Dalam masa sebulan, aku menjejakkan kakiku ke Langkawi sebanyak tiga kali, maknanya pergi Langkawi tiga kali. Yang pertama dan ketiga adalah atas urusan rasmi ofisku, manakala yang aku nak cerita di sini ialah yang kedua dimana aku ke Langkawi bersama famili adik beradik ku untuk mengadakan Trip & Hari Keluarga di Pulau Langkawi dari 5hb hingga 8 hb Disember 2012. Pilihan tempat diputuskan kekira tahun lepas dan lantaran aku sudah banyak kali ke Langkawi, maka aku bertindak untuk menguruskan soal logistic dan pengisian kunjungan. Dua tahun lepas kami mengadakannya di Kelantan Terengganu.
Sebahagian besar ahli rombongan keluarga kami belum menjejakkan kaki ke Langkawi lagi. Nampaknya mereka begitu teruja, apatah lagi kanak-kanak yang khabarnya beberapa hari sebelum bertolak asyik menyatakan tidak sabar nak ke Langkawi. Ini menguatkan semangatku untuk memastikan kunjungan mereka ke Langkawi penuh kenangan, bermakna, berbaloi dan puas hati.
Hari 1 – Rabu, 5hb Disember 2012
Kami bertolak dari penginapanku Putrajaya kekira jam 3.00pagi. Semuanya 5 buah kenderaan dengan peserta seramai 15 dewasa, 6 kanak-kanak dan 2 kanak-kanak bawah 3 tahun. Kami berhenti di RnR Sungai Perak jam 6pagi untuk solat suboh dan sarapan dengan bekalan yang dibawa.
Kemudian kami meneruskan perjalanan tanpa masuk atau melalui Bandar Alor Star dan sampai di jeti jam 10 pagi. Terasa jauh sikit. Sepatutnya lancar sikit perjalanan, tetapi sebab dah lama tak lalu jalan itu, jadi teragak-agak pulak. Dalam feri ke Langkawi, bebudak tidak boleh duduk diam tanda tidak sabar nak sampai. Tambahan keadaan feri pun agak selesa dengan hawa dinginnya.
Akhirnya kami sampai Apartmen Lagenda sebagai homestay sepanjang kami di Langkawi kira-kira jam 2.00 petang. Dua unit homestay yang kami sewa, ada tiga bilik tidur + dua bilik air, lengkap dengan kemudahan sebuah rumah termasuk washing machine. Begitu juga dua unit van yang kami sewa agak baru, memang selesa.
Kemudian kami bergegas ke lokasi pertama iaitu Beras Terbakar Padang Matsirat. Tiba lokasi kami makan tengahari dulu, walaupun sudah lewat petang.
Pelan nak ke Kompleks Mahsuri dibatalkan sebab sudah lewat petang. Nampaknya ada yang teruja dengan kisah mengapa beras dibakar dan kaitan dengan Mahsuri.
Kemudian kami ke salah sebuah kedai pengusaha produk gamat dalam perjalanan pulang ke Kuah. Hari sudah petang, dapor ’memask gamat’ telahpun ditutup. Kekadang aku terasa yang rega kat situ lebih mahal berbanding kalau beli di Kuah atau Hj Ismail Group contohnya.
Kemudian kami terus menuju ke Apartment dan singgah di Pasar Malam Pekan Kuah untuk membeli juadah makan malam. Malam itu kami tidak kemana, berehat setelah separuh hari perjalanan. Nak singgah window shopping pun memasing sudah tidak larat.
Hari 2 – Khamis, 6hb Disember 2012
Sebaik suboh, kami masak bekalan makanan sejuk beku untuk sarapan. Sambil yang lain nampaknya begitu seronok mandi di kolam renang yang terdapat dalam kawasan apartmen.
Lepas sarapan, kami ke Dataran Langkawi. Di sana kami mengabadikan kenangan seisi keluarga bergambar dengan helang batu yang mengepak megah di situ. Rasanya itu sahaja yang penting di sini, sebagai bukti telah ke Langkawi.
Seterusnya kami ke Oriental Village untuk menaikki Langkawi Cable Car. Ini merupakan kategori mesti pergi sekiranya pertama kali mengunjungi Langkawi. Nak naik memasing kelihatan begitu teruja sekali.
Orang agak ramai juga, kena beratur panjang tunggu giliran. Cuaca pula panas dan agak menarik walaupun awan masih memutih.
