Ramadan 1436H telahpun selamat meninggalkan kita. Sebelum menjelangnya Ramadan kita begitu beria-ia agar dipanjangkan umur dan menemui lagi Ramadan tahun ni. Bagaimana Ramadan kali ini, sejauh mana kita bersemangat dan istiqamah dalam beramal ibadah meraih ganjaran yang ditawarkan oleh Allah s.w.t selain memelihara kualiti puasa.
Sekadar peringatan kepada diriku, sejauh mana amalan solat-solat sunat yang mengiringi solat fardhu ( khususnya sebelum Suboh ), solat berjemaah terus diamalkan ( khususnya isyak dan suboh ). Bagaimana dengan solat tahajud, tasbih, witir dan dhuha ? Zikir dan bertasbih, mengikuti kuliah agama @ tazkirah, membaca al-quran dan bersedeqah ?
Ibu Mertuaku Meninggal Dunia
‘Keseronokan’ aku mengharungi Ramadan tahun 1436H @ 2015 ini seolah-olah diragut apabila aku diberitahu yang Ibu Mertuaku yang aku panggil Mek atau nama penuhnya Semek Bte Ahmad meninggal dunia pada pagi 9 Julai 2015. Sebak tak tertahan apabila adik iparku menelefon memberitahu, ketika aku sedang bersiap memulakan tugasan ofis pagi tersebut.
Aku cuba hubungi isteriku tak berjaya, namun akhirnya meninggalkan pesanan sahaja kepada orang di Pejabat sekolah dimana isteriku mengajar. Aku teruskan menempah tiket flight KLIA – Kota Bharu. Dapat tiket 1.30tengahari. Kalau nak drive tentu tidak ‘sempat’ tambahan drive dalam keadaan berpuasa ni. Harapannya kemudian cari kereta sewa dari airport Kota Bharu ke Kg Air Tawar, Besut Terengganu. Anggaran 60 minit lagi perjalanan tu. So, 1.30 tengahari terbang, mendarat 2.30 petang, maka dalam 3.30 petang boleh sampai.
Sempat bermaksud, sempat menatap wajah Mek buat kali terakhir. Sempat juga untuk isteriku turut memandikan jenazah sebagai khidmat terakhir buat ibunya. Sempat juga bersama solat jenazah. Itu yang kami pesan kepada orang di Besut sana, mohon tunggu kami dan kebumikan lepas solat asar.
Kali terakhir menatap wajah hidup Mek ialah pada 5 Julai 2015, iaitu selepas kami adik beradik, ipar duai dan cucu mengadakan Majlis Berbuka Puasa Beramai-Ramai di rumah Mek pada 4 Julai 2015. Ketika itu Mek agak ceria, tidak menunjukkan sebarang petanda serius tentang kesihatannya. Namun beliau lebih memilih untuk berbuka puasa dalam biliknya. Rupanya majlis itu menjadi kenangan manis terakhir bersama arwah.
Berdasarkan cerita-cerita, Mek ‘pergi’ dengan mudah sekali. Cuma sehari dua sebelum itu, dikatakan kurang selera makan. Tiba-tiba pagi tu, rebah ketika duduk di tepi katil dan beberapa kali menarik nafas panjang sebelum tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah di bawa ke klinik berdekatan.
Sebagaimana dirancang, flight on-time di KLIA2. Sampai di Airport Kota Baru kemudian ke Besut dengan kereta yang telah disewa @ pinjam oleh anak menantuku yang bertugas di Kota Bharu yang kebetulan isterinya pun sedang bercuti di sana.
Sampai rumah arwah, jenazah sedang dimandikan. Bukan setakat sempat menatap wajah buat kali terakhir, sempat juga isteriku membantu memandikan jenazah. Lepas dikafan, kemudian di bawa ke surau berdekatan kekira jam 5.15 petang. Itupun sudah agak lewat kerana menanti beberapa lagi cucu Mek yang turun dari Lembah Kelang bagi member peluang menatap wajah arwah buat kali terakhir.
Pelan asal, sebelum masuk asar, jenazah telah dibawa ke surau. Abang iparku yang kedua, mengimamkan solat tersebut. Ramai juga yang menanti di surau. Jenazah kemudian dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran dan selesai kira-kira jam 6.00 petang.
Gesaan Kawin Awal
Aku masih ingat pertama kali aku menjejaki rumah lama Mek, beliau mengesa kepada ku untuk melaksanakan perkahwinan secepat mungkin, nak nikah gantung dengan isteriku sekarang pun boleh. Aku agak terkejut, namun tidak menolak akan kemungkinan tersebut.
Aku singgah lantaran mengikuti satu program khidmat bakti mahasiswa di Besut kira-kira tahun 1984. Aku kemudian bernikah secara ‘agak ringkas’ pada tahun 1985, ketika masih seorang mahasiswa tahun ketiga IPTA.
Menumpang Kehidupan
Sebaik graduate, aku agak kesukaran mendapat pekerjaan sesuai dengan kelulusanku lantaran kemelesetan ekonomi ketika itu. Aku tinggal di rumah Mek beberapa tahun sehinggalah mendapat pekerjaan sementara di Kuala Terengganu dan kemudian mengajar sementara di Besut, sebelum kemudiannya ‘berhijrah’ ke Kuala Lumpur tahun 1988.
