Menyusuri Perairan Pulau Pangkor

Aku berkesempatan kembali semula ke Pulau Pangkor Perak kerana mengikuti program Jabatanku pada April 2015 yang lalu. Kali terakhir aku ke sana ialah pada tahun 2013 dan menginap di tempat yang sama. Tetapi sekejap sahaja ketika itu, malah tidak sempat pun mencecah air walaupun berada di pulau. Sebelum itu pernah mengelilingi pulau ini tahun 2010.

Berbeza pada kali ini, aku berkesempatan menyusuri sebahagian perairan Pulau Pangkor. Nak kata Island hooping pun tidak sebab cuma lihat dari jauh pulau-pulau yang terdapat di sekitar Pulau Pangkor. Tapi kali ini berpeluang untuk snorkeling.

Pulau Marina
Sebagaimana biasa naik feri menerusi Jetty Pulau Marina, lebih dekat dan lebih cepat sampai.Pulau Marina merupakan pulau buatan manusia yang pertama di Malaysia. Ia dimajukan oleh Marina Sanctuary Resort Sdn. Bhd dengan keluasan sebanyak 316 ekar.

Namun aku perasan, perkembangannya semakin menurun. Dulu macam banyak kedai-kedai dibuka sebaik menyeberangi satu-satunya jambatan, tetapi sekarang nampak banyak yang dah tutup.

Pernah sebelum ini aku mengikuti program Jabatanku di salah sebuah resort di atau Pulau Marina ini. Salah satu malam tu, makan di restoren steamboat. Nampak dah tutup restoren tu.

Pulau Pangkor
Dari jeti, perjalanan cuma mengambil masa kekira 10 minit sahaja. Tidak perlu risau sama ada dapat naik feri atau tidak, atau memikirkan sama ada feri akan penuh atau tidak.

Menurut petugas di jeti, selalunya memang boleh memuatkan penumpang yang menunggu pada satu-satu masa. Mungkin disebabkan kekerapan jadual feri tiba dan berlepas semula ke Pulau Pangkor.

Feri besar seperti seperti di Langkawi, namun takdela TV sebagaimana Langkawi. Kalau ade pun tak sempat start cerita sudah sampai.

Jeti Di Pulau Pangkor
Jet ini kiranya terletak di Pekan Pangkor. Sebagai jeti, beberapa kemudahan disediakan di sini seperti surau, tandas serta restoren.

Ia juga bersambung dengan deretan kedai-kedai yang menjual pelbagai keperluan penduduk tempatan serta pengunjung pulau.

Yang paling penting ia merupakan hentian bagi perkhidmatan pengangkutan pulau seperti taxi dan van.

Aku kira tidak perlu sangat sewa kereta di sini, kecuali memang seharian nak round pulau.

Anjungan Beach Resort & SPA Teluk Nipah
Sekali lagi menginap di sini. Memang menarik kawasannya berbanding kebanyakan resort lain di Pulau Pangkor yang nampak ‘crowded’ atau padat.

Suasananya tenang dan cantik susunan bangunan dengan kolam berbentuk perahu di tengah-tengah bangunan resort.

Bilik-bilik di Anjungan Resort & Spa mempunyai balkoni peribadi dengan pemandangan kolam renang atau taman. Setiap bilik dilengkapi dengan TV satelit, bar mini dan kemudahan membuat teh atau kopi.

Pernah datang sebelum ini, bilik untuk mesyuarat atau berbengkel tidaklah besar mana. Mungkin sekadar muat sekitar 30 orang saja.

Teluk Nipah
Terletak berhadapan dengan Anjungan Beach Resort & Spa, jalan kaki sahaja. Ia juga merupakan antara tempat perkelahan yang popular di Pulau Pangkor. Dari tepi pantai sudah nampak Pulau Giam yang popular dengan kawasan snorkeling.

Pemandangan lautnya sangat cantik. Pantainya agak landai, pasir yang putih halus serta air yang jernih menjadikan ia sesuai untuk berkelah dan bermandi manda. Pelbagai aktiviti atau permainan sukanair disediakan seperti banana boat, jet ski, berkayak dan memancing.

