Umrah Keluarga 2011 : Selamat Tinggal Makkah Al-Mukarramah

10 Jun 2011 – Selamat Tinggal Makkah Al-Mukarramah

Tiap yang bermula pasti ada akhirnya. Walaupun pakej umrah 2 minggu, sebulan atau 40 hari, namun akan ada hari untuk meninggalkan bumi Haram Makkah. Bagi kami inilah harinya. Argh ... rasa masih belum puas. Atau memang tidak akan puas, walau lama mana berada di sini, walau banyak mana cabaran dan ujian diterima. Siapa yang tidak mahukan ganjaran solat 100,00 kali ganda ?

Kami bangun dan bertolak ke Masjidil Haram kira-kira 2.00 pagi, sambil membawa turun beg dan barangan yang telah siap untuk diangkut dalam bas nanti. Tidak seperti awal pagi yang lain, memang ramai orang di Masjidil Haram. Hari ini adalah Hari Jumaat. Cuti hujung minggu bagi penduduk sekitar dimanfaatkan untuk berada di Masjidil haram agaknya. Aku ambil kesempatan untuk solat sunat qiamullail. Inilah malamnya, malam terakhir untuk pulun semua. Lagipun ini malam Jumaat yang berkat.

Solat Suboh imam membaca surah as-Sajadah dan al-Insan. Seperti biasa, ramai yang aku kira rukuk dua kali, tidak ikutpun imam untuk sujud sajadah. Agaknya baru pertama kali jumpa ? Lepas solat subuh kami nak ke tingkat atas untuk lihat pemandangan orang tawaf.

Memang kelihatan ramai orang sedang tawaf. Tetapi sudut pandangan kami tidak menunjukkan denganjelas keseluruhan bentuk bulatan orang tawaf mengililingi Kaabah. Namun cukup untuk melihat dan merasai bagaimana alunan pergerakan orang ramai sedang tawaf.

Tawaf Wida’
Kemudian kami pun turun melakukan tawaf wida’, tawaf selamat tinggal lantaran kami akan meninggalkan Masjidil Haram pagi ini. Bagi jemaah umrah, tawaf wida’ hanyalah solat muaakad, iaitu sunat yang dituntut. Tetapi bagi jemaah haji, ianya wajib.

Orang agak ramai. Mungkin inilah tawaf yang paling sukar lantaran ramainya jemaah. Namun kami berlima dapat melakukan tawaf dengan lancar sekalipun agak perlahan. Hampir 45 minit masa diperlukan untuk selesaikan tawaf.

Ya Allah, terimalah amalan kami, terimalah doa kami, ampunilah kami dan berilah peluang untuk kami kembali ke sini suatu masa nanti. Sekiranya ini kali terakhir untuk kami ke sini, dikau ganjarakanlah syurga buat kami walaupun amalan kami tidaklah seberapa mana Ya Allah. Selamat tinggal Kaabah. Selamat tinggal Baitullah. Selamat tinggal Masjidil Haram. Jumpa lagi ...

Kecoh Lagi
Kembali ke Hotel untuk sarapan, tetapi sudah habis. Entah macamana, dikatakan sarapan hanya disediakan untuk 50 orang sedang jumlah jemaah ialah 100 orang. Pelik benar pengurusan TA ni ? Jam 7.30 pagi kami mulai turun walaupun bas dijangka sampai jam 8.00 pagi. Tetapi biasalah, hampir jam 8.30 baru nampak bas.

Berlaku kekecohan lagi, apakah akibat misunderstanding. Terpaksa kami angkut sendiri barangan kami ke dalam perut di bawah bas. Cuba bayangkan jemaah seramai 100 orang tetapi hanya dua bas disediakan. Budak darjah 1 pun boleh kira. Katakan kalau satu bas boleh muat hingga 48 orang, maknanya dua bas dan satu kenderaan lain kan ?

