06 Jun 2011 – Ziarah Hudaibiyah
Bersemangat untuk program ziarah lagi hari ini. Sebagaimana diminta, 6.30 telah turun. Tetapi seperti biasa, bas lewat tiba dan naik bas pun pakai naik saja tanpa mengikut kumpulan tertentu sebelum ini. Agaknya bagi TA ini yang mudah. Tidak payah nak fikirkan siapa naik yang mana. Tempat tujuannya sama juga. Syarikat TA yang sama juga. Janji semua dapat pergi dan balik.
Berbanding ziarah Ja’ranah, kami difahamkan perjalanan ke Masjid Hudaibiyah lebih jauh. Aku kira suatu binaan yang agak menakjubkan dan banyak terdapat di Makkah ialah terowong. Walau tidak dinafikan bukit-bukit lain yang dibina terowong juga ditebuk, tetapi melihat bukit batu yang kaw-kaw solid batu terdapat disini, entah berapa lama masa diambil untuk menebuk lubang itu sahaja. Apa teknik dan teknologi yang digunakan ?
Jalan-jalan terowong tentunya banyak membantu dalam sistem penyuraian trafik di sekitar Makkah, khususnya Masjidil Haram. Makkah terletak di sebuah lembah yang dikelilingi dengan bukit-bukit batu. Bayangkan ribuan manusia saban hari mengunjunginya dari serata dunia dan bayangkan jutaan jemaah ketika musim haji. Pembinaan terowong itu juga telah memudahkan dan memendekkan perjalanan dari Makkah ke tempat lain khususnya Mina, Mudzalifah dan Arafah.
Terowong ini turut dilengkapi dengan ciri keselamatan dan kemudahan yang mengambilkira sistem pengudaraan, lampu, generator dan talipon sebagaimana yang kedapatan juga di negara kita. Malah terdapat terowong yang mengasingkan antara khusus untuk pejalankaki dengan terowong kenderaan. Dulu-dulu beberapa kali kita dengar kejadian yang menyebabkan ramai jemaah mati di terowong. Nampaknya sudah tidak kedengaran sekarang kejadian seumpamanya.
Lalu Muzium Dua Masjid Suci
Dalam perjalanan, kami hanya melewati atau melalui di hadapan bangunan Muzium Dua Masjid Suci ( Al-Haram dan Nabawi ). Pemandu pelancong hanya menunjukkan bangunannya dan mengatakan kami tidak akan singgah memasukkinya. Argh, kecewanya. Anakku asyik tertanya-tanya kenapa tidak masuk. Kecewa juga sebab banyak tinggalan asal yang terdapat di Masjid Nabawi dan masjidil Haram terdapat dalam muzium ini seperti kelambu kaabah, pintu masjid, rangka pagar telaga zam zam dan pelbagai lagi.
Aku tanyakan seorang urusetia TA, Tn Hj Nasaruddin, dia kata nak masuk agak susah sebab terhad dan kena dapatkan kebenaran daripada pemerintah.Ada beberapa TA di Malaysia dapat kebenaran tu. Jadi bila aku tanyakan adakah pihak TA ada memohon, katanya tidak. Kalau tiada, kenapa masukkan aktiviti ini dalam jadual program.
Pihak TA telah memberikan harapan yang tinggi kepada jemaah, tetapi kemudiannya memberikan pelbagai alas an, rupanya harapan palsu. Tapi aku pernah dengar dulu ada jemaah yang boleh pergi dengan teksi saja, tak payah minta kebenaran. Apakah zaman sekarang baru kena minta kebenaran ?
Ladang Ternak Unta
Seterusnya kami berhenti di suatu tepi jalan yang agak luas dengan kawasan lapang dan tandus. Rupanya kami singgah di ladang ternak unta. Kami begitu teruja. Wah banyaknya unta, bersih kulitnya dan kelihatan sihat tubuh badannya. Kelihatan bukan sahaja banyak unta di sini, tetapi juga kelihatan dari jauh, penternakan di tempat lain di sebalik padang tandus yang luas itu.
