Apabila The Reds Turun Stadium Bukit Jalil

Selama hayatku, tidak pernah aku menjejakkan kaki ke Stadium Bukit Jalil. Namun gara-gara pasukan EPL kegemaranku The Reds atau Liverpool berkunjung ke Malaysia dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Malaysia, akhirnya aku sampau juga ke sana. Selalunya tengok live kat TV saja, namun suasana dalam stadium ternyata jauh berbeza. Sorakan satu stadium benar-benar mengegarkan dan memeriahkan suasana petang itu.

Kendatipun tanpa kelibat Steven Gerrard, Suarez dan Pepe Reina Penjaga Gol, nanum persembahan The Reds tidak mengecewakan. Malah Pengurus Kenny Daglish pula terpaksa bergegas pulang ke England untuk menandatangani kontrak dengan pemain yang baru dibeli oleh Liverpool.

Seingatanku, rasanya inilah buat pertama kalinya pasukan Liverpool bertandang ke Malaysia. Kalau bekas-bekas pemainnya memanglah ada datangsebelum ini. Tentunya disebabkan tanda jenama yang terpampang pada jersi pasukan tersebut yang menjadi penghalang. Sejak musim 2010/11, sudah bertukar penaja dan jersi pun sudah tiada lagi logo atau lambang jenama minuman keras sebelum ini.

Bak lautan merah ? Aku kira 90% penonton malam tersebut berbaju merah, memakai baju atau jersi Liverpool. Tidak timbul soal tidak menyokong pasukan kebangsaan Malaysia. Tapi yang hendak disaksikan ialah perlawanan bola sepak persahabatan antara Malaysia dengan Liverpool. Dua-dua disokong. Jersi Liverpool yang dipakai bukan bukti bahawa peminat Liverpool sudah belot dan tidak lagi menyokong pasukan Malaysia.

Buktinya semua sembilan gol yang dijaringkankan oleh kedua-dua pasukan pada malam tersebut turut sama diraikan. Aku kira sorakannya macam sama saja. Walaupun Malaysia tewas 3-6, namun permainan mereka cukup menghiburkan. Gol-gol Malaysia cantik-cantik jugak. Bahkan suatu ketika, ketika perlawanan pada kedudukan 3-4, terasa macam tidak percaya pasukan Malaysia memberikan tentangan yang menakjubkan kepada Liverpool.

Aku kira ini pengalaman bagus buat pemain pasukan Malaysia yang ketika ini mendapat perhatian ramai lantaran prestasinya yang membanggakan, sejak memenangi Piala Suzuki bagi kejohanan antara negara Asean tahun lalu. Semoga dengan pengalaman ini akan meningkatkan lagi permainan mereka dalam menghadapai perlawanan dan kejohanan yang akan datang.


Stadium Bukit Jalil jadi macam The Anfield, gelanggang rasmi pasukan Liverpool di England. Berkumandang dengan laungan dan nyanyian lagu You’ Will Never Walk Alone dari penonton yang juga peminat LIverpool. Semasa dalam keretapi perjalanan pulang pun, mereka silih berganti menyanyikan lagu tersebut dalam kepadatan keretapi dengan penumpang berbaju The Reds.

Datang lagikah pasukan Lioverpool tahun hadapan ?

Lagi Gambar Perlawanan The Reds Vs Malaysia

Mabuk Bunga Di Floria Putrajaya 2011

Floria 2011 Putrajaya telah berlangsung selama 9 hari dari 9 hingga 17 Julai 2011 di kawasan berhampiran Monumen Millinium Presint 2, Putrajaya. Bagiku ini kali kedua berkesempatan ke sana. Namun jika dibandingkan dengan tahun lalu, aku rasa tahun lepas lebih besar saiz pamerannya. Namun satu kelainan serta keistimewaan pada tahun ini pertunjukan atau perarakan bot berhias pada waktu malam yang kemudiannya disusuli dengan pertunjukan bunga api pada setiap malam.

Putrajaya Floria 2011 adalah acara bertaraf antarabangsa yang dihoskan oleh Perbadanan Putrajaya dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Mengunjunginya pasti kita terpesona dengan bunga-bunga dan dedaun yang kemas diatur dan landskap dalam pelbagai gaya dan susunan yang mewujudkan kemeriahan warna-warni. Peminat bunga pasti jadi mabuk dan tidak melepaskan peluang untuk bergambar mengabadikan kenang-kenangan.

Selain daripada pameran bunga-bungaan, terdapat begitu banyak perkara untuk dilihat dan dilakukan di dalam kawasan seluas 15 ekar ini. Terdapat juga banyak program dan aktiviti yang disediakan untuk pengunjung.

