Mengabdikan kisah, sejarah atau peristiwa pada zaman para Rasul termasuk Rasulullah s.a.w ke dalam lagu nasyid telah banyak dilakukan. Namun banyak kisah tersebut dikaitkan juga dengan orang lain seperti Sumayyah, Balqis etc ... Lagu Tangis Sebatang Tamar oleh Daqmie yang sehingga Ahad 11 Mei 2014 telah menjuarai Carta IKIMFm selama 16 minggu berturut-turut, memberikan suatu kesan yang agak mendalam.
Kisah tangisan pohon tamar tersebut memang pernah didengari sebelum ini, namun ia begitu mengesankan dalam lagu yang disampaikan sendiri oleh Daqmie. Mungkin kerana intonasi chorus dalam lagu tersebut yang betul-betul merupakan pukolan maut yang mencabar diri kita. Betulkah atau sejauh mana kita cinta, rindu dan menghargai Rasulullah ???
Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manaf bukanlah seoarang yang baru dalam dunia music tanah air. Beliau berasal dari Alor Gajah, Melaka. Pada sekitar tahun 1990-an, Daqmie merupakan penyanyi rock Kumpulan East dan pernah menerbitkan dua buah album iaitu East (1991) dan Generasi Metal (1996). Pada tahun 2003 pula album beliau bersama Kumpulan Rock Barongan.
Selepas itu, beliau lebih banyak memberi tumpuan kepada kerjaya di belakang tabir dan terbabit dengan penciptaan lagu, penerbitan album beberapa kumpulan nasyid dan menjadi pengarah muzik untuk persembahan seperti konsert berkonsepkan irama nasyid dan ketuhanan selain diberi kepercayaan mencipta lagu runut bunyi untuk beberapa filem tempatan.
Aku pernah menyaksikan persembahan live beliau dalam sambutan Tahun Baru Kerajaan Selangor dua tahun lepas serta Konsert Pray 4, September 2013. Ternyata suara live on stage dengan CD Audionya tidak banyak berbeza. Kekuatan vokal beliau agak luar biasa.
Mungkin kerana terdedah atau dekat kepada lagu-lagu yang berunsur ketuhanan, memberinya ilham untuk terus terlibat dengan serius ke dalam industri nasyid negara sehingga akhirnya berjaya menerbitkan sebuah album nasyid terbitan syarikat beliau sendiri yang diberi judul Daqmie – Maulaya. Album Maulaya telah dilancarkan secara rasmi pada 27 November 2013. Ternyata album ini mempamerkan kekuatan vokal Daqmie yang lunak dan bertenaga.
Dalam banyak-banyak lagu dalam album Daqmie-Maulaya, lagu Tangis Sebatang Tamar begitu mengesankan. Ia mengingatkan kepada kisah benar tentang sepohon tamar @ kurma yang menangis kerana terlalu rindukan Rasulullah s.a.w. Bagaimana agaknya pohon kurma boleh menangis ? Kat mana matanya, bagaimana linangan airmatanya ? Atau bunyi special effect ?
Perhatikan dulu liriknya sebagaimana berikut :-
Sedu sedan Itu bak ratapan si kecil
Yang rindu belaian dan perhatian
Yang mendambakan kasih dan sayang
Dari seorang insan yang penyayang
Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerna keuzurannya
Kisah tangisan sebatang tamar
Menyentuh hati, mengocak perasaan
Benarkah aku cinta, benarkah aku rindu
Sedangkan tak pernah gugur air mata ku mengenangkan mu
Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerna keuzurannya
Betapa kerasnya hatiku ini
Untuk menghayati perjuangan mu
Betapa angkuhnya diri ku ini
Untuk menghargai perjuangan mu
Ya Rasulallah
Ingin aku menjadi sebatang tamar
Yang menangis rindu kepada mu
Ya Rasulallah
Biarlah aku hanya sebatang tamar
Namun dapat bersama mu di dalam syurga
Tangisan itu dari sebatang tamar
Yang sebelumnya menjadi mimbar
Sandaran Rasul tika menyampai khutbah
Diganti mimbar baru kerna keuzurannya
Kisahnya
Al-Kisah, suatu ketika sedang Rasulullah s.a.w naik mimbar baru di Masjidil Haram. Kedengaran rintihan seperti rintihan unta dan goncangan tanah yang terus bergetar sehingga para sahabat pun bertanya-tanya. Dalam riwayat lain, tangisan seperti tangisan atau teriakan budak kecil.
