Zaman dulu-dulu apabila masuk aje satu April, kita begitu beria-ia menyambut April Fool dengan melakukan sesuatu yang boleh menggemparkan sanak saudara dan rakan taulan. Mungkin sekadar berseloroh, bergurau yang juga boleh mendorong silaturahim antara satu sama lain atau sebaliknya jika tidak kena gaya. Tapi kini rasanya macam tak berapa nak terasa. Tak tahulah sama ada memang orang sudah tidak kisah atau mungkin peringkat usiaku kini, kurang nak sambut hal-hal begini. Namun terfikir juga, bagaimana asal usul sambutan April Fool ini ?
Berdasarkan semakan menerusi internet, rupanya ada cerita sedih kepada masyarakat Islam di sebalik April Fool yang perlu dijadikan renungan dan dihentikan sambutannya. Dipercayai sambutan April Fool mula dirayakan ketika kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol dulu setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada Sepanyol. Tetapi kalau lihat di wikipedia, lain pula kisahnya.
Ketika kerajaan Islam runtuh diserang tentera Kristian, penduduk Islam di Moors, Sepanyol terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan penganut Islam dari bumi Sepanyol. Justeru, mereka membuat helah. Mereka memaklumkan penduduk Muslim boleh berlayar keluar dari bumi Sepanyol dengan selamat bersama-sama barangan mereka dengan menggunakan kapal di pelabuhan. Orang Muslimin yang risau sekiranya tawaran itu suatu penipuan pergi ke pelabuhan untuk melihat kapal yang dimaksudkan. Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak.
Keesokannya (1 April), mereka mengambil semua barangan yang telah dikemaskan lalu menuju ke pelabuhan. Pada masa itulah pihak Kristian mengambil kesempatan menggeledah dan membakar rumah penduduk Islam. Penganut Islam juga tidak sempat menaiki kapal kerana semuanya musnah dibakar. Pihak Kristian kemudian menyerang kaum Muslimin dan membunuh kesemuanya, tidak kira lelaki, perempuan, serta anak kecil. Peristiwa berdarah yang meyedihkan itu kemudiannya diraikan tentera Kristian. Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan saja di Sepanyol tetapi juga di seluruh dunia sebagai April Fool's Day
Aku tidak tahu sejauh mana kebenaran kisah ini, tetapi kalau melihatkan kepada fatwa berikut ternyata ada kaitan sambutannya dengan hukum serta sejarah di atas yang diterima dari http://lobaitampin.blogspot.com
Fatwa-fatwa ke atas April Fool
Dr. Yusuf al-Qaradawi hafizahullah menyebutkan:
Menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: Orang munafik mempunyai tiga ciri: Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah. [HR al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda sallallahu alaihi wassalam bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam juga bersabda: “Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran”. [HR Ahmad dan At-Thabrani]. Sebahagian hadis Nabi sallallahu alaihi wassalam turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]
Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang di dalam apa bentukpun. Sambutan ini (hari April Fool) adalah dilarang kerana empat sebab:
1. Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
2. Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.
3. Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.
4. Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.
Shaikh Atiyyah Saqr pula menyatakan:
Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.
Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan dharurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “dharurat menjadikan yang haram harus” digunakan. Dharurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.
Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi; ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan. [Islamonline.net]
Di dalam laman islamqa.com fatwa nombor: 10834
Shaikh Shalih Fauzan menyatakan:
Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari ini (hari April Fool), mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah sallallahu alaihi wassalam bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”
Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita akan mendapati bahawa budaya April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur.
No comments:
Post a Comment