TAIPING 22 Mac – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kerajaan perlu bersifat lebih selektif dan mengenakan syarat lebih ketat dalam aspek guna tenaga ketika memberikan kelulusan pelaburan baharu dalam sektor pembuatan serta meluluskan pas kerja dalam sektor perkhidmatan bagi mengurangkan masalah kebanjiran pekerja asing.
Titah baginda, pelaburan yang diterima terutama pelaburan asing di negara ini hendaklah diluluskan berasaskan kepentingan negara iaitu pekerjaan yang ditawarkan harus membuka peluang kepada warga tempatan. Baginda bertitah, pada masa sama, warga tempatan sewajibnya membantu dan mengambil tanggungjawab untuk membetulkan situasi iaitu apabila negara sudah mula terlalu bergantung dan kelihatan semakin cenderung pada tenaga kerja asing ini.
“Data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan pas lawatan kerja sosial yang dikeluarkan kepada warga asing meningkat daripada 2.073 juta orang pada tahun 2014 kepada 2.135 juta orang pada tahun lalu.
“Bilangan pekerja asing tanpa izin (PATI) pula dikatakan berjumlah sekurang-kurangnya sekali ganda daripada bilangan pekerja asing yang mendapat pas kerja. Jika andaian tersebut benar, bermakna pada ketika ini, terdapat lebih empat juta orang warga asing yang sedang bekerja di negara ini.
“Pada tahun lalu sahaja, pekerja asing juga menghantar balik ke negara mereka melalui saluran rasmi, wang sejumlah RM34.7 bilion, menyamai 2.37 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Dianggarkan jumlah sebenar adalah lebih tinggi kerana sebahagian daripada penghantaran wang ke negara masing-masing, turut dilakukan melalui saluran yang tidak rasmi.
“Justeru, analisis secara objektif wajib dilakukan akan implikasi kehadiran tenaga kerja asing dengan jumlah yang begitu besar ini,” titah baginda ketika berke¬nan merasmikan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping di Kamunting sini hari ini.
Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah. Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Sultan Nazrin bertitah, apa yang kelihatan sekarang ialah pihak majikan sering menggunakan pas kerja warga asing sebagai jalan mudah untuk kepentingan keuntungan jangka pendek urus niaga mereka.
Titah baginda, tindakan itu dilakukan tanpa menghiraukan pelbagai implikasi negatif jangka panjang yang mula menjejaskan struktur sosial, budaya, demografi dan turut berpotensi menular mero¬sakkan struktur politik negara.
Sultan Nazrin bertitah, pendirian terkini kerajaan Persekutuan membekukan dan tidak akan membenarkan lagi kemasukan tenaga kerja asing amat bertepatan dan sesuai pada waktunya.
“Syarat yang lebih ketat amat perlu dikenakan kepada majikan supaya tidak lagi memilih laluan mudah untuk mendapatkan tenaga kerja asing hingga mengakibatkan warga dan negara terpaksa pada satu hari nanti, menanggung kos yang tinggi.
“Mereka (para majikan) juga tidak harus terlalu cepat bersifat berputus asa dengan melabelkan secara umum bahawa tenaga kerja tempatan tidak mahu melakukan kerja-kerja yang berada dalam kategori tiga ‘D’ iaitu dirty (kotor), dangerous (bahaya) dan demeaning (merendahkan martabat).
“Demi kepentingan jangka panjang negara, demi memelihara martabat kedaulatan sebuah negara bangsa yang merdeka, pendekatan yang lebih strategik wajib diterokai untuk dapat meminimumkan guna tenaga daripada terlalu bergantung pada warga asing,” titah baginda.
Sementara itu, menyentuh mengenai ADTEC, Sultan Nazrin bertitah, pelatih dan petugas di pusat latihan ini perlu menuntut ilmu, menguasai kemahiran serta mela¬kukan kerja asalkan yang tidak bercanggah dengan hukum dan undang-undang selain melakukan kerja dengan jujur dan ikhlas.
Baginda bertitah, fahaman, tafsiran dan semangat itu wajib diterapkan di hati dan sanubari setiap pelatih sebagai sebahagian daripada komponen latihan, agar lulusan pusat tersebut tidak bersifat robotik, menguasai kemahiran tetapi lompong jiwa keinsanan.
- Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment