Selamat Tahun Baru !!!

1 Muharram 1431H dengan 1 Januari 2010 tidak jauh jarak masanya. Namun 1 Januari juga yang dibangga-banggakan. Kita nampaknya kelihatan lebih berbangga memberikan ucapan Selamat Tahun Baru Januari 2010 berbanding 1 Muharram 1431H. Mungkin bagi meredakan atau menunjukkan yang kita tidak mengenepikan 1 Muharram, maka ucapan Selamat Tahun Baru 2010 menjadi Selamat Tahun Baru 2010 dan Selamat Tahun Baru Hijrah 1430.

Nak tak nak, tahun masehi terpaksa menjadi ukuran dan perancangan dalam kebanyakkan tindakan tahunan, sama ada di pejabat, sekolah, agensi kerajaan dan swasta, malahan di rumah sendiri. Permulaan sesi sekolah pada awal tahun, Sasaran Kerja tahunan ( SKT ) setiap kakitangan awam pun secara tahunan dan bermula Januari hingga Disember. Azam secara khususnya

Daripada segi kerjayaku, alhamdulillah akhir Januari 2009, aku dapat surat kenaikan pangkat dan kekal berada di Jabatan di mana aku berada sekarang. Namun kedudukanku sangat mencabar.

Daripada peristiwa bencana ke atas sistem komputer jabatan, cuti panjang bossku menyebabkan aku terpaksa memikul dan melaksanakan beberapa perkara penting untuk masa depan jabatanku. Mungkin sedikit bernasib baik tidak terlibat sangat dengan perpindahan pejabat ke Cyberjaya kerana aku cuti menunaikan haji ke Mekah, tetapi sebenarnya aku rugi daripada segi pengalaman.

Namun beberapa peristiwa yang berlaku pada akhir 2009 dan awal Januari 2010 menyebabkan aku teragak-agak tentang apa yang yang bakal berlaku pada tahun 2010. Kejadian Gerhana Bulan berlaku seawal 1 Januari 2009. Apakah tahun ini tahun yang suram, tahun dukacita, banyak musibah dan malapetaka. Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram tentunya merubah harga jualan makanan seluruh negara negara. Ah, tentu banyak lagi perkara akan berlaku yang perlu dihadapi.

Haji & Perpindahan
Mengimbau kenangan 2009, yang paling ketara bagiku ialah haji dan perpindahan. Peluang mengerjakan haji pada tahun ini mungkin yang paling penting. Aku berharap hajiku diterima Allah dan seterusnya memberikan impak positif kepada diri ini dalam menempuh cabaran tahun-tahun mendatang.

Perpindahan dari Saujana Utama ke Putrajaya pada 4 Jun 2009 merupakan suatu keputusan yang amat sukar, tetapi terpaksa dilakukan demi kebaikan diri dan keluarga. Kekadang macam rasa bersalah seperti meninggalkan teman-teman terkontang kanting pada peringkat awal menguruskan Surau Al-Hidayah dan Kafa Integrasi Darul Syahadah yang aku jadi Pengerusinya.

Perpindahan tempat kerja dari Pusat Bandar Damansara Kuala Lumpur ke Cyberjaya merupakan suatu yang dinanti-nantikan setelah aku berpindah dan menetap di Kuaters Kerajaan Putrayaja.

Kini aku tidak lagi perlu bersusah awal pagi bergegas untuk ke pejabat, meredah kesesakan jalan raya, tol dan lebuhraya. Kemudian pulang lewat malam dengan badan yang keletihan.

Politik
Daripada segi politik negara, nampaknya 2009 terlalu banyak politiking. Antara peristiwa yang mendebarkan ialah rentetan saat pergolakan politik Perak sehingga membawa kepada peralihan kuasa daripada Pakatan Rakyat ( PR ) kepada Barisan Nasional ( BN ).