Setelah selesai barangan dimasukkan dalam perut bas, masih banyak lagi yang tidak dapat dimuat masuk. Ikutmu lah wahai TA nak selesaikan masalah ini. Tapi kami yang sudah dalam bas ni mulai gelisah dan kepanasan, walaupun air-cond bas di onkan. Tidak full swing ke ?

Pihak TA seperti menyalahkan pihak mutawwif. Dengar cerita pulak mutawwif kata perubahan 24 jam pengurusan tertinggi syarikat bas yang dilantik untuk membawa kami yang mengakibatkan tindakan seperti protes oleh mereka yang ditugaskan untuk membawa kami keluar dari Masjidil Haram. Entahlah, pelik-pelik aje.

Sebelum bertolak, KU naik dan beritahu di dalam bas kami bahawa duit SR20 yang dikutip memang tidak cover sekali dengan memasukkan barang ke dalam bas yang kami buat sendiri tadi. Bengang betul, kalau tidak cover kenapa sibuk-sibuk suruh kami turunkan dan kumpulkan barangan seawal 4.00 pagi di lobi hotel !!! Memang payah nak dengar apa-apa yang betul sebagaimana diucapkan daripada mulut KU ni. Namun aku kena yakin dengan pesanan bayaran dam yang dibuat semalam. Aku kena yakin dia akan laksanakan.

Ambil gambar ?
Aku ditegur oleh salah seorang urusetia TA kerana ambil gambar. Oh baru aku teringat pesanan al-Ustaz semalam. Tetapi aku bukan ambil gambar yang menyebabkan melengah-lengahkan perjalanan. Tetapi aku ambil gambar kekalutan yang sedang berlaku, yang menyebabkan kami lewat meninggalkan Makkah. Ketidak cekapan pihak TA yang menyebabkan kami lengah dan tertangguh untuk meninggalkan Makkah.

Akhirnya kekira jam 9.15 baru tayar bas bergolek. Kedengaran Tn Hj Nasaruddin mengingatkan menerusi mikropone membacakan doa naik kenderaan, selamat berangkat dan mengalakkan kita melambai dan melihat-lihat di mana Masjidil Haram sehingga tidak nampak bayang. Selamat tinggal Baitullah. Selamat tinggal Masjidil Haram. Jumpa lagi ... insya’allah.

Tidak Puas Hati Lagi
Rungutan turut kedengaran daripada jemaah lain dalam kumpulan kami. Ada yang pernah pergi dengan TA yang sama dua tahun dahulu, namun ketika itu pengurusannya bagus. Ziarah dilakukan dengan baik, sama ada daripada segi peluang ziarah serta penerangan yang diberikan. Majlis tazkirah sering diadakan yang ketika itu bersamanya ialah Ustazah Siti Norbahyah dan Ustaz Wan Akasyah. Tiada masalah sebagaimana yang dihadapi sekarang.

Kami juga dimaklumkan, khabarnya syarikat TA yang kami ikuti ini telah berubah habis pengurusannya dan yang baru ini tidak berapa cekap lagi. Agaknya begitulah. Entahlah, aku juga memang tidak berpuas hati.

Bagiku tempat ziarah luar seperti Gua Hira, Bukit Uhud, Masjid Qiblatain dan beberapa lagi sangat penting untuk dikunjungi terutamanya oleh anak-anakku kerana ada aspek keimanan dan penghayatan terhadap Islam disebaliknya. Bukan sekadar cerita yang pernah mereka dengar daripada Ustaz atau Ustazah ketika di bangku sekolah.

Ini tidak, ziarah dilakukan sekadar ziarah seperti melepas batuk ditangga, tak endah apa pengajaran yang hendak diperolehi. Atas surat program, macam-macam ditulis tempat ziarah. Apakah sekadar umpan untuk menarik pelanggan mengikuti TA ini ? Kalu begitu tertipu kami nampaknya ... Namun Alhamdulillah, ada Ustaz Adli UTM yang sudi memberikan beberapa tazkirah serta penerangan semasa ziarah pertama di Makkah. Mantap penerangannya, jauh beza kalau ambik yang Indonesian.