Hanya aku dan isteriku, pak mertuaku serta seorang adik iparku tinggal dalam rumah itu. Masa tu juga masih menetap di rumah kayu lama yang kemudiannya terbakar hangus keseluruhannya. Malah sebelum itu, Mek juga yang mengsyorkan sehingga aku membina tambahan binaan kayu berupa bilik, dapur dan ruang tamu yang bersambung dengan rumah Mek yang asal untuk dijadikan sebagai rumahku.
Nazak Tahun 1980an
Tidak dapat dipastikan bila tarikhnya, mungkin antara 1986-1988, satu hari itu Mek tetiba jadi tidak sedarkan diri. Ramai anak cucu, jiran-jiran hadir dan sedara mara terdekat hadir. Dalam pembaringan, Mek telah diletakkan di tengah-tengah ruang tamu.
Bacaan Yasin dibacakan beramai-ramai. Ayah, pak mertuaku berulang kali mengajarkan mek mengucap dan ingat akan Allah. Aku kira saat Mek hendak ‘pergi’ telah tiba, namun rupanya usia Mek masih panjang lagi.
Jarak Perhubungan
Berbanding dengan anak-anak atau adik beradik sedaraku, hanya aku dan isteriku menetap di luar negeri Terengganu. Memandangkan juga jarak yang agak jauh, maka tidaklah selalu kami balik kampong dan berhubungan. Ini sedikit sebanyak menjadikan perhubungan mungkin tidak begitu erat.
Namun apabila balik kampong, layanan baik Mek terhadap aku serta anak-anakku tetapi diberikan. Malah keadang tu bila dengo kami nak balik, adalah pauh @ mangga disimpan untuk kami. Malah beberapa tahun sebelum Mek meninggal dunia, kami balik kampong sama ada sebulan atau dua bulan sekali, khususnya bila ada cuti panjang sikit atau cuti sekolah.
Jika pada mula masalah bahasa membataskan komunikasi termasuk dengan anak-anakku, namun ianya tidak lagi menjadi masalah setelah beberapa tahun menjadi ahli keluarga Mek. Namun beberapa tahun sebelum Mek meninggal, masalah timbul memandangkan pendengaran beliau yang semakin kurang sehingga pertuturan pun kekadang sukar difahami dan selalu juga berlaku salah faham.
Derita Kesakitan
Memang Mek sering mengadu sakit belakangnya, panas badan dan kebas-kebas anggotanya dalam tempoh berapa tahun sebelum meninggal dunia. Derita yang dialaminya menjadi ujian dan cabaran kepada anak cucu dalam menemani atau menjaganya secara bergilir. Bukan setakat menemaninya, kena picit atau urut-urut pula.
Memang benarlah bak kata, seorang ibu mampu menjaga ramai anaknya tetapi ramai anak-anak tidak mampu menjaga seorang ibu. Begitulah agaknya walaupun telah cuba dilakukan oleh kami adak-beradik ipar duai.
Pernah kami hantar ke hospital untuk mengenalpasti punca rasa kebas arwah. Doktor kata ia disebabkan urat sarafnya telah terhimpit dicelahan tulang belakangnya, yang menyekat aliran darahnya. Pernah juga diberikan rawatan DarusSyifa' bagi menghindari gangguan yang tidak diingini.
Berehatlah dan Moga Tenang Disana
Berdasarkan kisah dari isteri serta ipar yang lain, awal kehidupan keluarga Mek adalah susah. Malah menurut cerita, isteriku ketika kecilnya hampir hendak diberikan dan dipelihara oleh orang lain.
Hanya setelah ayah memiliki bot nelayan, berlaku perubahan sehingga mampu membina rumah sendiri, walaupun kemudiannya hangus dijilat api. Mungkin atas kesusahan hidup, Mek agak cermat dan menghargai setiap apa yang diperolehinya, serta disimpan elok-elok agar dapat digunakan sebaiknya apabila diperlukan nanti.
Mek seorang yang istiqamah dalam solat 5 waktunya serta berjilbab, walaupun dalam keadaan sakit. Malah Mek sering bersedekah dan menyertai ibadah korban sebagai tanda kesyukuran atas nikmat kesenangan yang dikurniakan Allah. Banyak kain-kain yang dipesannya untuk disedekahkah kepada orang ramai setelah peninggalan beliau.
Terima Kasih Mek
Terima kasih Mek kerana menumpang kasih sayang selama ini. Terima kasih atas layanan, nasihat dan keperihatinan yang diberikan. Terima kasih atas segalanya. Moga Mek mengampuni silap salah dan kekurangan diriku ini.
Ya Allah, dikau ampunilah hambamu ini dan kasihanilah ia sebagaimana dia mengasihi anak-anaknya semasa kecilnya dahulu. Dikau rahmati dan berkatilah kehidupannya. Moga Allah menerima segala amal ibadah Mek. Moga Mek juga dikurniakan ketenangan, kebahagian dan perlindungan Allah di sana.
Kini tinggal Ayah @ Pak Mertuaku yang dipanggil TokKi yang perlu diberikan perhatian bersama. Usia semakin lanjut, pengelihatan semakin kabur, namun masih kuat beribadah. Entahlah, bagaimana perasaan Ayoh dengan pemergian Mek ini ? Keesokan hari selepas pengebumian Mek, Ayoh ada kata, Mek kesejukan ( dalam kubor ) agaknya. Mungkin terasa juga kerinduan Ayoh terhadap Mek.
No comments:
Post a Comment