Floria Putrajaya 2011 membawakan tema “Mawar Untuk Selamanya”. Tidak tahulah mengapa bunga mawar atau ros dipilih. Selalunya bunga mawar memberikan lambang kasih sayang. Apakah ini sebagai tema amat dalam usaha kerajaan mengeratkan perpaduan.

Disamping itu rekaan taman daripada 17 pereka taman dan gubahan bunga dari luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Taiwan, Thailand, Macau, Kenya, Pakistan, Kanada, dan New Zealand turut diadakan, terutamanya dalam khemah khas yang disediakan.

Istimewanya pada waktu malam, kerana aku berkesempatan melihat perarakan bot serta pertunjukan bunga api setelah selesai menngambil anakku pulang dari kelasnya di Presint 11. Namun agak mencabar untuk mengambil gambar waktu malam, terutamanya ketika pertunjukan bunga api. Bertemakan ‘Magic of the Night’, perarakan itu menampilkan 14 bot yang memaparkan pelbagai jenis flora serta lampu yang berwarna-warni, termasuk dari Brunei.

Sebaik selesai Floria 2011, kedengaran pelbagai cadangan seperti acara ini terus menjadi produk pelancongan bagi orang ramai berkunjung ke Putrajaya serta menjadikan tapak pameran sebagai tapak kekal lanskap yang indah dengan pelbagaitanaman bunga-bungaan.

Dalam salah satu hari kunjungan aku ke sana, aku ketemu dengan bekas Ahli Parlimen Besut Terengganu yang kini sedang mengusahakan tanaman Keladi Tikus secara komersial untuk produk keluarannya untuk merawat dan mencegah kanser. Agak menarik juga.


Lagi Gambar Sekitar Floria Putrajaya 2011

Kalau sudah tahu tentang solat, tak payah solat !

Kalau sudah tahu tentang solat, tak payah solat ? Sekali mendengarnya agak pelik bunyinya. Apakah maksudnya tidak perlu lagi mengerjakan solat sekiranya kita sudah tahu selok belok tentang solat ? Patutnya apabila sudah lebih tahu, maka akan lebih rajin dan kuat mengerjakan solat. Tetapi itulah mukadimah Tn. Guru Hj Mohd Hafidz Selamat dalam memulakan pengajian mingguannya di Kompleks Yayasan Al-Jenderami pada pagi 9 Julai 2011 lalu.

Solat merupakan yang pertama di nilai di akhirat nanti. Tidak kira banyak mana kita berpuasa, banyak mana zakat dan sedekah dikeluarkan, berapa kali umrah dan haji dikerjakan. Oleh yang demikian, tidak perlulah kita terasa rugi, buang masa dalam bersabar mempelajari tentang solat, walau ketika mana usia kita. Tiada gunanya kita cemerlang dan memperolehi pelbagai ilmu pengetahuan serta kemahiran tentang sesuatu bidang lain, tetapi kita kandas dalam hal solat. Sekiranya nilai solat kita nanti sedemikian, akan dihumbankan kita ke neraka kemudiannya.

Oleh yang demikian, bagaimana hendak pastikan solat yang kita lakukan adalah betul menurut rukun, dan syarat sahnya. Bagaimana pula hendak pastikan solat yang dikerjakan diterima oleh Allah s.w.t ? Itu yang perlunya berguru dan belajar. Apabila sudah tahu, itu yang dimaksudkan pada awal tadi. Bukan tidak payah melakukan solat lagi, tetapi melakukan solat merupakan kerja yang tidaklah payah.

Ada orang mengikuti kuliah atau kelas pengajian tidak formal di masjid, surau atau madrasah berkenaan solat. Ada yang sampai ke peringkat universiti, master dan kedoktoran dalam bidang solat.

Awasi Penggunaan Bilik Air Anda
Menjaga solat bukan juga setakat menjaga rukun dan sunat dalam solat, tetapi juga perlu memperhalusi syarat sahnya seperti suci daripada hadas kecil dan besar, termasuk najis yang mungkin kita tidak perasan, yang dibawa keluar daripada bilik air. Jangan ambil ringan, basuhlah kaki sebelum keluar dari bilik air.

Elok diamalkan membasuh kepala paip sebelum dan selepas menggunakannya, terutama selepas tangan digunakan untuk membasuh najis. Bukan setakat kena berhati-hati di rumah sendiri, lebih-lebih lagi di tandas awam. Dibimbangi jika di rumah, mengakibatkan najis merata-rata dalam rumah.