Kami pun mengambil peluang untuk lebih mendekati unta serta bergambar dengannya. Unta memang binatang yang begitu menakjubkan. Kebolehannya untuk tidak makan selama beberapa hari atau minggu serta tahan panas, menjadikannya mahluk yang cukup sesuai untuk hidup di padang pasir seperti di negara Arab. Bonggolan di atas badan menjadi tempat simpanan bekalan air untuknya. Harga seekor unta di sini adalah sekitar SR 3,000.
Namun apa yang turut menjadi tumpuan ramai jemaah ialah susu unta di satu khemah yang disediakan. Promosinya minum percuma, tetapi bawa balik SR5 dikenakan bagi setiap botol tanpa kira saiznya. Pada mulanya tidak dapat nak ku bayangkan bagaimana rupanya susu unta, apatah lagi keinginan untuk merasainya. Tetapi apabila sekali rasa, wau ... sedap lemak berkrim !!!
Tapi susu unta agak sukar didapati di kedai-kedai atau pasaraya sekitar Makkah setakat yang aku pergi. Susu unta dikatakan menguatkan antibodi serta tubuh badan. Agaknya kalau kat Malaysia, nak bagi laku kena buat susu unta campur Tongkat Ali atau Kacip Fatimah ... ha ! ha !
Masjid Hudaibiyah
Dalam bas, al-Ustaz menceritakan tentang Perjanjian Hudaibiyah yang ditandatangani oleh Rasulullah s.a.w. Masjid yang kami akan singgah ialah Masjid Hudaibiyah, mengambil sempena dengan perjanjian tersebut. Masjid ini terletak kira-kira 25 km dari Makkah.
Di Hudaibiyah rombongan umrah Rasulullah s.a.w dihalang oleh kafir Quraisy daripada memasuki Makkah. Lantas Saidina Uthman Affan diutus untuk berunding dan kembali dengan butiran cadangan perjanjian gencatan senjata. Antara kandungan cadangan tersebut ialah Rasulullah s.a.w serta orang Islam dibenarkan masuk Makkah tahun depan selama tiga hari dan hanya bawa senjata bersarung serta gencatan senjata selama 10 tahun.
Terkandung juga dalam cadangan tersebut bahawa orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga hendaklah dikembalikan semula, manakala orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.
Rasulullah s.a.w menyetujui cadangan berkenaan walaupun ada para sahabat yang tidak senang dengan kandungannya. Perjanjian itu kemudiannya dikenali dengan ‘Perjanjian Damai Hudaibiyah’. Kemudian rombongan Rasulullah s.a.w kembali ke Madinah.
Di sebelah kanan kiblat masjid ini, terdapat bekas bangunan masjid lama yang dibangun dengan batu hitam bersimen. Selain dari menjadi tumpuan untuk jemaah umrah bermiqat, sebagaimana biasa suasana jualan pasar terbuka begitu rancak dilakukan di sini seperti di Masjid Ja’ranah.
Pembangunan Sekitar Masjidil Haram
Lepas solat Asar, aku cuba tinjau-tinjau kawasan yang sedang rancak dilaksanakan pembangunan. Pembngunan ini tentunya bertujuan untuk meningkatkan imej Masjidil Haram, selain bagi menampng keperluan jemaah yang semakin bertambah. Satu kawasan adalah di lereng sebahagian daripada bukit yang bertentangan dengan Menara Jam.
Kawasan ini masa akau kerjakan haji memang sedang rancak dengan aktiviti memecahkan batu-batuan. Habuknya masa itu tidak terkira. Tetapi kali ini pintu laluan masuk ke Masjidil Haram daripada kawasan ini nampaknya ditutup. Masa ku ke sini dulu, banyak kedai-kedai sementara di sini.
