Konsert Mahabbah Gaza IKIMfm

Sekitar 5,000 pengunjung terhibur sambil menghayati mesej yang dialunkan dalam persembahan konsert bersempena dengan Karnival Sambutan Ulang Tahun Ke-9 Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) di Stadium Melawati malam 10 Julai 2010. Sebanyak RM 27ribu telah berjaya di kutip menerusi derma yang lancarkan pada malam tersebut.

Konsert yang diberi nama 'Mahabbah Gaza (in my hearts)' itu menyaksikan gabungan kumpulan nasyid popular seperti Raihan, Rabbani, Nowseeheart, Saujana, In-Team dan Ummul Qura yang menyampaikan lagu-lagu bertema Palestin, perjuangan dan kedamaian.

Turut mencuri perhatian adalah para penyampai IKIMfm yang membuat persembahan khas berpaksikan sajak dan nasyid. Penyiar-penyiar yang tampil ke pentas adalah Zamri Zainal Abidin, Nik Hasnah Ismail, Siti Fairuz Nordin, Siti Rohani Surani, Mazlina Ismail, Norhayati Paradi, Zarita Kassim, Mohd Erwan Johari, Mohd Nasri Mohd Yusuf dan Mahathir Shaharuddin. Erwan paling mendapat perhatian apabila menyanyikan dengan baik sebuah lagu Brothers, 'Lagu Kedamaian' melatari persembahan sajak penyampai-penyampai lain.

Konsert Mahabbah Gaza dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan turut menjemput khas ketua misi kemanusiaan 'Flotila' ke Gaza Mei lalu, Norazman Shamsuddin. Norazman dijemput naik ke pentas selepas persembahan Saujana oleh ketua kumpulan nasyid tersebut, Sufian Amrin dan diminta mengulas sedikit berkaitan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Tambah menarik, konsert malam tadi turut dijayakan oleh persembahan daripada bukan Melayu seperti Udesh yang berbangsa India, serta seorang Cina Muslim dari Kelantan yang mendeklamasikan sajak dengan penuh penghayatan dan menusuk kalbu.

Ketika kumpulan Nowseeheart sedang menyampaikan lagu 'Damai yang Hilang', Norazman sekali lagi tampil ke pentas menenangkan vokalis utama, Azahari yang tidak dapat meneruskan bait-bait lagunya kerana sebak justeru lirik lagu tersebut memang jelas ditujukan kepada umat yang hilang kedamaian oleh kezaliman peperangan.

Kumpulan Rabbani yang membuat persembahan pada penghujung konsert turut mengenang bekas penyanyi utama dan ketua kumpulan mereka, Allahyarham Asri Ibrahim. Seorang anak Allahyarham berganding dengan Rabbani menyampaikan lagu 'Di Pondok Kecil'.

Karnival Sambutan Ulang Tahun Ke-9 IKIMfm dari 9 hingga 11 Julai 2010 diadakan untuk meraikan para pendengar IKIMfm yang telah memberikan sokongan berterusan kepada stesen radio unggul berkonsepkan Islam di negara kita.

Menerapkan konsep 3M iaitu "Mendidik, Menyampaikan Maklumat, dan Menghibur", beberapa acara menarik telah diatur. Antaranya rakaman langsung Forum Mahabbah Gaza, forum "Keluarga Sakinah", Konsert Mahabbah Gaza, Nasyid on Stage disusuli program untuk kanak-kanak iaitu Alam Ria Si Kecil, untuk para ibu, rancangan D'Dapur, sukaneka dan sesi beramah mesra bersama penyampai-penyampai IKIMfm.

Sepanjang sembilan tahun penubuhannya, IKIMfm tampil dalam industri penyiaran negara dengan penuh tanggungjawab untuk menjadi rangkaian maklumat, penerangan dan hiburan yang seimbang dalam usaha mendidik dan merangsang akal fikiran serta jiwa pendengar.

Konsert Mahabbah Gaza malam tadi adalah acara kemuncaknya yang turut disiarkan secara langsung melalui IKIMfm. Hujan lebat yang turun mulai maghrib tidak menghalang orang ramai hadir ke Stadium Malawati. Kesesakan lalulintas berlaku kerana dalam masa yang sama perlawanan bolasepak antara Selangor dan Kelantan di adakan di Stadium Ahah Alam yang terletak bersebelahan.



No comments:

Post a Comment