun telaga tersebut telahpun ditutup dan malangnya, ketika kami berkunjung ke sini, air tiada. Ramai peserta rombongan yang hendak melakukan umrah, pasang niat sahaja di sini.
Jabal Nur
Cuma dapat tengok dari jauh di atas bas. Tak berhentipun. Nak tangkap gambar pun tak sempat. Di atas bukit inilah terletaknya Gua Hira’, tempat dimana Rasulullah s.a.w pertama kalinya menerima wahyu. Namun nak naik, memakan masa sejam pendakian pada ketinggian 280 meter. Bagaimana agaknya Rasulullah s.a.w berulang alik berkhalwat atau menyendiri di sini masa dulu ?
Masjid Jin
Berdekatan Perkuburan Ma’ala. Dinamakan Masjid Jin kerana di sana Rasulullah s.a.w menulis surat untuk menerima rombongan Jin yang hendak berbaiah dengan Rasulullah s.a.w. Bermacam cerita dengar, katanya kalau datang dan berniat nak jumpa jin maka akan ketemulah jin. Entah macamana rupanya, kalau banyak sangat tak larat rasanya ... ha ! ha ! Ada juga yang kata, boleh bawak jin balik Malaysia, entah !!
Perkuburan Ma’ala
Terletak hanya 1km daripada MH, malahan boleh dilihat dari atas bumbung hotel penginapanku. Di sinilah terletaknya jasad Saidatina Khadijah, para sahabat serta ramai ulama besar.
Oleh kerana tiada sebarang tanda dibuat, maka tidak diketahui dan dibuktikan kedudukan sebenar kubur mereka. Namun ada yang mengatakan, kubur Saidatina Khadijah yang ada tumbuh pokok rendang di atasnya.
Argh, tak puas hati aktiviti ziarah ni sebab tak dapat nak lihat Gua Hirak dan Masjid Jin. Terkilan sungguh dan aku berhasrat hendak datang semula nanti. Pemandu pelancong sudahlah tak cerita detail, banyak diam, tidak macam di Madinah dulu. Kalau cerita pun syok sendiri, kata itu dan ini dan main tujuk dengan tangan sendiri. Kita yang duduk di belakang dalam bas, terpingga-pingga, mana satu yang dia cerita dan tunjuk. Cakaplah yang di kiri ke, kanan ke, atas ke …sebagai contohnya !!!
Tetapi ku kira kerajaan Arab Saudi banyak berkorban maintain segala keperluan untuk jemaah haji, namun penggunaannya bermusim iaitu ketika musim haji sahaja. Bayangkan monorail dari Mekah ke Mina & Arafah tu nanti hanya pakai setahun sekali. Tak rasa membazir ke ? Rasa tak adil juga kalau biarkan kerajaan Arab Saudi lakukannya sendiri. Itulah yang mungkin Allah gantikannya dengan hasil bumi minyak serta ‘token’ daripada setiap jemaah.
Sampai hotel hampir zuhor dan terus bersiap ke MH. Agak keletihan hari ini, malam tidur awal, sebab kali ini nak bangit 12.30 pagi untuk kerjakan umrah lebih awal.
No comments:
Post a Comment