My First Underwater Foto

Pengalaman snorkeling di beberapa lokasi menimbulkan keinginan aku untuk merakam pengalaman dan suasana di dunia bawah air ( underwater ). Melihatkan gambar-gambar dari jurufoto professional, malahan jurufoto biasa yang mengujakan, menguatkan keinginan. Tetapi seperti foto-foto biasa dipermukaan bumi pun, aku masih tidak berupaya menghasilkan gambar seumpama yang dipaparkan dalam internet, buku dan majalah.

Memang aku yang tidak pandai ... ha .. ha .. Tak pandai lagi. Namun akhirnya aku dapatkan juga kamera yang dikira ‘entry level’ waterproof camera, apabila dengan tetiba aku berpeluang untuk snorkeling di sekitar Pulau Mabul, Sabah akhir tahun 2013 lalu.

Malangnya, sesampai di sana cuaca gelap dan diikuti dengan hujan gerimis. Langit yang gelap tanpa kelihatan sinaran cahaya matahari membantutkan hasrat. Walaupun pada dasar laut yang cetek, suasananya gelap dan suram.

Cabaran
Walaupun cuma bersnorkeling, mendapatkan foto yang baik memang ada cabarannya. Cabaran utama sudah tentunya bagaimana hendak memastikan kamera tersebut tidak hilang jatuh ke dasar laut.

Aku tidak pasti apakah kamera yang aku gunakan jenis timbul di permukaan air, takut nak cuba. Malahan aku tidak set pun kepada mode 'underwater' dan takut nak gunakan flash, kot masuk air ke dalam kamera.

Kemudian ialah bagaimana mengawal diri kita sendiri yang sebahagaian badan timbul dipermukaan air daripada berayun mengikut ayunan ombak. Kalau tidak gambar jadi blur. Mungkin kalau menyelam, isu ini tidak timbul.

Mungkin ini yang juga disebut kemahiran, berlawan dengan arus atau ombak laut. Kemahiran ini memerlukan latihan atau kekerapan snorkeling yang mungkin tidak dapat nak diceritakan menerusi buku.

Kolam Atau Lautan
Kalau ambil gambar dalam kolam renang umpamanya, tentunya beza dengan di lautan. Lautan pula subjeknya utama ialah keindahan alam lautan dengan batu karang serta kehidupannya yang menjadi latarbelakang.

Kalau di kolam kosong sahaja, kecuali ada objek tumpuan seperti orang 'seksi' bemandi manda. Tetapi apakah itu yang aku kehendaki ?

Cuaca
Memang cuaca memainkan peranan. Sekiranya cahaya matahari yang terang atau terik, aku rasa aku boleh menghasilkan gambar suasana di bawah air yang memuaskan hati. Perlukah aku set ISO kamera juga ?

Lantaran itu aku terpaksa menghadkan view kepada yang jarak penhlihatan terdekat sahaja, tanpa berlatarbelakangkan air laut luas yang gelap ketika itu.

Walau apapun, aku harap berpeluang snorkeling lagi nanti untuk merakamkan keindahan ciptaan Ilahi di dasar laut. Untuk menyelam boleh berminat sangat. Banyak tempat di Malaysia boleh aku kunjungi, cuma masa dan budget sahaja. Pulau Kapas dan Pangkor mungkinnya, tidakpun sekali lagi ke Pulau Perhentian.

Nostalgia Reunion SAJOHA-SPM80

Reunion sering diertikan sebagai pertemuan kembali sekelompok ‘mahluk’ sama ada bekas teman sekolah atau kawan seperjuangan setelah lama terpisah. Sekelompok juga merujuk kepada yang pernah bersama dan mempunyai persamaan tertentu. Intinya ialah pertemuan kembali setelah berpisah. Reunion tidak sama dengan merujuk diantara suami dan isteri yang bercerai ataupun ‘pertemuan’ semula dengan teman-teman lama yang terpisah sama ada menerusi laman sosial dan perhubungan elektronik lain. Yang pentingnya pertemuan bersemuka.

Apa pentingnya mengadakan Reunion ? Sekadar jumpa semula kawan lama yang merata membawa diri di atas bumi ini mengharungi kehidupan yang fana ini, nak buat apa ? Nak jumpa semula girl friend or boy friend lama ? Hendak mengembalikan nostalgia lama, apa faedahnya ? Persoalan inilah yang mulanya bermain di kepalaku apabila rakan-rakan satu batch sekolah menengahku mencadangkan untuk mengadakan Reunion, khususnya sempena usia yang telah mencecah 50 tahun.