Wap Masakan Non-Muslim
Awas apabila melewati gerai atau kedai makan kaum Cina yang memasak makanan mengandungi daging khinzir umpamanya di kedai atau gerainya. Wap serta asap yang berkepulan diudara jika mengenai baju serta tubuh badan kita ? Al-Ustaz kata kena samak ..

Mungkin nampak macam remeh sahaja, tetapi terasa ada benarnya apabila al-Ustaz menimbulkan persoalan ini. Namun dikatakan cara penyediaan makanan seperti ini di gerai atau kedai Cina sudah kurang atau peraturan Pihak Berkuasa Tempatan. Entahlah.

Kenapa Tidur membatalkan Wuduk ?
Antara perkara yang membatalkan wuduk ialah tidur yang tidak tetap punggungnya. Kenapa kalau tetap punggungnya tidak membatalkan wuduk. Terdapat hadis yang menyebutkan, 'Mata itu adalah pengawal dubur, justeru barangsiapa yang tidur, maka dia wajib berwudhu’. ( H.R. Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Maksudnya apabila mata pejam, maka terlepaslah kawalan punggungnya. Manakala tidur yang tetap papan punggung ialah duduk dalam keadaan papan punggungnya bersentuhan, rapat dengan lantai. Dalam keadaan duduk begini, tidak membolehkannya mengeluarkan sesuatu seperti kentut.

Maknanya kalau tidur dalam keadaan mengiring, terlentang atau meniarap, maka batallah wuduknya.



Pengalaman Pertama Ke Bukit Broga

Sudah lama mendengar tentang Bukit Broga yang terletak di Semenytih, Selangor Darul Ehsan. Berdasarkan kisah-kisah pengalaman orang lain mendaki Bukit Broga, dirasakan mendakinya bukanlah begitu mencabar. Pada 26 Jun 2011 lalu, lalu aku dan keluarga akhirnya berkesempatan ke sana. Mudah sahaja laluannya. Lepas Pekan Semenyih dari arah Kajang, masuk simpang kanan selepas Stesen Petronas. Terus sahaja sehingga sampai deretan kereta parking di tepi ladang kelapa sawit. Rasanya tiada papan tanda bahawa itulah pintu masuk untuk mendaki ke Bukit Broga. Berhadapannya ialah taman arnab.

Kami sampai agak lewat, kekira 9.00 pagi. Matahari sudah dikira meninggi dan agak panas sikit. Orang telah ramai, malah ramai juga yang sudah turun dari Bukit Broga. Kami berselisih dengan bermacam gaya orang. Ada yang lengkap dengan pakaian sukan berseluar trek. Yang bangsa cina ada yang pakai seluar pendek aje, tidak kira lelaki atau perempuan. Malah ada orang yang berkaki ayam sahaja.

Ini meyakinkan ku bahawa pendakian Bukit Broga mudah sahaja. Rupanya aku tersilap perkiraan. Selepas beberapa minit berjalan, kelihatan satu kawasan rata yang terdapat pelbagai jualan makanan dan minuman. Kami teruskan pendakian dan sedikit demi sedikit, keletihan makin terasa.

Seharusnya aku memakai seluar trak biasa, bukannya jean yang mulai aku rasa betapa beratnya. Aku juga sepatutnya membawa backsack, bukannya non-woven bag untuk membawa kamera dan air minuman. Air minuman 0.5 liter yang aku bawa tidak cukup, apatah lagi dikongsi juga dengan anak-anakku yang lain.

Ada kawasan yang agak rata, ada kawasan curam yang mencabar, dipenuhi lalang serta belukar. Tetapi jalan mendaki agak mudah dikesan sebab trek semacam telah tersedia, sama ada sengaja dibuat atau akibat kesan laluan orang ramai. Kebanyakkan trek jalan adalah tanah. Jika musim hujan, mungkin agak sukar untuk mendaki. Elok bawa topi untuk elakkan kepanasan matahari.

Yang paling mencabar ialah ketika pendakian di lereng yang curam sebelum sampai ke puncak pertama. Dari situ kelihatan pemandangan yang caktik. Tapi kalau ghayat, usah tengok-tengok. Tapi aku terpaksa berhenti beberapa kali kerana kepenatan.

Sebagaimana disebutkan tadi, rupanya tidak semudah yang aku jangkakan. Sampai dipuncak pertama, aku mulai rasa semacam. Terasa gelap pemandangan dan hampir nak pitam, dibuatnya.