Bas Oven
Lantaran mengantuk, kami lebih banyak tidur dalam perjalanan yang memakan masa hampir satu jam setengah. Kepanasan di luar bas mungkin menyebabkan air-cond bas tidak terasa. Kami kepanasan, malah ada yangkelihatan terpaksa mengipas sendiri dengan kertas. Terasa macam dalam oven, tidak sabar nak sampai.

Tiba-tiba aku tersedar sudah sampai di Terminal Haji Jeddah, bukannya di Masjid Terapung Jedah sebagaimana dikatakan oleh pihak TA termasuk oleh KU sendiri. Sekali lagi cakapnya tidak betul. Namun katanya sebab hari ini hari Jumaat, agaknya sudah terlalu lewat untuk untuk ke masjid tersebut yang mungkintelah penuh dengan jemaah Jumaat. OK, boleh diterima.

Sampai di luar Terminal Haji Jeddah, kami turunkan barangan kami. Nampak ramai pekerja terminal berbaju merah cuba menawarkan troli untuk mengangkat barangan kami. Namun isteri dan anakku telah cari troli dalam bangunan terminal. Nasib baik dapat dan tidak terima tawaran pekerja tadi. Sebab kalau ikutkan dia, beri troli saya SR 10 dan angkatkan barangan ke atas troli harga lain pulak.

Kemudian kami menjamu selera dengan bekalan yang di bawa bersama dan disediakan oleh pihak TA. Rupanya ada kedai-kedai yang masih dibuka walaupun tengahari Jumaat. Jadi aku cuba habiskan SR yang masih ada untuk beli apa yang patut. Kami solat jamak zuhur dan asar terus di tempat menunggu di luar terminal. Memang agak panas, tetapi sesekali berangin. Sambil itu aku berbalas SMS dengan adikku di Malaysia untuk pengesahan waktu penerbangan dan ketibaan. Entah berapa RM setiap SMS dicajkan nanti.

Kira-kira jam 1.30 tengahari kami pun memasuki bangunan terminal. Baru terasa sejuk dengan air-cond bangunan. Nyamannya ... argh ! Barangan untuk memasuki flight telah disusun. Pihak TA kata semuanya beres dan insya’allah akan terus sampai ke KLIA baru diambil, walaupun transit beberapa tempat. Ini yang cover dalam SR20 seorang. Tapi aku rasa barangan keluarga ku 6 orang pun tidak sampai 6 X 25 = 150kg. Tidak mengapalah.


Sambil menunggu barangan di tag dan masuk, para jemaah lain duduk dalam menunggu dalam bangunan. Kemudian pembahagian passport serta bording pass dilakukan oleh pihak TA. Katanya semuanya dilakukan oleh mutawwif. Kelihatan KU menyapa para jemaah memohon maaf dan melambaikan tangan tanda tidak jumpa selepas ini. Malas aku nak salam dengannya ...

Ketemu Imam Muda Tawfik Lagi
Nampaknya program umrah sama dengan yang dikendali oleh beliau. Masa bertolak serentak di KLIA dan masa nak bertolak balik pun sama masa juga. Mungkin flight yang sama dari Jeddah ke Abu Dhabi.

Kali ini aku berpeluang bergambar bersama beliau. Nampak ramai jemaah lain yang tidak melepaskan peluang yang sama. Ha .. ha ... ada yang siap tanya nak buka cawangan atau jadi agen boleh ke ?

Kemudian kami memasukki pemeriksaan passport. Yang sakit hatinya, sudahlah lama proses pemeriksaan bagi jemaah selain Malaysia, sesaja aje mereka potong queue sambil mulut tu pot-pet mengatakan sesuatu. Tidak ada disiplin langsung.