Rasulullah s.a.w tersenyum, lantas turun dari mimbar dan mendatangi pohon kurma yang tidak jauh dari mimbar tersebut. Rasulullah s.a.w meletakkan tangan baginda pada batang pokok kurma dan mengusap-usap dengan perlahan-lahan.
Rasulullah s.a.w berkata pada pohon kurma itu: ‘Jika engkau mahu, aku akan jadikan engkau dinding masjid ini, akarmu tumbuh lagi, tubuhmu hidup lagi dan engkau berbuah lagi. Atau jika engkau mahu, engkau aku tanam di syurga, supaya para wali Allah boleh memakan buah buahmu’. Batang kurma itu menjawab: ‘Aku memilih untuk ditanam di syurga sehingga wali wali Allah dapat memakan buahku dan saya berada di tempat di dalamnya saya kekal’.
Lantas goncangan tanah dan suara rintihan pun berhenti. Rasulullah s.a.w kemudian kembali pada mimbar dan menyampaikan kejadian tersebut kepada para sahabatnya. Rasulullah s.a.w berkata: ‘Ia memilih negeri yang kekal berbanding negeri yang fana’. Rasulullah s.a.w kemudian menyuruh agar dikafankan pelepah tamar dan mengatakan bahawa ia akan dibangkitkan di dalam syurga. Apakah maksudnya nanti ada banyak pokok kurma di syurga ? Atau ini satu-satunya. Argh, usah bingung. Yang penting dapat masuk syurga.
Rindukan Rasulullah s.a.w ?
Lantaran jemaah dan umat Islam bertambah ramai, kaum Ansar mencadangkan agar di buat mimbar daripada kayu dan lebih tinggi supaya orang ramai dapat melihat Rasulullah s.a.w ketika berkhutbah. Pada masa itu Masjid Nabawi hanya beratap batang pokok kurma. Manakala mimbar asalnya diperbuat dari pohon tamar. Itulah tempat Rasulullah s.a.w bersandar ketika menyampaikan khutbah. Apabila sudah tidak digunakan lagi, menangis sedihlah pohon tamar itu, menangis kerana rindu kepada Rasulullah s.a.w yang mulai menjauhinya. Juga menangis kerana ia tidak digunakan lagi untuk mengingati Allah s.w.t.
Bagaimana dengan kita? Bukan sekadar pengakuan lidah, apa bukti kecintaan dan kerinduan kita kepada Rasulullah s.a.w ? Sejauhmana kita merasakan rindu untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Maafkan kami aduhai Rasulullah s.a.w.
Tiang Mukhallaqah
Tempat tumbuh pohon tamar tersebut didirikan sebuah tiang dan dinamakan tiang Mukhallaqah yang sering disapukan pewangi Khaluq. Ia juga sebagai tanda kewujudan pohon tamar yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah s.a.w.
Kalau ke Masjid Nabawi sekarang, kedudukan tiang tersebut kini bersekali dengan binaan mihrab sebagaimana dalam gambar di atas. Tiang tersebut juga dipanggil sebagai Tiang Hannana dan juga Mushaf.Ada juga menyebutkan bahawa pewangi tersebut disapukan lantaran Rasulullah s.a.w ternampak seseorang yang meludah dipokok tersebut. Lantas seorang sabahat membersihkannya dan menmyapukan dengan pewangi Khaluq.
No comments:
Post a Comment