Sampai giliran masuk kedalam gondola yang bergerak tanpa henti mengambil penumpang. Maka bermulalah pengalaman. Khabarnya ada yang menjerit takut. Ada yang senyap aje ... macam-macam ragam apabila melihatkan keadaan ketinggian dan suasana sekeliling. Ada yang tidak putus-putus membaca Ayat Kursi, aL-Fatehah sepanjang berada dalam gondola yang bergerak.
Tetapi apabila sudah turun kembali memasing dengan pelbagai cerita pengalaman dan ragam. Ada yang bersumpah tak mahu naik lagi, ada yang gayat ketakutan, ada yang rasa seronok dan tidak kurang pula tak rasa apa-apa.
Memang pada umumnya kita takut kepada ketinggian. Tetapi menaiki Langkawi Cable Car memberikan suatu pengalaman yang menarik dan tidak dapat dilupakan. Pemandangan memang indah, namun agak kecewa sebab jambatan gantung atau SkyBridge ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Masa cuti sekolahlah pulak mereka buat penyelenggaraan.
Sekurang-kurangnya dengan naik Langkawi Cable Car, memasing dapat lebih mengenali keupayaan diri masing-masing, tahu betapa tinggi rendahnya langit !!!
Kemudian kami singgah makan tengahari dalam perjalanan balik dan solat di masjid berdekatan. Destinasi seterusnya ialah Laman Padi dekat Pantai Chenang.
Dewan pameran padi yang agaknya sunyi sebelum itu, jadi riuh rendah dengan kehadiran rombongan kami. Aiskerim susu kerbau menjadi tarikan.
Patutnya kami nak singgah di Under Waterworld, tetapi memandangkan terasa mahal tiketnya, maka kami ke Kompleks Makam Mahsuri. Di sana mungkin lebih menarik bagi mengetahui latar belakang serta kisah lagenda Mahsuri dan Langkawi.
Masuk sahaja, kami seolah-olah diberi sambutan khas iaitu persembahan gamelan yang dimainkan di ruang pintu masuk.
Makam Mahsuri, Perigi Mahsuri serta model rumah-rumah lama bagi mengambarkan watak penting dalam lagenda Mahsuri menjadi tarikan. Taman mini haiwan sedang dalam pengubahsuaian.
Menerusi video yang ditayangkan dapatlah sedikit sebanyak mengetahui dengan lebih pantas, siapakah Mahsuri sebenarnya, serta nama-nama seperti Pandak Mayah, Mat Cincang, Wan Hakim sehingga Wan Aisyah yang masih hidup.
Dari Kompleks Makam Mahsuri kami kembali ke Kuah dan aktiviti shopping bermula di Kedai Hj Ismail Group. Memasing sudah tidak sabar nak shopping, sebab asyik berjalan saja sebelum ini.
Barangan yang menjadi pilihan nampaknya adalah cokelat, sudu garpu, kain batik, cenderahati dan beg.
Mungkin kerana memikirkan bagaimana nak bawak balik, pembelian agak terhad. Apa taknya, beg barangan masa sampai Langkawi pun sudah berderet. Tidak cukup di Hj Ismail Group, kami ke kedai Rams di Baron City pulak.
Lepas Isyak kami berkumpul semula untuk program baca Yasin, tahlil arwah dan doa selamat kepada Ejah yang akan menjalani pembedahan, Aqila yang menyambut ulang tahun kelahiran hari ini dan keselamatan semua ahli keluarga. Kemudian bincang tentang aturcara lawatan seterusnya, sebelum makan dan tidur.
Hari 3 – Jumaat, 7hb Disember 2012
Awal 7.30pagi bertolak ke Pantai Pasir Tengkorak dengan bekalan Nasi Lemak ‘Gulung’ ( RM 1 sahaj setiap satu ) serta kuih mueh ( 4 biji RM1 ) yang dibeli selepas suboh tadi. Perjalanan agak jauh juga. Sampai sahaja belum ada orang yang tiba, jadi mudah memilih lokasi yang sesuai.
Budak-budak tidak sempat nak sarapan sudah terjun masuk ke dalam air pantai. Memasing seronok sebab bukan sahaja sejuk pagi ( cahaya matahari pula terlindung dengan bukit ), tetapi airnya jernih, cetek serta bersih air dan pasir pantainya.