Satu lagi kawasan ialah seberang jalan sebelah kanannya. Dulu ada tertera berapa hari lagi nak siap projek, tetapi kali ini sudah tak ada. Apakah sudah tidak tercapai target atau ada perubahan dalam perancvangan. Atau rosak jam countdownnya. Apakah rupa Makkah khususnya sekitar Masjidl haram tiga epat tahun akan datang ?
Khatam Al-Quran ?
Aku masuk semula Masjidil Haram agak awal untuk solat Maghrib. Sampai sahaja, terus mencari ruang di lantai Kaabah, di tempat yang sudah redup sedikit. Di sana aku teruskan membaca al-Quran sehinggalah berjaya menghabiskan bacaan hingga suran An-Nas. Bermaknanya akhir ayat dan khatam al-Quran.
Memang hajatku hendak khatam sekurang-kurangnya sekali. Tetapi sebenarnya belum khatam. Aku hanya sambung bacaan setakat mana yang telah aku baca di tanah air dahulu. Silap aku tidak tandakan muka surat mana aku berhenti semasa di Malaysia, tetapi agak-agak sekitar muka surat 250 - 300. Memang agak sukar bagiku nak dapat membaca al-Quran berterusan dalam jangkamasa hususnya masa solat Zuhor dan Asar lantaran cuaca yang panas. Walaupun dalam Masjidil Haram, bahang kepanasan naik kemuka menyukarkan untuk membaca.
Buka Puasa
Entahlah,kenapa aku tidak terfikir untuk berpuasa di Makkah ? Mungkin sebab terasa berat atau kerana cuaca yang panas. Atau kerana terlalu memikirkan amalan lain yang hendak dicapai. Kalau nak kirakan sayang nak tinggalkan makanan yang disajikan oleh TA, tidak jugak.
Tetapi setiap Isnin dan Khamis, suasana persiapan orang hendak berbuka puasa jelas kelihatan. Ini sekurang-kurangnya mengingatkan kami bahawa hari ini adalah sama ada hari Isnin atau Khamis. Petang ini, tiba-tiba sahaja di hadapanku dibentangkan saprah plastik untuk orang berbuka puasa. Wah, rezeki nampaknya. Orang sebelahku ( orang Sabah ), makan saja tanpa tunggu azan maghrib. Yealah, nak juga hormat orang yang berbuka puasa. Maka aku makan saja setakat mana yang kelihatan boleh aku makan. Sesetengah hidangan tu, nampak macam pelik saja.
Sebaik azan berkumandang, mereka berbuka puasa dengan hidangan yang ada. Cepat-cepat makan dan habis azan sahaja, terus digulung saprah plastik dengan sisa hidangan. Tak kisah sama ada habis atau tidak. Tapi aku cepat-cepat tapau dalam plastic kecil, buah kurma yang dihidangkan. Agak sedap rasanya. Lepas tu terus solat sunat maghrib.
Pihak TA maklumkan esok 4.30 petang ada tazkirah di tempat biasa kami makan. Jadual asal tak ada pun program ini. Kami diberitahu ini dibuat lantaran tidak ramai dari kumpulan kami yang menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan semalam di Hotel sebelah, walaupun jemaah dari kumpulan TA kami juga.
Masuk ke muzium 2 masjid memang susah. Kena dapat kebenaran pentadbiran masjid. Rombongan kami 2 biji bas, tapi dpt masuk cuma 1 bas. Jadi terpaksa bersesak dlm 1 bas (siap kena tutup langsir lagi, supaya pengawal muzium tak nampak org berdiri dlm bas). Cuma 15 minit diberi untuk melawat pada waktu yg telah ditetapkan. Kalau lambat memang tak boleh masuk langsung sebab ganggu rombongan seterusnya. Dalam itineri kami memang ada lawatan ni, tapi diletakkan syarat bergantung kepada kelulusan pihak muzium. Rezeki kami dapat masuk.
ReplyDelete