Hari 41 ( Isnin 30 Nov / 13 Zulhijjah )
Balik kepada rutin asal, 2.30 pagi aku ke MH. Alhamduillah, dapat berada di hadapan dan lantai Kaabah. Seorang jemaah Bangladesh sebelahku menegurku dengan bahasa dia orang kot. Agaknya dia ingat aku orang Bangla, ada rupa ke ? Then dalam bahasa Inggeris dia kata ada 60 ribu jemaah dari Bangladesh menunaikan haji tahun ini.
Aku tumpukan hari-hari terakhir di Mekah ini kepada bacaan al-Quranku dengan habiskan bacaan bagi khatam kali ke-5. Pagi ini masih ada 10 juzuk lagi untuk dihabiskan. Aku plan nak habiskan di MH jugak. Maknanya jika dibahagi dua, hari ini 5 juzuk dan esok 5 juzuk juga.
Ramainya orang tawaf melimpah sampai kepada anak tangga di lantai Kaabah serta tingkat bawah. Aku rasa keadaan ini berterusan sehingga sekurang-kurangnya esok sebab telah habis waktu melontar bagi yang berada di Mina sehingga 13 Zulhijjah atau Nafar Thani. Mereka tentunya mulai masuk ke Mekah sebaik melontar selesai hari ini.
Aku hantar SMS kepada Hj Rosli untuk buat pertemuan dengan orang-orang Saujana Utama masa sarapan pagi esok di Restoran Malaysia D Saji. Tetapi tak jadi, sebab beliau mengatakan sakit mata. Bagiku key personnya beliau lantaran yang lain telah ku temui.
Aku baru mendapat maklum bahawa adik perempuanku tidak sempat tawaf haji kerana datang bulan yang tidak dijangka. Mereka memaklumkan perkara ini kepada pihak TH dan dimaklumkan hanya akan pulang antara 14 hingga 20hb Disember nanti. Ini bermakna beliau bersama suami dan anaknya akan terpisah dan balik lewat daripadaku.
Bagaimana nie, pergi segroup bersama tetapi balik tidak. Bagaimana keluarga nak menyambut di KLIA nanti ? Kena dua kali datang ? Dulu kami pergi bersama, maknanya sekali hantar saja ... ah, itu soal kecil aje. Atau aku pun nak minta lewat pulang, tapi atas alasan apa ?
Hari 42 ( Selasa 1 Dis / 14 Zulhijjah )
Terlewat bangun pagi, 3.30 baru nak bertolak jalan kaki ke MH. Namun alhamdulillah, dapat saf di lantai hadapan Kaabah juga. Kiranya ini adalah suboh terakhir dan aku pulun semua solat-solat sunat yang biasa serta solat tasbih. Terasa syahdu suboh ini. Ya Allah, terimalah doa dan ratapanku, terimalah ibadahku dan kau janjikanlah syurga buatku. Linangan air mata tidak dapat ku tahan-tahan, terlalu mudah ianya mengalir keluar.
Duduk di sebelahku staf Suruhanjaya Tenaga yang kini bertugas di Penang tetapi telah beli rumah di Puncak Alam, Kuala Selangor. Penerbangan pulang beliau terlewat 10 hari, sedangkan baki cuti hanya 2 hari. Terpaksa ambil cuti tanpa gaji nanti. Mungkin suatu pengorbanan yang berbaloi. Ingat senangke nak dapat peluang berada 10 hari di Mekah ? Percuma pulak tu. Kalau aku pun, tentu tidak lepas peluang.
Lepas solat suboh aku susun strategi untuk khatamkan bacaan al-Quranku hari ini. Kebetulan pagi ini aku tertinggal kameraku, jadi tidaklah nak sibuk ambik gambar sana sini.
Pagi itu aku dan isteri sarapan roti canai dengan kuah kari ayam yang dibeli di kedai berhampiran hotel penginapanku dengan berharga SR9. Namun di suatu sudut lain, nampaknya sekumpulan keluarga jemaah haji macam kenduri kesyukuran pulak.