Kemudian acara sukaneka kepada kanak-kanak diadakan, kendalian Pak Uda. Acaranya tiup belon sampai pecah, tiup tepung ambik duit syiling dan rebut gula-gula.
Lucu gelagat budak-budak yang ambil bahagian, manakala ada ibubapa yang turut membantu pulak. Tak aci !!! Si Aqil tiup belon paling besar tapi kemudiannya dibiarkan lepas sebab sayang nak pecahkan belon. Ejah pulak sambil nangis, marah kata Pak Uda tipu sebab dia tak jumpa pun syiling, walaupun dah tiup habis tepung kat pinggan. Sungguh lucu … lain kali buat acara untuk dewasa pulak.
Lepas bilas di bilik yang disediakan kami pulang menuju Pekan Kuah. Sampai di Taman Buaya, kami pun singgah. Sebelum masuh sempat singgah di kedai yang terdapat sebelum pintu masuk, pelbagai barangan daripada kulit buaya sehinggalah pulohan ribu RM harganya. Katanya daripada kulit buaya taman ini, tetapi kilangnya di Kuala Lumpur.
Wah, kamai amat bertuah kerana masuk bertepatan dengan pertunjukan buaya. Menarik juga dan ramai juga penonton ketika itu.
Kami juga sempat melihat bagaimana sesi memberi makan kepada buaya diadakan. Tampak pulohan buaya yang besar-besar timbul untuk mendapatkan makanan yang dicampak oleh petugas taman.
Seterusnya kami ke Pantai Pasir Hitam untuk menyaksikan sendiri keajaiban pantai yang kebanyakkan pasirnya hitam. Ada dua kisah atau teori kenapa ianya berwarna hitam, satu kisah lagenda sumpahan ikan duyung dan satu lagi daripada segi saintifik.
Maklumat kejadian ada diceritakan di tepi pantai tersebut. Nampaknya ada yang ambik pasir hitam ke dalam plastik untuk buat kenang-kenangan.
Kemudian ada yang mengambil kesempatan mencari baju-baju atau souvenir di kedai yang banyak terdapat di situ, selain juadah untuk makan tengahari.
Sampai homestay sudah hampir zuhor dan yang lelaki bergegas ke Majis Al-Hana untuk solat Jumaat. Memang boleh ‘skip’ then jamak qasar. Tapi tidak mengapalah, sekurang-kurangnya dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman solat Jumaat di sana.
Lepas makan tengahari, kami turun semula untuk ke Kilim Geoforest Park yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan. Kami tempah dua boat yang dinaikki mengikut kumpulan van. Orang agak ramai, mungkin sebab lepas solat Jumaat.
Bukan setakat ke Kilim Geoorest Park, rupanya ramai yang belum pernah naik bot sebelum ini ? Ini pengalaman bagi mereka.
Destinasi pertama adalah Gua Kelawar. Dengan menyewa lampu picit RM1 setiap satu, ia menjadi panduan perjalanan dalam gua yang gelap.
Menerusi lampu picit, dapat lihat kelawar yang bergantungan di atas dan dinding gua serta corak dan bentuk dinding gua termasuk stalagtait dan stalagmait.
Ada yang bukan setakat buat pertama kali masuk gua, tetapi juga melihat kejadian stalagtait dan stalagmait. Dapat tahu juga ada yang begitu takut dengan kegelapan.
Kemudian memasing teruja menyaksikan sendiri pokok fosil hidup yang dikatakan telah hidup 200 juta tahun yang lalu. Kembali ke jeti, kami menyusuri pokok bakau yang hidup dengan banyak sekali.
Destinasi seterusnya ialah ke Sangkar Ikan di mana terdapat pelbagai ikan-ikan yang esklusi sebagai tarikan pengunjung.
Dengan berbantukan penerangan daripada jurucakap bagi kumpulan kami, ditunjukkan keistimewaan ikan nyok-nyok, ikan pari, belangkas dan ikan sumpit. Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar apatah lagi tengok secara live ikan tersebut.
Ramai orang di sangkar ikan tersebut ketika kami di sana, risau juga kot ada yang boleh tegelincir jatuh ketika menyusuri ruangan jalan yang sempit.
Kemudian kami ke kawasan dimana pemberian makan kepada helang dilakukan. Kelihatan helang berkeliaran di udara yang kemudiannya menyambar makanan berupa kulit ayam yang di campakkan ke permukaan air.
