Solat adalah tongak bagi seorang mukmin. Tanpanya bukan setakat hilang pahala ganjaran segala amalan, kemukminan dan kemusliman sesorang terungkai. Solat menjadi pemisah antara keimanan dan kekufuran. Solat adalah rukun Islam, tanpanya dimanakah keIslaman seseorang ? Namun diantara 5 waktu solat yang difardukan sehari semalam, solat Subuh dianggap paling mencabar kerana dikerjakan pada waktu yang sangat sulit, sulit untuk bangun dari tidur. Masa pun tidak panjang. Di sebalik itu, Solat Subuh sebenarnya mempunyai misteri tersendiri, menjanjikan banyak kelebihan selain ganjaran yang sangat lumayan.
Buku Misteri Solat Subuh ku beli bagi memberikan motivasi diri agar istiqamah mengerjakan solat Subuh secara berjamaah. Memang solat Subuh begitu mencabar. Tidak kiralah bagi seseorang ustaz, yang mengaku sebagai pejuang Islam dan sentiasa berjuang di jalan Allah, yang sering berceramah atau berdakwah tentang Islam di sana sini, Pengarah Jabatan Agama Islam, Pegawai Agama, Pengerusi atau AJK Masjid/Surau, Pengerusi Biro Agama, AJK Khairat Kematian, para Huffaz, Imam serta Bilal ( bukan bertugas ), bagaimana solat Subuhnya ?
Selain daripada fadhilat dan keutamaan Solat Subuh, buku ini turut menyenaraikan tips bagaimana hendak bangun pagi bagi mengerjakan solat Subuh, khususnya nntuk berjemaah di Masjid/Surau bagi lelaki. Solat Subuh berjamaah adalah ujian bagi mereka yang mengaku berjaya merangkul keimanan. Bangkit Subuh memerlukan tekad gigih serta usaha yang berterusan. Rasulullah s.a.w pernah menjadikan solat Subuh berjamaah sebagai ukuran keraguan baginda terhadap keimanan atau kemunafikan seseorang. Ngeri bunyinya ...
Solat Suboh Untuk Mencari Jaminan Allah
Sabda Rasulullah s.a.w : ‘Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah s.w.t. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah s.w.t. dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka’. ( H.R Muslim )
Dalam satu hadia yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Barangsiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka". ( H.R Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)
Didoakan Rasulullah s.a.w
Rasulullah s.a.w mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis, ‘Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun Subuh (iaitu mengerjakannya)’. ( H.R Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah) Siapa yang tidak mahu didoakan oleh Rasulullah s.a.w ?
Solat Subuh Dan Isyak
Dari Usman bin Affan berkata, Rasulullah s.a.w bersabda : ‘Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh’. ( H.R. Muslim).
Ubai bin Ka'ab ra berkata, Rasulullah s.a.w solat Subuh kemudian bersabda, ‘Apakah kamu menyaksikan bahawa si fulan solat?' Mereka menjawab,’Tidak’. Baginda bersabda lagi, ‘Si fulan?’ Mereka menjawab, ‘Tidak’. Maka, bagindapun bersabda yang bermaksud: ‘Sesungguhnya dua solat ini( Subuh dan Isyak ) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak’. ( H.R Ahmad dan an-Nasa'i)
Janji Syurga
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya, 'Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga'( H. R Bukhari ). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar. Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT.
Lebih Baik Dari Dunia Dan Seluruh Isinya
Dari Aisyah, telah bersabda Rasulullah s.a.w, “Dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya". ( H. R Imam at-Termizi )
Segala kelebihan yang dinyatakan boleh dijadikan motivasi bagi kita untuk bangkit waktu pagi mengerjakan solat Subuh. Kecualilah jika kita masih tidak yakin dengan janji Allah dan Rasulnya.
Ayoh, mari bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh atau apabila terdengar alarm membangkitkan tidur sebelum Subuh. Walaupun ini ujian yang sukar, namun bukan sesuatu yang mustahil. Seorang yang mengaku mukmin mestilah cuba untuk lulus dalam semua ujian untuk membuktikan kebenaran iman dan untuk menyelaraskan antara lisan dan hati dengan kemampuan perbuatan.
Antara tips untuk dapat bangkit dan melaksanakan solat Subuh secara berterusan sebagaimana dalam buku Misteri Solat Subuh ini dapat diringkaskan sebagaimana berikut :-
a. Tidur lebih awal
b. Niat yang ikhlas serta tekad untuk bangkit Subuh sebelum tidur
c. Bersungguh-sungguh dalam bersuci dan berzikir sebelum tidur
d. Meminta bantuan keluarga dan orang soleh untuk mengejutkan bangun
e. Menggunakan alat untuk memnbangunkan dari tidur
f. Tidak banyak makan sebelum tidur
g. Tidur sebentar di waktu tengahari
h. Jangan tidur sendirian
i. Meminta bantuan orang memercikkan air pada wajah untuk mengejutkan daripada tidur
No comments:
Post a Comment