Imbas kembali
Dahulu aku sekolah di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang diantara 1976 hinggalah menduduki SPM pada tahun 1980. Sepanjang persekolahan tersebut aku tinggal di asrama, almaklumlah sekolah berasrama penoh. Maknanya perhubungan dengan rakan-rakan lantaran berjauhan dengan ibubapa, memang akrab. Rasanya ini berbeza dengan sekolah harian biasa.

Setelah tamat SPM, memasing membawa haluan melanjutkan pengajian mengikut keinginan dan kelayakan SPM memasing. Hanya beberapa rakan satu batch yang sempat bersamaku semasa aku mengikuti Kelas Matrikulasi UKM di Sekolah Menengah Sains Melaka tahun 1981/82, iaitu Osman Warijo dan Allahyarham Yazid.

Apabila masuk universiti ketemu dengan Azhar Isnin dan Hazami Rose. Namun kita terus sibuk dengan study, rakan baru dan terus terpisah dengan rakan-rakan yang berlainan bidang pengajian. Tidak kurang ramai rakan sebatchku yang ke oversea.

Masa aku kahwin ketika di Tahun 3 mengaji universiti, Shafie Saroni dan Azhari Nawawi ada datang. Mungkin ada beberapa yang aku tak ingat. Habis universiti sibuk mencari kerja dan apabila dapat kerja sibuk dengan hal kerja dan membina keluarga memasing.

Namun masa kerja inilah sedikit demi sedikit aku dapat berhubung semula dengan rakan-rakan menerusi YahooGroup yang kini semakin kurang popular digunakan. Kemunculan internet menjadi penghubung.

Kemudian, sesekala dapat join perjumpaan reunion kecil kecilan dengan rakan satu batch, sama ada menerusi Rumah Terbuka Raya, Majlis Berbuka Puasa, Kenduri Kawin atau AGM Alumni SAJOHA. Pernah juga batch aku yang juga dikenali sebagai SAJOHA SPM80 mengadakan Family Day, tapi aku tidak pernah dapat join.

Memang dulu aku kira aku ni low-profile saja. Tetapi tetap berhajat bertemu semula demi menghargai persahabatan yang pernah terjalin, walaupun tidaklah rapat dengan semuanya. Bertemu semua rakan-rakan seperjuangan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan ini, serta mewarnai hitam putih kehidupan ini.

Makan dan minum bersama di Dewan Makan, menghadiri sesi persekolahan, prep malam dan hujung minggu, beratur mengambil giliran mandi dan membasuh baju, bersukan, beriadah, berpersatuan, mengadakan lawatan, solat jemaah kat surau, kawat, merentas desa, naik bas solat Jumaat ( masa itu Jumaat masih hari cuti di Johor ) dan outing ke Bandar Keluang.

Mungkin berkat daripada sokongan serta saling galakan, kalau pun tidak semangat berlumba-lumba serta semangat bersaing dalam mencapai kejayaan dalam akademik dan ko-kurikulum, aku mencapai sesuatu yang menjadikan aku seadanya pada hari ini.

Dengan tunjuk ajar kengkawan dalam aku memahami pelajaran, aku mencapai sesuatu yang melayakakan aku seadanya sekarang.

Semangat Untuk Merealisasikan Reunion
Entah macam mana nama aku naik jadi Pengerusi. Aku yang agak sibuk dan kelam kabut dengan tugasan di Pejabat pada mulanya tidak ambik kisah, sehinggalah orang kuat batchku, Norshamsudin memberikan tips dan galakan serta satu sesi Teh-Tarik di Cyberjaya bersama Salaudin, Chee Fok Sang, Farid, Hussain dan Jamal yang telah membuka hatiku untuk tekad berusaha merealisasikan Reunion ini.

Tidak kisahlah sama ada aku Pengerusi atau tidak, aku terus merancang dengan bantuan, sokongan dan nasihat serta pandangan kengkawan menerusi Facebook. Menarik juga, tanpa sebarang meeting bersemuka kemudiannya kami merancang.