Akhirnya kami keluar ke laut lepas dan diperlihatkan beberapa sktuktur atau bentuk seperti muka manusia, kasut, orang tidur serta kura-kura.
Pada struktur kura-kura tersebut, terpampang tulisan ‘Kilim Geoforest Park’ yang menjadi tarikan kami untuk mengabadikan kenangan berlatar belakangkan tulisan tersebut. Kenapa dipanggil Geoforest Park ? Ia ada kaitan dengan penemuan kaian yang menunjukkan Langkawi dikatakan berusia 500 juta tahun lalu dan timbul permukaannya kira-kira 200 juta tahun lalu.
Kunjungan ke Kilim banyak memberikan kami pengetahuan baru dan pengalaman yang menarik. Tetapi kena merancang supaya perjalanan berbaloi dengan boat yang dinaikki, sebab agak mahal juga tambang satu boat. Kalau ramai dalam satu bot, baru berbaloi.
Seterusnya kami menuju ke Idaman Suri, salah satu pesaing Hj Ismail Group. Ganaz, dapat parking betul-betul depan pintu masuk kedai !!!! mana yang tidak sempat atau tidak ditemui di Hj Ismail Group, kami cari di sini.
Masih tidak puas hati, kemudian singgah lagi di kedai Hj Ismail Group yang satu lagi dan kemudian ke Kedai Rams juga.
Lepas Isyak, kami ke Restoran Seafood Bamboo yang terletak di tepi pantai tidak jauh dari homestay, untuk makan besar seluruh ahli rombongan.
Boleh tahan ramai orang pada malam tersebut. Walaupun kami telah tempah awal, tapi lewat juga disiapkan hidangan kami. Terpaksa menunggu sikit.
Selepas makan, diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka. Nampaknya mana yang muka masam semasa pertandingan tadi, mula tersenyum sebab kalah menang semua dapat hadiah, Cuma kecik besar aje.
Dalam perjalan balik, kami singgah di Uptown Kuah yang terletak di hadapan Hotel Bayview untuk membeli mana yang belum kesempatan untuk dibeli.
Hari 4 – Sabtu, 8hb Disember 2012
Awal pagi lagi, budak-budak dah turun ke kolam untuk kali terakhir. Lepas sarapan, satu kumpulan bergerak untuk menemui keluarga Che Shahrom yang turut mengadakan trip keluarga ke Langkawi.
Homestay sewaan mereka tidak berapa jauh daripada homestay kami. Tapi mereka tidak berjalan mana sangat sebab budak-budak ramai yang demam sehingga pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Dalam perjalanan balik singgah lagi Kuah dan Hj Ismail Group, tak habis lagi ? Kemudian terus balik dan berkemas untuk ke Jeti. Hasrat untuk ke Kg Ayer Hangat pagi itu tak kesampaian disebabkan masa.
Nampak sukar juga nak amasukkan semua barangan kedalam van, maklumlah banyak beg dan barang betambah. Sampai jeti dapat tiket jam 12.00 tengahari, walaupun ketika itu baru 10.30 pagi.
Jadi kami ambil peluang untuk ronda kedai sekeliling kompleks Jetti dan shopping buat kali terakhir. Sedang dalam feri yang agak selesa, kebanyakkan yang dewasa tidur keletihan, tetapi kanak-kanak tetap bising dan bermain sahaja.
Sampai jeti Kuala Perlis kekira jam 2.00 petang, terus ambil kereta dan kembali ke Jeti untuk angkut barangan yang ditinggal. Nampak semua kereta ok, tiada malah seperti hilang atau kerosakan.
Kali ini kami ambil jalan menuju Alor Star, ambil pengalaman serta untuk buat perbandingan, berbanding ikut jalan semasa datang tempohari. Selepas berhenti solat dan makan tengahari ( sudah lewat petang pun ) kami meneruskan perjalanan sehingga berhenti semula di RnR Sg Perak lagi.
Walaupun agak keletihan, nampaknya memasing puas hati dengan trip kali ini. Sambil rehat dan makan-makan sempat bercerita semula kenangan di Langkawi. Tetiba tercetus idea next Hari Keluarga di Bandung …ha .. ha …ha. Dahsyat !!!
Kemudian kami mula berpecah dua kumpulan, satu yang terus balik rumah Johor dan Melaka. Manakala yang lain singgah semula di Putrajaya. OK, jumpa lagi dalam next Hari Keluarga. Insya’allah.
No comments:
Post a Comment