Kalau sudah tahu tentang solat, tak payah solat ? Sekali mendengarnya agak pelik bunyinya. Apakah maksudnya tidak perlu lagi mengerjakan solat sekiranya kita sudah tahu selok belok tentang solat ? Patutnya apabila sudah lebih tahu, maka akan lebih rajin dan kuat mengerjakan solat. Tetapi itulah mukadimah Tn. Guru Hj Mohd Hafidz Selamat dalam memulakan pengajian mingguannya di Kompleks Yayasan Al-Jenderami pada pagi 9 Julai 2011 lalu.
Solat merupakan yang pertama di nilai di akhirat nanti. Tidak kira banyak mana kita berpuasa, banyak mana zakat dan sedekah dikeluarkan, berapa kali umrah dan haji dikerjakan. Oleh yang demikian, tidak perlulah kita terasa rugi, buang masa dalam bersabar mempelajari tentang solat, walau ketika mana usia kita. Tiada gunanya kita cemerlang dan memperolehi pelbagai ilmu pengetahuan serta kemahiran tentang sesuatu bidang lain, tetapi kita kandas dalam hal solat. Sekiranya nilai solat kita nanti sedemikian, akan dihumbankan kita ke neraka kemudiannya.
Oleh yang demikian, bagaimana hendak pastikan solat yang kita lakukan adalah betul menurut rukun, dan syarat sahnya. Bagaimana pula hendak pastikan solat yang dikerjakan diterima oleh Allah s.w.t ? Itu yang perlunya berguru dan belajar. Apabila sudah tahu, itu yang dimaksudkan pada awal tadi. Bukan tidak payah melakukan solat lagi, tetapi melakukan solat merupakan kerja yang tidaklah payah.
Ada orang mengikuti kuliah atau kelas pengajian tidak formal di masjid, surau atau madrasah berkenaan solat. Ada yang sampai ke peringkat universiti, master dan kedoktoran dalam bidang solat.
Awasi Penggunaan Bilik Air Anda
Menjaga solat bukan juga setakat menjaga rukun dan sunat dalam solat, tetapi juga perlu memperhalusi syarat sahnya seperti suci daripada hadas kecil dan besar, termasuk najis yang mungkin kita tidak perasan, yang dibawa keluar daripada bilik air. Jangan ambil ringan, basuhlah kaki sebelum keluar dari bilik air.
Elok diamalkan membasuh kepala paip sebelum dan selepas menggunakannya, terutama selepas tangan digunakan untuk membasuh najis. Bukan setakat kena berhati-hati di rumah sendiri, lebih-lebih lagi di tandas awam. Dibimbangi jika di rumah, mengakibatkan najis merata-rata dalam rumah.
Wap Masakan Non-Muslim
Awas apabila melewati gerai atau kedai makan kaum Cina yang memasak makanan mengandungi daging khinzir umpamanya di kedai atau gerainya. Wap serta asap yang berkepulan diudara jika mengenai baju serta tubuh badan kita ? Al-Ustaz kata kena samak ..
Mungkin nampak macam remeh sahaja, tetapi terasa ada benarnya apabila al-Ustaz menimbulkan persoalan ini. Namun dikatakan cara penyediaan makanan seperti ini di gerai atau kedai Cina sudah kurang atau peraturan Pihak Berkuasa Tempatan. Entahlah.
Kenapa Tidur membatalkan Wuduk ?
Antara perkara yang membatalkan wuduk ialah tidur yang tidak tetap punggungnya. Kenapa kalau tetap punggungnya tidak membatalkan wuduk. Terdapat hadis yang menyebutkan, 'Mata itu adalah pengawal dubur, justeru barangsiapa yang tidur, maka dia wajib berwudhu’. ( H.R. Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Maksudnya apabila mata pejam, maka terlepaslah kawalan punggungnya. Manakala tidur yang tetap papan punggung ialah duduk dalam keadaan papan punggungnya bersentuhan, rapat dengan lantai. Dalam keadaan duduk begini, tidak membolehkannya mengeluarkan sesuatu seperti kentut.
Maknanya kalau tidur dalam keadaan mengiring, terlentang atau meniarap, maka batallah wuduknya.
No comments:
Post a Comment