Packing Barang
Selepas sarapan adalah masa untuk packing semua barang. Masa ini kami perlu asingkan mana yang hendak masuk sebagai bagasi dan mana yang hendak di pegang tangan. Risau juga sebab berat barangan sudah melebihi berat 60kg yang dibenarkan untuk aku dan isteriku. Ini dibuat berdasarkan timbangan yang aku lakukan dengan penimbang yang aku beli berharga SR10. Ramai pulak yang pinjam alat timbang berkenaan.
Ingatkan sebelum ini nak timbang satu group dengan adik iparku. Dia tentu tidak banyak barang sebab anaknya bukan ada barang sangat. Satu group 5 orang X 30kg = 150kilogram. Tetapi sebab sudah berpisah sebab tidak balik bersekali, risau pulak kalau kena bayar sebab lebih berat. Satu kilogram = SR25 !!
Jumpa Abang Mat & Kak Pah
Lepas Zuhor kami bertemu lagi, memandangkan aku dan isteri hendak balik dan kami sudah nak berpisah. Hanya bertanya khabar dan berkongsikan pengalaman semasa di Masyair. Bagi Abang Mat dan Kak Pah, mereka mungkin tidak ada masalah sangat memandangkan ini kali kedua mereka ke Tanah Suci. Cuma pagi tadi beliau telah turun hendak mengerjakan umrah, tetapi tak jadi sebab tiada kenaikan. Semua bas, taxi dan kenderaan hanya nak pergi ke Madinah, tiada yang hendak ke Tanaim.
Memang sejak pagi lagi, kedengaran pemandu kenderaan mencari penumpang untuk ke Madinah. Ah begitu sahaja ke, sedangkan jarak ke Madinah hampir 450 kilometer. Tiada bas expresss ke ?
Khatam Juga Akhirnya
Jam 2.30 petang bertolak untuk solat asar di MH. Lepas asar, aku naik ke bumbung untuk lihat suasana dan pemandangan sekitar MH dari atas buat kali terakhir. Kemudian aku tumpukan kepada bacaan al-Quranku walaupun agak mengantuk pada petang itu.
Alhamdulillah, aku dapat selesaikan bacaan al-Quranku jam 7.10 minit untuk khatam kali ke-5, iaitu beberapa minit sebelum masuk Isyak. Isteriku memaklumkan kepada ku yang beliau juga berjaya tamatkan bacaan untuk khatam kali ke-3.
Ceramah Muhasabah ?
Selepas solat isyak, cepat-cepat makan sebab ada Ceramah Muhasbah bagi jemaah KT03. Tajuknya memang Ceramah Muhasabah Haji. Ingatkan nak muhasabah bagi pihak TH menerima pandangan serta cadangan daripada jemaah, rupanya tidak.
Bagiku, memang redha dengan apa yang berlaku dan dialami sepanjang berada di Mekah, Masyair dan Madinah. Namun ada beberapa aspek yang elok TH dengar dari jemaah bagi memperbaiki perkhidmatan mereka. Patutnya diberikan soal selidik kepada setiap jemaah. Atau mungkin dulu pernah buat tapi agaknya tak terlayan dengan komen serta cadangan dari jemaah.
Ustaz TH dalam ceramahnya mengesa jemaah redha dengan apa yang dialami. Anggaplah itu sebagai ujian Allah. Nilailah sendiri apakah ibadah haji yang dilaksanakan diterima Allah atau menjadi haji yang mabrur. Ceramah kemudian lebih menumpukan kepada aturcara Tawaf Wada’ dan perjalanan pulang ke Jeddah dan seterusnya terbang ke Malaysia.
Lepas ceramah kami bersalaman antara satu sama lain, berselawat dan bermaaf-maafan. Sedih dan terharu dengan keadaan ketika itu. Walaupun mungin tidak kenal nama semua, tetapi kenallah beberapa muka yang agak familiar satu jemaah KT03. Lepas ini masing-masing pulang ke tempat masing-masing, entah bila boleh bertemu semula.
No comments:
Post a Comment