Bermula dengan tentukan tarikh ( sebaik selesai SPM ), then tentukan tempat. Awalnya pening juga dengan pelbagaai pandangan, sama ada nak buat kat Selatan tanahair atau di Lembah Kelang. Lantas Ayer Keroh Melaka aku pilih sebab kira tengah-tengah antara Utara dan Selatan. Hotel Seri Malaysia di pilih sebab dengan Plaza Tol Ayer Keroh. Jadi mudah akses tanpa meredah kesesakan trafik di bandar.

Kengkawan lainpun memberikan respon yang baik dan mungkin terpaksa akur dengan cadangan tarikh dan lokasi pilihanku.. Memasing saling menghubungi dan melobi kengkawan lain untuk sesama hadir. Tidak kurang juga yang sudi menaja goodies untuk memastikan Reunion kami menjadi lebih meriah dan bermakna, disamping volunteer untuk menjadi AJK Pelaksana.

Aku sebenarnya menjadi risau, takut majlis yang dirancang tidak menepati expectation kengkawan. Tambah risau ialah jika bimbang kehadiran tidak menepati sasaran sedangkan deposit dan tempahan makanan serta dewan perlu dibuat awal.

Apa signifikennya Reunion SAJOHA SPM80 ? Dengan usia mencecah 50tahun aku cetuskan tagline ‘Demi Menghargai Usia & Erti Persahabatan’ dalam menghargai usia yang setengah abad serta sisa baki kehidupan yang perlu dilalui. Juga mengenai persahabatan yang pernah terjalin ketika di bangku sekolah menengah. Bak kata pepatah Jawa, Once a friend is always a friends. Lalu aku designkan baner yang menjadi cover foto FB group SAJOHA- SPM80 serta bunting promosi.

Nampaknya tagline ini diterima, Demi Menghargai Usia & Erti Persahabatan’. Ya, kerana itulah kami perlu bertemu semula setelah 33 tahun meninggalkan SMS Johor. Bertemu bukan hendak menunjukkan pangkat, kedudukan dan kemewahan kehidupan yang dikecapi ketika ini. Bertemu untuk kembali mengenangi bagaimanakah aku 33 tahun yang lalu ? Siapakah aku tanpa teman-teman persekolahaanku ?

Mereka sedikit sebanyak menyumbang kepada pertumbuhan daya intelektual serta menyumbang kepada perkembangan transisi dari remaja memasuki masa awal-awal menuju dewasa. Mereka juga yang terlibat dalam pembentukan sifat, sikap, emosi dan perasaan yang ada dalam diriku pada hari ini.

Detik 14 Disember 2013
Hari yang ditunggu-tunggu, hari yang dijanjikan pun tiba. Maka bertemulah kami di Hotel Seri Malaysia Ayer Keroh pada 14 Disember 2013. Ada yang tiba lewat dan ada yang pulang awal.

Tetapi jumlah kehadiran ahli ialah seramai 44 orang daripada kekira 120 orang. Ada 4 orang yang telah meninggal dunia. Ada beberapa yang kata ‘insya’allah’ nak datang, tapi tidak muncul. Banjir atau hujan lebat yang turun mungkin bukan alasan.

Tugasanku sebenarnya lebih kepada memastikan kelancaran setiap agenda yang disusun selaras dengan sajian serta kemudahan yang disediakan oleh pihak hotel agar semuanya puas hati.

Bukan ada agenda sangat pun, yang penting dapat berjumpa semula. Tak sempat nak bersapa dengan semua, namun sesi memperkenalkan semula diri sungguh happening.

Terima kasih kepada Syed Zakaria, Cikgu Saadon dan Rahman Dolah yang sudi menjadi MC secara bergilir dan berjaya memeriahkan suasana.

Ada ramai yang tidak pernah ku temui sejak meninggalkan SMSJ seperti Zulkifle Yusof ( dulu dipanggil Zul Kecik ), Zulkarnain Mohd Amin, Fuad Bakeri, Jasni Taib, Razak Mastor dan Ismail Hassan M2. Malahan ada yang ‘berubah’ sungguh, kalau jumpa kat mana-mana pun tentu tidak cam. Mungkin elok dibuat gambar perbandingan dulu dan sekarang .. ha.. ha ..

Diatas adalah wakil daripada kelasku, Kelas M4 yang hadir. Cuma ini berbanding ramai lagi.

Solat & Tahlil
Sesi II kami adalah majlis tahili untuk arwah kengkawan yang telah pergi dahulu serta guru-guru kami selepas solat Jamaak Maghrib dan Isyak berjemaah.