Maka berehatlah aku di puncak pertama. Manakala anakku terus pergi ke puncak tertinggi yang terletak dihadapan kira-kira 200m. Aku sudah tidak larat lagi. Air minuman pun habis. Aku rasa aku mengambil masa kira-kira 40 minit untuk sampai ke puncak pertama. Aduh, baru Bukit Broga, belum lagi Gunung Kinabalu.

Daripada atas Bukit Broga, pemandangan sekitar agak menarik juga. Setelah berehat kira-kira 15 minit dan terasa diriku kembali stabil, kami pun mulai turun ke bawah secara perlahan-lahan. Kami sampai semula ke bawah kira-kira 40 minit juga.

Aku kira sekiranya aku membuat persediaan sewajarnya, mungkin boleh sampai ke puncak Bukit Broga. Maksudnya persiapan daripada segi pakaian yang sesuai serta bekalan yang mencukupi. Satu lagi kena datang awal, tidaklah kepanasan dengan sinaran matahari.

Tapi peluh yang banyak mengalir keluar cukup memuaskan hati. Terasa selesa dan ringan badan. Agaknya berapa kilogram berat badanku turun ? Mulalah aku merancang untuk kembali ke sini sebagai salah satu exercise serta mengurangkan berat badan.

Lagi Gambar Ke Bukit Broga

Umrah Keluarga 2011 : Selamat Sampai Rumah

11 Jun 2011 – Alhamdulillah, Selamat Kembali

Bagaimana nak menentukan waktu suboh dalam flight ? Bagaimana pula nak boleh terbangun solat suboh ? Pesan dengan orang sebelah, pasang alarm handphone or tanya anak kapal ? Teringat aku waktu suboh di Bangkok ialah jam 4.30 pagi. Sedangkan flight kami mendarat jam 7.05 pagi waktu Bangkok. Suboh di Masjidil Haram 4.05 pagi. Jadi anggaran aku buat berdasarkan time zone dalam flight edutainment. Tapi Kena yakin betul.

Alhamdulillah aku tersadar dan kemudian aku kejutkan mak serta anak-anak ku untuk solat. Aku pula terkejut dimarahi kerana katanya, tengah solat la ni ... argh !!! Kena solat semula. Lega lepas dapat solat suboh. Aku ambil saja wuduk secara ringkas dalam toilet kapalterbang sebagaimana yang diajarkan dalam kursus umrah.

Bagaimana dengen jemaah yang lain dalam kumpulanku, argh ... pepandailah. Atau sudah cukup cover dengan ibadah gandaan 100,000 di MH ? Tapi nampak beberapa jemaah yang berada menunggu giliran di pintu toilet. Yang lain pakai solat menghormati waktu sahaja kot ?

Tiba Bangkok
Tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok jam 7 pagi. Bersih diri seadanya dengan bekalan yang diberikan dalam flight sebelum mendarat tadi, termasuk berus dan ubat gigi. Terasa lapar perut. Nak beli makanan mana ada duit Bath. Tertanya-tanya juga, tapi agaknya pihak TA mengharapkan makan dengan yang bakal disediakan dalam flight ke KLIA nanti.

Kumpulan kami terhenti sebentar kerana menunggu boarding pass. Kelihatan beberapa jemaah lain membantu pihak KR di kaunter Thai Airways. Dari yang aku kenal, jemaah tersebut memang biasa naik kapal terbang dan pernah pergi umrah sebelum ini, mungkin beberapa kali. Baguslah tu, share pengalaman. Boarding pass diberikan beberapa kali secara berkelompok. Berlaku kelewatan kerana seorang ahli dalam kumpulan kami belum serahkan passport.

Seperti sebelum apabila nak naik flight, pemeriksaan ketat dilakukan sehingga tanggal kasut dan talipinggang. Aku pun bersiap sedia untuk ini dan apabila lalu sahaja di pintu pengimbas, tak ada bunyi apa-apa pun. Pegawai petugas tu siap bagi isyarat tangan bagus sambil tersenyum.

Kemudian berehat di ruang menunggu. Menerusi dinding kaca bangunan, kelihatan kesibukan lapangan terbang. Terdapat dua terminal yang menyediakan kemudahan internet secara percuma. Aku sempat juga mencubanya. Begitu juga dengan jemaah lain. Ok, biasa sahaja, cuma kekok dengan track-ball mouse yang digunakan.

Bertolak ke KLIA
Sambil duduk menunggu flight, berbual dengan seorang Malaysia yang baru pulang bercuti dari London. Mereka naik flight Thai Airways sebab lebih murah berbanding MAS. Malah katanya servis MAS sekarang semakin merosot kualitinya. Entahlah aku pun tak tahu nak komen, sekadar membandingkan keluasan tempat duduk flight Etihad dan Thai Airways berbanding MAS. Agaknya sebab Pak Arab badan mereka besar-besar berbanding Malaysian.