Sepanjang pantai Teluk Nipah tu banyak agensi yang menawarkan pakej yang hampir sama dengan harga yang hampir sama sahaja. Pilih sahaja mana yang berbaloi.

Teluk Nipah mempunyai kemudahan awam dan juga menawarkan banyak tempat penginapan lain. Cumanya seperti yang aku kata tadi, agak crowded. Nak makan serta membeli keperluan harian takde masalah.

Banyak kedai-kedai disediakan di sini. Set-set seafood menjadi hidangan yang aku kira popular di sini.

Suasana ketika matahari hampir terbenam sangat menarik. Bersedialah dengan kamera anda bagi merakam suasana yang mungkin sukar didapati di tempat-tempat lain.


Island Hooping
Kalau ikutkan Island Hopping ni menyusuri dan singgah dari pulau ke pulau. Tapi pula apalah sangat, cuma tengok dari bot sahaja. Bukan boleh disinggah lantaran sama ada pulau tidak berpenghuni atau pulau-pulau persendirian.

Sekadar menyusuri perairan Pulau Pangkor dan melihat keindahan semulajadi ciptaan Illahi dengan bot yang memuatkan sekitar 15 orang dewasa. Pemandu kami agak muda usianya, macam nak merempit dipandunya boat yang kami naikki.

Namun tidak perlu risau, jaket keselamatan dibekalkan setiap sorang.

Pelbagai Rupabentuk Batu
Dengan bot juga dibawa mengunjungi pelbagai batu-bata dengan pelbagai bentuk yang dikatakan semulajadi. Semestinya ciptaan Allah s.w.t.

Antaranya berbentuk ikan paus, buah epal, kepala ular dan kepaa buaya dan tangan manusia.

Setidak-tidaknya menjadi bahan cerita atau tarikan pengunjung.

Dua pokok di atas batu dalam gambar di atas dipanggil 'Pokok Cinta' lantaran bertahun-tahun hidup tetapi ketinggiannya sama setakat itu sahaja. Kira macam sehidup semati.

Pulau Pangkor Laut
Ia merupakan pulau kecil tetapi kedua terbesar di gugusan sembila buah pulau di Pulau Pangkor, dimiliki oleh Syarikat konglomerat negara yang besar iaitu YTL. Pulau ini mempunyai pelbagai keistimewaan seperti pantai yang ‘crystal clear water’ yang dinamakan Telok Emerald, Pantai Coral dan Teluk Royal. Namun kena menginap di resort mewah yang disediakan di Pulau ini.

Resort yang disediakan memang esklusif dan bertaraf dunia. Dikatakan pernah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa kerana keindahan dan suasana semulajadinya.

Terdapat penginapan diperbuat daripada kayu esklusif yang disediakan di atas air kata pemandu bot kami, biasa dikunjungi oleh mat saleh serta untuk pasangan berbulan madu. Kelihatan memang unik entah beraga reganya. Kata pemandu bot, sekitar RM 800-1200 semalam !!!

Pulau Giam
Merupakan pulau terakhir. Dikatakan terkenal dengan pantai yang landai, pasir yang putih dan halus serta warna air laut yang kebiru-biruan. Tetapi tidak nampak sangat pun, mungkin sebab air pasang.

Dikatakan oleh pemandu bot kami, setia tahun dalam 3-4 hari air akan surut dan pulau ini didatangi dari Pantai Nipah dengan berjalan kaki sahaja, iaitu ketika Tahun Baru Cina.

Snorkeling @ Pulau Giam
Pertama kami terjun masuk, tak nampak apa-apa di dasar laut sama ada ikan mahupun batu karang. Apakah sebab dalam sangat atau cahaya matahari yang terlindung lagi.

Ketika itu orang agak ramai, mungkin itu yang mengeruhkan air dan dasar laut. Ataupun minyak boat berbau menyebabkan ikan lari ?

Lepas naik semula boat melihat suasana, aku turun semula menuju ke tepi pantai yang berbatu. Di sana barulah kelihatan ikan dan mungkin juga batu karang. Banyak juga ikan yang berwarna warni, cuma airnya yang tetap keroh, menghalang pemandangan yang menarik.

Pendek cerita jauh ketinggalan berbanding Pulau Perhentian, apatah lagi Mabul Kapalai.

No comments:

Post a Comment