Ketika itu sering tertanya-tanya, apakah kesudahannya. Pilihanraya Kecil demi pilihanraya kecil diadakan dan semuanya dimenangi oleh pembangkang PR, kecuali yang terakhir di Post Dickson. Segala yang pihak kerajaan lakukan, seperti gagal menarik atau mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan yang sebelum ini hampir tumbang dalam Pilihanraya Umum 12.

Peranan media massa dalam memperbesarkan politiking mungkin boleh dilihat sebagai usaha pihak BN untuk membuktikan bahawa kerajaan lain selain BN jika memerintah negeri mesti tidak stabil, mundur, bermasalah dan kucar kacir. Ini adalah modal penting menjelang PRU13. BN mesti bertindak sesuatu untuk membuat comeback.

Pemergian Penasyid Ustaz Asri
Kematian penasyid dan pendakwah Ustaz Asri Ibrahim pada usia yang dikira muda amat mengejutkan sekali. Sebagai peminat irama nasyid, aku begitu terasa akan kehilangannya.

Apakah dunia nasyid akan menjadi malap selepas pemergiannya. Kontraversi yang menyelubungi tindak tanduk Ustaz Akhil Hay pula sedikit sebanyak mengurangkan minatku terhadapnya.

Bola Oh Bola
Pasukan bola The Reds atau Liverpool seharusnya menjuarai EPL pada sesi 2008/2009 yang berakhir pertengahan tahun yang lalu. Semuanya gara-gara seri yang tersangat banyak. Ditakdirkan yang seri tu bertukar jadi kemenangan, 3 perlawanan daripada 11 perlawanan saja sudah cukup. Namun bagi sesi 2009/2010, tetiba jadi sebaliknya. Boring sangat, aku tarik balik langganan saluran sukanku. Lagipun dapat jimat RM 12 sebulan. Namun tumpuan sukan 2010 nanti ialah dalam bulan Jun nanti, iaitu FIFA World Cup.

Bagaimana 2010 ?
Untuk 2010, bagaimana harus aku meningkatkan keupayaan diriku dalam memikul tanggungjawabku di jabatanku atau dimana saja aku ditempatnya. Pengkomputeran semula Sistem ICT Jabatan yang tertangguh dua tahun bakal menjadi kenyatan untuk bermula pada tahun baru ini, walaupun masih bergantung kepada keputusan Perbendaharaan. Ianya pasti mengubah landskap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Bagaimana harus aku lakukan untuk menarik jemaah memakmurkan Surau Sementara Penduduk Precint 14 yang ketika ini menumpang atau menggunakan Surau As-Syakirin SMK Precint 14(1). Untuk ini juga aku mesti melepaskan tanggunganku di tempat tinggal lamaku.

Bagi anak-anakku, bermula dengan kemampuan Nadiah atau Kak di Khatam Hafazan Al-Quran merupakan suatu pencapaian yang menjadi kebanggaan keluarga. Ini diikuti dengan Kak Yong graduate UTP, Kak Di berjaya masuk Matrikulasi Perubatan UIA dan akhirnya kejayaan Kausar memperolehi 9A dalam PMR.

Andainya Kak Di tak dapat masuk Perubatan UIA tempohari, mungkin sudah tiada di Malaysia agaknya. Kak Yong masih tercari-cari pekerjaan yang boleh dikira tetap. Pulangnya Abdul Rahman bercuti 2 minggu dari Kanada pada Ramadhan lalu diharap menyuntik semangatnya terubat rindu untuk seketika bersama keluarga. Namun semua pencapaian anak-anaku perlu didorongi supaya terus berjaya dalam hidup dan bidang yang diceburi tanpa mengenepikan amalan dan pegangan agama.

Jika dalam tempoh 6 bulan isteriku terpaksa berulangalik dari Putrajaya ke Saujana utama, namun tidak lagi pada tahun 2010 setelah beliau dapat bertukar di sekolah yang berhampiran, kekira 5km sahaja dari rumah. Walau apapun yang berlaku dan dihadapi sepanjang tahun 2010, yang penting ialah menjadikannya lebih baik daripada 2009.

No comments:

Post a Comment