Solat diimankan oleh Fuad Bakri. Beliau baca surah panjang yang sering dibaca masa kami di sekolah dulu yang mengkibatkan aku dapat meghafalnya sehingga sekarang.

Imam Besar sekolah dulu tak sampai, jadi terpaksalah aku memimpin Majlis Tahlil dan Bacaan Yasiin ini.

Sesi Makan Malam
Sesi III merupakan jamuan makan malam dan cabutan bertuah sambil sembang-sembang. Nampaknya tidak semua mendapat maklum kena bawa ‘hadiah’ untuk dijadikan hadiah cabutan bertuah. So tidak semua dapat pertukaran hadiah.

Harap tiada yang kecewa dengan kelemahan ini. Pertemuan semula dengan rakan-rakan lama ku kira merupakan hadiah yang lebih berharga.

Tetapi kehadiran cuma 44 orang atau kekira 1/3 daripada keseluruhan ahli. Mana yang lain lagi ? Tidak tahu dan dapat maklumat ? Tidak berjaya dihubungi, tiada telefon dan internet ? Malu untuk bertemu semula lantaran menganggap diri tidak berjaya seperti rakan lain ? Masih sibuk dengan urusan pekerjaaan atau bisnes ? Sudah migrate ke luar negara ? Atau terasa mahal bayaran RM90 sekepala ?

Siapa sangka kawan yang dulu bukan main nakal, tetapi kini boleh dianggap telah berjaya dalam hidup dengan jawatan tinggi. Dulu yang paling kuat study, tapi biasa-biasa saja sekarang. Sebaliknya juga dulu biasa-biasa sahaja tetapi kini mungkin bukan main hebat. Ini keagungan Allah jua. Kita hanya merancang dan bercita-cita itu dan ini. Tetapi Allah jua yang menentukan. Walaupun belajar aliran Sains, tetapi tak semestinya bidang kerjaya kemudiannya berkaitan dengan sains juga ...

Masa belajar dulu mungkin tidak berapa rapat dengan Ab Razak Mastor dan tah tahu tahulah setakat mana merdua suaranya. Namun persembahan karoekenya malam itu memukau hadirin.

Dalam menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir serta penyumbang dalam menjayakan Reunion ini sebelum doa selamat aku bacakan, aku sebenarnya terasa sebak dan terharu, tetapi berjaya menahan diriku daripada spoil the happening night !!!

Terima Kasih Semua
Terima kasih Dato' Syed Faisal atas sumbangan t-shirt, Rozita atas mug dengan ayat Reunion SAJOHA-SPM80, Chee atas kambing golek serta Sallauhuddin atas goody beg KLIA dan Zaini yang bertindak sebagai jurukamera.

Entah bila boleh bertemu semula. Usia semakin lanjut. 4 orang sudah arwah. Kini satu demi satu dikalangan kami akan dipanggil mengadap Allah jua. Namun menyaksikan semula gambar-gambar sepanjang Reunion kami, terasa suatu kepuasan yang teramat sangat !!! Ya Allah, jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai perhimpunan yang dikau rahmati dan perpisahan kami sebagai perpisahan yang terpelihara dan dikau berkati.

Moga Reunion SAJOHA SPM80 akan menyemarakkan silaturrahim di kalangan kami.

mySIKAP Oh mySIKAP !!

Mahu tak mahu, system lama SIKAP perlu ditamatkan perkhidmatannya walaupun mungkin sistem baru mySIKAP masih bergelut dengan pelbagai masalah sehingga mendapat liputan media arus perdana. Memandangkan semua fungsi SIKAP telahpun ready dan terdapat dalam mySIKAP, maka pada jam 4.30 petang, Khamis 28hb November 2013, Sistem Kerangka Utama lama yang diperolehi pada tahun 2009 dan menjadi nadi kepada pelaksanaan sistem SIKAP pun ditutup untuk selama-lamanya. Mungkin kerana yang lain sibuk melayani kerenah pelaksanaan mySIKAP, maka akupun diberikan kesempatan untuk menutup dan mengakhiri Sistem SIKAP.

