Tahun Baru Cina atau Raya Cina ? Menyambut Tahun Baru Cina atau merayakan Raya Cina ? Apa bezanya dengan sambutan tahun baru masehi, apatah lagi Tahun Baru Hijrah. Dalam suasana masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, nampaknya sambutan Tahun Baru Cina menampakkan pengaruh yang semakin meresapi kehidupan masyarakat Malaysia keseluruhannya, khususnya orang Melayu sendiri. Mungkin dah lama ianya berlaku. Bunga api, mercun, limau mandarin dan pemberian duit raya dalam sampul khas adalah sebagai contoh.
Mungkin kuih bakul tu tidak mengikut citarasa atau selera orang Melayu Islam walaupun telah disahkan Halal oleh JAKIM, kalau tidak ….. berbakul-bakullah orang Melayu Islam memakannya. Kalau setakat berkumpul sekeluarga dan makan-makan serta kunjung mengujung di kalangan sanak-saudara itupun merupakan tradisi dalam sambutan Raya Aidil Fitri orang Melayu Islam. Tiada sambutan seumpamanya pada sambutan Tahun Baru Hijrah mahupun Raya Korban. Apa pula hukumnya orang Melayu Islam merayakan Tahun Baru Cina bersama orang Cina ? Apakah Tahun Baru Cina merupakan perayaan agama ? Kalau agama, agama apa pulak ? Buddha …??
Tahun Baru Cina merupakan hari pertama dalam kalendar Cina. Ia disambut di negara dan wilayah yang diduduki oleh ramai orang Cina, seperti Tanah Besar China, Hong Kong, Indonesia, Macau, Malaysia, Filipina dan Singapura. Juga dilokasi yang kuat pengaruhnya dengan budaya Cina, khususnya di mana-mana China-Town. Ia melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul untuk makan besar dengan masakan tradisi. Rumah dibersihkan dan dihiasi dengan pokok buah limau, manakala mercun dibakar pada malam hari.
Apa signifikannya mercun, bunga api, buah limau dan pokoknya, yee sang dan kuih bakul kepada orang Cina ketika sambutan tahun baru itu. Golongan muda khususnya yang belum kahwin pula selalunya akan menerima wang ang pau daripada golongan tua yang telah berkeluarga dalam sampul merah. Mengapa pemberian dibuat dan mengapa warna merah ? Di sesetengah tempat di adakan pertunjukan tarian naga atau singa, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang.
Sejarah & Mitos
Tidak dapat nak buat penyelidikan lanjut, namun dikatakan ianya bermula beribu tahun dahulu, semasa sistem pemerintahan dinasti di negeri China sejak sebelum Masehi lagi. Daripada segi mitosnya menurut legenda pada zaman dahulu, seekor raksaksa yang dinamakan Nian muncul membuat huru hara setiap menjelang tahun baru Cina, memburu mangsa seperti binatang-binatang liar, burung, serangga dan juga manusia. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan.
Ada juga sehingga dikatakan penduduk akan mengosongkan rumah dan pergi ke tempat lain yang aman untuk menyelamatkan diri. Sehinggalah suatu ketika ada seorang tua yang enggan berpindah, sebaliknya melekatkan riben berwarna merah di luar rumah serta membuat bunyi bising.
Ini membuatkan raksaksa tersebut takut dan beredar ke tempat lain. Bunyi bising tersebut digantikan dengan dentuman bunyi mercun serta bunga api. Perayaan Tahun Baru Cina juga berkaitan dengan kejayaan menghalau raksaksa tersebut.
Pemilihan 12 Binatang
Lagenda juga meriwayatkan bahawa suatu masa dahulu Buddha ( ada juga dikatakan Maharaja Cina ) telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru. Ada juga dikatakan berlumba. Namun hanya 12 binatang sahaja yang sampai mengikut turutan iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan akhir sekali khinzir.
Sebagai penghargaan, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Bagaimana tikus boleh sampai dulu berbanding haiwan lain ? Itu tentunya ada mitos tersendiri selain tikus menang bertanding lumba lari dengan arnab. Ada dikatakan sebab tikus tersebut duduk di hidung lembu yang berada di kedudukan kedua.
Dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut. Sejauh mana masyarakat lain di Malaysia mempercayainya ? Mungkin itu sebagai mitos, tetapi rasanya ada kisah lain yang sebenarnya.
Sesak Balik Kampung
Apakah ini kesan terbesar yang begitu dirasakan sehingga aku lebih suka duduk di rumah berbanding berjalan-jalan, bercuti atau balik kampong semasa cuti Tahun Baru Cina. Apa taknya, jalan-jalan utama serta lebuhraya ke kampong akan sesak dengan kenderaan balik kampong.