Kami dibawa dengan bas sebelum menaikki Thai Airways. Dapatlah melihat keadaan airport dari luar. Memang kelihatan banyak flight mendarat dan sibuk sekali. Namun agak kecewa apabila duduk sahaja dalam flight, tiada flight edutainment. Tidak seperti masa datang dari KLIA dulu. Anakku kata, boringnya abah !! Tak seperti apa yang mereka jangkakan jika dibandingkan masa bertolak dari KLIA ke Bangkok dulu.

Tiba masa sarapan, nampaknya yang non-Muslim diberikan dahulu. Ini diikuti dengan makanan halal untuk Muslim jemaah umrah. Sambil menghulurkan hidangan, pramugari tu sebut Muslim, Muslim. Alamak apalah makanannya, makan sikit sahaja terasa muak dan nak muntah. Apa lagi, sambung tidur sajalah. Lagipun terasa letih perjalanan.

Sampai KLIA
Sedar-sedar flight sudah mendarat kira-kira 12.05 tengahari waktu Malaysia. Aku SMS adikku yang flight dah mendarat dan dijawab mereka sedang tunggu. Setelah menaikki aerotrain, kami melalui proses imigresen.

Kaunter layan diri semua tutup, jadi gunakan yang biasa. Bagus juga sebab ada copnya. Proses tunggu barang agak lama. Namun kelihatan wajah-wajah keceriaan di kalangan jemaah. Mungkin sudah tidak sabar nak pulang ke rumah. Yealah, walau burok mana rumah kita, walau macamana pun keadaan rumah kita, ianya tetap dirasakan lebih baik dan dirindui berbanding dengan berada hotel perantauan.

Aku baru diberitahu oleh KR, masih terdapat barangan jemaah yang tidak dapat dimuatkan dalam flight lantaran penuh dan kena tunggu penerbangan yang dijangka sampai jam 2.00 petang nanti. Ini sedikit merisaukan. Aku ada pengalaman ketinggalan bag dalam flight. Tapi kalau setakat jam 2.00 atau 3.00 petang mungkin tidaklah lama sangat.

Selamat Berpisah
Tunggu punya tunggu. Alhamdulillah, barangan kami sekeluarga dapat keluar semuanya. Aku bersalaman dan berpelokan kepada KR, minta maaf dan terima kasih atas khidmat yang diberikan. Aku rasa KR telah buat yang sebaiknya serta berharap tidak serik dan dapat belajar dengan pengalaman bersama kami.

Kamipun bersalaman dengan beberapa jemaah yang berhampiran sebagai tanda perpisahan. Entah bila jumpa lagi, entah bila dapat bersama lagi ke Tanah Suci, probably dengan TA yang lain kot ... ha ! ha ! Serik dan sudah tidak yakin dengan TA yang ini ...

Di luar, adik-beradik keluarga yang menunggu telah sedia menunggu. Alhamdulillah, ketemu kembali. Yang penting mak dapat kembali bersama dan kembali untuk di balik kampong selepas ini. Tiba rumah jam 2.30 petang dan mak di bawa kembali ke kampong setelah pembahagian barangan selesai dilakukan. Maklumlah banyak yang berkongsi bag, kotak serta bungkusan.

Terima Kasih
Terima kasih semua, terima kasih atas doa kalian. Semoga Allah menerima ibadah umrahku. Walaupun terdapat ujian, cobaan dan cabaran diharungi sedikit sebanyak . Mungkin kelazatan dan kenikmatan mengerjakan umrah sedikit sebanyak dirobek dengan pengurusan jemaah yang aku anggap kurang cekap ( berbanding pengalaman mengerjakan haji sebelum ini ), itulah bentuk ujian dan cabaran yang terpaksa kami hadapi.

Seolah-olah gambaran telah Allah tunjukkan kepada kami akan ujian dan cabaran yang mendatang sebaik mula mengetahui jadual penerbangan kami, yang sepatutnya penerbangan adalah KLIA-Jeddah-KLIA sahaja. Cuaca yang panas dan kesesakan akibat orang yang ramai tidak menjadi begitu masalah. Aku yakin ada hikmah disebaliknya. Semoga Allah menerima ibadah umrahku, meningkat imanku dan memeliharakan pegangan agamaku.

Terima kasih kerana sudi membaca coretanku. Semoga ada manfaatnya.

Klik Untuk Lagi Gambar Hari Ketibaan