Mengapa mySIKAP perlu dilaksanakan bagi menggantikan SIKAP ? Ini soal teknologi dan kebanyakkan perisian sistem dan perkakasan dalam Sistem SIKAP ,sudah tidak mempunyai khidmat sokongan daripada pembekal. Penutupan ini juga dikaitkan penjimatan, tidak perlu nak maintain dua sistem komputer utama dan mengelakkan daripada sistem SIKAP yang lama itu memberikan masalah daripada segi data kepada sistem baru mySIKAP.

Projek mySIKAP telah bermula pada Julai 2010 sebaik sahaja perlantikan kontraktor. Tragisnya, tender terpaksa dibuat dua kali apabila tender pertama dibatalkan. Akibatnya spesifikasi yang berasaskan kajian yang dilaksanakan pada tahun 2005 menjadi over taken by teknologi dan keperluan semasa. Semakan semula spesifikasi dilakukan dalam memenuhi keperluan semasa dan teknologi. Itu yang memakan masa.

Deliverables projek daripada segi aplikasi, mula dilaksanakan secara berfasa sejak akhir 2011. Walau pun sistem awalnya berjalan dengan tidak lancar, slow dan kerap paras CPU mencecah 100%. Sesetengah cawangan kata ‘tarian tiang’. Biasalah tu kot. Dalam mode testing jalan cantik, masuk produksi kena perhati molek. Namun akhirnya dapat diselesaikan.

Kajian Impak
Masa berjalan dan pelbagai fungsi mula dilaksanakan termasuk integrasi dengan fungsi yang tidak dalam skop pelaksanaan asal. Prestasi CPU mula menurun dan mySIKAP mulai slow.

Pihak kontraktor diminta membuat kajian impak pelaksanaan pertambahan fungsi terhadap keupayaan sistem komputer yang dibekalkan. Hasil awal, dikatakan tidak realistik. Kemudian dicadangkan dilakukan ujian stress di makmal yang terletak di Singapura.

Mula berangan untuk ke sana. Tetapi kemudiannya dikatakan tidak dapat nak simulate sebab sukar nak membina suatu persekitaran aplikasi seumpama Jabatanku. Lalu dibuat sahaja analisa berdasarkan sistem semasa. Masa terus berjalan, kajian masih tidak selesai juga dan prestasi sistem masih tidak menentu.

Mengapa Berlaku Gangguan Sistem ?
Paras penggunaan CPU tinggi bukanlah bermakna fully utilized. Tetapi apabila CPU tinggi processing power menurun akibat bebanan pemprosesan bertambah. Dikatakan bilangan transaksi bertambah secara mendadak di luar jangkaan. CPU menjadi sibuk dan mengakibatkan prestasi sistem komputer menjadi perlahan. Maka terjadilah gangguan terhadap prestasi sistem, CPU seperti menjadi under power.

Apakah gangguan disebabkan CPU tak cukup power ? Memula orang kata line slow atau network slow. Orang aplikasi kata ini masalah network, sebaliknya orang network kata masalah aplikasi. Namun ‘tools’ membuktikan bahawa usage masih rendah walaupun gangguan sistem berlaku. ‘Tools’ juga membuktikan capaian pengkalan data menjadi sibuk oleh kaedah capaian yang ‘tidak sihat’.

Pertambahan Transaksi Di Luar Jangkaan ?
Tidak dapat dinafikan juga bahawa peningkatan transaksi yang dikatakan luar jangkaan menyumbang sedikit sebanyak kepada ketidakmampuan sistem komputer sedia ada. Bermakna perkiraan yang dilakukan semasa kajian awal telah jauh meleset. Ataupun kemelesetan disebabkan persekitaran yang berubah dan perbandingan one-to-one tidak praktikal dilakukan. Dulu transactional based, tetapi sekarang web based.

Dalam bab ini nampaknya IT dipersalahkan. Patutnya IT tidak boleh terima inisiatif atau tambah fungsi baru untuk dilaksanakan sekiranya sistem tersebut dijangka memberikan impak kepada prestasi sistem komputer terutama pelaksanaan semasa masih belum stabil.

IT dikatakan gagal meyakinkan mereka yang mahukan inisiatif baru dilaksanakan. Patutnya boleh diestimate berapa prosessing power diperlukan apabila sesuatu penambahan fungsi transaksi hendak dilakukan. Sedangkan jerebu pun boleh dikira indek IPUnya, mengapa sistem komputer tidak boleh dijangka atau diukur seumpamanya. Betulke hujah begitu ?