Bukan sahaja bagi kaum cina, kaum lain pun mengambil kesempatan daripada cuti yang agak panjang, sekolah pun ambil cuti peristiwa, kilang pun tutup dan pekerja dipaksakan cuti. Ini menyebabkan timbulnya keperluan mencadangkan jadual giliran selain mengetatkan kawalan keselamatan jalan raya, seperti mana yang dijalankan ketika Aidilfitri supaya kurangnya berlaku kemalangan.
Cina Tutup Kedai, Melayu Susah ?
Memandangkan orang Cina merupakan populasi kaum kedua teramai di Malaysia, sedikit sebanyak sambutannya memberikan kesan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk umat Islam Melayu. Ketika cuti Tahun Baru Cina, banyak kedai atau kilang milik bangsa Cina akan bercuti sehingga dikatakan orang melayu boleh kebulur jika kedai orang Cina cuti panjang.
Tahun ini timbul pula isu Pasar Borong Selangor cuti seminggu sempena Tahun Baru Cina. Akibatnya peniaga bangsa lain menjalankan aktivitinya di luar bangunan Pasar Borong Selangor. Pelik juga, padahal tertulis perkataan 24jam sehari. Namun di sesetengah tempat, petang hari pertama Tahun Baru Cina, ada kedai runcit orang Cina dah kembali berniaga atau buka kedai.
Itu sekadar kedai runcit atau pasar, bagaimana dengan bisnes lain seperti spare part kereta, barangan elektrik dan bahan binaan ? Sesetengah tempat mungkin terjejas dan sesetengah tempat lain ada alternatifnya daripada kedai orang melayu atau India. Teringat aku sekiranya cuti perayaan yang melibatkan kaum India yang diketahui memonopoli pengedaran akhbar, terpaksa syarikat akhbar pun cuti mencetak akhbar. Patutnya jika kedai Cina tutup, kedai Melayu kenalah buka. Ini nak cuti jugak ?
Makan Besar
Pada malam Tahun Baru, kaum keluarga sama ada dekat atau jauh akan berkumpul di rumah ibu bapa untuk upacara makan besar. Biasanya diadakan di rumah anggota keluarga yang paling tua. Ini simbol eratnya ikatan kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat harmoni. Ini dikatakan juga sebagai simbol bagi memastikan semua ahli keluarga berada bersama dalam keadaan selamat daripada serangan Nian ?
Dalam adat kita pun, maghrib menjelang raya berkumpul semuanya setelah tiba ke kampong menghadap juadah berbuka puasa yang terakhir. Hidangan makan malam tahun baru ini biasanya tidak akan dimakan habis. Ia sebaliknya disimpan bakinya semalaman dengan maksud semoga ada lebihnya setiap tahun.
Buah Limau Mandarin
Limau ini merupakan buah-buahan paling kerap ditemui semasa perayaan tahun baru. Orang Melayu pun tidak melepaskan peluang mendapatkannnya yang banyak dijual secara kotak dengan harga yang agak murah di pasaraya dan pusat membeli belah. Entah-entah makan lebih banyak dari orang Cina, kerana rasanya pun yang sedap.
Buah ini datang kebanyakkannya ( mungkin semuanya ) dari negeri China yang diimpot memang ikut time musim Tahun Baru Cina. Masa-masa lain tak nampak pun limau mandarin dijual di mana-mana.
Rasanya tak ada masalah untuk umat Islam Melayu makan sebanyak mana, asalkan tidak terikut–ikut dengan keyakinan dan kepercayaan orang Cina. Tetapi apa hukumnya menanam pokok buah limau yang rendang tetapi berbuah lebat sebagaimana dilakukan oleh orang Cina sempena Tahun Baru Cina ?
Fungsi buah limau mandarin bagi masyarakat Cina antaranya ialah untuk dipuja di Tokong dan daunnya untuk buang sial. Buah limau mandarin melambangkan kesejahteraan dan kemewahan. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki.
Mercun
Apakah jika umat Islam Melayu bermain mercun, juga bermaksud nak menghalau raksaksa Nian daripada membuat huru-hara mencari pemangsa ? Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru bagi orang Cina dan bagi menghalau puaka serta nasib malang. So, bagaimana umat Islam Melayu ?
Pada zaman silam, batang buluh yang berisi serbuk meriam dan dibakar untuk menghasilkan letupan kecil pernah digunakan di China untuk mengusir puaka. Ini macam merim buluh yang dimainkan oleh orang melayu Islam ketika musim puasa dan raya. Pada zaman moden sikit, kaedah ini berubah menjadi penggunaan mercun.