Tidak Mesra Pelanggan
Kemudian kami melalui pemeriksaan sebelum menaikki kapal. Pemeriksaan mengikut barisan berasingan antara lelaki dan perempuan. Sekali lagi, jemaah entah dari mana, main pakai masuk aje potong queue. Sabor ajelah.

Queue panjang, lantaran hanya ada satu saja laluan pemeriksaan. Giler betul ... seperti di Airport Bangkok dulu, talipinggang, kamera, kasut dan handpnone pun kena scan berasingan. Sedang kita beratur panjang, beberapa petugas airport sibuk berbual di luar, entah apa yang dibincangkan.

Aku kira perkhidmatan yang diberikan kurang mesra pelanggan. Yealah, bagi mereka buka aku yang minta kamu datang ke negara aku, kau orang yang terhegeh-hegeh nak datang ziarah dan umrah. Ditakdirkan makam Rasulullah s.a.w berada di Madinah dan Kaabah berada di Makkah ... sekiranya tidak, aku pun tak hengin nak ke sini !!!

Terus melalui pemeriksaan, sekadar sempat berehat sekejap terus dibawa menaikki bas untuk di bawa ke flight sebenar.

KR mengatakan jumlah berat jemaah kumpulan kami melebihi 39kilogram. Setiap jemaah dibenarkan 25 kilogram, bermakna jumlah had 25kilogram X 100 orang = 2,500 kilogram. Entah siapa bayor aku tidak pasti. Kalau 1kg = 70 SR bermakna, SR 2,730. Entah berapa kutipan SR 20 tadi boleh cover. Bukan semua bayor, SR 20 X 100 pun baru SR 2,000.

Berlepas Ke Abu Dhabi
Flight berlepas jam 4.30petang untuk ke Abu Dhabi. Kali ini kami sekeluarga berada dalam barisan atau kumpulan yang satau dan berdekatan. Barulah best. Tidak pastilah keluarga jemaah yang lain lagu mana. Tapi kerana keletihan sangat, aku banyak tidur sahaja. Flight edutainment yang disediakan pun malas nak aku layan. Tambahan ada beberapa fungsi butangnya sudah rosak dan tidak berfungsi.

Sampai di Abu Dhabi kira-kira jam 8.15 malam. Aku sebenarnya tidak sedar bila flight mendarat. Lena sangat tidur. Sambil menunggu penumpang keluar, rombongan kami yang kebetulan di bahagian belakang flight sempat membahagi-bahagikan boarding pass untuk penerbangan berikut iaitu dari Abu Dhabi ke Bangkok.

Telah aku pesan kepada ahli keluargaku, pastikan terus ambil wuduk ketika di Airport Abu Dhabi dan sekiranya sempat solat dimana-mana untuk maghrib dan isya. Tetapi rupanya tidak sempat nak solat. Cuma sempar ambil wudu. Kedengaran azan masuk waktu Isyak berkumandang di seluruh bangunan airport. Kalau kat Malaysia, tentu dah kena komen kat paper.

Berlepas Ke Bangkok
Jauh sangat perjalanan keluar dan masuk semula. Kami pun rancang untuk solat ditempat duduk dalam flight. Masuk flight untuk ke Bangkok. Rasanya macam flight yang sama. Tetapi masalahnya kami sekeluarga tidak duduk setempat macam tadi.

Dengan berbantukan map yang disediakan dalam flight edutainment, arah kiblat dapat ditentukan. Sementara belum berlepas, kebetulan arah kiblat sama dengan kedudukan flight, akupun pesan dengan orang sebelah yang juga ahli rombonganku dan solat. Lepas solat baru terasa lega merehatkan diri.

Flight bertolak jam 9.40 malam dan dijangka tiba jam 7.05 pagi waktu Bangkok. Maknanya kami juga kena solat suboh dalam flight. Rasanya aku pun lebih banyak tidur dalam flight daripada melayani flight edutainment. Suasana sekitar pun tidak aku hiraukan sangat.

Klik Untuk Lagi Gambar Hari Ke-14

No comments:

Post a Comment