Akibat CPU Tinggi
Apabila CPU tinggi, pelbagai urusniaga menjadi lambat atau tidak dapat diselesaikan. Pelbagai masalah sistem dan aplikasi timbul, sehingga ada yang diluar jangka. Aduan masalah pelaksanaan semakin meningkat.

Ini memaksa Bilik Gerakan mySIKAP dibuka khusus bagi menangani sebarang masalah yang timbul. Suatu ketika, tidak menang tangan dibuatnya. Suasana Bilik Gerakan seperti bursa pasaran saham lagaknya. Setiap aduan perlu diselesaikan segera. Aplikasi Whatsapp diwujudkan sebagai tambahan saluran penyampaian masalah.

Perkhidmatan dikaunter pula menjadi tidak lancar, masa untuk menyelesaikan sesuatu transaksi dikaunter menjadi lama. Akibatnya masa menunggu pelanggan menjadi lama. Ruangan pelanggan dikaunter menjadi sesak dipenuhi mereka yang hendak berurusan.

Mulalah pelanggan menjadi resah, apabila lama menunggu. Masa cuti dihabiskan menunggu giliran atau menyelesaikan urusan di kaunter. Mereka mulai hilang sabar. Petugas di kaunter mula dimarahi dan menerima kecaman daripada mereka yang sudah hilang sabar.

Ketua Pengarah pun tak memang tangan memberikan respon kepada wartawan serta stake holder.

Masalah mySIKAP juga sampai ke Dewan Rakyat dan hangat diperbincangkan. Aku yang kebetulan hadir, terasa macam meeting post mortem pelaksaanaan mySIKAP di pejabatku sendiri. Detail aduan masalah yang dikemukakan.

Peningkatan Atau Penggantian CPU
Seminggu sebelum Raya 1434H, gangguan sistem komputer menjadi tersangat kritikal. CPU yang dibekalkan dalam projek mySIKAP diistiharkan underpower. Lalu pihak kontraktor berbesar hati meminjamkan CPU yang mereka ada.

Ironicnya, CPU sedia ada kami tidak boleh dipertingkatkan kerana telah tamat khidmat sokongan peningkatannya dua bulan sebelum kejadian gangguan sistem ini. Selepas penggantian dibuat, prestasi sistem menjadi lega. Kami pun boleh beraya dengan tenang.

Namun panas yang dijangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kelegaan kami tidak berpanjangan. Gangguan sistem berlaku lagi. Mungkin akibat pertambahan fungsi dan inisiatif, khususnya dengan pembukaan laluan kepada rakaniaga.

Keupayaan CPU dipertingkatkan lagi. Namun itu masih tidak menjamin kelancaran sistem komputer Jabatanku lantaran masih banyak inisiatif yang masih belum dilaksanakan. Berdasarkan siri perbincangan, pembentangan dan mesyuarat, keputusan dibuat untuk melaksanakan perolehan darurat CPU yang lebih power ... dikatakan yang power giler. Cuma persoalannya, entah bila kami akan menerima dan menggunapakai CPU baru, menggantikan yang sedia ada.

mySIKAP tidak diuji ?
Terdapat telahan bahawa pelaksanaan patutnya melalui proses pengujian, setelah stabil barulah dan semua pihak ready, barulah dilaksanakan. Mungkin benar, but easier said than done !!!

Sebelum keputusan untuk national-rollout, pilot selama hampir sebulan dilakukan di semua pejabat di dua buah negeri. Hasilnya dianggap positif.

Mulalah pelbagai aktiviti yang telah berjalan sebelum ini diperhebatkan, seperti taklimat dan latihan familiarisasi kepada anggota, operator kaunter serta agensi rakaniaga.

Ini juga merupakan peluang aku kesana kemari menjaja mySIKAP, dari Perlis sampailah ke Sabah.

Walau apapun, mySIKAP diteruskan. Sebarang masalah akan diselesaikan sebaik mungkin sehinggalah mySIKAP berjalan lancar serta diterimapakai oleh semua anggota serta orang ramai. Biasanya benda baru yang memerlukan masa untuk fine tuning lagi sehinggalah benar-benar stabil.

Gangguan mySIKAP sedikit sebanyak telah menarik minat pelbagai pihak kerajaan datang melawat pejabat cawangan Jabatanku. Bagus juga bersama berkongsikan pengalaman. Mudah-mudahan ada manfaatnya.