Mercun ini biasanya diikat pada tali panjang berlakur yang digantung. Setiap batang mercun digulungkan dalam kertas merah kerana warna merah itu bertuah, dan berisi serbuk merian dalam terasnya. Apabila dibakar, mercun melepaskan bunyi meletup-letup yang kuat. Oleh sebab mercun biasanya berangkai dalam bilangan ratusan, mercun menghasilkan letupan memekakkan yang dipercayai boleh mengusir roh-roh jahat. Penyalaan mercun juga melambangkan peristiwa yang ria dan menjadi satu aspek penting dalam sambutan Tahun Baru Cina.
Walaupun mercun kini dilarang dijual secara komersial dan terbuka atas sebab-sebab keselamatan, namun ianya tetap dimainkan sama ada semasa Tahun Baru Cina atau pun Hari Raya Aidilfitri. Dari mana mereka dapat ? Secara seludup dari Siam ?
Bunga Api
Bagaimana pula dengan bunga api ? Sama juga dilarang atas faktor keselamatan, walaupun ianya kelihatan cantik dan menarik apabila dimainkan sehingga menjadi acara rasmi dalam sesuatu sambutan atau perasmian event tertentu.
Namun dikatakan kebenaran diberikan pada musim perayaan Tahun Baru Cina, selainnya perlu mendapat kebenaran atau dalam kawalan pihak berkuasa,m seperti dalam sambutan tahun baru masehi serta perasmian beberapa kejohanan sukan di Malaysia.
Untuk menghasilkan bunga api yang menarik serta meriah, tentunya kosnya mahal. Jika tidakpun terpengaruh dengan kepercayaan mengusir roh jahat, apa hukumnya membakar mercun dan bunga api sama ada semasa menyambut hari raya serta dalam majis tertentu ? Apakah boleh dikira membazir seperti membakar duit ?
Angpau
Antara sebab mengapa Tahun Baru Cina dinanti-nantikan oleh kanak-kanak ialah pemberian 'angpau' atau sampul merah yang berisi duit. Begitu juga anak anak kita ketika menyambut Aidil Fitri untuk dapat ‘duit raya’. Nampaknya budaya ini juga telah sebati dengan umat Melayu Islam. Cuma warna biasanya bukanlah merah dan hanya kanak-kanak yang selalu menerimanya. Semasa sambutan Tahun Baru Cina, angpau biasanya diberi oleh yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin tanpa mengira usia bagi melambangkan nasib baik.
Warna merah sampul ini melambangkan tuah. Benarkah RM isi kandungannya bukan sebarang nilai. Dikatakan jumlah wang yang terkandung lazimnya dikehendaki bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang yang diberi ketika majlis pengebumian. Oleh sebab angka 4 dianggap membawa sial ( kerana perkataan untuk empat sama bunyinya dengan mati ) maka wang dalam angpau tidak boleh berjumlah 4 ringgit. Sementara itu, angka 8 dianggap bertuah ( kerana sama bunyinya dengan ‘kaya’ ), maka 8 ringgit selalu didapati dalam angpau.
Angpau yang membawa maksud 'Tuah Wang', dengan harapan pemberian ini akan dibalas dengan kemakmuran kepada mereka yang menghulurkan.
Ucapan Gong Xi Fa Chai
Gong Xi Fa Chai diterjemah sebagai ‘Tahniah dan semoga mendapat rezeki’. Ia merupakan ucapan paling popular diucapkan, hatta daripada kalangan bukan Cina kepada orang Cina sebagai tanda begitu dekatnya kesan sambutan perayaan terbesar masyarakat kedua terbesar di negara ini. Cumanya ada yang beranggapan ia bermaksud Selamat tahun baru Cina.
Dua aksara pertama ungkapan ini dikatakan mempunyai kaitan dengan ucapan tahniah atas kejayaan menghadapi raksasa Nian dengan selamat, selain melibatkan kejayaan mengharungi keadaan musim sejuk yang teruk ( di negara China ). Manakala dua aksara terakhir ditambah sebagai menyentuh tenang kaya raya dengan harta benda yang begitu penting di kalangan masyarakt Cina seluruh dunia.
Gong Xi Fa Chai adalah sambutan bagi orang Cina dan tidak berkait dengan upacara keagamaan seperti Thaipusam, Deepavali dan Krismas. Kerana itu, tidak menjadi halangan untuk orang Melayu Islam turut meraikan bersama kaum Cina dengan ziarah, kunjungan dan memakan hidangan yang disediakan, asalkan halal.
No comments:
Post a Comment